GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Persoalan Berkaitan Ibadah Korban

Hari Ahad ni dah raya lagi.. tapi tak terasa pun sebab kita tak puasa kan... Yang betul-betul rasa nak raya orang yang pergi Haji.. Ada ke yang nak buat kurban tahun ni??? Sejauh mana kita faham tentang ibadah korban??? Jom refresh semula subjek Pendidikan Islam Silibus Tingkatan 4 ea... 

Apakah maksud korban dan hukum melakukan ibadah korban?
  1. Korban ialah penyembelihan haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah dengan maksud untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. 
  2. Hukum menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Eidul Adha atau Hari Raya Korban ke atas umat Islam yang mampu ialah sunat muakkad dan meninggalkannya adalah makruh.
  3. Allah S.W.T berfirman; “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – [Surah al-Kautsar: 2]. Mengikut tafsiran ulama maksud solat atau sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.

Apakah dalil yang mensyariatkan ibadah korban?
Dalil yang mensyariatkan ibadah korban ialah firman Allah S.W.T.;
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah”. – Surah al-Kautsar, ayat 2. Maksud solat ataupun sembahyang pada ayat ini ialah solat Eidul Adha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban. Imam Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut seperti berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah semata dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai tanda syukur terhadap apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya”

Apakah kelebihan melaksanakan ibadah korban?
Banyak sekali hadis yang menerangkan akan kelebihan korban, ia antara ibadah yang mendapat ganjaran yang amat besar daripada Allah. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W bersabda:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah korban kamu.” Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Hakim. 

Apakah hikmah korban?
Hikmah sebenar sesuatu ibadah hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu. Walau bagaimanapun ibadah korban yang menjadi amalan umat Islam sekarang mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan peristiwa korban di antara Nabi Ibrahim A.S. dengan anaknya Nabi Ismail A.S. Maka dengan melihat kepada peristiwa tersebut beberapa hikmah dapat disimpulkan;
  • Ia menguji kekuatan iman dan keteguhan mental orang yang berkorban.
  • Supaya orang yang berkorban dapat menjauhkan diri daripada sifat terlalu sayangkan harta dan kedekut dengan harta yang Allah S.W.T kurniakan kepadanya.
  • Berkongsi merasai nikmat Allah S.W.T dengan golongan yang kurang bernasib baik atau miskin.
  • Membudayakan dalam masyarakat salah satu syiar Islam iaitu berkorban.

Adakah ibadah korban dilakukan pada zaman Nabi-nabi yang terdahulu dan bagaimana ia dilaksanakan?
Mengikut riwayat yang boleh kita perolehi amalan ibadah korban telah dilaksanakan dari zaman Nabi Adam A.S lagi sehingga zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Secara ringkasnya sejarah perlaksanaannya adalah seperti berikut;

Pada zaman Nabi Adam A.S, peristiwa korban Habil dan Qabil menunjukkan betapa korban memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan hidup manusia. Kisah mereka telah dinukilkan di dalam al-Quran surah al-Maidah, ayat 27.

Maksud Ayat: “Dan bacakanlah kepada mereka berita tentang dua anak Adam iaitu Habil dan Qabil dengan benar, ketika anak Adam itu mempersembahkan korbannya, maka Allah menerima korban salah seorang dari keduanya iaitu Habil dan tidak diterima korban yang seorang lagi iaitu Qabil. Qabil berkata: ‘Aku pasti membunuhmu?’ Habil berkata: ‘Sesunguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa’”.

Pada zaman Nabi Nuh A.S pula, setelah peristiwa taufan berlaku, Nabi Nuh menyediakan satu tempat khas untuk korban. Ada riwayat yang mengatakan bahawa haiwan korban tersebut dibakar.

Manakala pada zaman Nabi Ibrahim A.S, korban bermula dengan roti dan sebagainya, kemudian anak sapi, kambing dan biri-biri. Peristiwa penyembelihan anak Nabi Ibrahim iaitu Nabi Ismail ialah ujian pengorbanan yang paling getir dihadapi oleh Nabi Ibrahim A.S. Kisah ini telah Allah rakamkan dalam al-Quran surah Ash-Shaffat, ayat 103-107.

Pada zaman Nabi Musa A.S, cara korban ialah dengan membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada 2 bahagian, sebahagian dilepaskan dan sebahagian lagi disembelih.

Budaya dan amalan berkorban ini berterusan sehingga ke zaman bangsa Yunani dan Rumani, pada umumnya mereka membahagi-bahagikan daging korban kepada orang yang hadir. Semasa upacara penyembelihan, pendeta mereka memercikkan madu dan air, kemudian madu diganti dengan air mawar. Adat ini terdapat sampai sekarang. Di samping bangsa Yunani, korban dengan melakukan penyembelihan terhadap manusia juga berlaku, ini dilakukan oleh bangsa Finiki, Parsi, Rom dan bangsa Mesir kuno. Wallahuaklam

Bolehkah penyembelihan haiwan korban diniatkan sekali dengan aqiqah?
Pada hari raya korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuknya, jadi apabila bertemu hari raya korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Hanbali, kita boleh gabungkan niatkan perlaksanaan korban tersebut dengan niat untuk aqiqah anak, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan Hari Raya, maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. 

Siapakah yang dituntut untuk melaksanakan korban? 
Menyembelih haiwan korban pada Hari Raya Korban dianjurkan ke atas seluruh umat Islam, akan tetapi tuntutan sebenar ialah kepada yang mampu, sehingga Rasulullah S.A.W memberi amaran dalam beberapa buah hadis kepada mereka yang tidak menunaikan ibadah korban, antara hadis tersebut ialah;
Maksud hadis, “Sesiapa yang mempunyai kelapangan (mampu), tetapi tidak berkorban, janganlah ia mendekati tempat solat kami.” 

Apakah jenis korban yang dilarang oleh Islam?
Korban yang diamalkan oleh seluruh umat Islam pada setiap tahun diniatkan hanya kerana Allah S.W.T, dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di samping mendapat ganjaran lain yang telah Allah S.W.T janjikan. Oleh itu, mana-mana korban atau penyembelihan yang diniatkan kepada selain Allah S.W.T, seperti korban yang dilakukan untuk memuja sesuatu, atau untuk tujuan ilmu hitam, memuja syaitan dan sebagainya, serta tidak bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan ganjaran yang disediakan, maka ia adalah dilarang oleh Islam. 

Apakah jenis-jenis ibadah korban?
  1. Korban sunat, iaitu menyembelih binatang ternakan yang tertentu dengan niat taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T. pada Hari Raya Eidhul Adha atau Hari Raya Haji.
  2. Korban nazar, apabila seseorang bernazar untuk menyembelih korban, maka wajiblah atasnya menunaikan nazarnya itu. 

Apakah yang dimaksudkan dengan korban nazar?
Korban nazar ialah apabila seseorang itu mengatakan bahawa jika dia mendapat apa yang dihajatinya dia akan menyembelih haiwan korban, maka wajiblah ke atasnya menunaikan nazarnya itu. Bahkan Imam Nawawi menyatakan bahawa apabila telah terlewat hari yang ditentukan untuk penyembelihan korban dan ternyata saudara terlupa untuk menyembelih korban yang dinazarkan itu, maka wajiblah bagi orang yang bernazar tadi menyembelihnya ketika dia teringat, walaupun telah berlalu waktunya. Wallahuaklam

Apakah yang dinamakan korban wajib?
Korban wajib ialah apabila seseorang membeli seekor kambing atau lembu atau unta dengan mengatakan bahawa ‘haiwan ini adalah untuk sembelihan korban’, atau ‘aku beli haiwan ini untuk korban’, maka adalah wajib beliau menyembelih haiwan tersebut sebagai korban pada hari raya korban.

Bilakah waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan korban?
Waktu yang dibolehkan untuk menyembelih haiwan korban ialah dari masa khatib turun dari atas mimbar selepas selesai berkhutbah solat Eidhul Adha, sehingga terbenam matahari tanggal ke 13 Zulhijjah. Maka waktu menyembelih haiwan korban ada 4 hari. Sesiapa yang menyembelih korban sebelum atau selepas waktu itu, tidak sah korbannya. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W;
yang bermaksud, “Yang mula-mula kami lakukan pada hari kami ini (Hari Raya Haji) ialah kami solat kemudian pulang, lalu kami menyembelih. Sesiapa berbuat begitu maka dia telah mengikut sunnah kami. Sebaliknya sesiapa menyembelih sebelum itu, maka sesungguhnya itulah daging yang disembelih untuk keluarganya, tidak sedikitpun dikira sebagai korban.” 

Apakah jenis haiwan yang lebih utama disembelih sebagai korban, jantan atau betina?
Para ulama berbeza pendapat tentang menentukan haiwan jantan atau betina yang lebih baik dijadikan korban Mengikut pendapat dalam mazhab Imam Syafie, haiwan jantan lebih baik dari haiwan betina. Kesimpulan yang boleh kita berikan ialah kedua-dua jantina sama ada jantan atau betina boleh disembelih sebagai haiwan korban. 

Bolehkah beberapa orang berkongsi seekor lembu untuk ibadah korban?
Boleh, kita dibenarkan berkongsi sehingga 7 orang atau 7 bahagian bagi seekor lembu atau unta, ini bertepatan dengan sebuah hadis Rasulullah S.A.W yang berbunyi;
“Pada musim haji, Rasulullah S.A.W telah menyuruh kami berkongsi 7 orang pada seekor unta dan seekor lembu.” Hadis riwayat Muslim.
Dalam sebuah hadis lain dari al-Barqani;
“Rasulullah S.A.W telah bersabda kepada kami: “Berkongsilah kamu pada seekor unta dan lembu, untuk 7 orang seekor.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. 

Bolehkah berkorban dengan sekilo daging?
Untuk menjawab soalan tersebut, mari sama-sama kita renungi kisah Abdullah Ibnu Abbas R.A. Ayahnya (Abbas) yang merupakan paman Rasulullah S.A.W. adalah seorang jutawan. Namun Ibnu Abbas tidak berminat mengikut jejak ayahnya. Ketika Idhul Adha tiba, Ibnu Abbas hanya membeli daging untuk Korban kerana tidak memiliki persediaan wang untuk membeli haiwan korban. Melihat perkara tersebut para sahabat bertanya:
“Apa yang engkau bawa wahai anak paman Rasulullah? Tanpa malu beliau menjawab: Inilah korban Ibnu Abbas hamba Allah yang miskin.”

Bolehkah bersedekah sejumlah wang untuk mengantikan penyembelihan korban?
Terlaksananya korban adalah dengan berlakunya penyembelihan haiwan tertentu dan mengalirnya darah haiwan tersebut. Adapun perkara lain, seperti sunat seseorang itu memakan sebahagian daging korbannya, atau menyimpan sebahagian, atau bersedekah dengan sebahagiannya lagi adalah amalan sampingan dalam ibadah korban. Maka kita dapati bahawa bersedekah dengan sejumlah wang ataupun sejumlah daging yang dibeli bagi mengantikan sembelihan haiwan korban yang telah ditentukan adalah tidak menepati tuntutan ibadah korban itu sendiri, berbeza dengan zakat fitrah, ia bertujuan mengurangkan bebanan orang-orang miskin. 

Manakah yang lebih baik, korban dengan seekor kambing atau satu bahagian lembu?
Dalam menentukan haiwan yang mana lebih baik untuk dijadikan sembelihan korban, imam-imam mazhab berbeza pendapat, ini kerana banyak sumber dari hadis yang memberi isyarat akan kelebihan setiap haiwan yang dibolehkan untuk dijadikan sembelihan korban. Secara umumnya semua bersetuju manfaat penyembelihan korban tersebut akan lebih bererti jika dapat dinikmati oleh lebih ramai orang, maka kesimpulannya, haiwan mana yang lebih banyak dagingnya boleh dianggap lebih afdal daripada haiwan yang lain tanpa kita menentukan jenisnya.

Bolehkah seekor kambing dikongsi untuk seisi keluarga bagi ibadah korban?
Berkongsi seekor kambing bagi mewakili korban satu keluarga adalah menjadi amalan Rasulullah S.A.W dan para sahabat, dalam sebuah hadis Nabi S.A.W.;
“Pada zaman Rasulullah S.A.W, orang berkorban dengan seekor domba untuknya dan untuk keluarga seisi rumahnya. Mereka memakan dan mereka berikan orang lain sampai manusia merasa senang, sehingga mereka menjadi seperti yang engkau lihat.” Hadis riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi.
Ulama’ besar Asy Syaukani dalam kitabnya Al Raudlah 2:210, menyatakan :
“Adanya perintah berkorban, menunjukkan kepada wajibnya. Perintah itu ditujukan atas tuan rumah. Udhiyah (korban) itu, jika dikatakan wajib, maka bagi isi satu rumah diwajibkan atas kepala keluarga, atau atas orang yang mengepalainya, dan bagi orang yang tidak berkeluarga, atau belum mempunyai rumah tangga yang ia urusi, maka atas dirinya.” 

Apakah hukumnya berkongsi wang dengan seorang kawan untuk membeli seekor kambing bagi tujuan korban?
Islam telah meletakkan syarat bahawa seekor kambing boleh dijadikan haiwan sembelihan korban bagi satu kepala atau seorang sahaja, manakala mereka yang telah membeli seekor kambing bagi tujuan korban dengan berkongsi wang, maka mereka hanya mendapat pahala perkongsian selagi mana penyembelihan belum berlaku kerana niat yang baik membeli seekor kambing bagi tujuan korban, akan tetapi selepas penyembelihan haiwan tersebut, pahala itu hanya untuk orang yang di atas namanya haiwan korban itu disembelih. 

Bolehkah seseorang menyembelih seekor burung untuk korban kerana tiada kemampuan menyembelih lembu atau kambing?
Menyembelih haiwan korban tertentu seperti yang telah ditentukan oleh syarak adalah wajib, kita tidak diberi pilihan bagi menyembelih haiwan lain, ia bertujuan mendapatkan ganjaran yang terbaik yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Walau bagaimanapun, apabila kita tiada kemampuan, maka kita disunatkan menyembelih sesuatu seperti ayam, burung, itik dan sebagainya bagi meraikan hari raya korban yang disambut. 

Adakah seseorang yang sedang bermusafir dituntut melaksanakan korban?
Menurut pendapat semua mazhab, ibadah korban juga dituntut ke atas orang yang bermusafir walau di mana mereka berada, ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W yang mana Baginda telah menyembelih seekor lembu korban di Mina untuk isteri-isterinya. Hadis Riwayat Bukhari & Muslim.
Bagaimanapun, mazhab Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa orang musafir tidak dituntut berkorban kerana akan membebankannya seperti mana mereka juga tidak dituntut bersolat Jumaat ketika bermusafir. Wallahuaklam

Bolehkah korban dilaksanakan bagi anak saya yang belum diaqiqahkan?
Korban bagi anak kecil adalah atas tanggungjawab ibu bapanya seperti juga aqiqah, khususnya ibu bapa yang mempunyai kelapangan dan kemampuan. Jika seseorang itu berniat ingin membuat korban untuknya maka ia tidak menjadi masalah, akan tetapi jika didahulukan aqiqah adalah lebih baik, kerana aqiqah adalah suatu tuntutan kepada ibu bapa terhadap anak tersebut, sedangkan korban pula adalah suatu sunnah sahaja. 

Apa yang perlu didahulukan untuk seorang anak kecil, korban atau aqiqah?
Bagi seorang anak kecil maka sudah tentu aqiqah perlu didahulukan daripada korban. Sebabnya ialah, pertama; kerana ibadah aqiqah merupakan tanggungjawab ibu bapanya yang perlu dilaksanakan seawal mungkin, kedua ; korban merupakan pengorbanan individu yang dituntut bagi mendapatkan ganjaran yang besar di sisi Allah S.W.T., sedangkan tuntutan tersebut belum terletak di atas diri anak itu kerana ia masih kecil dan tiada kemampuan sendiri.

Walau bagaimanapun jika bertemu hari aqiqah anak saudara dengan hari raya korban, maka dibolehkan berniat sembelihan tersebut untuk aqiqah dan korban bagi anak tersebut. 

Bolehkah niatkan korban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia?
Orang yang telah meninggal dunia amat memerlukan kepada orang yang masih hidup, khususnya dari kalangan ahli keluarga bagi meneruskan amal kebajikan yang boleh menambah bekalan amal baik sebagai bekalan di akhirat nanti. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunat dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, maka berkorban bagi ibu bapa yang telah meninggal dunia boleh dilaksanakan mengikut pandangan mazhab Imam Hanafi dan Imam Hanbali. Berdoalah kepada Allah S.W.T supaya menerima korban tersebut dan memberikan pahala kebajikannya kepada kedua ibu bapa. 

Bolehkah seseorang itu berniat untuk melaksanakan korban untuk anaknya yang telah meninggal dunia?
Korban seperti yang kita ketahui adalah sebahagian daripada konsep bersedekah dalam mencari keredhaan dan mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunnah dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, mengikut pandangan mazhab Imam Hanafi dan Imam Hanbali terpulanglah kepada warisnya untuk melakukan amal kebajikan tersebut untuk anaknya, dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima korban tersebut dan memberikan pahala kepada anaknya.

Bolehkah seseorang melaksanakan korban bagi orang lain tanpa pengetahuannya?
Melaksanakan korban memerlukan niat yang sengaja, dan disertai dengan rasa kepatuhan kepada Allah S.W.T. Seseorang yang berkorban perlu sedar yang ia sedang melaksanakan suatu tuntutan ibadah yang dinamakan korban. Manakala korban yang dilaksanakan oleh orang lain tanpa pengetahuan orang kedua, maka ia tidak memberikan kesempurnaan kepada perlaksanaan korban itu sendiri, oleh itu kita tidak boleh melaksanakan korban bagi orang lain melainkan dengan keizinannya, kecuali ahli keluarga. 

Adakah seseorang patut menyembelih sendiri haiwan korbannya?
Adalah sunat bagi lelaki yang hendak berkorban itu menyembelih sendiri haiwan korban tersebut dengan tangannya, jika ia mampu. Jika ia tidak mampu, maka berwakillah kepada orang lain, kerana “Nabi S.A.W telah berkorban dengan 100 ekor unta, 63 ekor daripadanya Baginda sendiri menyembelihnya dan 37 ekor lagi diserahkannya kepada Saidina Ali bin Abi Talib untuk disembelihkan.” Hadis riwayat Ahmad dan Muslim. 

Bolehkah seseorang mewakilkan pihak tertentu melaksanakan korban bagi pihaknya di tempat lain?
Telah menjadi suatu amalan umat Islam di mana-mana bahawa mereka mewakilkan penyembelihan korban kepada pihak tertentu, sama ada pihak masjid, tukang sembelih atau syarikat tertentu seperti yang berlaku di Makkah al-Mukarramah pada musim Haji. Maka mewakilkan penyembelihan korban kepada pihak lain adalah suatu yang dibenarkan oleh agama bagi memudahkan amalan dan budaya tersebut diamalkan oleh umat Islam seluruhnya.

Dalam kitab I’anah ath-Thalibin: 2 / 381, Asy-Syeikh Muhammad bin Sulaiman al-Kurdi pernah ditanya:

“Sudah menjadi kebiasaan orang-orang negeri Jawi (Kepulauan Melayu) berwakil kepada seseorang untuk membeli na’am (seperti lembu dan kambing) di Makkah untuk dijadikan aqiqah dan korban, dan penyembelihannya dilakukan di Makkah, sedangkan orang yang hendak beraqiqah atau berkorban itu berada di negeri Jawi, maka adakah sah perbuatan sedemikian atau tidak? Mohon fatwakan kepada kami.”

Jawapan Asy Syeikh : “Ya! Sah yang demikian itu dan harus berwakil membeli binatang korban dan aqiqah yang begitu juga untuk menyembelihnya sekalipun di negeri yang bukan negeri orang yang berkorban dan beraqiqah itu.”

Bolehkah seseorang mewakilkan orang lain menyembelih haiwan korban bagi pihaknya?
Hukum asal penyembelihan binatang korban itu adalah sunat dilakukan sendiri oleh orang yang berkorban. Walau bagaimanapun orang yang tidak mampu melaksanakannya adalah lebih afdhal mewakilkan kepada orang lain untuk menyembelih binatang korbannya bagi pihak dirinya.

Dalam kitab Sabil al-Muhtadin : 214, “Kata Syeikh Muhammad bin Sulaiman: “Harus berwakil pada membeli na’am korban di negeri yang lain dan pada menyembelinya dan pada membahagikan dagingnya bagi segala miskin negeri itu. Maka iaitu zahir sama ada negeri Makkah atau lainnya… Akan datang kenyataannya dan sayugianya hendaklah yang berwakil menyerahkan niat korban kepada wakil pada masalah ini. 

Bolehkah seseorang itu memakan sedikit daripada daging korban nazarnya?
Jika korban yang dilakukan atas niat menunaikan nazar , maka daging korban tersebut tidak boleh dimakan oleh orang yang berkorban. Semua daging korban tersebut hendaklah disedekahkan kepada mereka yang berhak menerimanya.

Bolehkah kita memakan daging haiwan korban kita sendiri?
Kita memang dibenarkan oleh agama untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban yang kita lakukan. Dalam sebuah hadis, Rasulullah S.A.W. bersabda;
“Makanlah, buatlah jamuan untuk orang makan dan simpanlah sebahagian daging korban kamu.”
Mengikut pendapat ulama, kita dibolehkan memakan sepertiga daripada daging korban tersebut. 

Bolehkah kita menjual daging korban?
Hakikat dan tujuan korban ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T melalui ibadah korban dengan mengorbankan sesuatu untuk dirasai oleh orang lain, bukan mengorbankan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri. Jadi, menjual daging korban amat bertentangan dengan tujuan dan matlamat yang digariskan. Oleh itu, menjual daging haiwan korban adalah tidak dibolehkan. Kita hanya digalakkan memakan sebahagian daripada daging korban tersebut bagi mengambil keberkatan daripada ibadah korban tersebut. 

Bolehkah kita menjual kulit haiwan korban?
Menjual kulit haiwan korban adalah dilarang oleh agama, kerana ia bertentangan dengan matlamat dan tujuan sebenar korban itu dianjurkan, dan ia juga bertepatan dengan sebuah hadis Nabi S.A.W yang berbunyi;
“Sesiapa yang menjual kulit korbannya maka tidak ada korban baginya.” Hadis riwayat Hakim.
Walau bagaimanapun, menurut pendapat Imam Abu Hanifah, kulit haiwan korban boleh dijual dan harganya disedekahkan atau dibelikan sesuatu keperluan rumahtangga. Wallahuaklam

Ada pandangan mengatakan bahawa kita mesti makan sebahagian daging korban yang kita sembelih, bolehkah kita sedekahkan semua daging sembelihan korban?
Memakan sebahagian daripada daging korban itu dibolehkan oleh agama untuk kita sama-sama merasa dan mendapat keberkatan dari ibadah tersebut, adapun jika seseorang ingin bersedekah dan memberikan semua daging korban tersebut kepada mereka yang layak menerimanya, maka ia amatlah baik sekali. Wallahuaklam

Bolehkah diberikan sebahagian daging korban atau kulit haiwan korban sebagai upah kepada tukang sembelih?
Dalam hal ini Islam tidak membenarkan kita membayar upah kepada tukang sembelih haiwan korban dengan daging mahupun kulit haiwan korban tersebut. Maka seseorang perlu membayar upah tersebut daripada sumber lain yang dimiliki. Ini bertepatan dengan hadis Nabi S.A.W. dari Saidina Ali R.A.;
“Kami memberikan upah kepada orang yang menyembelih haiwan tersebut dari bahagian yang ada pada kami.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Bagaimana cara yang paling baik mengagihkan daging korban?
Bagi pengagihan daging korban, golongan yang paling diutamakan ialah fakir miskin daripada kalangan keluarga terdekat, kemudian fakir miskin dari kalangan jiran tetangga. Tidak boleh diberikan kepada fakir miskin yang tidak beragama Islam. Walau bagaimanapun kita disunatkan memakan hati haiwan korban tersebut, kerana menurut riwayat Al-Baihaqi, “Rasulullah S.A.W memakan hati korbannya.”
Dan Allah S.W.T juga menyuruh orang yang berkorban memakan sedikit daripadanya, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam surah al-Hajj, ayat 28;
Maksud ayat “Maka makanlah olehmu sebahagian daripadanya dan sebahagian lagi berikanlah untuk dimakan oleh orang-orang yang sengsara lagi fakir.”
Wallahuaklam

Bolehkah orang kafir diberikan daging korban?
Matlamat dan tujuan kita dianjurkan berkorban adalah jelas, antara lain mensyukuri nikmat Allah S.W.T yang dikurniakan sepanjang tahun tersebut, dan memberikan orang lain sama-sama merasa nikmat Allah S.W.T, di samping merapatkan lagi ukhuwwah sesama umat. Oleh itu pemberian daging korban kepada orang yang bukan Islam tidak bercanggah dengan mana-mana tujuan korban itu dianjurkan, maka mengikut pandangan mazhab Hanbali adalah dibenarkan kita memberikan daging korban sunat sebagai hadiah kepada orang bukan Islam, tetapi daging korban wajib tidak boleh kita berikan kepada orang bukan Islam. Wallahuaklam

Apakah hukum menjemput orang kafir untuk makan daging korban yang telah dimasak?
Seperti mana kita dibenarkan memberikan daging korban sunat kepada orang bukan Islam berdasarkan kepada pandangan mazhab Hanbali, maka menjemput mereka makan daging sembelihan korban sunat adalah dibolehkan asalkan ia mempunyai niat yang baik dan tidak bertentangan dengan tujuan dan matlamat murni korban itu sendiri, dan juga syaratnya ialah bukan daripada daging korban wajib. Wallahuaklam

Bolehkah seseorang itu mengambil 1 atau 2 bahagian di dalam seekor lembu korban dengan niat ingin mendapat daging sahaja?
Ibadah korban hanya tercapai dengan berlakunya penyembelihan haiwan korban tertentu, pada hari-hari tertentu, dengan berlakunya tumpahan darah dari haiwan yang disembelih, maka terlaksanalah ibadah korban. Oleh itu, sembelihan mestilah berlaku dengan niat yang satu iaitu korban. Akan tetapi ada pendapat di dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa berkongsi bahagian dalam seekor lembu korban dengan niat yang berbeza adalah dibenarkan, dan setiap orang mendapat hak masing-masing. Wallahuaklam


Rujukan:
1. Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’ – Khotib Syarbini
2. Fiqh Islami – Wahbah Az-Zuhaili
3. Fiqh As-Sunnah – Sayyid Sabiq
4. Sirajul Wahhaj ‘Ala Matnil Minhaj Lil Imam Nawawi.
5. Korban & Aqiqah – Haji Ahmad Fuad Said
6. Panduan Aqiqah Khatan & Korban – Muhammad Isa Selamat
7. Ibadat Korban, Hukum & Cara Pengendaliannya – Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.


Banyak info lain pasal korban nih... Sebagai info tambahan bagi kita... moga bermanfaat.

8Ulasan

  1. banyak info dan persoalan ni..tak berkesempatan nak baca habis..nanti boleh refer kat sini balik..tq kak

    BalasPadam
  2. info yg sgt baik.
    sempena nk dekat raya haji ni..
    kak, setahu sy lah kan...
    adab untuk menyembelih binatang salah satunya
    tak boleh bg dia nampak kawan dia kene sembelihkan?
    mesti ada jarak yg jauh .. tp skang yg buat area masjid , lembu masing2 dekat2.. so dia nampak la kawan dia kene sembelih..
    mcm ne tu? mohon pencerahan.

    BalasPadam
  3. In Shaa Allah this year for the first time kita qurban di kemboja...selalu kat Malaysia..Moga dipermudahkan segala urusan. Untuk yang lain juga moga Allah menerima ibadah qurban kita..

    BalasPadam
  4. Moga bertambah ilmu pengetahuan kita ttg ibadah korban ni...

    BalasPadam
  5. Terima kasih, Maria atas perkongsian yang begitu mendalam ni.
    Kalau ada apa-apa kemusykilan nanti, harap saya jumpa entri ni semula untuk rujukan.

    BalasPadam
  6. Thanks maria sdi kongsi info..nnt kalau ad apa2 yg berbangkit mengenai hal ni blh la kak lya refer sini

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ