GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Tahukah Anda Bilakah Berakhirnya Waktu Untuk Solat Isyak?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Tahukah Anda Bilakah Berakhirnya Waktu Untuk Solat Isyak? | Solat Isyak dikatakan solat terakhir dalam satu hari tu sebab solat di malam hari.. Tapi ikut Islam permulaan hari ialah bermula dengan solat maghrib...

Solat Isyak dikatakan waktu solat yang panjang tempohnya.. Kalau kita belajar zaman sekolah dulu, waktu solat Isyak bermula setelah terbenam matahari sepenuhnya hingga terbit fajar sadik... Itu yang kita belajar zaman sekolah.

Atas faktor itu kadangkala kita melengahkan waktu solat Isyak ni atas alasan waktunya yang panjang. Benarkah begitu? Apa pun, Jom rujuk hukum fiqh yang berdasarkan dalil dan perbincangan para ulama.


Bila Berakhir Waktu Isyak? 


Masuk waktu isyak ialah dengan hilangnya mega merah di ufuk barat (yang menandakan tamatnya waktu solat maghrib).

Berakhirnya pula ada dua pandangan di kalangan ulamak :-

Pandangan pertama : Sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Syafi’e dan Imam Ahmad dan segolongan ulamak yang lain.

Berdalilkan hadis dari Buraidah r.a. yang menceritakan penjelasan amali (praktikal) Rasulullah s.a.w. tentang waktu solat. Mengenai solat Isyak, Buraidah r.a. menceritakan; “Pada malam pertama Rasulullah s.a.w. melakukan solat Isyak ketika hilang mega merah di ufuk Barat. Di malam kedua pula baginda melakukannya tatkala malam telah berlalu sepertiganya…Kemudian, baginda menjelaskan; “Waktu solat ialah antara dua waktu tersebut”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Kata beliau; hadis ini hasan gharib soheh).

Pandangan kedua : Sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah

Berdalilkan sabda Nabi s.a.w.; “Waktu solat Isyak ialah hingga separuh malam” (Riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan an-Nasai dari Ibnu ‘Umar r.a.). Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Mughni telah memadankan antara kedua-dua dalil tersebut di mana beliau menegaskan; “Yang utama (yakni yang afdhal) ialah tidak menangguhkan solat Isyak melebihi sepertiga malam. Namun jika ditangguhkan hingga separuh malam hukumnya adalah harus. Adapun selepas itu adalah waktu darurat…” (al-Mughni, 1/275

Waktu yang dimaksudkan di atas ialah waktu ikhtiyar (waktu pilihan), iaitu waktu diberi kelonggaran/ kelapangan kepada kita untuk memilih pada ketika mana kita ingin mengerjakan solat dalam jarak waktu tersebut walaupun yang afdhalnya ialah kita melakukannya di awal waktu

Selepas waktu ikhtiyar (waktu pilihan) tersebut, para ulamak berikhtilaf (berbeza pendapat) :-

Menurut mazhab Hanbali dan Maliki, selepas waktu ikhtiyar (waktu pilihan) itu ialah waktu darurat yang bermula dari sepertiga atau seperdua malam hinggalah terbitnya fajar (masuk waktu subuh).

Maksud waktu darurat ialah harus melakukan solat Isyak pada waktu tersebut (tanpa berdosa) bagi orang yang ada keuzuran. Solat Isyak yang ditunaikan dalam waktu darurat itu masih dianggap tunai (bukan qadha), cuma jika dengan keuzuran tidaklah berdosa dan sekiranya tanpa keuzuran akan berdosalah.

Kesimpulannya, menurut mazhab Hanbali dan Maliki, tidak harus kita menangguhkan solat Isyak hingga melepasi sepertiga atau separuh malam tanpa sebarang keuzuran.

Di antara bentuk keuzuran ialah :-

1. Wanita haid; selepas sepertiga/separuh malam barulah darah haidnya kering.
2. Orang kafir yang baru masuk Islam ketika itu
3. Kanak-kanak yang baru baligh ketika itu
4. Orang gila yang baru sedar dari gilanya ketika itu
5. Tertidur; selepas sepertiga atau separuh malam baru terjaga.
6. Sakit; sembuh selepas waktu tersebut.

Adapun menurut mazhab Syafi’ie, selepas waktu ihktiyar itu ialah waktu jawaz (waktu harus), yakni waktu harus untuk melakukan solat walaupun tidak sebaik waktu ikhtiyar tadi. Jadi, menurut mazhab Syafi’ie; waktu ikhtiyar tadi bukanlah bermaksud waktu pilihan secara mutlak (atau secara keseluruhan) tetapi waktu pilihan yang terbaik berbanding waktu berikutnya (yakni waktu jawaz). Waktu pilihan secara keseluruhan ialah selagi belum terbit fajar (yakni masuk waktu subuh).

Mazhab Syafi’ie ini berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud; “Tidaklah tertidur itu (dianggap) kelalaian. Kelalaian ialah bagi orang yang tidak menunaikan solat (dengan sengaja) hingga masuk waktu solat yang lain” (Riwayat Imam Muslim).

Hadis ini memberi isyarat kepada kita bahawa waktu solat tidak tamat selagi belum masuk waktu solat yang lain. Maka dinisbah kepada Isyak, waktunya berterusan selagi belum tiba waktu subuh.

4 Bahagian Waktu Solat

Secara ringkasnya dalam mazhab Syafi’ie, keseluruhan waktu solat terbahagi kepada empat :-

1. Waktu terbaik, iaitu di awal waktu.

2. Waktu ikhtiyar, iaitu hingga sepertiga waktu.

3. Waktu jawaz (harus), iaitu hingga sebelum tamat waktu (yakni senbelum masuk waktu solat isyak yang lain kecuali subuh diman

a waktu tamatnya ialah sebelum terbit matahari).

4. Waktu hurmah (waktu haram), iaitu menangguh solat hingga ke saat terlalu hujung waktu di mana waktu yang masih tinggal tidak cukup untuk menyempurnakan keseluruhan rakaat solat. Solat jika sempat ditunaikan di dalam waktu sekurang-kurangnya satu rakaat maka ia dikira tunai secara keseluruhannya (sekalipun rakaat selebihnya dilakukan setelah habis waktu). Jika tidak sempat satu rakaat maka keseluruhanya dikira qadha’.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah 1/273-278.
2. Syarh as-Sunnah, Imam al-Baghawi, 1/8-12.
3. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syurbini, 1/173.
4. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abdur-Rahman al-Jazairi, 1/168.
5. al-Wajiz, Dr. Abdul-Adziem Badawi, hlm. 66.
6. Fiqh al-‘Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 100.
7. al-Kifayah Li Zawil-Inayah, Syeikh Abdul-Basit al-Fakhuri, hlm. 56.

Sumber: Telegram channel

Waaaa... Insaf... Lepas ni kena kuatkan semangat bangun solat Isyak dulu jika tertidur... Andai terjaga terus solat... Andai masuk waktu Isyak terus aje solat walaupun badan sebenarnya tak larat. Tiada lagi alasan melengahkan waktu solat walaupun waktu solat itu masih panjang sebenarnya... Waktu yang panjang itu hanya diberi kelonggaran kepada mereka yang betul-betul dalam keuzuran. 

0Ulasan