Betul Ke Bau Bayi Itu Bau Dari Syurga?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Betul Ke Bau Bayi Itu Bau Dari Syurga? | Syok kan bau baby... Bau lain dari lain... Bau yang kita sendiri tak reti nak gambarkan macam mana... Tapi mana-mana ibu dan bapa memang akan suka cium bau baby ni... Bau masamnya pun tetap wangi...

Bau bayi ni akan hilang lepas umur 2 tahun... Mula bau seperti orang dewasa... Tapi bau bayi umur 2 tahun ke bawah memang lain dari yang lain. Atas sebab tu, ada yang mengatakan bau ini adalah bau dari syurga.

MF memang pernah dengar orang kata tentang tu.. Tapi, dari sumber mana depa dok kata tu? Betul ke dari hadis Nabi?

Ikuti penjelasannya dari yang pakar berkaitan hadis ini...


Bau Kanak-Kanak Adalah Dari Syurga

Tersebar di alam maya hadis yang disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam dengan lafaz berikut:
“Bau mulut atau tubuh anak-anak adalah sebahagian dari angin syurga”

Saya tidak menjumpai hadis dengan lafaz seperti ini dalam kitab-kitab hadis. Sebaliknya saya menjumpai hadis yang lafaznya hampir sama dengan hadis ini iaitu hadis:
ريح الولد من ريح الجنة
Maksudnya: Bau anak daripada bau syurga.

Hadis inidiriwayatkan dari 3 sanad utama. Berikut keterangannya:
1.  Sanad Aisyah:
Hadis ini diriwayatkan dari Aisyah melalui 2 jalur:

i. Jalur ‘Amrah: Hadis ini diriwayatkan dari Aisyah dengan lafaz yang sama. Cuma hadis ini dinilai cacat (ma’lul) oleh Ibn ‘Adiyy.[1] Ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Abdul Malik al-Ansari. Ibn ‘Adiyy dan Muhammad bin Tahir al-Maqdisi menilai beliau terlalu daif (matruk) kerana selalu menyanggahi riwayat perawi yang tsiqah (dipercayai dan kuat ingatannya).[2]
ii. Jalur 'Urwah: Jalur ini juga dinilai cacat oleh Ibn ‘Adiyy kerana perawi yang bernama Abdullah bin Lahi’ah daif.[3]

2.  Sanad Abdullah bin Abbas:
Terdapat beberapa jalur dari sanad Abdullah bin Abbas. Berikut merupakan jalur dari sanad beliau:

i. Jalur ‘Ata’ bin Abi Rabah: Isa bin Ibrahim meriwayatkan hadis ini dari Sulaiman bin Abi Sulaiman dari ‘Ata’ dari Ibn Abbas.[4]

Jalur ini terlalu daif kerana Sulaiman bin Abi Sulaiman dinilai matruk (perawi yang ditinggalkan oleh ulama riwayatnya kerana terlalu daif) oleh beberapa orang ulama hadis seperti Yahya bin Maien, Ali bin al-Madini dan al-Nasaie. Maka al-Zahabi memutuskan beliau matruk.[5]

Manakala Ibn ‘Adiyy menilai hadisnya tidak bermasalah jika perawi yang meriwayatkan darinya dipercayai.[6] Saya berpandanngan jika benar Sulaiman ini bukanlah terlalu daif seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Adiyy, hadis tetap daif kerana beliau bersendiri dalam jalur ini ketika meriwayatkan dari ‘Ata’ bin Abi Rabah. 

ii. Jalur Muhammad bin Abbad bin Hafs: Khalaf bin Ayyub meriwayatkan dari Abdul Majid bin Suhail dari jalur Muhammad bin Abbad dari Abdullah bin Abbas. Riwayat ini disokong oleh riwayat al-Kalabazi dari Kharijah bin Musab yang juga meriwayatkan dari Abbdul Majid bin Suhail dari Muhammad bin Abbad dari jalur yang sama.[7]

Jalur ini daif kerana 2 sebab utama:
Pertama: Khalaf bin Ayyub dinilai daif oleh Yahya bin Maien dan Imam Ahmad.[8] Ibn Hibban pula menyatakan beliau seorang penganut mazhab Murjiah[9] yang melampau.[10]  Al-‘Uqaili pula menyatakan beliau selalu bersendiri dalam meriwayatkan hadis munkar dan menyandarkannya kepada riwayat Qais dan Auf.[11]

Kedua: Kharijah bin Musab juga daif. Bahkan majoriti ulama hadis semisal Abdullah bin al-Mubarak, Waki’ bin al-Jarrah, Imam Ahmad, Yahya bin Maien dan Ibn Hibban menyatakan beliau adalah perawi yang ditinggalkan (matruk). Ini bermakna hadisnya terlalu daif maka tidak boleh menyokong riwayat Khalaf bin Ayyub.[12] Tetapi Abu Hatim dan Ibn ‘Adiyy pula menyatakan beliau daif ringan.[13] Jika benar dia daif ringan sekalipun ia tidak menguatkan jalur ini kerana punca jalur ini iaitu Muhammad bin Abbad adalah perawi yang tidak dikenali.[14]

iii.  Jalur Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utbah: Mandal bin Ali meriwayatkan dari Abdul Majid bin Suhail dari Ubaidillah bin Abdullah bin ‘Utbah.[15] Jalur ini juga daif kerana terdapat perawi bernama Mandal bin Ali.

3. Sanad Ibn Abi Labibah
Waki’ bin al-Jarrah meriwayatkan hadis ini dari jalur Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah dari ayahnya atau datuknya dari Nabi sallallah alaih wasallam.[16] Sanad ini juga daif kerana 2 kecacatan:

Pertama: Terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah. Beliau dinilai daif oleh Ibn Hajar.[17]

Kedua: sanadnya terputus kerana kedua-dua perawi ayah dan datuk Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah tidak pernah berjumpa Nabi sallallah alaih wasallam. Maka sanad ini terputus.

Terdapat juga hadis dengan lafaz yang hampir sama dengan hadis ini. Cuma ia menyatakan bahawa Hasan dan Husain yang merupakan cucu baginda sallallah alaih wasallam adalah daripada bau-bauan Allah. Hadis ini dinilai daif oleh Imam Tirmizi kerana sanadnya terputus.[18]

Kesimpulan
Hadis ini daif kerana semuanya jalurnya tidak terlepas dari kedaifan dan kritikan ulama. Maka sebab itu ulama hadis semisal al-Haihami, al-Iraqi, dan al-Sakhawi menilai hadis ini sebagai daif.[19] Maka ia tidak boleh dijadikan hujah tambahan pula ia berkaitan perkara ghaib iaitu syurga. Tetapi menyayangi anak-anak itu adalah amalan terpuji dan ia fitrah manusia. 

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
11 November 2014

Rujukan:
[1] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 6, hlm. 160
[2] Lihat: Ibid, Muhammad bin Tohir al-Maqdisi, Zakhirat al-Huffaz, jld. 2, hlm. 1112, no. hadis: 2364.
[3] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 4, hlm. 149.
[4] Riwayat Abu Nuaim dalam kitabnya Tabaqat al-Muhaddithin bi Asbahan, jld. 3, hlm. 173.
[5] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 2, hlm. 210.
[6] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 261.
[7] Lihat: Ibn Abi al-Dunya, al-‘Iyal, hlm. 397, no. hadis: 231, al-Albani, al-Silsilah al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, jld. 5, hlm. 523, no. hadis: 2499.
[8] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. , 1, hlm. 659, Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 1, hlm. 1726.
[9] Murjiah ialah satu mazhab akidah yang terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah.
[10] Lihat: Ibn Hibban, al-Tsiqat, jld. 8, hlm. 228.
[11] Lihat: al-‘Uqaili, al-Dhu’afa, jld. 2, hlm. 24.
[12] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 1, hlm. 625.
[13] Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 3, hlm. 375, Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 57
[14] Lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Dhaifah, jld. 5, hlm. 523, no. hadis: 2499.
[15]  Lihat: al-Tabarani, al-Mu’jam al-Wasit, jld. 6, hlm. 82, no. hadis: 5860, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, jld. 7, hlm. 479, no. hadis: 11061.
[16] Lihat: Waqi’ bin al-Jarrah, al-Zuhd, hlm. 422.
[17] Lihat: Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 493.
[18] Lihat: al-Tirmizi, al-Sunan, jld. 4, hlm. 317.
[19] Lihat: al-Haithami, Majma’ al-Zawaid, jld. 8, hlm. 78,  al-Iraqi, al-Mughni, jld. 1, hlm. 532, al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, jld. 1, hlm. 373

Sumber: http://rozaimiramle.blogspot.my/


bau bayi bau syurga

Jadi, takde dalil pun.. Kalau ada sangat lemah jika nak percaya... Apa pun bau bayi ni bau yang istimewa Allah jadikan... Untuk ibu bapa... Bila ibu cium bau bayinya akan rasa satu ketenangan... Insha Allah, bau ni juga akan mengelakkan penyakit meroyan, kerana bau ini juga akan melahirkan perasaan kasih sayang...

Hati-hati buat kenyataan... Takut tergugat akidah. Syurga pun tak boleh nak bayang, macam mana pula kita tau bau tu dari syurga kan... Mengatakan sesuatu yang ghaib tak dalil memang tak boleh dipercayai... Jika sandarkan kepada Nabi s.a.w itu lagilah dosa yang berterusan jika kita sebarkan.. Jadi hati-hati...

Apa pun memang best bau bayi... Bau yang sangat menenangkan... Bau lain dari yang lain dan sangat istimewa... Tapi tak pernah kata pun bau tu dari syurga pun... 

7 Ulasan

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^

  1. memang suka bau mulut bby..mcm bau vanilla gitu..adakah sbb pnyusuan susu ibu jugak?sbb itu la digalakkan susukan ank shingga 2 thun

    BalasPadam
  2. busyra suka bau baby.. wangiii

    BalasPadam
  3. bau bayi mmg menyenangkan kita yang mencium ...

    BalasPadam
  4. bagusnya entry ini.. btw, saya dah follow sini

    BalasPadam
  5. Bau bangun pgi walaupon masam tapi tetap nak cium taw.. rasa mcm terapi.. 1hari ntah bape kali cium anak..

    BalasPadam
  6. Salam sis. Bagus sangat sis sentuh pasal ilmu hadis ni. Dan sis ambil jawapan daripada ustaz-ustaz yang insyaAllah diperakui keilmuannya. Sekarang ni, sy cukup berhati2 mendengar/membaca teks2 berkaitan hadis daripada mana-mana orang sekalipun.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^

Terbaru Lebih lama