بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban | Puasa selepas 15 Syaaban... Ada hukumnya. Mungkin ada yang tahu dan mungkin ada yang tidak.
Masih ramai orang Islam yang keliru dengan hukum berpuasa selepas Nisfu Syaaban. Ada yang menyangka, logiknya makin hampir dengan Ramadan makin elok kita puasa untuk membiasakan dengan puasa fardu itu.
Memang ulama berselisih pendapat dalam hal ini. Ada yang membenarkan puasa selepas 15 Syaaban dan ada juga yang melarangnya. Menurut qaul yang muktamad dalam Mazhab Syafie hukum berpuasa selepas Nisfu Syaaban adalah haram dan tidak sah. Tapi, ada beberapa pengecualian yang akan dijelaskan di bawah. Baca sampai habis ya...
Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban
Dalil-dalil yang melarang puasa selepas 15 Syaaban antaranya:* Dari Abu Hurairah ra, katanya: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila telah tertinggal separuh dari bulan Syaaban, maka janganlah kamu berpuasa.” (Riwayat Tirmidzi dan Abu Daud).
* Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika telah separuh bulan Syaaban, maka tidak ada puasa sehingga tibanya Ramadan”. (Riwayat Ibnu Majah)
Walaupun dihukumkan haram, pengharaman berpuasa pada nisfu kedua Syaaban ini tidaklah mutlak. Ia bukan seperti pengharaman berpuasa pada lima hari yang diharamkan secara mutlak berpuasa iaitu pada 1 Syawal dan 10 Zulhijah (hari raya puasa dan haji) dan juga tiga hari tasyrik.
Hukum Puasa Selepas Nisfu Syaaban
Sebaliknya, pengharaman berpuasa selepas Nisfu Syaaban dan hari Syak tidaklah mutlak kerana ianya mempunyai pengecualian. Maka hukum haram dan tidak sah puasa selepas nisfu kedua Syaaban mempunyai pengecualian seperti berikut:-1. Puasa sunat itu disambungkan atau dihubungkan dengan hari-hari yang berada dalam nisfu pertama (separuh pertama) Syaaban walaupun dengan hanya satu hari (yakni dihubungkan dengan berpuasa pada hari 15 Syaaban) dengan syarat ia berterusan sehingga Ramadan.
Jika terputus walaupun dengan uzur maka tidaklah boleh disambung lagi puasa tersebut. Contohnya, jika seseorang berpuasa sunat pada 15 Syaaban, maka bolehlah dia berpuasa pada 16 Syaaban dan hari-hari berikutnya. Tetapi jika setelah berpuasa pada 15, 16, 17 Syaaban, dia tidak berpuasa pada 18 Syaaban, dengan atau tanpa uzur, maka tidaklah boleh lagi dia berpuasa sunat pada 19 Syaaban dan hari-hari yang berikutnya sehinggalah masuk Ramadan.
2. Puasa sunat yang dilakukan menjadi amalan biasa seseorang (orang yang ahli puasa). Contohnya, seseorang yang mengamalkan puasa setiap Isnin dan Khamis, maka tidaklah jadi halangan untuknya meneruskan puasanya itu.
3. Puasa qada sama ada qada puasa fardu atau qada puasa sunat yang berwaktu.
4. Puasa kaffarah atau puasa nazar dengan syarat ia tidak dilakukan dengan sengaja dan dengan tahu yang hari yang dinazarkan itu adalah hari-hari nisfu kedua Syaaban.
Contohnya, seseorang bernazar mahu berpuasa pada hari Khamis minggu hadapan tanpa menyedari bahawa Khamis itu sudah masuk dalam separuh kedua Syaaban, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut. Namun, jika dia tahu yang Khamis tersebut adalah dalam nisfu kedua Syaaban, tidaklah boleh dia berpuasa dan tidak sah nazarnya itu.
Kesimpulan
5 Kategori Puasa Yang Dibenarkan Selepas Nisfu Sya'baan
.- Puasa Qadha'
- Puasa Nazar
- Puasa Kaffarah
- Puasa Sunat Yang Ada Kebiasaan
- Puasa Yang Berterusan Sebelum Nisfu Sya'baan
Kalau selain daripada 5 kategori ini macam mana?
Dalam Mazhab Syafie, pandangan yang paling kuat mengatakan HARAM berpuasa selepas Nisfu Sya'baan selain daripada 5 kategori di atas.
Pandangan kedua pula mengatakan MAKRUH jika berpuasa selepas Nisfu Sya'baan.
Kredit FB : Nur El-Hikmah
Sumber: http://www.utusan.com.my/rencana/hukum-puasa-8232-selepas-nisfu-syaaban-1.332282
sha ada baca jugak pasal ni haritu. dan masih confuse
BalasPadam