GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Dari Mata Turun Ke Hati : Ada Kaitan Ke???

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

MAKSIAT yang masuk melalui mata akan menggelapkan hati sekali

BAYANGKAN apa akan terjadi jika nikmat pandangan mata kita ditarik Allah buat seketika. Usah lama! Katakanlah dalam lima minit sahaja. Kita langsung tidak mampu untuk berjalan tanpa melanggar atau tergelincir. Itulah hakikat kelemahan manusia yang sering terlupa nikmat mata dipinjamkan Allah kepada mereka di dunia ini. Apa yang pasti, nikmat mata pasti akan diaudit pada hari kiamat kelak:

“Selain daripada itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya),” (al-Takathur[102:8]).

Pernah seorang teman saya bercerita: “Sepulangnya saya dari Mekah, ibadat terasa sangat lazat. Solat sangat khusyuk. Bila mata meneliti baris al-Quran jiwa berasa tenang. Solat Dhuha dan solat malam terasa ringan dilakukan. Pada suatu hari, segala rasa lazat itu menjadi tumpul. Solat dan ibadah lain terasa tawar. Puas dicari rasa lazat dahulu tetapi tidak ditemukan. Setelah lama berfikir, saya perasan rasa lazat itu hilang selepas menonton adegan romantik melampau dalam sebuah rancangan televisyen.”

Memang mata adalah pintu utama kebahagiaan dan kesengsaraan. Rasulullah SAW ketika menziarahi jenazah Abu Salamah r.a. menyebut bahawa mata mengikut keluarnya roh manusia:

“Ummu Salamah menceritakan Rasulullah SAW masuk menziarahi Abu Salamah yang baru meninggal dunia sedang matanya terbeliak. Rasulullah kemudiannya menutup mata beliau dan bersabda: Apabila roh manusia meninggalkan jasadnya, ia akan diikuti oleh mata,” - Sahih Muslim dan Sunan Ibn Majah.

Maksiat yang masuk melalui mata akan mengaburkan jiwa dan menggelapkan hati. Hati yang kelabu dek titik dosa daripada pandangan mata akan menghilangkan rasa lazat ibadat. Jika mata dijaga rapi daripada melihat yang terlarang, jiwa akan terang dan tenang. Inilah sebabnya Allah menyuruh agar kita menjaga sebahagian pandangan mata:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki beriman supaya mereka menyekat sebahagian daripada pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara (seluruh) kemaluan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan,” (al-Nur[24:30]).

Asal pandangan mata manusia adalah halal melainkan sebahagian yang terlarang. Ayat di atas menuntut agar kita menjaga sebahagian pandangan terlarang itu kerana faedahnya akan kembali kepada kita iaitu membantu proses penyucian hati. Ia disebut dalam ungkapan ayat “yang demikian itu lebih suci bagi mereka.” Kisah teman saya yang tumpul rasa lazat ibadatnya memang berpunca dari mata. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya pandangan mata (kepada sesuatu yang haram) adalah satu panah Iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku (Allah), maka Aku akan “menggantikannya dengan iman yang dirasai kemanisan dalam hatinya,” - Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Sayidina Ali k.w. agar racun pandangan sekilas tidak dipanjangkan kerana ia akan merosakkan hati. Bagai dikata, sakit digigit seekor tebuan mudah hilang, tetapi jika berterusan disengat ratusan tebuan, kelak boleh pendek umur! Sabda Rasulullah SAW:

“Rasulullah SAW bersabda kepada Ali (bin Abi Talib): Janganlah diikuti satu pandangan (yang haram) dengan pandangan lain, kerana pandangan (tanpa sengaja) pada kali pertama adalah milikmu (tanpa tanggungan dosa) dan tidak pula (halal) bagimu pandangan berikutnya,” - Musnad Ahmad, Sunan Abu Dawud dan Tirmizi.

Marilah kita sama-sama menjaga amanah mata pinjaman Allah, kerana ganjaran orang yang menjaga mata sangat banyak seperti kelazatan ibadah, kesucian jiwa dan satu daripadanya adalah kurniaan bidadari syurga yang bermata cantik!

“Mereka memakai pakaian daripada kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya,” (al-Dukhan [44:53]).

Nukilan: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
Sumber: Forum Perdana Ehwal Islam@Facebook

Sumber: google images


Inilah yang dikatakan dari mata turun ke hati... memang ada kaitannya... apa yang kita lihat akan berikan kesan kepada hati... oleh itu, untuk mendidik hati perlulah mendidik anggota lain terutama mata... Sebab tu kalau nak hafaz al-Quran, kena jaga mata ... jangan tengok perkara yang melalaikan dan tonton rancangan yang tidak berfaedah serta aurat bukan mahram... Jadi nak jaga hati, jagalah pandangan mata... terutama pabila selalu hadap laman sosial seperti facebook, instagram dan sebagainya,

1Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ