بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
10 Tips Untuk Ibu Ayah Yang Ada Anak Tahun 1 | Hampir minggu terakhir untuk buat persiapan persekolahan.
Macam mana persiapan? Dah siap beli baju dan buku. MF rasa, minggu ni minggu sibuk ni... Banyak kedai akan jadi tumpuan untuk ibu bapa buat persiapan akhir untuk sesi persekolahan tahun depan.
MF pun tak terkecuali dan untuk beli baju untuk anak sendiri yang bakal naik sekolah tahun rendah tahun 1 walaupun bukan pertama kali...
Sebagai ibu bapa mestilah debaran tu ada.. Anak nampak relax je tapi mak pak nya yang kalut sebab takde pengalaman kan.. Insha Allah anak akan datang tak serisau ini dah...
Apa pun hanya doa moga dipermudahkan... Tambah pula.. Semua persiapan diuruskan suami je.. Sebab MF salam pantang lagi.
Bab persiapan persekolahan secara fizikal tu MF tak risau mana.. Tapi yang lebih merisaukan cabaran si kakak nak mula dengan gaya dan amalan pembelajaran yang semestinya berlainan semasa dia di pra-sekolah.
Cuma, sedikit lega sebab kakak bersedia di pra sekolah.. Jadi selok belok sekolah seperti kantin, tandas dan segalanya dia dah tahu...
Apa pun, menarik untuk MF nak kongsikan 10 Tips berguna dari cikgu tahun 1 ini... Panduan buat ibu bapa baru yang ada anak ke Tahun 1 buat pertama kalinya..
10 Tips Untuk Ibu Ayah Yang Ada Anak Tahun 1
Ada anak Darjah 1 tahun 2018? Ini persiapan kau sebagai ibu bapa.
1) Pastikan Anak Kuasai 3M
Pastikan anak kenal huruf dan boleh membaca dan mengeja walau sedikit. Operasi asas nombor, tambah dan tolak bawah 10 dia dah kuasai.
Silibus KSSR Semakan 2017 sangat tinggi arasnya. Murid yang masuk dengan 'zero', pasti ketinggalan jauh ke belakang. Silap-silap akan masuk kelas pemulihan.
Bahasa Malaysia tahun 1 silibus baru ini murid dah kena pandai bina ayat berdasarkan gambar menjelang pertengahan tahun.
Matematik pula dah diperkenalkan asas bundar, asas pecahan malah pengurusan data. Ini semua topik di Tahun 4 kalau ikut silibus lama, KBSR. KSSR ni lain macam dia punya pergi.
Bayangkan kalau anak kita masuk dengan 'zero'. Pasti tertinggal kerana cikgu tak akan tunggu anak kita seorang.
2) Bimbing Anak di Rumah
Bimbing anak di rumah. Ini sangat penting. Berhenti merungut kata silibus tinggi dan soalan terlampau KBAT.
Anak walau ada asas membaca dan tahu operasi asas nombor pasti ketinggalan juga jika tiada bimbingan lanjut di rumah.
Silibus berat, masa singkat. Namun sebenarnya anak-anak kita boleh kuasai. Majoriti murid mampu ikut dengan baik.
Kebanyakan murid yang tertinggal adalah yang tidak diberi bimbingan lanjut di rumah.
Nak anak berjaya? Bantu mereka. Jangan harap ilmu di sekolah dan guru semata-mata.
3) Ajar Anak Kenali Wang.
Ajar anak guna wang. Ajar anak tunggu terima baki. Ajar anak jangan bagi wang jika murid lain minta. Ajar anak maklumkan pada cikgu kalau murid lain minta wang dari mereka.
Semua asas ini perlu diajar dari rumah lagi. Cikgu tak mampu nak ajar beratus murid cara guna wang dan cara jaga duit poket mereka.
Fakta : Ramai murid tahun 1 tidak tahu guna wang.
4) Ajar Anak Guna Tandas
Ajar anak guna tandas awam/sekolah. Jangan buat macam di rumah. Ajar anak minta izin untuk ke tandas.
Fakta : Ada murid buka seluar dalam kelas dan berlari bogel menuju ke tandas tanpa rasa malu. Ada pula buka seluar di luar pintu tandas dan seluar basah kuyup kena air kat lantai dan kotor dipijak kawan yang lalu lalang.
5) Jangan Takutkan Anak Dengan Cikgu Garang
Jangan takutkan murid dengan bagitahu mereka cikgu garang. JANGAN!
Ramai ibu bapa takutkan anak mereka dengan ayat,
" Abang jangan nakal-nakal. Nanti cikgu rotan."
Akibatnya, murid takut nak minta izin ke tandas.
Fakta : Kebanyakan murid yang kencing berak dalam seluar kerana takut untuk minta izin sebab dimomokkan oleh ibu bapa mereka bahawa cikgu garang.
6) Ajar anak berkongsi dan menjaga barang sendiri.
Bekal makanan buatlah lebih. Suruh anak berkongsi dengan murid lain. Ini amalan mulia.
Begitu juga pensel, pemadam dan alat tulis. Berkongsi, tapi sila pastikan mereka ambil dan simpan semula.
Fakta : Ramai murid tidak pandai jaga harta sendiri. Hasilnya, di kantin lambakan botol air dan bekal makanan yang murid tinggal. Dalam kelas, lambakan alat tulis yang jatuh tidak dikutip, buku ditinggalkan di bawah meja.
7) Ajar Pakai Kasut dan Tali Pinggang
Jangan bagi murid pakai kasut bertali jika mereka tak pandai ikat. Ajar juga anak buka dan pasang tali pinggang.
Ramai murid tahun 1 pakai tali pinggang buat kali pertama bila menjejak kaki di sekolah. Mak ayah yang pakaikan di rumah.
Fakta : Ramai murid terkencing dan terberak dalam seluar gara-gara tak pandai buka tali pinggang.
8) Ajar Ikut Jadual Sekolah
Ajar anak susun jadual ikut hari. Jangan bawa semua buku. Bawa buku mengikut jadual sahaja. Baru beg tak berat.
Ajar ayah dia sekali susun jadual anak. Ini pun penting!
Fakta : Biasa murid bawa buku ikut jadual dan beg tak berat. Suatu hari semua buku murid itu bawa. Rupanya ibu dia 'out station' dan ayah tukang susun buku.
Semua buku ayah dia sumbat. Banana punya ayah. Kesian kat anak.
9) Gunakan Group Whatssap Dengan Bijak
Jika ada group wasap kelas, jangan wasap tengah-tengah malam buta dan mengharap balasan segera. Cikgu bukan kedai 7-Eleven yang setiap masa tunggu nak reply mesej anda.
Hormati group wasap tersebut. Jangan post status politik, jangan spam dengan nasihat, kata-kata hikmah, perkongsian cerita menarik atau apa jua. Cukuplah group itu untuk maklumat anak dan kelas.
Nak sangat post isu semasa, hadis, kata nasihat, mutiara kata, mutiara naga, kau buka group wasap lain dan add lah semua parent. Post lah semua benda sesuka hati kamu.
Paling penting, jangan promote barang anda berniaga dalam group tu. Menyampah dan mengganggu tahu tak?
10) Berhenti Merungut
Usah lagi diratib tentang sukarnya silibus baru dan payahnya soalan KBAT.BERHENTI MERUNGUT!
Sebaliknya bertindaklah. Merungut tidak mampu mengubah apa-apa. Orang lain yang bertindak anak mereka dah maju ke depan.
Kita yang sering merungut di hadapan anak tentang sukarnya silibus sehingga anak pun set dalam kepala 'payahnya belajar'.
Kredit : Facebook Mohd Fadli Salleh
Rasa lega sikit bila baca, maknanya kena bersedia mulai sekarang... Sekarang ni pun MF mula print beberapa latihan Linus untuk kakak buat di rumah... Bahan tu banyak di Facebook...
Yang mana dia tak boleh buat perlukan lebih pengukuhan... Walaupun kakak boleh jawab tapi kadang ada kecuaian dalam menjawab tu sebab salah...
InshaAllah, dalam minggu ni kena Latih dan praktikkan dia dengan 10 Tips perkongsian cikgu tahun 1 ini...
Semoga bermanfaat untuk ibu bapa yang lain juga...
Moga Allah permudahkan urusan kita semua...
macam mana nak menarik anak belajar kt rumh yea?
BalasPadamsama la anak ida pun thun 1 nnti..aduh risau plak bab duit tu sbb die blum pndai
BalasPadamThanks for sharing!! ^^
BalasPadam