18 November 2018

Ini Sebab Kenapa Mufti Kata Bitcoin Itu Haram Dalam Islam

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Ini Sebab Kenapa Mufti Kata Bitcoin Itu Haram Dalam Islam | Bitcoin, dah lama dah muncul dalam system muamalat di dunia.

Kemunculan Bitcoin menimbulkan persoalan tentang hukum.

Bagi orang yang kisahkan pasal hukum, pasti akan kaji selidik, Tanya pakar ulama, cari dalil yang ada sebelum join Bitcoin.

Bitcoin ni apa?
Bitcoin ni mata wang digital. Tapi ada beberapa buah negara tak iktiraf pun Bitcoin ni sebagai matawang.

Tapi sehingga hari ni ramai yang join Bitcoin ni sebab nilainya yang sangat tinggi.

Orang Islam pun ramai dah join Bitcoin.

Tapi bagi yang memegang kepada hukum... Pasti nak tau hukum kan...

Setelah sekian lama tunggu, akhirnya Mufti Wilayah Persekutuan, keluarkan kenyataan rasmi tentang hukum Bitcoin.

Dalam artikel yang di tulis di web rasmi Mufti Wilayah memang panjang berjela lah... sebab siap dengan bukti, hadis dan segala pendapat dari pelbagai pihak.

Tapi, dalam entry ini MF akan cuba ringkas dan olah sebab bukan semua suka baca panjang-panjang kan.

Ini Sebab Kenapa Mufti Kata Bitcoin Itu Haram Dalam Islam

hukum bitcoin

KEDUDUKAN BITCOIN SEBAGAI MATA WANG

Persoalan samada bitcoin adalah sejenis mata wang atau tidak masih lagi diperdebatkan. Menurut The Economist, Bitcoin menepati 3 ciri-ciri mata wang:

  • sukar diperoleh
  • bekalannya terhad
  • mudah untuk dipastikan (verify).


Setakat kajian ini dilakukan, Bitcoin masih kekal sebagai mata wang kripto yang paling mudah dicairkan dan terbesar di pasaran dari segi aktiviti pengguna dan aktiviti pemaju.

Ia mempunyai jumlah dagangan harian melebihi USD 10 bilion dan penilaian pasaran USD 135 bilion (setakat 18 April 2018).

Dalam Islam, para sarjana meletakkan pelbagai ciri mata wang sama ada ciri fizikal, teknikal dan seumpamanya.

Contoh ciri fizikal ialah senang dibawa, dikira, ketahanan dan seumpamanya.

hukum bitcoin
sumber: google images
Namun ciri penting yang perlu ada sebagai mata wang ialah dua sifat utama:

1. Diterima umum:

Wang hendaklah diterima umum tidak kira dalam sistem ekonomi apa sekali pun bagi berfungsi sebagai alat tukaran.

Imam Malik berkata, andainya kulit dijadikan wang oleh sesuatu masyarakat, maka aku akan haramkan ia ditukar dengan emas secara bertangguh.

Oleh itu, dapat difahami di sini bahawa apa sahaja yang diterima umum sebagai mata wang, maka ia boleh dijadikan wang. Walaupun kulit kambing, bitcoin, garam dan gula. Wang kertas yang ada ketika ini diterima umum, walaupun cuma kertas dan ia disahkan oleh kerajaan.

2. Kestabilan nilai:

Sifat ini sangat penting kepada wang untuk menjalankan fungsi wang. Secara umumnya, nilainya yang stabil dan tidak mudah naik dan turun secara mendadak. Jika mata wang nilainya tidak stabil, maka ia tidak boleh berfungsi sebagai penyimpan nilai.


Risiko Bitcoin

Bitcoin (dan juga mata wang kripto yang lain) merupakan satu produk inovasi moden yang masih baru dalam pasaran, dan sudah pasti ia mempunyai risiko dan masalah yang masih belum diselesaikan hingga sekarang. Antaranya ialah:

1. Naik turun nilai yang sukar dikawal dan dijangka akibat spekulasi berlebihan para pelabur (fluctuation/volatility)

Sewaktu Bitcoin mula-mula diperkenalkan, nilainya tidak melebihi USD1, namun sejak itu ia mula mendapat populariti diseluruh dunia dan nilainya terus meningkat naik.

Bitcoin memulakan tahun 2017 dengan nilai USD 966, dan naik mendadak hingga merekodkan harga tertinggi dalam sejarah pada USD19,850 pada pertengahan Disember, ia tiba-tiba mengalami penurunan mendadak kepada USD12,000 hanya dalam masa beberapa hari.

Namun demikian sejak awal 2018, harga bitcoin mula menunjukkan sedikit kestabilan, dengan konsisten mengekalkan paras USD6000 sejak pertengahan 2018. Sejak tiga bulan belakangan pula, ia berada dalam lingkungan USD 6,300 hingga USD 6,700, menunjukkan tahap kestabilan tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Namun ketidakstabilan ini tetap melahirkan kebimbangan bahawa fenomena Bitcoin ini tidak lain hanya seperti buih yang akan pecah pada bila-bila masa. Ketidakstabilan harga Bitcoin ini juga menumbuhkan minat kepada mata wang kripto alternatif yang lain seperti ethereum, litecoin dan XRP.

2. Risiko penggodaman terhadap sistem

Setakat kajian ini dilakukan, kes kecurian terbesar melibatkan bitcoin berlaku pada tahun 2014, apabila pusat dagangan terbesar ketika itu Mt. Gox telah kehilangan sejumlah 850000 bitcoin akibat penggodaman terhadap sistem komputer mereka, dengan nilai kerugian ketika itu berjumlah USD 480 Juta.

Sementara untuk kes terkini pula melibatkan Youbit, sebuah pusat dagangan bitcoin di Korea Selatan yang telah jatuh muflis pada Disember 2017 setelah hampir 4000 bitcoin milik para pelabur dicuri dalam satu siri serangan siber.

Sehingga kajian ini dilakukan, dianggarkan kira-kira 980 000 Bitcoin telah dicuri daripada bursa, dengan kerugian dianggarkan USD 15 Bilion menurut nilai semasa.

3. Dieksploitasi oleh penjenayah untuk kegiatan penggubahan wang haram dan mendanai aktiviti keganasan

Pada Januari 2017, Pusat Pelaporan dan Analisis Transaksi Keuangan (PPATK) yang merupakan satu agensi anti penggubahan wang haram Indonesia melaporkan bahawa Bahrun Naim, salah seorang penyokong Daesh menggunakan bitcoin untuk mendanai aktiviti keganasan kumpulan militan itu di Syria.

Sementara itu pada Disember 2017, sebuah mahkamah persekutuan di New York, Amerika Syarikat (AS) telah mendakwa Zoobia Shahnaz, seorang wanita warga AS kelahiran Pakistan atas tuduhan mendanai aktiviti pengganas Daesh menggunakan saluran bitcoin dan lain-lain mata wang kripto melibatkan dana berjumlah USD 85000.

Jabatan Keadilan (Department of Justice) (AS) dalam kenyataan sama menambah bahawa pertuduhan tersebut masih lagi di peringkat siasatan dan tertuduh belum bersalah selagi belum terbukti.

Namun disebalik kes-kes yang dilaporkan, beberapa pakar masih enggan membuat kesimpulan bahawa mata wang kripto sememangnya satu ancaman secara mutlak dari sudut membantu aktiviti keganasan.

Sebagai contoh, David Carlisle, seorang konsultan bagi Royal United Services Institute (RUSI) yang merupakan badan pemikir bebas tertua dunia dalam bidang pertahanan dan keselamatan antarabangsa menyebut bahawa masih belum jelas samada mata wang kripto akan menjadi sumber dana utama bagi aktiviti pengganas. Bahkan tanpa mata wang kripto sekalipun, mereka telahpun mempunyai banyak sumber kewangan lain yang tidak putus-putus.

Tambah beliau lagi, tanggapan bahawa mata wang kripto adalah satu ancaman besar dari sudut keselamatan memberi gambaran seolah-olah sistem kewangan konvensional sedia ada tidak mempunyai risiko dieksploit ke arah mendanai aktiviti keganasan.

4.  Kemunculan skim-skim pelaburan palsu berasaskan bitcoin dan mata wang kripto

Terdapat banyak skim pelaburan palsu yang menggunakan bitcoin sebagai tarikan kepada pelabur yang telah muncul selaras dengan perkembangan mata wang kripto tersebut sama ada di peringkat nasional mahupun global.

Antara contoh syarikat tersebut ialah Bitkingdom, Ethtrade Malaysia dan Ethtrade Limited, yang berdaftar di Hong Kong, dan syarikat-starikat ini telah tersenarai di dalam Bank Negara Financial Consumer Alert pada 23 Jun 2017.

Pandangan Badan Fatwa dan Sarjana Islam Berkenaan Bitcoin

Secara umumnya, para cendekiawan Islam telah berbeza kepada 3 pandangan dalam menentukan hukum bagi bitcoin ini sepertimana yang berikut:

1.  Pandangan Yang Mengharamkan

Terdapat badan fatwa dan sarjana Islam yang mengharamkan penggunaan bitcoin ini antaranya ialah:

i.  Darul Iftaa’ Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir) [66]

Keterlibatan dalam urusan bitcoin adalah tidak dibolehkan dari sudut syarak kerana risikonya yang terlalu besar terhadap individu dan negara. Menurut Mufti Republik Mesir Syeikh Shauqi ‘Allam, bitcoin diharamkan berdasarkan kepada alasan-alasan yang berikut:

(a) Bitcoin tidak menepati syarat untuk diiktiraf sebagai mata wang.

(b) Ia mempunyai unsur jahalah, gharar dan manipulasi yang amat sukar dikawal.

(c) Ia tidak mempunyai nilai sandaran dan tidak dikawal selia mana-mana pihak berautoriti.

(d) Pengeluaran mata wang adalah hak mutlak pemerintah dan institusi kewangan rasmi sesebuah negara.

(e) Ia juga boleh menjadi saluran untuk kegiatan-kegiatan haram dan melanggar undang-undang seperti mendanai aktiviti pengganas (Daesh), penggubahan wang haram dan mengelak daripada membayar cukai (tax evasion).

(f) Ia adalah pelaburan yang berisiko tinggi dan boleh menyebabkan kerugian menyeluruh terhadap pelabur, serta pelabur juga tidak disediakan sebarang ganti rugi atas kerugian tersebut.

ii.  Syeikh Ali Qaradaghi (Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Sedunia)

Dalam satu temu bual dengan Aljazeera Mubasher Channel yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Aljazeera Mubasher Channel pada 4 Januari 2018, beliau menyatakan bahawa beliau masih belum berbuat sebarang ketetapan akan hukum bitcoin kerana faktor kesamaran yang masih menyelubungi isu ini dan keperluan untuk meneliti lebih lanjut sudut positif dan negatif mata wang digital ini. Beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang mengharuskan atau mengharamkan Bitcoin secara mutlak, dan beliau menggesa agar para ulama dan pakar ekonomi mengadakan satu pertemuan khas bagi mencapai satu kata sepakat berkenaan isu ini.

Sistem pengeluaran dan transaksi bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’ie, kerana ia amat terdedah kepada kegiatan-kegiatan haram dan salah guna oleh pihak tertentu, seperti penggubahan wang haram serta menggugat integriti sistem kewangan negara.

Tambah beliau lagi, kebanyakan mata wang kripto yang ada pada masa sekarang tidak menepati syarat-syarat yang perlu dipatuhi untuk sesuatu itu diiktiraf sebagai mata wang:

  • Medium pertukaran (medium of exchange)
  • Penyimpanan nilai (mahkzunan lil tsarwah atau store of value)
  • Ukuran kestabilan (Miqyas lil Qiyam)
  • Ukuran penerimaan umum (Mi’yar li Tadawul)


Menurutnya lagi, bitcoin boleh menjadi harus jika sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadapnya dan ditetapkan beberapa dhawabit (parameter) dalam pelaksanaannya. Antara cadangan beliau adalah supaya kerajaan mengiktirafnya dan menjadikannya sebagai mata wang alternatif kepada mata wang sedia ada bagi melindungi para pelabur daripada sebarang kerugian, dan agar kerajaan boleh mengawal selia segala aktiviti berkaitan.

Beliau juga menasihatkan agar umat Islam mengelakkan penglibatan dengan bitcoin buat masa sekarang kerana risikonya yang terlalu besar. Bagi umat Islam yang telah terlibat dengan urusan bitcoin, mereka diminta agar segera menjualkannya, dan mereka berhak menyimpan nilai modal sewaktu membeli bitcoin dan menyedekahkan hasil keuntungan pelaburan bitcoin tersebut (capital gain) kepada mana-mana pihak yang memerlukan.

iii.  Wifaq al-‘Ulama (United Kingdom)

Menurut badan ini, bitcoin adalah tidak dibenarkan atas beberapa faktor, iaitu harganya di pasaran yang sangat tidak stabil, serta kaedah penempaan bitcoin (mining) yang mempunyai unsur perjudian.

iv.  Dr. Ahmad Sufyan Che Abdullah

Beliau secara peribadi menyatakan bitcoin dilihat satu alat baru yang tidak dapat dipastikan identitinya secara khusus sama ada ia berbentuk mata wang atau sebaliknya. Namun, dalam masa yang sama tidak dinafikan terdapat beberapa isu syariah terhadap mata wang ini seperti kadar spekulasi yang tinggi, mudah berlaku penyelewangan dan penipuan, tiada sandaran, tiada kawalan daripada pihak berautoriti dan sebagainya. Oleh itu, disebabkan faktor-faktor tersebut, beliau berpandangan bitcoin tidak diharuskan bagi menjaga kepentingan masyarakat awam.

2. Pandangan Yang Mengharuskan

Sebahagian sarjana lain pula mengharuskan penggunaan mata wang ini antaranya:

a. Datuk Dr. Mohd Daud Bakar (Pengerusi Eksekufti Amanie Advisors) dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BNM dan Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah SC)

Dalam satu pembentangan dalam program ‘Cryptocurrency, Blockchain & Distributed Ledger Technology: Synergizing Technology & Shariah’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 29 November 2017, beliau menyimpulkan bahawa Bitcoin adalah patuh syariah, namun depan mata wang kripto tersebut masih lagi tidak jelas. Beliau berpandangan pelaburan dalam Bitcoin adalah harus, dan keuntungan yang diperoleh dikenakan zakat. (yang main bitcoin wajib bayar zakat jika korang kata bitcoin itu harus dengan berpegang kepada pandangan ini)

Beliau telah menolak hujah kalangan yang tidak bersetuju dengan Bitcoin bahawa ia mempunyai elemen gharar (ketidakpastian / ketidakjelasan) kerana nilai yang sangat tidak stabil dan kemungkinan sistem mata wang digital itu sendiri akan runtuh (collapse) pada bila-bila masa.

Beliau berkata risiko (khatar), tidak mempunyai kesan ke atas hukum sesuatu perkara, dan ia harus dibezakan dengan gharar yang memberi kesan ke atas hukum. Risiko adalah perkara yang normal dalam setiap perkara sama ada pelaburan, perniagaan dan apa jua bidang.

Volatility bitcoin pula tidak boleh dijadikan ‘illah kepada pengharaman bitcoin dan ia tidak memainkan peranan dalam menentukan status Sharia-compliancy sesuatu perkara. Beliau memberi contoh emas, yang mana nilainya adalah sangat tidak stabil, namun ia tidak bermakna jual belinya perlu diharamkan. Langkah yang perlu diambil adalah memperkenalkan peraturan dan regulasi untuk mengawal kestabilan nilai dan mengurus transaksinya. Hal yang sama juga harus diperkenalkan untuk bitcoin.

Dalam satu artikelnya yang lain, beliau sekali lagi menegaskan bahawa mata wang kripto adalah patuh syariah dan memenuhi semua syarat mata wang yang digariskan, serta menyatakan naik turunnya nilai mata wang adalah perkara biasa yang ditentukan oleh aspek pasaran dan kepercayaan pengguna. Selain itu, beliau juga menulis bahawa mata wang ini sekurang-kurangnya boleh menjadi mata wang yang sah kepada mereka yang percaya kepada nilaiannya. Berkenaan risiko penggubahan wang haram yang dikaitkan dengan bitcoin pula, beliau menjawab bahawa wang kertas juga terdedah kepada aktiviti pelanggaran undang-undang sebelum beberapa peraturan dan regulasi diperkenalkan bagi menangani masalah tersebut. Beliau percaya minda manusia akan mampu mengawal selia urusan kewangan berasaskan teknologi ini.[71]

b.  Dr. Zaharuddin Abd Rahman (CEO Elzar Shariah Advisory Sdn Bhd)

Dalam rancangan Bismillah Ad-Duha yang disiarkan Astro Oasis pada 23 Disember 2017 lalu, Dr. Zaharuddin telah menyebut beberapa perkara penting berkenaan isu ini. Beliau mengakui telah mencuba sendiri bitcoin ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang mata wang kripto ini.

Menurutnya lagi, elemen gharar tidak ditemui pada peringkat penciptaan dan penghasilan bitcoin itu sendiri, tapi ditemui sewaktu peringkat transaksi di bursa (exchange) di mana kita tidak boleh benar-benar memastikan transaksi itu benar-benar telah berlaku tanpa sebarang penipuan.

Seteleh melakukan penelitian, beliau mengatakan bitcoin boleh digunakan dalam urusan jual beli kerana ia menepati ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, namun ia bukanlah satu legal tender iaitu mata wang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara.

Beliau juga mengharuskan menyimpan Bitcoin sekadar untuk menyimpan nilai dan melawan inflasi, dan untuk dijual semula apabila memerlukan wang tunai pada masa hadapan, dan tidak harus disimpan sebagai satu bentuk pelaburan.

Beliau mengingatkan bagi sesiapa yang telah melibatkan diri dengan Bitcoin untuk membayar zakat simpanan apabila cukup haul, selain larangan daripada memperdagangkan Bitcoin kerana ia adalah satu bentuk mata wang yang dilarang daripada diperdagangkan dalam Islam.

Beliau turut menambah kepentingan kajian yang mendalam bagi sesiapa yang ingin melibatkan diri dengan bitcoin atau mana-mana mata wang kripto agar tidak terjebak dengan skim penipuan yang banyak muncul sejak akhir-akhir ini. Akhirnya beliau juga menjangkakan bitcoin akan menjadi lebih stabil pada masa akan datang.

c.  Mufti Muhammad Abu-Bakar

Berdasarkan kajian yang beliau lakukan bertajuk Shariah Analysis of Bitcoin, Cryptocurrency, and Blockchain, beliau cenderung untuk mengharuskan bitcoin dengan beberapa syarat:

Bitcoin hanya diharuskan di negara-negara yang tidak melarang transaksi bitcoin. Adapun jika undang-undang negara tersebut melarang, maka ia turut dilarang daripada sudut syariah.
Bitcoin haruslah dijual beli / digunakan sebagai satu mata wang menurut tujuan asal ia dicipta, dan bukannya sebagai satu aset pelaburan.
Beliau turut menasihatkan pengguna agar berhati-hati dengan sebarang skim penipuan yang cuba memperdaya pengguna dengan menjanjikan keuntungan berlipat ganda atas nama pelaburan bitcoin, serta risiko kerugian yang bakal dihadapi memandangkan ketidakstabilan nilainya di pasaran.

3.  Tawaqquf (belum memberi pandangan secara rasmi)

Terdapat juga pandangan ulama yang bersifat tawaqquf iaitu masih lagi belum memberikan ketetapan pada permasalahan kerana ingin mendapat gambaran yang lebih luas dan menyeluruh antaranya:

International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)
Dalam satu kertas kerja yang dibentangkan oleh Dr. Marjan Muhammad [75] di Persidangan Meja Bulat Mata Wang Kripto dan Sistem Kewangan Digital di Dewan Besar IKIM (28 Februari 2018), dikemukakan beberapa pandangan badan fatwa dan sarjana berkenaan isu bitcoin ini. Namun ISRA tidak melakukan sebarang pentarjihan ke atas mana-mana pendapat.[76]


Kesimpulan:


hukum bitcoin
sumber : google images


Mufti Wilayah menyimpulkan bahawa ada beberapa sebab Bitcoin ini haram buat masa ini:

1. Nilai yang tidak stabil.

Didapati mata wang ini tidak menepati ciri-ciri mata wang yang ditetapkan dalam Islam apabila ia tidak mampu menyimpan nilai secara konsisten. Meskipun masyarakat umum boleh menerimanya sebagai mata wang namun ketidakstabilan nilai pada mata wang ini boleh mengundang kemudaratan kepada pengguna pada masa akan datang.

2. Tidak diselia oleh badan yang berautoriti

Ketiadaan badan berautoriti yang mengawal selia mata wang ini juga boleh mengundang pelbagai perkara negatif seterusnya mampu mengganggu-gugat sistem mata wang rasmi dalam sesebuah negara.

3. Bitcoin sebagai aset pelaburan bukan mata wang alternatif

Berdasarkan pemerhatian terhadap amalan semasa, bitcoin lebih dilihat sebagai satu aset pelaburan, dan ia tidak menepati tujuan asal penciptaan bitcoin itu sendiri, iaitu sebagai mata wang alternatif kepada sistem mata wang fiat yang sedia ada.

4. Perlu ada sekatan kerana ada kemudharatan

Justeru, tindakan menyekat penggunaan mata wang ini adalah wajar berdasarkan kepada kaedah Sadd al-Zarai’ (menutup jalan yang boleh membawa kepada kemudaratan) agar ia tidak berlegar di kalangan masyarakat umum. Sesuatu yang asalnya harus boleh dicegah apabila ia ternyata boleh membawa kemudaratan yang lebih besar.

Pemerintah dan badan berautoriti juga berhak untuk menghalang sebarang transaksi bitcoin ini demi memelihara maslahah masyarakat umum. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: Tindakan seseorang pemerintah ke atas rakyat adalah berdasarkan kepada maslahah.

Tidak patuh syariah

Maka mata wang bitcoin dalam bentuk yang ada pada masa sekarang adalah tidak syar’iy kerana ia tidak menepati sepenuhnya ciri-ciri mata wang yang digariskan oleh Islam, dan ia mampu memberikan pelbagai ancaman terhadap kemaslahatan umum.

Hukum Boleh Berubah dari Haram kepada Harus Jika...

Namun begitu, hukum ini boleh berubah jika penambahbaikan dilakukan terhadap bitcoin samada dari sudut pengeluaran, pengawalan harga, sistem keselamatan di bursa dan regulasi untuk mengelakkannya daripada diekploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berdasarkan hujahan ini juga, Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah memutuskan bahawa Bitcoin yang terdapat pada masa sekarang tidak menepati ciri-ciri mata wang yang telah ditetapkan oleh Islam, diputuskan bahawa Bitcoin mampu mengundang pelbagai kemudaratan terhadap sistem kewangan sesebuah negara. Oleh kerana itu, penggunaan Bitcoin yang ada pada masakini sebagai satu mata wang adalah dilarang bagi memelihara kemaslahatan umum.

Secara ringkas je ni... Bacaan Penuh dengan penjelasan yang padat dan teliti.. boleh baca di link ini:

http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2773-bayan-linnas-153-hukum-penggunaan-mata-wang-bitcoin

Jangan malas baca.

Bagi yang hentam mufti... mohon istighfar bebanyak ye... sebab punya lama buat kajian dan selidik nak cari bukti dan dalil sebelum keluarkan artikel ni.

Tapi ada yang mengharuskan... Korang nak ikut yang tu... silakan... Tapi macam dalam artikel di atas... hasilnya wajib bayar zakat bila cukup haul dan nisab.

Jadi, jelas dan terjawab lah persoalan sebelum ni...

Jadi, korang nak join ke tidak...

Tepuk dada tanya iman...

Nak jadi kaya memang mudah... tapi fikirkan juga halal haramnya... sebab akan jadi darah daging kita... dan kesannya turut kena pada ibadah kita...

Fikir-fikirkan... 

2 ulasan:

  1. Jelas...terima kasih perkongsian.

    BalasPadam
  2. tak pernah beli bitcoin ni.. ntah... x reti rasa hal aset dlm bentuk mcm ni huhu

    BalasPadam

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^