بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
ADAB TEGUR MENEGUR
Teringat saya pada satu kisah.
Pada suatu malam, rumah seorang lelaki kaya dimasuki perompak. Banyak hartanya yang hilang dan ahli keluarganya dicederakan, namun masih selamat.
Keesokan hari, seorang 'ustaz' datang menziarahinya. "Mungkin ini adalah balasan atas dosa-dosa kamu. Orang berharta sering lalai dengan hartanya, tidak membayar zakat, tidak mahu bersedekah, tidak memandang mereka yang fakir, kedekut dan asyik mengejar kekayaan. Tuhan mahu membersihkan harta-harta kamu. Dosa apa yang sudah kamu lakukan sehingga Tuhan membalasmu begini sekali? Bertaubatlah dan berhentilah melakukan dosa itu."
Orang kaya yang sedang bersedih itu bertambah sedih. Dia hanya mendiamkan diri dan tidak henti beristghfar sesungguh hati.
Apa yang si 'ustaz' tidak tahu ialah si kaya itu seorang yang dermawan, cuma dia tidak menghebahkannya. Dia membantu dan membangunkan sebuah perkampungan yang para penduduknya lebih dhaif dan susah. Dia juga membinakan masjid untuk mereka. Banyak lagi kebaikan dan ibadah lain yang dilakukan oleh si kaya tanpa memberitahu sesiapa mengenai aktivitinya itu termasuk kepada pembantu dan rakan-rakannya.
Si kaya hanya memberitahu beberapa aktiviti kebajikan dan sedekah yang dilakukannya kepada penduduk kampungnya sendiri. Penduduk kampungnya pula tidak sedhaif penduduk kampung yang dibantunya. Masjid di kampungnya besar dan dibangunkan atas derma ramai orang kaya di kampungnya juga. Ya, dia menderma sedikit sahaja. Itu pun kerana mahu menjaga hubungan baik dengan penduduk kampungnya.
Selesai men-tazkirah-kan si kaya, si 'ustaz' pulang ke rumah dengan perasaan 'tenang' kerana sudah menjalankan 'tanggungjawabnya untuk berdakwah' dan 'menyampaikan'.
Beberapa hari selepas itu, perompak yang merompak rumah si kaya berjaya ditangkap. Semua harta yang dirompak berjaya ditemui semula dan dikembalikan kepada si kaya. Ahli keluarganya juga sudah semakin sihat.
Si kaya meraikan kesyukurannya dengan mengadakan jamuan besar-besaran dan menjemput semua penduduk kampung. Dia juga mengadakan jamuan di perkampungan yang dibantunya.
"Syukurlah kamu sudah insaf," kata si 'ustaz' kepada si kaya.
"Terima kasih, ustaz, kerana mengingatkan aku," kata si kaya sambil tersenyum.
"Tak apa. Sudah menjadi tugas aku untuk 'berdakwah'," jawab si 'ustaz'.
Malam itu, rumah si 'ustaz' terbakar ketika mereka sekeluarga sedang tidur. Rumahnya habis hangus menjadi abu. Dia tinggal sehelai sepinggang dan seorang diri. Semua ahli keluarganya meninggal dunia.
Si 'ustaz' merintih. "Ya Tuhan, aku tahu ini ujian-Mu terhadap aku. Aku mahu redha, namun ujian ini terlalu berat untukku. Mengapa aku yang Kau pilih untuk menerima ujian ini?"
Tidak lama kemudian, si kaya menziarahi si alim.
"Aku tahu kau sedang bersedih dan aku tidak akan menambahkan kesedihanmu," kata si kaya. "Aku hanya mahu menyampaikan berita gembira kepadamu."
"Bagaimana pula kau boleh menyampaikan berita gembira ketika aku sedang bersedih?" kata si 'ustaz', jengkel.
"Aku akan membinakan rumah baru untukmu. Buat sementara waktu ini, kau tinggal sahaja di salah satu rumah sewa aku secara percuma sehingga rumah barumu siap. Aku juga sudah mengarahkan pembantuku untuk membawamu menyelesaikan banyak urusan terutama berkaitan dokumen yang sudah hangus. Dia juga akan membawamu membeli semua barang keperluanmu termasuk pakaianmu. Semua belanja itu dan perbelanjaanmu yang lain, akan aku tanggung," kata si kaya.
Si 'ustaz' terkejut dan terus memeluk si kaya. Dia tidak mampu berkata apa-apa kerana terlalu sedih dan terharu.
Pada masa yang sama, seorang 'alim' yang lain datang menziarahinya. Si kaya pun meminta diri dan meninggalkan mereka berdua.
Selepas bersalaman dan menyampaikan takziah, si 'alim' berkata, "Dosa apa yang sudah kamu lakukan sehingga Tuhan membalasmu begini sekali? Bertaubatlah dan berhentilah melakukan dosa itu."
Si 'ustaz' yang sedang kesedihan tersentak dan tersentap. Serta merta dia menoleh ke arah si kaya yang sedang berjalan pulang ke rumahnya. Dia teringat semula soalan yang ditanyanya kepada si kaya itu tempoh hari.
Si 'ustaz'
menangis keinsafan apabila menyedari keterlanjuran kata-katanya kepada si kaya. Dalam keterlanjuran itu pun, Allah masih memelihara aibnya dengan mengilhamkan si kaya membantunya, tanpa si 'ustaz' perlu meminta-minta.
"Ya Allah, aku mohon ampun... Ketika aku sangka yang aku sedang berdakwah, rupa-rupanya aku sedang mengadili dan 'menghukum'nya. Ketika dakwahku seharusnya membawa berita gembira kepadanya yang sedang bersedih, ternyata aku hanya menambahkan kesedihannya. Aku sudah faham sekarang. Ampunkanlah aku. Jika ini adalah balasan-Mu terhadap keterlanjuranku, aku redha. Semoga Engkau mengizinkan aku kembali bertemu keluargaku di syurga."
Sumber : Google image |
ADAB TEGUR MENEGUR
Kawan-kawan.Kesempitan, kesulitan, musibah, ujian atau apa sahaja kesusahan yang kita lihat sedang dilalui oleh seseorang itu, boleh jadi ujian ataupun balasan Tuhan kepadanya.
Boleh jadi itu ujian yang Allah beri kepadanya bagi menguatkan lagi iman dan pergantungannya kepada Allah.
Boleh jadi juga itu balasan yang Allah berikan kepadanya atas banyak kelalaian dan kesilapan dia kepada Allah.
Tidak perlu kita mengingatkannya yang itu adalah balasan Tuhan atas dosa-dosanya. Tidak perlu juga kita mengingatkannya tentang dosa-dosanya. Tuhan sendiri yang akan 'memberikan' ingatan itu kepadanya. Setiap hati manusia yang beriman pasti akan terdetik sendiri, selagi hatinya masih bersyahadah walaupun secebis.
Sebaliknya, kita pujuk dan senangkan hati mereka dengan mengingatkan mereka tentang kasih sayang Tuhan, yang Tuhan itu Maha Pengampun dan sentiasa akan 'mengejutkan' hamba-hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya melalui apa juga cara.
Ingatkan dia yang Tuhan sentiasa akan melepaskan hamba-hamba-Nya daripada apa saja kesulitan selagi kita kembali bergantung kepada-Nya, malah dikeluarkan kita daripada kesusahan melalui jalan yang tidak kita sangka, jika kita bertakwa.
Kita ini sama sahaja dengan mereka. Tidak ada beza langsung.
Lalu, siapa kita mahu menjatuhkan hukum dengan mengatakan 'itu balasan untuk kamu', sedangkan kita sendiri pun punya ujian sendiri yang kita juga tidak tahu apakah itu benar-benar ujian atau balasan Tuhan atas dosa-dosa kita?
Sama ada ujian ataupun balasan, semua itu adalah tanda kasih Allah kepada kita kerana Dia Maha Penyayang, Maha Mengasihani, Maha Menyintai.
Allah Maha Belas terhadap setiap makhluk-Nya walaupun dalam keadaan si makhluk yang kerap melupakan-Nya. Allah juga Maha Menghukum jika hamba-hamba-Nya masih berdegil dan tetap lalai serta berterusan melanggar setiap larangan-Nya supaya kita kembali mengingatinya.
Jika mahu mengingatkan juga, kita usaha pilih dan guna perkataan dan ayat-ayat yang lebih lembut dan tidak menghukum-hukum. Kita sendiri tidak suka diadili dan dihukum-hukum hanya berdasarkan apa yang orang nampak sedangkan banyak yang mereka tidak tahu tentang kita.
Tegur menegur. Ingat mengingati. Bukan mengadili dan bukan menghukum.
Hanya Allah yang memberi hidayah. Kita menyampaikan sahaja.
'Dakwah' itu ada pada akhlak dan kata-kata kita. Bukan pada hukuman dan amaran yang kita berikan kepada mereka.
Oleh :Hamba Allah
SILA SHARE DAN SEBARKAN
Kredit : Facebook Ustaz Iqbal Zain via Telegram Channel
Terima kasih kak Maria kerana memberikan inspirasi dan mengingatkan saya tentang adab tegur menegur.. Semoga kita semua dapat kerahmatan daripada Allah.. Dan tahniah saya ucapkan pada akak kerana minggu nie akak terpilih untuk direview dalam jurnal saya.. Jemputlah singgah...
BalasPadamhttp://www.shikinrazali.com/2018/07/sahabat-blogger-pilihan_24.html