16 April 2018

Kena Zakatkan Ke Hasil Dari Blog?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Kena Zakatkan Ke Hasil Dari Blog? | Blog sekarang dah jadi sumber pendapatan kebanyakan blogger.  Ada yang dapat pendapatan tetap setiap bulan, ada juga yang tak menentu. Banyak sumber dan hasil berblog, sama ada dari pengiklanan dan review, sewa tapak iklan ataupun dari sumber pemasangan iklan dari syarikat pengiklanan seperti Adsense, Nuffnang, Innity dan sebagainya.


Kena Zakatkan Ke Hasil Dari Blog?

Ke mana hasil blog kita? 

Hasil blog, ke mana kita laburkan... ada orang gunakan hasil tu untuk tampung keperluan harian... ada juga yang untuk memenuhi kehendakan dan impian, ada juga buat simpanan. Tapi jangan lupa, laburkan sedikit dari hasil blog itu ke jalan Allah... insha Allah lebih barakah dan bertambah rezeki.

Adakah rezeki blog ke zakat? 

Jika pendapatan blog kita lebih dan tetap serta banyak maka hukumnya wajib, jika tidak, cukuplah kita infak dan sedekahkan.

Jom ikuti tulisan #AkhiAdifGorment ini untuk membuka minda dan hati kita tentang sifat pemurah dalam rezeki.

Allah Tarik Nikmat Kita Diatas Kebakhilan Kita


Beberapa belas tahun dahulu saya pernah menghadiri satu ceramah agama di masjid kampung saya bersama ibu dan abah.

Masih segar lagi diingatan ini bahawa penceramah pada waktu itu adalah Ustaz Alwi B Parman (moga Allah memberkati beliau).

Manakala Tajuk yang dikupas pada waktu itu amatlah menarik untuk difahami iaitu "Rezeki Yang Wajib Dizakatkan"

Walaupun saya tidak dapat mengingati keseluruhan isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh ustaz pada ketika itu, tetapi ada sedikit isi yang masih tersisa di dalam diri ini untuk saya amalkan dan kongsikan.

Kata ustaz ; "Hasil padi yang tuan tuan dapat, jangan lupa dizakatkan. Kalau tuan tuan tak zakatkan, Allah akan ambil balik dalam berbagai bentuk dan cara. Kalau Allah nak ambil balik hasil padi tuan tuan senang je.. Dia hantar angin yang menumbangkan semua padi tuan tuan, Dia hantar bena perang merosakkan padi tuan tuan, Dia hantar siput untuk makan benih padi tuan tuan, Dia hantar tikus makan padi semaian tuan tuan dan macam macam lagi. Kerana itu, bila dapat hasil padi jangan lupa di zakatkan."

Maka begitu jugalah halnya bagi kita yang berkerja makan gaji atau bekerja sendiri atau berniaga.

Jika hasil atau rezeki yang kita perolehi tidak dizakatkan (yang wajib) atau tidak juga di sedekahkan, maka Allah akan ambil semula kurnianNya itu dengan berbagai bagai cara.

Antara perkara yang mungkin akan berlaku apabila Allah menarik semula kurniaanNya daripada seseorang kerana kebakhilannya adalah seperti,

⚫️Keresahan dan kegelisahan hati yang berpanjangan memikirkan harta yang tidak pernah cukup.
⚫️Anak anak yang kerap sakit.
⚫️Anak anak yang degil tidak mendengar kata.
⚫️Rumahtangga yang tiada ketenangan kerana sentiasa tegang dengan pertengkaran.
⚫️Hilangnya keberkatan di dalam diri dan ahli keluarga.
⚫️Kereta atau motor selalu rosak.
⚫️Rumah dimasuki perompak.
⚫️Ditipu (contohnya skim cepat kaya).
⚫️Kehilangan kenderaan atau harta benda.

Dan berbagai cara lagi yang memungkinkan bahawa Allah akan ambil daripada kita bila mana rezeki yang kita perolehi itu tidak dizakatkan (yang wajib) atau juga tidak disedekahkan.

Takut miskin adalah perkara biasa yang akan sentiasa bermain difikiran kita apabila kita membicarakan hal berkaitan zakat atau sedekah. Namun, telah lama Allah SWT peringatkan kita tentang hal takut miskin ini di dalam kitab suciNya.

Mari kita fahami apa yang telah dirakamkan oleh Allah SWT didalam Surah al baqarah ayat ke 268 ini yang bermaksud ;

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut)"

Nah! Sedarkah kita ketika kita takut miskin lalu tidak mahu mengeluarkan zakat atau bersedekah, sebenarnya kita sedang dihasut dan dipengaruhi oleh syaitan laknatullah!

Oleh kerana itu, dalam bab zakat dan sedekah ini perlunya ilmu untuk mendidik diri dengan penuh disiplin agar diri tidak bakhil untuk melaksanakan amanah terhadap harta yang diperolehi.

Bermulalah dengan sedekah sedikit sedikit setiap hari. Letaklah sekurang kurangnya RM1 setiap hari ke dalam tabung masjid atau surau.

Atau juga sedekah kepada ahli keluarga atau kawan kawan yang memerlukan. InsyaAllah usaha ini akan membantu diri kita untuk mengikis lalu menghilangkan sifat bakhil yang menebal didalam diri.

Tiap hujung bulan pula, sisihkanlah 2.5% daripada gaji atau keuntungan hasil perniagaan untuk dizakatkan.

Jika berat juga untuk membayar 2.5%, bayarlah semampu mungkin untuk zakat dan jangan sekali kali tidak dibayar. Ini kerana zakat adalah tututan agama bagi mereka yang telah layak dan sekiranya zakat tidak dibayar sedangkan ia layak dikenakan zakat, maka tunggulah azab Allah kelak.

Mengakhiri bicara ringkas ini, saya memperingatkan diri saya dan semua yang sudi mengambil pengajaran daripada bicara ini agar melaksanakan amanah yang diberikan oleh Allah SWT ini sebaik mungkin. Wallahu'alam

Kredit: #AkhiAdifGorment via Telegram Channel

Jadi, infaqkan sedikit dari rezeki yang dapat dari blog.. insha Allah pasti bermanfaat. Nak mudah, infaqkan kepada keluarga sendiri... Belanja anak, isteri, suami, maka atau ayah... insha Allah... lebih Barakah... kalau ada lebih... boleh infaqkan lebih..


عَنْ الزُّهْرِيِّ قَالَ أَخْبَرَنِي سَعِيدُ بْنُ الْمُسَيَّبِ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الصَّدَقَةِ مَا كَانَ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ

Dari Az Zuhriy berkata, telah mengkhabarkan kepada saya Sa'id bin Al Musayyab bahawa dia mendengar Abu Hurairah RA dari Nabi SAW  bersabda,: "Sebaik-baik sedekah adalah yang di luar keperluan (yang sudah cukup untuk keperluan dirinya). Maka mulakanlah pemberian untuk orang yang menjadi tanggunganmu".(HR Bukhari No: 1337) Status: Hadis Sahih

Sekian, semoga bermanfaat.

1 ulasan:

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^