GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

8 Tanda Menentukan Hukum Bagi Khunsa Itu Lelaki atau Wanita

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


8 Tanda Menentukan Hukum Bagi Khunsa Itu Lelaki atau Wanita | Khunsa walaupun golongan ini adalah golongan minoriti tapi mereka tak terlepas dari hukum Islam.

Ada yang memandang remeh, bahkan ada golongan khunsa anggap mereka ada kelebihan untuk jadi wanita atau lelaki... Tapi sebenarnya tidak.

Jom ikuti penjelasan hukum berkaitan khunsa. Semoga dengan penjelasan ini, golongan khunsa ini tidak memandang remah bab hukum hakam dan orang sekeliling tidak lagi keliru dengan identiti tersebut.


8 Tanda Menentukan Hukum Bagi Khunsa Itu Lelaki atau Wanita
8 Tanda Menentukan Hukum Bagi Khunsa Itu Lelaki atau Wanita

8 Tanda Menentukan Hukum Bagi Khunsa Itu Lelaki atau Wanita

Apa itu Khunsa

Khunsa dari sudut istilah para fuqaha ialah: Seseorang yang mempunyai dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan. Ataupun seseorang yang

tidak memiliki kedua-duanya dan dia mempunyai lubang yang keluar daripadanya air kencing. Rujuk Hasyiah Ibn Abidin (5/464), Nihayah al-Muhtaj (6/31).

Manakala khunsa menurut Kamus Dewan adalah: Orang yang mempunyai dua alat kelamin. Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat.

Jenis Khunsa

Merujuk kepada kitab-kitab para fuqaha, kita dapati bahawa mereka membahagikan khunsa kepada dua jenis :

Khunsa musykil: Seseorang yang tidak jelas tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan pada dirinya. Tidak dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki atau perempuan. Khunsa musykil juga memiliki dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan dan tidak dapat dipastikan keadaannya dari kedua jenis tersebut iaitu sama ada dia lelaki ataupun perempuan.

Khunsa ghayru musykil: Seseorang yang jelas padanya tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan. Dia dapat diketahui sama ada dia merupakan seorang lelaki ataupun perempuan. Individu seperti ini tidak dikategorikan sebagai khunsa musykil. Ini kerana dia merupakan seorang lelaki atau perempuan, tetapi dalam masa yang sama mempunyai anggota lebihan. Hukum untuknya dalam mirath (pembahagian harta pusaka) dan selainnya dari hukum-hakam adalah hukum terhadap apa-apa yang jelas dari tanda jantinanya. Sekiranya jelas tanda-tanda kelelakian, maka ke atasnya hukum-hakam seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

Dalam bidang perubatan, khunsa dikenali sebagai Disorder of Sex Development (DSD). Penemuannya lebih kompleks daripada perbahasan para ulama terdahulu.

Kaedah Menentukan Identiti Khunsa


Oleh yang demikian, terdapat beberapa faktor lain selain daripada kelainan fizikal alat kelamin seperti kromosom dan gonad (testis dan ovari) yang turut boleh digunakan untuk mengklasifikasikan seseorang itu sebagai khunsa.

Para fuqaha turut mengambil kira beberapa faktor selain perbezaan fizikal alat kelamin dalam menentukan identiti khunsa. Antaranya ialah faktor pertumbuhan bulu yang lebat pada tubuh badan, misai, janggut, suara yang lebih keras, dan seumpamanya, maka para fuqaha lebih kuat menyatakan dia adalah seorang lelaki. Jika sebaliknya, maka dia diklasifikasikan sebagai seorang perempuan.

Demikian juga para fuqaha menyatakan beberapa cara lain untuk mengenalpasti jantina khunsa. Di antaranya ialah kecenderungan perasaan kepada jantina berlainan.

Sekiranya seorang khunsa itu kecenderungan perasaannya kepada seorang lelaki maka dia adalah perempuan dan jika kecenderungannya kepada perempuan maka dia adalah lelaki.

Perlu juga dijelaskan bahawa khunsa yang dimaksudkan di sini adalah khunsa musykil. Kata Al-Imam Al-Suyuthi Rahimahullah : Ketika digunakan perkataan khunsa di dalam feqah maka yang dimaksudkan dengannya adalah khunsa musykil. Rujuk Al-Asybaah wal Nazhair, Al-Suyuthi (1/202).

Imam Al-Nawawi Rahimahullah berkata: Khunsa itu ada dua jenis: Ada yang mempunyai faraj orang perempuan dan juga zakar orang lelaki. Manakala terdapat juga khunsa yang tidak memiliki satupun daripada keduanya (sama ada faraj atau zakar). Akan tetapi dia memiliki lubang yang keluar daripadanya sesuatu. Bagi golongan yang pertama (yang memiliki zakar dan juga faraj), terdapat beberapa tanda-tandanya:

Pertama: Air kencing.

Sekiranya dia kencing melalui saluran zakar lelaki sahaja, maka dia adalah lelaki. Manakala jika dia kencing melalu faraj, maka dia adalah perempuan. Namun jika dia kencing melalui kedua-duanya, maka diambil kira saluran manakah yang dahulu ia keluar. 

Kedua dan Ketiga: Keluar mani dan darah haid.

Sekiranya keluar air mani dan darah haid pada waktunya, maka jika air mani tersebut keluar melalui zakar maka dia adalah lelaki. Sekiranya air mani keluar melalui faraj ataupun keluar darah haid, maka dia adalah perempuan. Dengan syarat ia keluar secara berulangkali bagi menguatkan lagi sangkaan akan perkara tersebut.

Keempat: Kelahiran anak.

Wiladah ataupun proses melahirkan anak membawa bukti yang pasti akan sifat keperempuanannya. Bahkan ia mendahului kesemua tanda-tanda lain yang bercanggah dengannya.

Kelima: Tidak datang haid pada waktunya.

Ini merupakan tanda kelelakian bagi khunsa tersebut. Ia juga boleh menjadi tanda penentuan ketika seorang khunsa tersebut sama dari sudut keluar air kencing. Maka keluar haid pada waktunya atau tidak menjadi pemberat ke arah jantinanya.

Keenam: Kecenderungan

Sekiranya seorang khunsa itu cenderung perasaannya kepada orang perempuan maka dia adalah lelaki. Begitu juga jika dia cenderung kepada lelaki maka dia adalah perempuan. Namun, tanda ini digunakan apabila sudah tidak mampu mencari tanda-tanda yang lain.

Ketujuh: Munculnya keberanian, bersabar dalam melawan musuh, serta sifat-sifat kekuatan. Maka ini menunjukkan akan kelelakiannya.


Kelapan: Tumbuhnya janggut, atau timbulnya buah dada, serta keluarnya susu badan.


Manakala bagi golongan yang kedua (tidak memiliki zakar ataupun faraj), maka tanda-tandanya tidak dapat ditentukan melainkan dengan melihat kepada kecenderungannya.

Bolehkah Khunsa Menjadi Imam ?

Isu ini turut dijadikan perbincangan apabila para fuqaha membahaskan berkenaan susunan saf ketika solat berjamaah. Imam Al-Nawawi menyatakan: Tidak sah apabila seorang perempuan dan khunsa menjadi imam kepada orang lelaki. Tidak sah pada solat fardhu dan tidak juga pada solat sunat. Adapun sekiranya yang mengikut solat tersebut merupakan orang perempuan (menjadi makmum), maka tidak disyaratkan kelelakian untuk menjadi imam mereka (orang perempuan) di sisi mazhab Al-

Syafieyyah dan juga Al-Hanabilah. Maka sah bagi orang perempuan untuk menjadi imam kepada orang perempuan yang lain di sisi mereka (Al-Syafi’eyyah dan Al-Hanabilah). Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Sayyidah A’isyah, Ummu Salamah, dan juga Atha’ bin Abi Rabah bahawa: Sesungguhnya orang perempuan boleh menjadi imam kepada orang perempuan yang lain. Lihat Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/96).

Justeru, jelas ditunjukkan dalam kenyataan dari Imam Al-Nawawi bahawa golongan khunsa tidak boleh menjadi imam kepada orang lelaki. Pendapat Imam Al-Nawawi ini

menepati pandangan daripada Imam Al-Syafie Rahimahullah yang berkata:  Dan begitulah, kalau sesiapa yang solat bersama orang perempuan (menjadi makmum kepadanya) seperti khunsa musykil, nescaya tidak sah solatnya bersama perempuan tadi. Kalau seorang khunsa musykil solat bersama orang perempuan (menjadi makmum) dan tidak selesai solatnya sehingga nyata bahawa ia perempuan, aku lebih suka baginya untuk dia mengulangi solat. Dan aku menganggap bahawa tidak memadai solatnya itu kerana dia tidak tergolong di kalangan orang yang boleh berimamkan perempuan tersebut ketika dia mengerjakan solat. Rujuk Al-Umm, Al-Syafie (1/191).

Kata Al-Imam Al-Shirazi Rahimahullah: Tidak dibolehkan untuk seorang lelaki itu solat di belakang khunsa musykil kerana terdapatnya kebarangkalian yang dia itu seorang perempuan. Bahkan begitu juga tidak boleh untuk seorang khunsa di belakang khunsa yang lain, kerana boleh jadi makmum itu adalah lelaki dan imamnya itu adalah perempuan. Rujuk Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab (4/152).

Maka kesimpulan yang boleh dibuat berkenaan isu ini adalah:


  • Khunsa musykil boleh menjadi imam kepada orang perempuan.
  • Khunsa musykil tidak boleh menjadi imam kepada orang lelaki dan golongan khunsa yang lain.
  • Kedudukan Khunsa Dalam Saf Solat
    • Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan. Rujuk Al-Majmu' Syarah Al-Muhazzab, Al Nawawi (3/132).


Di dalam kenyataannya yang lain Imam Al-Nawawi mengatakan: Para ashab kami mengatakan: Kesemuanya ini (susunan solat) hukumnya adalah mustahab (sunat) dan menyelisihinya adalah makruh namun tidak membatalkan solat.

Imam Al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya Al-Hawi Al-Kabir (2/340) menukilkan kenyataan Imam Al-Syafie yang berkata: Apabila seorang lelaki menjadi imam, maka makmum (lelaki) berdiri di bahagian kanannya. Sekiranya makmum tersebut merupakan khunsa musykil atau perempuan maka setiap seorang dari mereka berdiri di belakangnya (imam) secara bersendirian.

Maka adalah makruh untuk seorang khunsa musykil solat bersebelahan dengan orang lelaki di dalam saf, dan begitulah juga makruh untuk dia solat bersebelahan dengan orang perempuan. Ini kerana, terdapat kemungkinan dia adalah seorang lelaki apabila solat bersebelahan orang perempuan dan begitulah juga sebaliknya.

Bagaimanakah Aurat Khunsa ?

Berkenaan dengan aurat golongan khunsa musykil, para fuqaha seperti golongan Al-Hanafiyah dan Al-Syafi’eyyah berpendapat bahawa aurat mereka adalah sama seperti aurat orang perempuan. Bahkan rambut seorang khunsa yang gugur dari kepala juga turut dianggap sebagai aurat. Kecuali muka dan kedua tapak tangan. Dan seorang khunsa tidak boleh untuk mendedahkan anggota badannya ketika proses istinja dan juga ketika mandi. Ini kerana, sekiranya dia mendedahkan anggota badannya di sekitar orang lelaki, ada kemungkinan bahawa dirinya itu seorang perempuan. Jika dia mendedahkan anggotanya di sisi orang perempuan, terdapat kemungkinan yang dirinya itu seorang lelaki. Rujuk Raudhah Al-Thalibin, Al-Nawawi (1/283), Hasyiah Ibn Abidin (1/105), Al-Asybaah wal Nazhair, Ibn Nujaim (384).

Berkata Imam Al-Buhuti Rahimahullah: Langkah ihtiyath (berhati-hati) bagi seorang khunsa musykil adalah supaya dia menutup auratnya seperti orang perempuan. Rujuk Syarah Muntaha Al-Iradaat, Al-Buhuti (1/150).

Khunsa Dan Transgender


Menurut sumber Wikipedia, transgender didefinisikan sebagai: Transgender people are people who have a gender identity or gender expression that differs from their assigned sex. Transgender people are sometimes called transsexual if they desire medical assistance to transition from one sex to another.[1]

Melalui definisi di atas, perbuatan mengubah jantina asal kepada jantina yang berlawanan dinamakan sebagai transsexual. Menurut Kamus Dewan transeksual adalah: (transéksual) seseorang (lelaki atau perempuan) yang berperasaan dan berpenampilan sebagai anggota jantina yang satu lagi, dan kadang-kadang menukar organ jantinanya melalui pembedahan. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat.

Berdasarkan definisi dan ciri-ciri khunsa musykil yang telah kami nyatakan di atas, jelas kelihatan perbezaan di antara khunsa dan juga transeksual. Khunsa adalah asal al-khilqah (penciptaan asal Tuhan sejak dia dilahirkan) manakala transeksual pula adalah taghyir al-khilqah (mengubah ciptaan Tuhan). Perbuatan mengubah ciptaan Tuhan ini jelas dilarang di dalam Islam. Larangan ini dapat dilihat berdasarkan beberapa nas daripada al-Quran dan juga hadis. Firman Allah S.W.T:

 وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ آذَانَ الْأَنْعَامِ وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا 

Maksudnya: Dan aku (syaitan) benar-benar akan menyesatkan mereka, dan akan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka dan menyuruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak), lalu mereka benar-benar memotongnya, dan akan aku suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu benar-benar mereka mengubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan menjadi pelindung selain Allah, maka sesungguhnya ia menderita kerugian yang nyata. Surah Al-Nisaa (119)

Imam Al-Thabari Rahimahullah apabila menafsirkan ayat ini beliau berkata: Para ulama berbeza tentang tafsiran ayat فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ . Sebahagian mereka mengatakan:
“Nescaya mereka akan mengubah ciptaan Allah daripada haiwan-haiwan dengan cara mengkasikannya”. Manakala sebahagian ulama lain mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan mengubah ciptaan Allah adalah membuat tatu. Beliau kemudiannya menyertakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud

R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: Allah melaknat pembuat tatu, orang yang meminta supaya dibuatkan tatu kepadanya, orang yang mencukur kening, serta menjarangkan gigi dengan tujuan untuk kecantikan, dan golongan yang mengubah ciptaan Allah. (Riwayat Al-Bukhari (5943))

Demikian juga Al-Thabari menukilkan persoalan yang ditanyakan kepada Al-Hasan Rahimahullah: Apa pandangan kamu terhadap seorang perempuan yang mengukir wajahnya ? Lalu Al-Hasan menjawab: “Apa kena dengan dia ? Laknat Allah ke atasnya, kerana dia telah mengubah ciptaan Allah”.

Kesimpulan

Akhir kalam, perlulah dijelaskan bahawa perbuatan mengubah ciptaan Tuhan dengan cara menukar jantina adalah haram lagi berdosa besar. Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan khunsa musykil kerana golongan transeksual ini pada asal kejadiannya adalah seorang lelaki atau perempuan, tetapi mengubah jantinanya kepada yang berlawanan. Manakala khunsa musykil pula memang pada asal kejadiannya mempunyai dua kemaluan. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.


Nukilan : S.S DATUK DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI (MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN)

Jadi, golongan khunsa tak boleh sesuka hati ubah diri... Jika dia cenderung kepada perempuan, wajib baginya ikut aurat sebagai seorang perempuan. Jika dia lelaki wajib ikut seperti lelaki... 

4Ulasan

  1. baru jelas mengenai khunsa ni, tq for sharing :)

    BalasPadam
  2. dugaan yang berat untuk golongan Khunsa ini..

    mereka tidak diminta lahir demikian..

    namun sudah suratan takdir begitu

    BalasPadam
  3. kt tmpt akak ni ada lelaki yg tukar jantina n mengaku khunsa, sedangkan dia sebenar2nya lelaki... mcmne lak tu yek

    BalasPadam
  4. Terima kasih Maria atas penjelasan detail ni.

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ