GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

19 Barangan Keperluan Yang Mesti Ada Dalam Setiap Kenderaan

19 Barangan Keperluan Yang Mesti Ada Dalam
sumber: google images

1. Botol air kosong saiz 1.5 liter dan ke atas

Bayangkan minyak kenderaan anda habis ditengah jalan dan stesen minyak hanya beberapa meter daripada tempat anda kehabisan minyak. Di sinilah dimana botol air kosong boleh digunakan. Sekiranya terjadi begitu, anda boleh berjalan ke stesen minyak berdekatan dan isikan minyak ke dalam botol tersebut untuk diisikan kemudian ke dalam kenderaan anda.

2. Telefon bimbit lama yang ditutup dan dicas penuh

Telefon lama digunakan untuk membuat panggilan kecemasan sekiranya sesuatu yang buruk terjadi kepada kereta anda, dan lebih teruk jika telefon pintar yang anda gunakan setiap hari telah kehabisan bateri. Ingat, pastikan bateri telah dicas sepenuhnya! Letakkan di dalam kereta dan matikan agar baterinya tidak kehabisan. Oh ya, jangan lupa untuk topup!

3. Kabel pelompat atau "jumper cables"

Sebelum membeli, periksa manual kereta anda terlebih dahulu untuk mengesahkan jenis kabel yang sesuai dan selamat untuk digunakan. Ia sangat berguna sekiranya enjin kereta anda mati dan tidak boleh dihidupkan. Tapi harus ingat, kabel pelompat ini biasanya hanya dapat menyelesaikan masalah yang bersifat "short-term" dan anda mungkin perlu menggunakannya berulang kali.

4. Payung. Simpan lebih daripada satu.

Malaysia sangat terkenal dengan negara yang mempunyai cuaca yang tidak menentu, terutamanya hujan. Kadang kala, hujan boleh turun pada bila-bila masa, mungkin juga ketika anda sedang memandu. Payung adalah antara barangan yang paling asas yang perlu ada. Dengan adanya payung di dalam kereta, tiada masalah untuk anda pergi ke mana-mana tempat sambil mengelakkan daripada basah.

5. Lampu suluh beserta bateri yang diasingkan

Ya, memang ada aplikasi lampu suluh di dalam telefon pintar dan ianya sangat berguna. Tetapi ia tidak sesuai untuk digunakan di sekitar enjin yang panas atau di kawasan bawah kenderaan. Sekali terjatuh, maka rosaklah telefon itu. Satu lampu suluh yang baik boleh bertahan lebih lama dan memancar cahaya dengan lebih terang. Jangan lupa juga untuk bawa bateri ekstra bersama anda.

6. Cecair WD-40

Cecair WD-40 merupakan bahan pelincir yang memberi perlindungan dari kelembapan. Ia sangat membantu dalam melonggarkan bolt atau skru ketat yang mustahil untuk dilonggarkan. Ciri-ciri yang ada pada cecair ini menjadikannya produk yang sangat berguna dalam menghapuskan kotoran dan sisa-sisa, melonggarkan skru ketat dan juga melonggarkan zip.

7. Pengecas bateri tanpa wayar atau "power bank" (pastikan kuasa penuh)

Sesetengah kereta mempunyai keupayaan mengecas telefon sebagai ciri-ciri standard yang ditawarkan. Walaupun begitu, power bank juga penting untuk dibawa bersama. Sekiranya, kereta anda berhenti dan anda perlu berhadapan dengan kehabisan bateri, anda mungkin tidak mempunyai kebolehan untuk mengecas telefon. Tetapi pastikan power bank anda telah dicas sepenuhnya sebelum digunakan.

8. Duit kecemasan

Duit kecemasan yang perlu disimpan tidak semestinya sehingga beribu-ribu ringgit. Sedikit wang kecemasan mampu menjadi tidak ternilai jika anda berada dalam keadaan terdesak. Mungkin ketika kereta anda bermasalah dan rosak di tepi jalan, anda tidak mempunyai wang yang mencukupi di dalam dompet untuk mengupah tow truck atau untuk membayar servis bagi perkhidmatan lain. Sebab itulah duit kecemasan sangat penting.

9. Surat khabar lama atau kain lap

Barang-barang ini penting untuk mengelap kopi yang tertumpah, memeriksa minyak hitam dalam enjin kereta, membersihkan permukaan kereta yang berlumur dengan pelbagai kotoran dan macam-macam lagi.

10. Alat pelbagai fungsi seperti pisau "Swiss Army"

Pelbagai model pisau Swiss Army wujud, dengan kombinasi alat yang berbeza untuk tugas-tugas khusus yang direka untuk dibawa setiap hari. Fungsi yang paling biasa didatangkan adalah seperti pisau bilah utama dan bilah kecil, pencungkil gigi, pembuka botol dan tin, pemutar skru, gunting, penebuk lubang, cangkuk, gegelang kunci dan pelbagai lagi.

11. Segitiga amaran

Sama ada siang atau malam, segitiga amaran biasanya diletakkan 10 kaki atau 20 kaki di belakang kenderaan. Ia bertujuan memberi amaran kepada orang ramai supaya memperlahankan kenderaan. Sekiranya anda terpaksa ketepikan kenderaan anda akibat kerosakan, segitiga amaran ini sangat berguna dalam menjamin keselamatan anda di tepi jalan.

12. Pita pelekat yang kuat

Segulung pita pelekat yang besar boleh memperbaiki banyak perkara dan menyelesaikan banyak masalah. Anda boleh menggunakan pita pelekat dan selembar plastik untuk menutup tingkap yang pecah sebagai contoh. Selain itu, ia juga mampu menutup saluran yang bocor. Sedangkan jurutera juga menggunakan pita pelekat untuk mengenal pasti pergerakan tanah yang merekah.

13. Kunci kereta kecemasan (bukan untuk disimpan dalam kereta)

Lambat laun semua orang mengunci kereta mereka bersama kunci di dalam kereta. Jika anda mempunyai satu salinan kunci, tiada masalah untuk anda membuka pintu kereta yang terkunci. Kunci kereta kecemasan ini perlu disimpan dan dilekatkan pada bahagian tersembunyi di luar kereta, bukan di dalam. Di sinilah khidmat pita pelekat diperlukan. Selain itu, anda juga boleh mendapatkan "magnetic key case" di mana-mana kedai perkakasan kereta berhampiran.

14. Plastik sampah atau apa-apa jenis plastik

Simpan beberapa plastik sampah yang besar dan "heavy-duty" di dalam kereta anda. Ia boleh digunakan untuk menutup tanah berlumpur apabila anda perlu menukar tayar dalam hujan dan sebagai poncho atau baju hujan jika diperlukan. Atau gunakan ia bersama pita pelekat untuk menutup bahagian tingkap yang pecah. Apa lagi? Anda juga boleh jadikan plastik sampah sebagai tempat buang sampah.

15. Sarung tangan

Sepasang sarung tangan kulit membolehkan anda untuk menyentuh bahagian panas di kawasan sekitar enjin dan bawah kereta. Anda juga boleh jadikan sarung tangan untuk menguatkan cengkaman, dan pada masa yang sama mengurangkan kesakitan tangan ketika membuka sesuatu yang ketat serta memastikan tangan anda sentiasa bersih walaupun terpaksa menukar tayar kereta.

16. Pen (atau pensel) dan buku nota kecil

Semasa dalam kecemasan, anda tidak boleh hanya mengharapkan telefon pintar anda untuk menyimpan sesuatu maklumat. Gunakan cara tradisional dengan pen dan kertas untuk mencatat beberapa nota penting. Ia juga berguna apabila anda terpaksa membuat "double park" disebabkan terlalu sesak. Anda boleh tuliskan nama dan nombor telefon di atas kertas dan pamerkannya di cermin jika kereta di depan anda ingin meninggalkan parking tersebut.

17. Pemotong tali pinggang dan pemecah tingkap (alat dwifungsi)

Jangan pandang rendah pada alat ini. Memang ia nampak kecil dan tidak gagah seperti penukul. Tetapi walaupun kecil, ia mampu memecahkan tingkap kereta dan memotong tali pinggang dengan sekelip mata. Sangat berguna apabila tali pinggang tersangkut akibat kemalangan dan jika anda terperangkap dalam kereta. Tak percaya? Cuba dulu baru tahu.

18. Gunting tajam dan besar

Selain pemotong tali pinggang, gunting juga boleh digunakan untuk memotong objek. Gunting yang dimaksudkan bukan gunting kecil yang tumpul ataupun gunting yang digunakan untuk bercukur. Anda perlu menyediakan gunting yang besar dan tajam yang mampu untuk memotong objek yang agak keras.

19. Kit pertolongan cemas yang paling asas

Anda tidak perlu menyimpan kit kecemasan yang besar dan mahal tetapi cukup sekadar mempunyai kit kecemasan kecil. Walaupun kecil, ia masih mampu membuat perbezaan yang besar. Perkakas seperti pembalut, salap anti-bakteria, dan pelega kesakitan bukan hanya dibawa ketika bercuti sahaja. Biasanya, kit kecemasan juga akan didatangkan dengan poncho atau baju hujan, gunting kecil, kapas dan lain-lain.

Banyak juga barang tu yang perlu ada... saat-saat tak terduga kan... kita tak la panik sangat kalau apa-apa berlaku... 

9Ulasan

  1. kon yg ptg itu selalunya tiada dlm keta kan ...

    BalasPadam
  2. Peringatan yg sgt baik ni.. t kasih.. :)

    BalasPadam
  3. Banyaknya list barang yang nak kena ada dalam kereta...setakat ni cuma ada payung je kot...

    BalasPadam
  4. Memang wajib ade sepatutnya... tp tang botol dgn jumper xde... hehehe...

    BalasPadam
  5. Hampir kebanyakannya takda dalam kereta saya! Kalau torch light tu memang ada tapi bila nak guna je bateri dah kong. Memang kena ambil berat semua ni. Kalau tersadai tepi jalan, mahu menangis! Semua pun takda!

    BalasPadam
  6. kena check dulu mana yang takde ni..tq share info kak

    BalasPadam
  7. Byknyeee...ada payung je...tp akan diusahakan...cuma kena pakai kete besar laaa lepas ni uhuk

    BalasPadam
  8. Ada sesetengah barang dalam list dah ada dalam kereta. Kena tengok semula check masih okay atau tidak. perkongsian berguna

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ