Isu: Telekung Lycra Tidak Sah Solat???

sumber: google images

Hari Jumaat lepas, masa minum petang di kantin sekolah... terdengar kawan sedang rancak bersembang... sekali seorang kawan lagi bertanya memandangkan aku berstatus ustazah (ustazah memang jadi tempat rujukan hukum hakam..sebab tu kena banyak kan ilmu sebab orang rasa kita ni tahu segala... )... sekali, kawan aku yang bertitle ustazah juga duduk sekali... maka, kami usrah kecil-kecilan la petang tu... 

Aik...panjang pula muqaddimah... hehe... ok, back to our topik... Rupanya, diorang kisahkan pasal isu telekung lycra yang jadi viral di facebook dan whatsapps... seorang Ustaz, buatkan status di facebook mengatakan hukum solat dengan telekung lycra tak sah dan berdosa!... Huishhh...terkejut betul.. status tu... betul ke tak sah??? tapi dalam status Ustaz tu, tak dinyatakan pula dalil tentang haram tu... 

Jadi, sebagai seorang blogger... jom kita sama-sama dalami hal ini..sebab dah jadi isu kan... sebelum nak terangkan bab hukum telekung lycra tu... jom fahami dulu apa syarat sah solat bagi seorang perempuan. Penjelasan yang jelas aku jumpa di sini... Meh...kita baca secara mendalam dan teliti... fahamkan betul-betul 10 syarat pakaian solat wanita... (penjelasan ini agak panjang kerana disertakan dalil yang sahih...mohon teruskan pembacaan hingga habis demi kefahaman yang jelas...)

Syarat Pakaian Solat Wanita.
Pakaian wanita dalam solat terbahagi kepada dua, pertama yang menutupi kepala sehingga leher dan labuh ke dada manakala yang kedua ialah yang menutupi badan sehingga labuh ke kedua-dua kaki. Dua hadith di bawah ini dijadikan rujukan oleh para ahli fiqh -
[01] Dari A'isyah radiallahu-anha bahawa Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam telah bersabda: Tidak diterima solat seorang wanita yang telah baligh kecuali dengan memakai kain tudung. (Khimar).[HR Imam Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi, Sunan Tirmizi - no: 0374.]

[02] Ummu Salamah radiallahu-anha berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu - alaihi - wasallam: Bolehkah wanita mengerjakan solat dengan memakai pakaian panjang (Dar'u) dan tutup kepala tanpa memakai kain sarung (Izar) ? Beliau bersabda: Boleh, apabila pakaian panjangnya itu (Dar'u) dapat menutupi kedua telapak kakinya.[HR Imam Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 0611.]

Hadith pertama menerangkan bahawa seorang wanita yang hendak bersolat, hendaklah dia memakai kain tudung atau dalam Bhs. Arab adalah Khimar iaitu sehelai kain yang menutupi kepala sehingga ke leher. Ini adalah makna dari segi bahasa, sementara dari segi tuntutan syari'at pula, tudung yang dipakai itu hendaklah dilabuhkan dari kepala sehinggalah ke dada atau lebih sedikit sampai menutupi kawasan kedua buah dadanya. Ini jelas tertulis dalam al-Qur'anul Karim -  dan hendaklah mereka menutup bahagian dada mereka dengan tudung kepala mereka. [Maksud surah an-Nur 24 - 31].

Hadith ini juga menunjukkan bahawa memakai tudung adalah syarat sah atau tidak solat seorang wanita itu, difahami melalui lafaz …Tidak diterima solat seorang wanita…… Dari itu jelas hukum fiqh bahawa memakai tudung yang menutupi kepala sehingga ke dada  seorang wanita itu adalah merupakan syarat sah solatnya. [Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 2/100-101 , Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 1/392.]

Hadith kedua menerangkan bahawa pakaian seorang wanita itu, selain dari tudung kepalanya, hendaklah sesuatu yang panjang sehingga dapat menutup dari leher sehinggalah ke kedua belah tapak kakinya. Dar'u ialah pakaian Arab yang seumpama gaun atau jubah yang dipakai melalui leher dan ianya memanjang sehingga ke betis atau lebih, maka melalui hadith ini Nabi sallallahu-alaihi-wasallam mensyaratkan bahawa gaun atau jubah itu haruslah memanjang sehingga menutup kedua tapak kaki wanita.

Dari dua hadith ini jelaslah bahawa pakaian solat seorang wanita itu ialah sesuatu yang dapat menutup dari kepala sehinggalah ke kakinya. Secara minimum ia terdiri dari dua helai kain iaitu yang pertama adalah tudung kepala dan kedua adalah baju panjang. Selain itu boleh memakai lebih dari dua helai kain asal sahaja ia menutup dari kepala hingga ke kaki. Dua bahagian anggota yang terkecuali ialah muka dan tangan dari pergelangan ke bawah di mana ia tidak perlu ditutup. Ini berdasarkan firman Allah Azza waJalla: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. [Maksud surah an-Nur 24 - 31].

Dari ayat di atas Allah Subhanahu waTa'ala melarang kaum wanita daripada memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka kecuali yang zahir darinya. Yang dimaksudkan sebagai zahir ialah sesuatu yang biasa terdedah, selalu dipergunakan untuk kerja harian dan tidak merangsangkan nafsu kaum lelaki secara normal. Anggota-anggota yang zahir ini ditafsirkan sebagai muka dan tangan dari pergelangan hingga ke hujung jari. Walaubagaimanapun ada juga yang berpendapat kedua bahagian ini, samada tangan mahupun muka perlu tetap ditutup.

Jenis Pakaian
Jenis pakaian yang dipakai hendaklah longgar dan labuh yakni tidak menampak bentuk badan wanita tersebut, sekalipun dia merasakan badannya tidak mempunyai bentuk. Ini dapat difahami juga melalui ayat di atas yang melarang kaum wanita memperlihatkan perhiasan tubuh badan mereka. Perhiasan ini ada dua jenis, iaitu perhiasan asli tubuhnya dan kedua ialah perhiasan tambahan seperti rantai, gelang dan sebagainya. Kedua-dua ini tidak boleh diperlihatkan kepada khalayak umum kecuali kepada suaminya dan beberapa ahli keluarga terdekat. Cara terbaik untuk melindungi perhiasan asli tubuh badan ialah dengan mengenakan pakaian longgar dan labuh dan ini adalah sesuatu yang disepakati tanpa keraguan. Antara tuntutan yang senada ialah memakai pakaian yang tidak nipis sehingga menampakkan warna kulit atau bayangan tubuh badan di sebaliknya. Ini juga termasuk tuntutan menutup aurat wanita.

Daripada dua penjelasan di atas, iaitu syarat pakaian dan jenis pakaian, dapatlah kita ketahui bahawa pakaian yang semestinya dipakai oleh seorang wanita apabila sedang solat atau di luar solat adalah sesuatu yang dapat menutup dirinya dari kepala sehingga ke kaki kecuali muka dan tangan dari pergelangan ke jari-jari. Selain itu pakaian tersebut hendaklah longgar dan labuh, tidak menampakkan bentuk badan ataupun bayangan ataupun warna kulit di sebaliknya. Oleh itu apa sahaja pakaian yang dapat menepati syarat ini boleh digunakan bagi tujuan mendirikan solat dan urusan harian di luar rumah. Telekung yang selalu dipakai oleh muslimah di Nusantara ini sangatlah baik kerana ia menepati segala syarat-syarat tersebut tetapi perlu diketahui bahawa telekung bukanlah satu-satunya sahaja yang boleh digunakan untuk bersolat. Dalam erti kata lain, telekung bukanlah syarat wajib solat.

Seperkara lain yang perlu dinyatakan ialah bahawa walaupun muka dan tangan tidak dikategorikan sebagai aurat yang wajib ditutup, kedua bahagian ini amat dituntut agar tidak dihiasi dengan sesuatu yang boleh membawa perhatian atau rangsangan kepada orang lain. Sebagai tambahan, walaupun muka itu tidak wajib ditutup, ia amat digalak agar diselindungi disebalik kain nipis atau yang seumpama bagi mengelak niat buruk orang-orang lelaki yang rakus sifatnya.

Perkara kedua yang perlu dinyatakan di sini ialah syarat pakaian solat sepertimana yang diterangkan di atas adalah wajib dipatuhi oleh seseorang itu samada dia berada dalam suasana orang ramai atau bersendirian. Dalam erti kata lain, sekalipun seorang wanita itu berada berseorangan dalam biliknya, dia tetap wajib menepati syarat-syarat ini sekalipun tiada orang yang melihat. Ini adalah kerana syarat pakaian solat adalah bagi memenuhi hak dan adab seorang hamba yang sedang beribadah kepada Rabbnya dan ia tidak berhubung-kait dengan adab sesama manusia. Berbeza pula dalam suasana di luar etika solat, di mana seseorang wanita itu dibolehkan membuka kain tudung atau sebagainya apabila berhadapan dengan suami, ayah sendiri, keluarga terdekat dan seterusnya.

Apabila pakaian yang ada tidak menepati syarat.
Apabila seseorang muslimah hendak bersolat lalu tidak mempunyai pakaian yang dapat menepati syarat-syarat di atas maka apakah tindakan seterusnya ? Contohnya ialah apabila berada dalam pesawat terbang lalu disedari bahawa dia terlupa membawa set telekung atau kain tudung (bagi yang sememangnya tidak bertudung); dan setelah dicari apa-apa alternatif pakaian lain namun tidak ditemui juga. Maka bagaimanakah tuntutan solatnya ?

Maka yang pertama perlu dijelaskan ialah menunda solat tersebut ke waktu atau masa yang lain atas tujuan akan diqadha adalah bukan salah satu dari alternatif yang dibenarkan syara' kerana solat tersebut tetap wajib ke atas dirinya. Solat hanya boleh ditunda dari masanya dalam situasi darurat, iaitu situasi yang melibatkan ancaman bahaya kepada nyawa atau mana-mana anggota badannya (Life and Death situation only). Adapun ketiadaan pakaian yang dapat menepati syarat-syarat solat maka itu dipandang sebagai satu keuzuran dan bukan darurat.

Satu pilihan syari'at yang dibolehkan ialah menjamakkan solat tersebut jikalau dijangkakan bahawa dalam waktu yang akan datang dia berkebolehan untuk melaksanakan solatnya itu dengan memenuhi syarat pakaian yang sempurna. Antara solat Zohor dan Asar, atau antara solat Maghrib dan I'syak, boleh didirikan dalam satu waktu jikalau ada kesulitan yang menimpa, sekalipun tidak dalam keadaan musafir. Contohnya seseorang yang tidak mempunyai pakaian yang menepati syarat bagi solat Zohor dan dijangkanya secara yakin bahawa dia mampu memenuhinya pada waktu Asar nanti maka dianjurkan dia mendirikan solat Zohornya itu bersama solat Asar dalam waktu Asar nanti berdasarkan kaedah jamak takhir. Persoalan seterusnya adalah - apakah yang harus dilakukan apabila tiba waktu solat Asar dan dia masih belum dapat menepati syarat pakaian yang diwajibkan, atau bagi solat subuh yang sememangnya tidak boleh dijamak atau dilengah-lengahkan ?

Apabila sesuatu dari tuntutan agama tidak dapat dipenuhi oleh seseorang insan, syari'at menganjurkan agar dia tetap berusaha untuk melaksanakan perintah asal tersebut dengan sesempurna mungkin, sedaya mungkin dan sekuat mungkin. Dua dalil yang dijadikan petunjuk oleh para ahli fiqh ialah firman Allah Azza waJalla dalam surah at-Taghabun 64, ayat 16 yang bermaksud: Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya upaya kamu.
Nabi sallallahu-alaihi-wasallam juga telah bersabda: Apa yang aku tegah kamu darinya maka hendaklah kamu jauhinya dan apa yang aku perintah kamu dengannya maka hendaklah kamu laksanakan sedaya mampu.[Maksud hadith dari Abu Hurairah radiallahu-anhu riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Syarh Matan al-Arba'in an-Nawawi, no: 09]

Dari dua petunjuk dalil di atas, para ahli fiqh segenap Mazhab yang empat tetap mewajibkan seseorang mendirikan solat-solat fardhunya sekalipun pakaiannya tidak mencukupi syarat-syarat yang termaktub. Apabila pakaian yang sedia dipakai tidak menepati syarat sepenuhnya untuk bersolat dan setelah diusahakan gagal menemui sebarang pakaian atau alternatif lain maka dibolehkan tetap bersolat dengan pakaian yang sedia ada. Justeru itu tetap diharuskan bersolat sekalipun berpakaian jubah atau baju kurung atau baju kebaya atau apa-apa sekalipun walau hanya dengan seluar jeans dan baju kemeja T. Bagi yang memakai tudung diharuskan terus bersolat sekalipun tudung tersebut adalah kecil dan tidak labuh sehingga ke dada sementara bagi yang tidak bertudung diharuskan juga tetap bersolat sekalipun tanpa tudung. Solat sebegini adalah tetap sah dan tidak perlu diulangi atau diqadha.

Walaubagaimanapun diulangi bahawa kebolehan ini hanyalah bagi mereka yang benar-benar gagal menemui sebarang bentuk pakaian yang dapat menutupi kepalanya atau/dan lain-lain bahagian sebagaimana yang disyaratkan. Sikap malas atau sengaja meremehkan tuntutan menutup aurat dalam solat bukan sahaja menyebabkan solatnya tidak sah tetapi juga akan dipertanggung-jawabkan kerana mempermainkan hukum agama.

Syarat minima pakaian solat.
Sudah tentu tertanya di hati - apakah dia batas minima bagi seseorang yang pakaiannya tidak menepati syarat-syarat solat ? Maka jawapannya ialah walauapapun kekurangan pakaian yang dihadapi, solat tersebut tetap wajib dilaksanakan dan tetap sah sekalipun jikalau terperangkap dalam suasana tidak berpakaian langsung. Prof. Dr. Wahbah Zuhaili, ahli fiqh mutakhir dan juga Ketua Fakulti Fiqh dan Usul Fiqh di Universiti Islam Damaskus, Syria menerangkan rincian pendapat setiap mazhab ahli sunnah yang empat mengenai batas minima pakaian solat seseorang, iaitu -
  • Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Maliki, seseorang yang tidak mempunyai pakaian penutup aurat hendaklah dia tetap bersolat sekalipun bertelanjang kerana menutup aurat adalah dituntut ketika terdaya maka gugurlah tuntutan jika tidak terdaya.
  • Menurut pendapat Mazhab Hanbali, dalam keadaan tidak ada penutup aurat hendaklah dilakukan solat secara duduk dan melakukannya secara isyarat.
  • Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Shafie dan Hanafi, wajib dilakukan solat sekalipun dengan melumuri tanah pada tubuh badan sebagai penutup aurat dan berkekalan dalam keadaan sedemikian sehingga selepas solat, atau dengan melumuri air yang keruh pada tubuh badan sebagai penutup aurat.
  • Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanafi dan Maliki memadai dengan kegelapan sebagai penutup aurat kerana darurat, sementara menurut pendapat yang asah di kalangan ulama'-ulama' Mazhab Shafie, hendaklah menutup kemaluan dengan tangan, begitu juga menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanbali kerana dengan itu tercapai tujuan menutup aurat sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
  • Dalam keadaan tersebut menurut pendapat ulama'ulama' Mazhab Shafie, hendaklah dilakukan solat secara berdiri bagi menyempurnakan rukun solat dan menurut pendapat yang madhab di kalangan mereka, solat tersebut tidak wajib diulangi selagi sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Sementara itu menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanafi, hendaklah dilakukan solat secara duduk dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud sebagaimana juga pendapat ulama'-ulama' Mazhab Hanbali. Itulah yang lebih utama daripada solat secara berdiri dan membuat isyarat ketika rukuk dan sujud kerana menutup aurat adalah lebih penting daripada menunaikan rukun.


Demikian salinan penerangan Prof. Dr. Wahbah Zuhaili. Penerangan di atas insya-Allah tidak mungkin akan temui suasananya dalam sepanjang hidup kita. Namun ia dikemukakan bagi menunjukkan bahawa para ulama' fiqh dari semua 4 Mazhab yang sedia ada tetap mewajibkan solat dilaksanakan dalam waktunya sekalipun berhadapan suasana dan keadaan yang amat mengharukan. Faktor ketiadaan pakaian yang secukupnya tidak diterima sebagai alasan atau dalih untuk menundakan solat atau meninggalkannya terus.

Kesimpulan:
  1. Syarat pakaian untuk solat wanita ialah, menutup aurat... dan antara ciri-ciri menutup aurat yang disepakati jumhur ulamak ialah: 
    • Longgar, yakni tidak menampakkan bentuk badan
    • Tidak jarang hingga menampak warna kulit
    • Menutup kepala dan melepasi dada
    • Menutup kaki
    • Bersih daripada najis
  2. Telekung bukanlah syarat sah solat, namun begitu tujuan mengenakan telekung ialah untuk menutup aurat, justeru perlulah teliti ciri-ciri telekung tersebut, sama ada menutup aurat atau tidak. Jika telekung tersebut tidak menepati syarat pakaian yang menutup aurat maka tidak sah solat tersebut.
  3. Biasakan diri memakaian pakaian yang menutup aurat di luar solat... kerana sama je hukum aurat wanita di dalam atau diluar solat. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!
Jadi, isu telekung lycra ni... jika dilihat memang telekung ni lembut, tapi tak jarang, namun sedikit melekat  pada badan wanita.. seperti yang dijelaskan... syarat tutup aurat tidak menampakkan bentuk badan...jika kita pakai pakaian dan belek kat cermin, kita tanya orang nampak tak bentuk pinggang kita, punggung, dada kita... jika orang boleh nampak bentuk tu...jadi, ia bukanlah dikatakan pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Jelas kan... tepuk dada, tanya iman dan tanya cermin ajaib kat rumah kita tu??? Pakaian solat kita sempurna ke tidak... 

Harap, jelas la... takde isu... isunya diri kita sendiri yang menentukan... kain lycra ni pun banyak jenis... ada yang jenis tak melekat pun...sebab tebal dan berat... jadi, tengok juga pada jenis kain... kita pakai dan kita nilai...sebab tengok orang pakai kadang ok je tak melekat pun, tapi orang lain pakai melekat pula... jadi, tak boleh nak rangkum semua tu haram dan berdosa... kita tengok dan kita nilai sendiri dengan iman di dada... selebihnya serahlah bab dosa pahala tu kepada Yang Maha Esa untuk menilainya.


Berlangganan update artikel terbaru via email:

13 Responses to "Isu: Telekung Lycra Tidak Sah Solat???"

  1. panjang penjelasannya..memang perlu pemahaman bab ni..
    kain jenis lycra memang mudah mengikut bentuk badan, tak kira apa jau fesyen,
    terdapat banyak pilihan di pasaran, tepuk dada tanya iman..

    BalasPadam
  2. btl tuh dik akak setuju, ada jgk terbaca psl kes haram telekung lycra tuh... akak tgk ada je kain lycra yg tebal n tak melekat... tp kalu dh di jthkan haram... org pun jd tkt nk pakai...

    susah jgk ada org yg suka bt hukum sendiri...

    BalasPadam
  3. Penerangan sudah jelas terpulang pada diri sendiri menilai sejauh mana ianya boleh digunakan utk bersolat atau tidak... Cermin ada depan mata nilaikan sendiri.

    BalasPadam
  4. great sharing maria. malam kang nak baca lagi sekali

    BalasPadam
  5. Betul tu.. Ikut yang asas tutup semua aurat, tak nipis, tak sendat - means x menampakkan bentuk badan.

    BalasPadam
  6. Satu pencerahan yang BAIK untuk kita lebih memahami..Nice sharing Maria ..

    BalasPadam
  7. Satu pencerahan yang BAIK untuk kita lebih memahami..Nice sharing Maria ..

    BalasPadam
  8. Nice sharing Ustazah,so klu nak pki kain lycra cari yg x melekat tu...

    BalasPadam
  9. Betul tu. Ramai ckp haram. Sy pun naik pelik jgk. Nak selamat beli je kain biasa. Habis cite..hehe
    Belog Miss Balqis

    BalasPadam
  10. Nice sharing....betul...banyak jenis lycra...kena try dulu before beli :)

    BalasPadam

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^

Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel