Sunday, 13 May 2018

Hukum Ucap dan Sambut Hari Ibu


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Hukum Ucap dan Sambut Hari Ibu | Sana sini orang dah beri ucapan hari ibu. 

Tertiba, ada yang kata... "eh, mana boleh sambut hari ibu, haram". 

Ah.. Sudah... Pula.. Orang kita bila sebut pasal haram... Mulalah nak berdebat... 

Jadi... Apa hukumnya yang sebenarnya kita sambut hari ibu ni... Sebelum tu, meh kita singkap sejarah hari Ibu. 

Hukum Ucap dan Sambut Hari Ibu


Asal Usul Sambutan Hari Ibu

Eropah

Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac.

Orang Rom Purba juga menyambut suatu perayaan yang bernama Matronalia bagi memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.

Orang-orang Greece pula menganggap ‘Hari Ibu’ sebagai perayaan musim bunga dan penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday”. Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Perayaan ini bersamaan hari kenduri Persembahan Nabi Isa di Kuil dalam mazhab Ortodoks Timur. Oleh sebab Theotokos (Ibu Tuhan) amat penting dalam perayaan ini kerana membawa Christ ke Kuil Jerusalem, perayaan ini dikaitkan dengan ibu. Namun begitu, kini ramai orang Greece cenderung menyambut Hari Ibu mengikut negara Barat yang lain.

Dalam tempoh tersebut, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Amerika Syarikat

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi “The Battle Hymn of The Republic” (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan “Hallelujah” dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother’s Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Asia

Hari Ibu juga disambut pada hari yang berbeza-beza di sebelah Asia kerana berbagai macam sumber asal-usulnya. Di China, Hari ibu disambut sebagai memperingati Meng Mu, ibu kepada Mencius. Di Thailand dirai sempena hari keputeraan Ratu Sirikit Kitiyakara pada 12 Ogos. Manakala 1 Jun di Mongolia adalah Hari Ibu dan pada Kanak-kanak Sedunia juga disambut serentak. Mongolia adalah satu-satunya negara yang menyambut Hari Ibu dua kali setahun.

Kredit : Shafiqalbu


Hukum Ucap dan Sambut Hari Ibu


Mohon pencerahan mengenai sambutan hari ibu bagi umat Islam. Apakah hukumnya?

PENJELASAN:
Prinsip yang dipegang dalam menilai sesuatu sambutan ialah selagi tiada perkara yang secara jelas bertentangan dengan prinsip agama sama ada dari segi kepercayaannya atau amalan dan aktiviti-aktiviti yang terkandung dalam sambutan tersebut, maka ia adalah harus.

Dalam konteks Hari Ibu, ianya adalah sambutan yang bertujuan untuk mengingati sumbangan dan pengorbanan golongan ibu dan ia lazimnya diisi dengan ucapan dan pemberian hadiah kepada para ibu.

Adapun pandangan yang mengatakan bahawa Hari Ibu berasal dari perayaan agama Kristian yang diambil dari tradisi penyembahan ibu kepada dewa-dewa di zaman Yunani Kuno, ciri-ciri tersebut tidak lagi wujud dalam sambutan Hari Ibu yang ada sekarang.

Walaubagaimanapun, dalam Islam, semangat memuliakan dan menghormati ibu seharusnya ditanamkan pada setiap masa dan ketika dalam diri semua masyarakat. Ini kerana nilai penghormatan terhadap ibu adalah nilai teras yang ditekankan oleh al-Qur’an bersama-sama dengan tauhid sepertimana yang terkandung dalam ayat “Sembahlah Allah dan jangan kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatupun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua Ibu Bapa” (al-Nisa’ 4:36 dan juga Isra’ 23-24)

Nilai ini juga dikaitkan dengan sikap syukur kepada Allah seperti mana yang terdapat dalam ayat, “Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang Ibu Bapanya, Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan menyapihnya dalam dua tahun. Maka bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang Ibubapamu, hanya kepada-Ku-lah kembalimu.” (Surah Luqman: 14) Sementara hadis nabi menyebut “Keridhaan Allah ada pada keridhaan orang tua dan kemurkaan Rabb (Allah) ada pada kemurkaan orang tua”(Hadis riwayat Tirmizi).

Dengan termaktubnya ‘Hari Ibu’. Seharusnya dijadikan hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.

Ada bagus dan baiknya diadakan sambutan hari ibu ini, sekurang-kurangnya boleh juga menyedarkan ‘Si Tanggang Moden’ yang sibuk dengan sahabat, rakan perniagaan atau tugas seharian dan orang ramai akan lebih mengenang dan menghargai jasa pengorbanan ibu..

Islam meletakkan ibu ditempat yang paling selayaknya, begitu juga dengan bapa. Jika Syurga Ibu/isteri di bawah kaki Ayah/suami, tetapi dengan keinsafan yang lebih menebal.. tanpa ibu, siapalah kita… ‘Syurga anak itu adalah di bawah tapak kaki Ibu’.

Seorang ibu berhak mengambil haknya terhadap anak-anaknya dan seseorang anak itu tidak boleh langsung mempertikaikan hak ibu dan bapa mereka terhadap dirinya. Jihad adalah perkara paling utama dalam Islam, namun kerana Ibu, jihad menjadi tempat kedua bagi seorang anak.

Perkara ini dikatakan sendiri oleh Rasulullah ketika ada seorang sahabat yang bernama Jahimah bertemu baginda untuk bertanyakan pandangan untuk ikut serta dalam ekspedisi jihad. Rasulullah bertanya, “Adakah kamu masih mempunyai ibu?” Jahimah menjawab:“Ya.” Lalu Rasulullah bersabda, “Tinggallah bersamanya kerana sesungguhnya syurga terletak di bawah tapak kakinya.” (Shahih Sunan al-Nasai, no: 3104)

Hukum Ucap dan Sambut Hari Ibu

Hari Ibu juga boleh menjadi wasilah untuk merapatkan hubungan anak dengan ibu bapa serta mengeratkan hubungan sesama adik-beradik. Sebagai hari istimewa, semua ahli keluarga berkumpul dan dari situ terbitlah ikatan erat dan melahirkan suasana penuh kasih sayang sejati, saling mencintai antara satu sama lain.

Sambutan Hari Ibu yang memenuhi tuntutan Islam antaranya, sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah SWT dan tidak bersifat membazir. Di samping itu, sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan solat berjemaah bersama ahli keluarga, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana mahabbah.

Oleh itu, penting bagi masyarakat Islam membetulkan niat terlebih dulu dalam meraikan sambutan Hari Ibu ini supaya sambutan dirahmati dan tidak terkeluar daripada landasan syariat Islam yang digariskan Allah SWT untuk hambaNya.

Kedudukan ibu sangat mulia di sisi Islam. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh ibu demi membesarkan kita. Sepatutnya disambut hari ibu sekerap mungkin… setiap hari, minggu, setiap bulan dan tahun kerana hari ibu memang sewajibnya setiap hari… Raikanlah dengan setulus ikhlas terhadap insan mulia tersebut…

Hari Ibu dan Bapa adalah hari-hari.
والله أعلم بالصواب
Kredit : Facebook Ustaz Iqbal Zain

Jadi, tak payah nak pening kepala dan kata haram bagai... Tak perlu nak hentam dan kecam serta debat pasal isu remeh ni. . 

Sekadar ucapan, Beri hadiah dan Raikan hari itu lebih sikit dari hari-hari yang lain tiada masalah... Dan tidak meletakkan hari yang tertentu untuk meraikan hari ibu... 

Hari-hari, hari ibu..  Kerana ibu sentiasa yang teristimewa di hati ku. ... 

1 comment:

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^