GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

HATI-HATI TAKUT JADI TAKHBIB TANPA SEDAR

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


HATI-HATI TAKUT JADI TAKHBIB TANPA SEDAR | Di zaman moden ni, masih ada yang jadi takhbib... Tak boleh tengok orang senang, ada saja yang nak diganggunya... Takhbib ni kadang terjadi tanpa kita sedar. Bila kita masuk hal rumahtangga orang lain, secara tak langsung kita jadi takhbib.

MAKSUD TAKHBIB (PEMECAH RUMAH TANGGA)


SOALAN:

Apakah itu takhbib? Suami saya terlibat dalam pertelingkahan rumahtangga kawannya (perempuan), dan dia sering menasihati kawannya, akhirnya rumah tangga itu makin parah dan menuju perceraian, dalam masa yang sama hubungan mereka menjadi lebih dari seorang kawan biasa, seterusnya pasangan kawan suami saya itu bercerai, dan suami saya merasa simpati dan ingin memperisterikannya. Adakah suami saya berdosa dan bagaimana pernikahan mereka, adakah sah?


sumber: google images

JAWAPAN:


Perkataan takhbib daripada segi bahasa dan istilah bermaksud seorang lelaki merosakkan hamba atau isteri kepada orang lain, manakala maksud al-khabb pula ialah kerosakan, kekejian dan penipuan. Rujuk Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (11/18). Islam melarang tindakan seseorang merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya. Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ خَبَّبَ زَوْجَةَ امْرِئٍ أَوْ مَمْلُوكَهُ فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: Barangsiapa yang melakukan takhbib terhadap isteri seseorang atau terhadap hamba yang orang itu miliki maka dia bukan daripada kalangan kami.

Hadis riwayat Abu Daud (5170). Berkata Syeikh Syuaib al-Arnaut: “Isnadnya sahih”.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

المُؤْمِنُ غِرٌّ كَرِيمٌ، وَالفَاجِرُ خِبٌّ لَئِيمٌ

Maksudnya: Orang beriman itu mudah terpedaya dengan sikap murah hatinya, dan orang yang jahat itu licik menipu kerana bakhilnya.

Hadis riwayat al-Tirmidzi (1964). Kata beliau: “Hanis ini gharib.”

Diriwayatkan daripada Abu Bakar al-Siddiq RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خِبٌّ وَلاَ مَنَّانٌ وَلاَ بَخِيلٌ

Maksudnya: Tidak masuk syurga orang yang melakukan takhbib (tipu daya), mannan (pengungkit sedekah atau pemberian), dan bakhil (orang yang kedekut).

Hadis riwayat al-Tirmidzi (1963). Beliau berkata: “Hadis ini hasan gharib.”

Imam Abu al-Ala al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi (6/83-84) dalam mensyarahkan hadis ini menyatakan ‘tidak masuk syurga’ bererti dilambatkan masuk syurga. Khibbun atau khabbun bererti penipu yang merosakkan hubungan sesame manusia dengan penipuannya.

Para ulama berpendapat perbuatan takhbib ini adalah haram. Mereka berpandangan seseorang yang merosakkan hubungan antara pasangan suami isteri, dengan memperdaya atau menyebabkan isteri itu menuntut perceraian maka lelaki tersebut telah melakukan dosa yang besar. Ini termasuk juga perbuatan menunjukkan perceraian itu sebagai baik supaya dia boleh berkahwin dengan wanita itu atau membolehkan orang lain berkahwin dengannya. Rujuk Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (5/291) & (11/19).

Sebahagian fuqaha menyatakan dengan jelas bahawa hendaklah lelaki itu dihukum dengan hukuman yang menyempit dan mengancamnya (mungkin seperti penjara, dipulaukan atau boikot, dibuang negeri dan sebagainya), bahkan sebahagian ulama Malikiyyah berkata dengan hukuman mengharamkan nikah secara ta’bid (selamanya) antara wanita yang diperdaya dan lelaki yang memperdayanya. Rujuk Fath al-Ali (1/397).

Melihat kepada kes yang ditanyakan di atas, timbul sangkaan yang kuat pada pemikiran kami kami bahawa ‘nasihat’ yang diutarakan oleh suami penanya itu bersifat menyokong kepada usaha perceraian. Apatahlagi, penanya menyebutkan ‘dalam masa yang sama hubungan mereka menjadi lebih dari seorang kawan biasa’ sebelum berlaku perceraian lagi. Ini menunjukkan telah berlaku hubungan yang tidak sepatutnya berlaku antara lelaki dan wanita yang masih menjadi isteri kepada lelaki lain. Apabila berlaku perceraian, suami penanya ingin memperisterikan wanita terbabit.

Kami berpendapat telah berlaku takhbib daripada pihak suami penanya dan dia perlu bertaubat daripada perbuatan tersebut. Dalam mazhab al-Syafie, wanita yang bercerai daripada suaminya tidaklah diharamkan daripada berkahwin dengan lelaki yang melakukan takhbib. Oleh itu, jika mereka berkahwin, perkahwinan mereka sah tetapi mereka masih menanggung dosa takhbib. Wajiblah ke atas keduanya bertaubat dan menyesal atas perbuatan mereka. Sebaiknya jika masih dalam iddah, usahakan memulihkan semula hubungan antara pasangan yang baru bercerai. Isu khianat sebegini sebenarnya tidak boleh dipandang remeh kerana mungkin sahaja suatu hari nanti perkara yang sama berlaku kepada suami penanya.

Justeru, kami mencadangkan apabila berlaku kemelut dan krisis rumah tangga hendaklah berbincang dengan baik dan juga bertanya kepada orang yang soleh daripada kalangan keluarga yang begitu arif dengan pengalaman kekeluargaan. Begitu juga, sebagai alternatif terakhir pergilah ke kaunselor yang bertauliah di pejabat jabatan agama Islam negeri masing-masing untuk merungkai kekhilafan yang berlaku dan mencari titik perdamaian untuk keharmonian rumah tangga. Kami akhir dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” [Surah al-Furqan, (25:74)]

Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Janganlah kita jadi PEROSAK RUMAHTANGGA ORANG LAIN tanpa sedar. Usahlah bercerita buruk hal rumahtangga orang lain. Bab gosip dan cerita buruk ni ramai dalam kalangan isteri dan wanita... Lelaki jarang nak bercerita hal rumahtangga... Tapi tetap ada...

Jagalah rumahtangga sendiri, para suami juga nasihatilah isteri sentiasa... Kadang tanpa sedar, isteri menjadi perosak rumahtangga orang lain.

Pasangan yang bermasalah, rujuklah kepada kaunseling keluarga yang bertauliah, bukannya mengadu di Facebook dan sebagainya... Kerana ini akan memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan ada yang akan ambil kesempatan. 

1Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ