بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
5 Manfaat Puasa dari Sudut Kesihatan | Puasa, satu rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh muslim yang mukallaf. Puasa adalah perintah Allah yang Qat’I yakni tiada keraguan padanya tentang hukum perlaksanaannya.
Hukum dan perintah Allah, ada hikmah dan kebaikannya kepada kita semua... Tiada yang sia-sia.. Jika kita lihat dengan kemajuan sains dan teknologi... Masyarakat Barat mengkaji setiap hukum dan perintah dalam al-Quran... Kenapa orang Islam kena solat, kena puasa dan sebagainya...
Seperti ibadah solat, ibadah puasa juga telah dikaji oleh ahli sains kesihatan dan perubatan barat untuk mengetahui kelebihan puasa kepada kesihatan tubuh badan manusia... Apa yang mereka temui dalam kajian mereka amat menakjubkan... dan sebenarnya memang puasa amat baik untuk kesihatan tubuh badan...
Antara manfaat puasa:
1. Detoksifikasi
Puasa mampu jadikan badan kita detok secara semulajadi.. Jom baca bagaimana detok berlaku ketika berpuasa.
Proses detoksifikasi adalah proses normal dalam badan untuk membuang, menyingkirkan atau meneutralkan bahan-bahan toksik melalui usus besar, hati, buah pinggang, paru-paru, saluran limpa dan juga kulit. Proses ini dipercepatkan semasa puasa kerana tiada makanan yang masuk dalam badan dan badan beralih kepada sumber tenaga daripada simpanan lemak badan.
Lemak dalam badan manusia dapat menyumbangkan sebanyak 9,000 kalori setiap kilogram. Untuk badan berfungsi secara normal, kita memerlukan sebanyak 2,000 kalori sehingga 2,800 kalori bergantung pada tahap aktiviti. Bermakna setiap kilogram lemak berupaya menyumbang tenaga cukup untuk 3 – 4 hari. Perlu difahamkan, simpanan tenaga dalam bentuk lemak ini berlaku bila terdapat lebihan dalam makanan yang kita ambil setiap hari.
Bayangkan kalau dalam setahun, selama 11 bulan, berapa kilogram lemak yang telah disimpan oleh tubuh kita?
Bila lemak badan digunakan sebagai sumber tenaga, proses autolisis menyebabkan berlakunya pelepasan bahan kimia toksik yang turut tersimpan ke dalam saluran darah dan seterusnya disingkirkan melalui kaedah yang disebut di atas.
Ada bahan kimia toksik yang turut tersimpan bersama lemak, yang didapati melalui udara yang disedut, juga akan tersingkir dalam proses autolisis ini. Contohnya DDT, yang dinyahkan melalui air kencing, peluh dan najis.
Mengikut Dr. Lonny J. Brown (Ph.D) dalam Adventures in Therapeutic Fasting,
“Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel. Puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit-pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi sering kali berpuasa. Berpandukan kajian serta testimoni pesakit-pesakit, puasa didapati mampu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti asma, radang sendi, susah tidur, gangguan pada sistem penghadaman serta penyakit kulit.”
Jadi, tak hairanlah, berat badan kita menurun dengan mudah sewaktu bulan puasa ni tanpa air detok dan ubat tertentu untuk detok kan.
2. Proses Penyembuhan
Semasa berpuasa, penggunaan tenaga dalam badan dialihkan dari saluran pemakanan, usus untuk mencerna makanan (disebabkan kurang penggunaannya) kepada sistem yang lebih penting seperti sistem imun dan metabolisme.
Bila kita sedang sakit, perkara yang biasa berlaku ialah kita tidak ada selera makan. Ini adalah satu refleks fisiologi, kerana badan tidak mahu membuang banyak tenaga di usus, bahkan mahu tumpukan pada proses penyembuhan melalui metabolisme dan meningkatkan kemampuan sistem imuniti badan kita.
Dalam berpuasa, perkara ini berlaku secara terancang. Proses sintesis protein dapat berlaku dengan lebih efisien jadi kurangnya berlaku kesilapan dalam sintesis DNA dan genetik. Puasa membolehkan sistem pemakanan berehat dan membolehkan tenaga digunakan untuk memperbaiki sistem tubuh lain terutama sistem imun.
Tambahan pula semasa puasa, berlaku penurunan suhu teras badan kita disebabkan metabolisme badan yang rendah dan tahap aktiviti yang menurun. Hormon tumbesaran juga dibebaskan semasa puasa dan ini membantu proses penyembuhan lebih efektif.
Mengikut Dr. Cindy Engles (Ph.D) pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them,
“Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”
3. Proses Rejuvenasi/Awet Muda
Proses metabolisme yang rendah, penghasilan protein yang lebih efektif, sistem imun yang lebih berkesan dan pertambahan penghasilan hormon dalam badan semasa berpuasa menyebabkan proses rejuvenasi ini seterusnya menyebabkan jangka hayat yang lebih baik. Selain dari produksi hormon tumbesaran yang lebih banyak, hormon antipenuaan (hormon remaja) juga bertambah penghasilannya semasa puasa.
Jadi, nak awet muda kena puasa… Jadi, muda-muda kena puasa supaya bertambah muda… Kalau dah tua baru nak puasa… sia-sia la kan…
4. Mengurangkan Paras Kolestrol Dan Risiko Sakit Jantung
Kajian yang dilakukan di Universiti Utah ke atas golongan Mormon yang berpuasa hanya sehari dalam sebulan mendapati ia merendahkan risiko mereka menghidap sakit jantung. Hal ini dilaporkan dalam artikel bertajuk Fasting? It’s Good For The Heart di http://www.earthtimes.org/ bertarikh 7 November 2007.
Penemuan yang sama diperoleh berdasarkan satu lagi kajian yang dikenali sebagai Intermountain Heart Collaborative Study. Dalam kajian ini 515 pesakit telah diuji kaji di sudut kesihatan jantung. Kajian ini mendapati mereka yang kerap berpuasa mempunyai risiko yang rendah menghidap sakit jantung. Puasa dalam kajian ini ditakrifkan sebagai meninggalkan jadual makanan utama, paling kurang, 2 kali berturut-turut (no food or drink for at least two consecutive meals). (Rujukan: McClure BS, May HT, Muhlestein JB, et al. Fasting May Reduce The Risk Of Coronary Artery Disease. American Heart Association 2007 Scientific Sessions; November 6, 2007; Orlando, FL. Abstract 3642)
Lagi bukti menunjukkan berpuasa di bulan Ramadan amat menyihatkan. Sebagai contoh, pada tahun 1984, Dr. Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki (berumur 15-64 tahun) dan 26 wanita (berumur 16-28 tahun) yang berpuasa Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada ketika yang sama, berat badan mereka ditimbang di awal dan di akhir Ramadan.
Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr. F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Pemeriksaan darah untuk mengukur kadarglucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3telah dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan. Di samping itu, berat badan mereka ditimbang. Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol LDL (low density lipoprotein) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol HDL (high density lipoprotein) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Malah sebaliknya ia memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak. Fakta-fakta ini dilaporkan di dalam Islamic Perspectives in Medicine oleh Dr. Shahid Athar terbitan American Trust Publications, Indianapolis.
Dalam satu lagi kajian yang dilakukan ke atas 32 lelaki yang berpuasa Ramadan, peratus kolesterol secara keseluruhannya (total cholesterol) didapati menurun 7.9% (7.9%, p<0.001) dan lemak trigliserida (triglycerides) juga menurun sebanyak 30% (30%, p<0.001) berbanding paras sebelum mereka berpuasa. Pada ketika yang sama paras kolesterol baik (serum HDL) meningkat 14.3% (14.3%, p<0.001) dan berkekalan seperti itu selama sebulan. Kolesterol keji pula (serum LDL) menurun sebanyak 11.7% (11.7%, p<0.001) juga selama sebulan. Berat badan mereka yang berpuasa ini pula didapati menurun sebanyak 2.6% pada hari ke-29 Ramadan. (Rujukan: Annals of Nutrition and Metabolism, 41: 242-249, 1997.) Kesemua ini menunjukkan bahawa berpuasa di bulan Ramadan sememangnya baik untuk kesihatan.
5. Meningkatkan Ketajaman Mental
Bila badan kita bebas daripada bahan-bahan toksik yang mengalir dalam aliran darah, kemampuan berfikir akan menjadi lebih tinggi. Apabila kita makan, banyak sumber tenaga dalam darah dan saraf dihantar ke usus untuk proses penghadaman.
Sekiranya tenaga ini tidak diperlukan di usus, ia akan dihantar ke otak untuk proses berfikir. Perkara ini tidak berlaku dalam hari pertama sehingga tiga hari puasa. Pada awalnya kita akan berasa pening, sugul dan sakit badan. Ini ialah kerana tiga hari pertama tenaga masih digunakan untuk menyahkan toksin yang ada selain dari membersihkan sisa-sisa kotoran dalam saluran makanan.
Selepas dari fasa ini, darah yang mengalir ke otak lebih bersih dari toksik dan menjadikan kemampuan berfikir lebih tinggi. Kita menjadi lebih cergas dan bersikap terbuka, emosi yang lebih stabil dan tajam fikiran.
Faktor lain yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah semasa berpuasa kita kurang bergantung kepada makanan secara emosinya, kurang terdedah pada makanan atau bahan yang merangsang seperti kafein, gula dan rokok. Kesan ini selalunya dirasai dalam minggu ketiga puasa, selepas 20 Ramadan.
Ini memang terbukti, kalau hari-hari biasa kita makan dan mengantuk kan… tak dapat nak berfikir dengan baik… Jika waktu bekerja sepatutnya bulan puasa kita lebih rasional bila berfikir sebab kita tak fikir nak makan apa ditengahari kan…
Kajian dari Universiti Kentucky pula mendapati berpuasa dapat mengurangkan kesan negatif ke atas pesakit yang mengalami kecederaan sederhana di bahagian otak. Kajian yang diketuai oleh Patrick Sullivan dari UK Spinal Cord and Brain Injury Research Center ini mendapati proses kesembuhan ke atas otak yang cedera berlaku secara signifikan apabila pesakit-pesakit berkenaan berpuasa selama 24 jam. Hal ini mungkin disebabkan oleh keton (ketones) yang terhasil dalam darah orang yang berpuasa. Keton (ketones) didapati berperanan mencegah proses kerosakan yang berlaku ke atas sistem saraf (neuro-protective). Penemuan ini dilaporkan di dalam Journal of Neuroscience Research. (Rujukan: Fasting Can Reduce Brain-Injury Impact, http://news.uky.edu/, 14 Mac 2008)
Kesimpulannya
Berdasarkan kajian-kajian sains itu, menunjukkan puasa itu sangat bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan kita, bukan sahaja dari aspek fizikal semata-mata tetapi juga aspek rohani, akhlak dan keseluruhan hidup kita. Ringkasnya, puasa sebulan dalam bulan Ramadhan akan member kesan kepada aspek-aspek berikut:
- Spiritual: Melalui ibadah seperti solat dan zikir.
- Peningkatan Ilmu: Melalui kajian al-Quran.
- Kesihatan Mental: Melalui tafakur, reda serta pengeluaran hormon endorphin yang mendamaikan.
- Kesihatan Fizikal: Melalui metabolisme badan yang terkawal.
- Pembinaan Akhlak dan Jati Diri: Melalui latihan kesabaran, pengawalan pancaindera serta ketabahan memikul tanggungjawab.
- Amanah dan Integriti: Melalui keikhlasan dan istiqamah walaupun andai kata kita berbuka puasa tidak ada sesiapapun yang mungkin mengetahuinya.
- Mementingkan Keutamaan: Melalui fokus mengejar janji Allah berkaitan Lailatulqadar.
- Mementingkan Kualiti: Melalui kesedaran bahawa ibadah puasa perlu dihalusi kerana ia bukan sekadar meninggalkan makan minum.
- Pengurusan Masa: Melalui sistem waktu solat dan puasa yang perlu dijaga.
- Keharmonian Keluarga: Melalui konsep kebersamaan ketika bersahur, berbuka puasa dan bersolat.
- Maslahat Kemasyarakatan: Melalui zakat fitrah serta solat berjemaah.
- Produktiviti: Melalui peningkatan fokus dan konsentrasi.
- Ekonomi: Melalui penjimatan wang serta pengawalan hawa nafsu.
- Ledakan Kreativiti dan Lonjakan Paradigma: Melalui kedamaian dan kesucian hati yang menjadi semaian kepada ilham yang meledakkan idea-idea baru.
Kesemua ini akan terhasil jika puasa dilakukan secara yang betul dengan memelihara segala adabnya. Jika tidak kita hanya akan mendapat lapar dan dahaga semata-mata. Nabi bersabda, “Berapa ramai orang yang berpuasa yang tidak mendapat sesuatu apa pun daripada puasanya kecuali lapar dan dahaga.” (Riwayat Ibn Majah)
Semoga dengan artikel ini dapat meningkatkan lagi semangat kita dalam berpuasa dan memperbetulkan niat kita ketika berpuasa. Masih belum terlambat kerana kita difasa awal jika ingin perbaiki kualiti puasa yang kita ada..
Rujukan: Majalah Sains, Fiqh Medic
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ