AWAS! AIR KENCING PENYEBAB AZAB KUBUR DAN PEROSAK IBADAH

Maria Firdz
2
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


AWAS! AIR KENCING PENYEBAB AZAB KUBUR DAN PEROSAK IBADAH | Kebanyakan zaman moden sekarang ni, tandas dah maju... Dah canggih... ada yang jenis takde paip lagi... Basuh pakai lap dengan tisu je. Memang la boleh istinjak dengan benda kesat, tapi afdhalnya guna air.

Tambah pula dengan tempat kencing berdiri bagi lelaki. Tapi korang jangan tak tau, kencing tak basuh boleh sebabkan seksa kubur tau...

Ini bukan rekaan, tapi memang ada hadis sahih dan dalil yang jelas bab kencing dan seksa kubur akibat kencing.

AWAS! AIR KENCING PENYEBAB AZAB KUBUR DAN PEROSAK IBADAH

AIR KENCING PENYEBAB AZAB KUBUR
sumber: google images

Hadis: Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Hammad, telah menceritakan kepada kami Abu ‘Awanah dari Al A’masy dari Abu Shalih dari Abu Hurairah ra dari Rasulullah saw, baginda bersabda: “Kebanyakan siksa kubur adalah kerana kencing.” [Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, kitab 6 (Sisa Musnad Sahabat yang Banyak Meriwayatkan Hadis), Musnad Abu Hurairah ra. Hadis ini sahih]

Dalam hadis lain:
Rasulullah saw bersabda: “Berlindunglah kalian dari air kencing kerana kebanyakan azab kubur adalah daripadanya.” [Riwayat Daraquthni di dalam Sunannya, hadis ini sahih]

Dua hadis ini menjadi bukti bahawa air kencing sebenarnya memberi impak yang besar kepada diri seseorang di alam barzakh. Dalil ini juga membuktikan bahawa ramai orang diseksa di dalam kubur adalah kebanyakannya disebabkan air kencing. Ini diperkuatkan dengan hadis:

Telah mengabarkan kepada kami Ahmad bin Sulaiman dia berkata; telah menceritakan kepada kami Ya’la dia berkata; telah menceritakan kepada kami Qudamah dari Jasrah dia berkata; telah menceritakan kepadaku ‘Aisyah, dia berkata;

“Seorang wanita Yahudi menemuiku dan berkata “Azab kubur itu boleh terjadi kerana air kencing (yang tidak sempurna disucikan)”. Aku (Aisyah) pun berkata “Kamu berdusta”. Dia berkata “Benar, bahkan jika salah seorang kami siap untuk memotong kulit dan pakaian kami (jika terkena air kencing)”. Kemudian Rasulullah saw keluar hendak solat, baginda mendengar suara kami yang keras, maka baginda bertanya “Ada apakah ini?”. Lalu aku memberitahu apa yang dia katakan. Nabi saw bersabda “Dia (orang Yahudi itu) berkata benar”. Maka setelah itu, baginda tidaklah melaksanakan solat kecuali beliau mengucapkan di akhir solatnya “Ya Allah, pemelihara Jibril dan Mikail dan Israfil, lindungilah aku dari panasnya api neraka dan azab kubur”

[Riwayat an-Nasa’i di dalam kitab Sunannya, 13/794; juga diriwayatkan dalam Musnad Ahmad 13/1113, no. 23188]

Hadis ini membuktikan lagi bahawa antara azab kubur di alam barzakh nanti adalah disebabkan air kencing. Maka telah terang, jelas, lagi bersuluh, bahawa air kencing merupakan salah satu penyebab kita diazab di dalam kubur. Wajiblah anda mengetahui sebab-sebab dan cara menjaga diri dari najis air kencing.

MENGAPA AIR KENCING MENJADI PENYEBAB KITA DIAZAB?

Kerana ia najis. Dan najis adalah penyebab solat tidak sah, penyebab diri kita tidak suci untuk beribadah. Tidak melindungi diri dari terkena percikan atau saki baki air kencing itu sendiri adalah di antara sebab yang akan mengakibatkan seseorang itu terkena azab kubur. Kerana melalaikan diri kita, sengaja mengabaikan najis yang terkena pada pakaian atau tubuh. Sebagaimana hadis sahih yang diriwayatkan ramai ahli hadis di bawah:

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna berkata, Muhammad bin Hazm berkata, telah menceritakan kepada kami Al A’masy dari Mujahid dan Thawus dari Ibnu Abbas ra berkata:

“Rasulullah saw melalui dekat dua kuburan, lalu baginda bersabda “Sesungguhnya keduanya sedang diseksa, dan keduanya diseksa bukan kerana perkara besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing, sementara yang satunya suka mengadu domba (menyebar fitnah)”. Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah, baginda lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian diletakkan pada kedua-dua kuburan tersebut. Para sahabat bertanya “Wahai Rasulullah, kenapa engkau melakukan ini?” baginda menjawab “Semoga seksa keduanya diringankan selama batang pohon ini basah”.

[Riwayat Bukhari di dalam Sahihnya, Kitab Wudhu’, Bab membersihkan kencing, no 216; juga diriwayatkan oleh Muslim, Ibnu Majah, dan Ahmad]

Perbuatan mengelakkan diri dari terkena percikan atau saki baki kencing mungkin dianggap remeh, seperti mana sabda baginda dalam hadis di atas, bukan suatu perkara yang besar dan bukan suatu yang rumit. Perbuatan itu suatu yang mudah, tetapi kerana orang melihatnya mudah, orang mengambil sikap sambil lewa, meremehkan perbuatan mudah ini, lalu mengakibatkan mereka ditimpa azab di dalam kubur tanpa mereka sangka.

AKIBAT DI DUNIA, ATAS KELALAIAN DALAM MENJAGA NAJIS KENCING 

Salah satu akibat utamanya ialah solat tidak sah. Sebagaimana yang kita tahu, salah satu syarat sah solat ialah suci dari najis. Air kencing merupakan salah satu najis yang menyebabkan syarat sah solat tidak dipenuhi, lantas solat kita tidak dikira sah. Ini berdasarkan dalil:

Telah menceritakan kepada kami Waki’ berkata; telah menceritakan kepada kami Dawud Al Adawi dari ayahnya dari Abu Hurairah ra dia berkata; Rasulullah saw bersabda; “Jangan sampai salah seorang dari kalian solat sedang pada dirinya terdapat kotoran tahi dan air kencing”

[Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, kitab 6 (Sisa Musnad Sahabat yang Banyak Meriwayatkan Hadis), Musnad Abu Hurairah ra]

Akibat-akibat lain ialah, kemungkinan akan terkena penyakit, penyebab pakaian/tubuh berbau busuk, najis akan berpindah kepada benda lain yang dikhuatiri penyebab ibadah kita di masa akan datang tidak sah, najis akan berpindah apabila dimasukkan ke dalam mesin basuh yang tidak melalukan air dengan sekali lalu dalam memindahkan najis (rendaman mesin basuh tidak dikira air mengalir), dan banyak lagi.

BAGAIMANA UNTUK MENGELAK SEKSA KUBUR DISEBABKAN AIR KENCING?

Ulama menggariskan panduan untuk kita, khususnya bagi lelaki untuk membersihkan saki baki kencing dan panduan mengelak dari terkena percikan kencing. Lelaki lebih frequent mengidap penyakit kencing tidak lawas berbanding wanita. Jadi lelaki kena beri lebih perhatian terhadap perkara ini.

1) Mengurut kemaluan selepas kencing

Dari Isa bin Yazdad Al Yamani dari ayahnya ia berkata; Rasulullah saw bersabda: “Jika salah seorang dari kalian kencing, hendaklah mengurut kemaluannya tiga kali”

[Riwayat Ibnu Majah di dalam kitab Sunannya, 2/65; hadis ini lemah menurut jumhur ulama, namun jika perbuatan ini berkesan, ulama membenarkan ia diamalkan tanpa mensandarkan sunnah pada baginda Nabi]

2) Berdehem selepas kencing

Menurut Imam Nawawi di dalam kitab Majmu’ Sharh Muhazzab:
“Beberapa ulama di kalangan mazhab Syafie (mengatakan bahawa): Sesungguhnya adalah mustahab (digalakkan) bersabar selepas beristinja’, mengurut Zakar sambil berdehem”

3) Kencing duduk

Ulama menghukumkan kencing berdiri sebagai makruh. Namun tidaklah berdosa jika kencing berdiri, asalkan dijaga diri dari terkena najis air kencing. Cuma perbuatan kencing berdiri adalah ditegah kerana baginda pernah melarangnya khuatir terkena air percikan kencing. Salah satu dalil:

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Yahya berkata, telah menceritakan kepada kami Abdurrazaq berkata, telah menceritakan kepada kami Ibnu Juraij dari Abdul Karim bin Abu Umayyah dari Nafi’ dari Ibnu Umar dari Umar ra ia berkata; “Ketika aku kencing dengan berdiri, Rasulullah saw melihatku, maka beliau pun menegurku “Wahai Umar, janganlah engkau kencing dengan berdiri”.

[Riwayat Ibnu Majah di dalam kitab Sunannya, 2/60]

Dalil lain:

Telah mengabarkan kepada kami Hannad bin As Sariy dari Abu Mu’awiyah dari Al ‘Amasy dari Zaid bin Wahab dari Abdurrahman bin Hasanah dia berkata;

“Rasulullah saw pernah menemui kami, dan di tangan beliau ada sesuatu yang mirip perisai dari kulit. Beliau lalu meletakkannya dan duduk di belakangnya, kemudian buang air kecil ke arah perisai tersebut. Sebahagian orang berkata “Lihatlah, beliau buang air kecil seperti perempuan! (cara duduk, orang Arab lelaki dahulu suka kencing berdiri)”. Ketika Rasulullah saw mendengar ucapan tersebut, baginda berkata “Apakah kalian tidak tahu apa yang menimpa Bani Israil? Apabila seorang dari mereka terkena air kencing, mereka menggunting kain yang terkena kencing tadi, lalu temannya melarang mereka melakukan demikian, sehingga temannya itu disiksa di kuburnya”

[Riwayat an-Nasa’i di dalam Sunannya, 1/26; juga diriwayatkan oleh Bukhari dan Ibnu Majah di dalam Sahih dan Sunan mereka dengan sanad berbeza]

Dalil ini menunjukkan baginda mementingkan kencing secara duduk, dan amat mementingkan penjagaan pakaian daripada terkena air kencing, sehingga teman Bani Israil itu diseksa di dalam kubur kerana melarang mereka yang menjaga pakaian mereka.

Meskipun ada dalil yang menunjukkan baginda pernah kencing berdiri, namun ia hanya dalam situasi-situasi tertentu dan baginda tidak melazimi perbuatan tersebut. Berdasarkan hadis, baginda pernah kencing berdiri kerana di situ adalah tempat pembuangan sampah dan tempat tinggi, baginda khuatir pakaian baginda kotor ketika duduk.

4) Istinja’ kemaluan terlebih dahulu sebelum memakai pakaian (termasuk pakaian dalam) – Lelaki dan wanita sila ambil perhatian

Wajib istinja’ untuk menyucikan kemaluan daripada najis. Jika masih ada najis kencing pada kemaluan, kemudian kita terus pakai pakaian kita, ada kemungkinan najis itu akan terkena pada pakaian tersebut, lalu menyebabkan solat tidak sah. Sebaik-baik istinja’ ialah dengan air. Masalah kini bagi lelaki yang kencing di mangkuk berdiri, lepas kencing terus zip seluar. Tidak basuh kemaluan. Ini antara penyebab kita mendapat azab kubur.

5) Sabar sekejap selepas kencing

Sebagaimana kata Imam Nawawi pada no 2 tadi. Perkara ini penting bagi wanita kerana jarang wanita mengidap penyakit kencing tidak lawas, namun ramai wanita tidak sabar menunggu sebentar biar semua titisan kencing habis keluar. Sikap seperti ini memungkinkan titisan yang keluar lambat itu akan kena pada pakaian dalam, walaupun setelah dibasuh.

6) Jangan kencing di dalam takungan air yang tenang (yang tidak mengalir)

Telah menceritakan kepada kami ‘Affan telah menceritakan kepada kami Abu ‘Awanah dari Dawud bin Abdullah Al Audi dari Humaid bin Abdurrahman Al Himyari dari Abu Hurairah ra dia berkata; Rasulullah saw bersabda; “Janganlah sekali-kali salah seorang dari kalian kencing di air yang tenang kemudian bersuci darinya (mandi junub atau berwudhu)”

[Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, kitab 6 (Sisa Musnad Sahabat yang Banyak Meriwayatkan Hadis), Musnad Abu Hurairah ra; juga diriwayatkan oleh an-Nasa’i, Ibnu Majah, Tirmidzi, Muslim dan Bukhari]

Ini harus dielakkan, bimbang kita terlupa kita pernah kencing di situ, lepas tu kita bersuci pula dari takungan air itu, akan jadi masalah pada status mandi/wudhu kita.

SOAL PERCIKAN KENCING YANG DIMAAFKAN

Percikan yang dimaksudkan di sini ialah lantunan titisan air kencing yang memancur pada tanah/mangkuk tandas/etc yang tersebar/melantun kepada benda lain seperti pakaian atau tubuh kita.

Menurut pendapat ulama Mazhab Syafie, tidak ada najis yang dimaafkan kecuali najis-najis berikut: “Najis yang tidak dapat dilihat oleh mata yang sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.” Tidak perlu diteliti sehingga ke tahap diperiksa dan dibelek-belek di kawasan yang disyaki ini. Ini akan lebih menyusahkan. Sedangkan syara’ tidak membebankan sehingga ke tangga tersebut.

[Rujuk Kitab Fiqhul Islami Wa Adillatuhu Al-Juz’ Al- Awwal (Fiqh Dan Perundangan Islam Jilid 1) susunan Dr Wahbah Zuhaili, Dalam Bab Kadar Najis Yang Dimaafkan: Mazhab Syafi’e]

Kaedah fiqh menyatakan “Keraguan tidak dapat dihilangkan/dihapuskan dengan syak”, maksudnya, selagi hati hanya berasa was-was adanya percikan kencing pada pakaian/tubuh kita yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, maka ia masih dikira ragu, dan tidak perlu berbuat apa-apa terhadap perkara was-was seperti ini dan dimaafkan untuk melakukan ibadah. Namun sunat keluar dari was-was tersebut dengan membasuh bahagian yang dirasakan terkena najis.

Sumber: Syapik Hassan

Kesimpulan

Nampak tak, simple dan remeh kan... tapi jelas bahawa kencing boleh jadi penyebab azab kubur dan rosak ibadah.

Sebab itu digalakkan kencing cangkung atau duduk tak kira lelaki dan perempuan... tak perlu ikut trend omputih hinggakan alat kencing berdiri bagi perempuan pun ada jual..

Ajarlah anak-anak kita cuci kencing betul-betul... Bagi anak lelaki latih kencing duduk.. jangan biarkan anak lelaki kencing berdiri sebab nanti jadi kebiasaan hingga besar.

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. 

Catat Ulasan

2Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ

  1. sebab tu islam menekankan amalan kebersihan.. bagus artikel ni

    BalasPadam
  2. nauzubillah...benda yang mungkin kita terlepas pandang rupanya salah satu sebab kita tidak terlepas dari seksaan kubur kan..

    BalasPadam
Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !