GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Nak Duit Raya??? Baca Ni Dulu...

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Ramai anak-anak suka datang beraya dari rumah ke rumah nak duit Raya, tetapi apa yang saya buat hari ini memeranjatkan diri saya sendiri.

Kenapa? 

Hari ini hari ke-5 Syawal dan masih ada lagi mood Raya di sana sini. Hari ini saya sempat singgah rumah mak saya sebentar di Tengkera, Melaka sebelum menziarahi rumah abang saya. Kebetulan seusai tiba di rumah mak saya, beberapa orang anak-anak "Geng Raya" rumah ke rumah memberikan salam dengan jeritan "Assalammualaikum, kami datang nak Raya!'. Well, itu ayat yang saya biasa "Dengar" ketika umur saya di dalam lingkungan 10-12 tahun. Saya pun biasa pergi Raya dari rumah ke rumah dan kebanyakkan rumah yang saya pergi bersama kawan-kawan adalah rumah yang tidak saya kenali tuan rumahnya. 

Nak ceritanya hari ini, budak-budak ini "Langkah kiri" sikit sebab saya menyambut mereka. Biasanya mereka dan saya dahulu, misi kami adalah untuk menambah koleksi duit Raya. Yalah, bukan keluarga senang pun. 

So, petang tadi bila mereka ini saya ajak masuk ke rumah, saya tidak mahu biarkan mereka datang Raya tanpa ada manfaat yang banyak dan hanya sekadar nak collect duit Raya? No way!

Saya memanggil mereka seorang demi seorang duduk berdekatan dengan saya dan saya mula bertanya seorang demi seorang beberapa soalan. Umur anak-anak ini paling rendah 11 tahun (tahun 5) dan ada yang 13 serta 14 tahun. 

Saya mula bertanya mereka siapa nama mereka, siapa nama ayah mereka, ibu ayah kerja apa dan saya tidak tanya banyak dapat duit Raya.... Tetapi soalan maut saya mula datang menerpa mereka bertubi-tubi selepas itu. Saya tanya adakah mereka telah solat Zohor dan ada yang belum, saya terus suruh dia ambil wudhuk dan solat.

Saya mula meminta mereka seorang demi seorang membaca Surah Al-Fatihah, membaca surah-surah lazim, membaca Doa Iftitah (Anda tahu kan doa apa itu?). Saya meminta mereka membaca doa Qunut dan membaca Tasyahud awal atau akhir. Pendek kata, saya ingin tahu betapa gigihnya mereka pergi rumah ke rumah beraya dan mengutip duit Raya, adakah mereka mampu solat dengan bacaan-bacaan asas yang penting ini? 

Dan apa yang saya dapati amat memeranjatkan saya. Kebanyakkan mereka tidak mampu membaca Doa Qunut yang dibaca ketika solat suboh. Ada yang membaca tahiyyat awal atau akhir berpusing-pusing macam round about tidak pasti ayat-ayatnya, ada yang Al-Fatihahnya sangat berterabur dan ada 1-2 yang agak bagus bacaannya. Salah seorang daripada mereka berumur 13 tahun tetapi tidak boleh membaca doa Qunut langsung sehingga saya minta anak saya seusia beliau membantu budak ini menghafal doa Qunut sehingga dapat sebelum saya beri duit Raya dan benarkan mereka beredar. Saya percaya tahun hadapan samada mereka akan datang rumah mak saya dengan lebih bersedia atau mereka tidak datang langsung sebab saya akan cakap, nak duit Raya? Baca ayat ini dahulu.....

Saya tidak berkongsi ini nak cerita saya baguslah sangat bacaan saya tetapi sebenarnya apa yang saya buat petang tadi merupakan satu ulang tayang atas apa yang pernah berlaku kepada saya satu masa dahulu ketika saya kecil. Saya dan kawan saya beraya di rumah seorang ustaz ketika saya membesar di Parit Masjid, Pontian, Johor ketika umur saya dalam lingkungan 11 tahun. Saya beraya ke rumah ustaz ini tanpa mengetahui bahawa dia adalah ustaz. Dia mengajak kami masuk, beri kami minum dan makan kuih muih, tetapi beliau tidak berikan saya duit Raya terus seperti banyak rumah lain. Ustaz tersebut meminta kami membaca bacaan-bacaan lazim di dalam solat termasuk doa Qunut yang dibaca ketika solat suboh. Kawan saya "sangkut" di banyak ayat dan Alhamdulillah saya dapat membaca semuanya. Terima kasih kepada mak saya yang telah melatih saya membaca bacaan dalam solat serta surah-surah lazim seawal usia 3 tahun.

Saya tidak bercadang menyalahkan mana-mana menteri atau cikgu dalam hal anak-anak yang datang Raya rumah saya ini yang tidak dapat membaca doa Qunut atau bacaan Tahiyat awal/akhir dengan lancar. Tetapi saya ingin mengajak anda yang bergelar ibu dan bapa untuk berfikir sejenak. Adakah kita benar-benar sayang anak-anak kita dan kita mahu anak-anak kita disediakan menjadi anak yang soleh atau solehah serta seorang Muslim yang baik mudah-mudahan nanti? 

Saya tidak kata saya baik atau anak-anak saya baik. Tidak sekali-kali. Saya share ini tentang apa yang saya buat secara spontan petang tadi amat memberikan saya satu impak untuk berfikir betapa saya sendiri kena sentiasa "test" anak-anak saya tentang solat mereka, bacaan dalam solat mereka, mengaji mereka dan wirid mereka serta mewujudkan suasana yang semua ini adalah rutin penting untuk perbaiki diri mereka. Saya ingat lagi ketika saya aktif dengan jemaah tabligh ketika muda, mereka mempunyai satu sistem tidak kira usia tua atau muda untuk duduk bersama serta saling dengar mendengar bacaan-bacaan yang lain agar dapat sentiasa memperbaiki bacaan kita Insya-Allah.

Saya percaya kita semua sayang anak-anak kita dan kita sanggup bekerja atau berniaga pagi, petang, siang, malam ke suboh untuk mencari rezeki buat mereka, tetapi ingatan ini buat diri saya serta anda yang suka sama-sama ambil peringatan. Ambil sedikit masa setiap minggu untuk spend time dengan anak-anak selain daripada solat berjemaah tetapi duduk dan buka Al-Quran atau pegang buku-buku tentang bacaan dalam solat dan ajak mereka ulangkaji samada bacaan mereka betul tak, adakah mereka tahu rukun solat ada berapa? Adakah mereka tahu niat mandi wajib dan tertibnya bagaimana? Adakah anda perhatikan tertib mereka berwudhuk adakah menghampiri sempurna? Jika kita tidak berapa kuat lagi dengan ilmu-ilmu asas Fardhu Ain ini, mungkin sudah masanya sebelum terlambat untuk kita masuk kelas-kelas revision Fardhu Ain samada di masjid-masjid atau cari ustaz untuk mengajar di rumah seminggu sekali ke.... 

Demi masa, kita semua dalam kerugian melainkan mereka yang beramal soleh dan mereka yang ingat mengingati kepada kebenaran. (Maksud dari surah Al-Asr).

Jika kita tidak "PEGANG" anak kita kepada agama dari kecil ditakuti tidak mudah untuk memegang mereka selepas mereka "dipegang" oleh anasir-anasir tidak baik di luar sana yang mampu mempengaruhi anak-anak kita menjadi seperti bukan anak kita. Naudzubillahi Minzalik.

Semoga Allah swt sentiasa menetapkan diri kita dan keluarga kita di dalam petunjukNya serta jadikan kita sentiasa suka memperbaiki diri kita. 

Salam Sayang.

Dr Hj Azizan Osman 
Jurulatih Kejayaan & Pakar Pemasaran No.1 Asia

*************************************************************

Artikel di atas ialah hasil nukilan Dr. Hj Azizan Osman yang MF dapat dari Newsletter E-mail beliau. MF kongsikan di blog ini, sebagai renungan dan munasabah diri kita sebagai ibu bapa. Bab agama, ibu bapa lah orang yang berhak mencoraknya, bukannya harapkan ustaz ustazah di sekolah. Didiklah anak erti raya yang sebenar... bukannya jadikan anak mata duitan dengan mengharapkan ganjaran duit bila berbuat sesuatu. 

Pengalaman Dr. Hj Azizan Osman itu sama lah dengan pengalaman MF sebagai pendidik di sekolah.  Usia dah masuk 14 tahun, tapi masih ada yang tak tahu mengucap, tak tahu surah lazim, bahkan bacaan rukun dalam solat pun masih ada yang tak ingat dan tak tahu baca.

MF tak mampu nak ajar sekumpulan kecil golongan pelajar ini, tapi usaha juga bagi dam dan ajar semampu mungkin.  Selebihnya,  peranan ibu bapa lah untuk mendidik ilmu agama di rumah.  Situasi ini buatkan MF sendiri terfikir,  dan pedoman buat MF yang juga ada anak untuk dididik.

Renungan dan muhasabah diri bersama. ..

3Ulasan

  1. bagus jugak sbnrnya..ank2 skrg dh terlalu leka dgn gadjet..mak ayah dh kurang amik berat psal pendidikan agama..msing2 sibuk dengan kerja masing2..nice share kak

    BalasPadam
  2. MF pendidik rupanya..

    vitamin untuk ibu menyusu. Whatsapp 017-4991289

    BalasPadam
  3. Allahurobbi ... memang malu kalau nak ikutkan tapi bagus juga caranya tu.

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ