17 Simptom Kehamilan Yang Tak Boleh Diabaikan

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

17 Simptom Kehamilan Yang Tak Boleh Ibu Abaikan | Setiap kali mengandung, kita rasa lecehnya nak ulang alik ke klinik kan... Bermula dari buka buku pink, hinggalah bersalin... rimas rasanya kan... Tapi sebenarnya ada kebaikan. Tak kira lah kita dah berpengalaman mengandung berapa kali sekalipun, tapi setiap kali temujanji dengan nurse, mesti dia akan ulang cakap perkara yang sama... Kita rasa leceh, tapi sebenarnya ada kepentingannya...sebab setiap kali mengandung, kita tak tahu diuji macam mana.

Kalau boleh, setiap kali mengandung kita nak perjalanan mengandung tu smooth dan takde masalah... Tapi, walaupun begitu, jika ada tanda-tanda ini... kita tak boleh anggap perkara itu biasa... Kena cepat-cepat ke klinik atau hospital yang berhampiran dengan segera.

Memang banyak tanda mengandung yang boleh kita ambil perhatian, seperti yang di kongsi di blog ibusyurga, baca sini.


17 Simptom Kehamilan Yang Tak Boleh Diabaikan

17 Simptom Kehamilan Yang Tak Boleh Diabaikan

1. Sakit pada bahagian tengah perut

Sakit yang teruk atau mencucuk-cucuk pada bahagian tengah atau atas perut, samada disertai dengan loya atau muntah ataupun tidak, boleh membawa beberapa maksud. Anda mungkin mengalami:

  • ketakcernaan yang teruk;
  • jangkitan virus dalam perut;
  • keracunan makanan.


Sekiranya dalam separuh masa kedua kehamilan, kesakitan ini mungkin juga menandakan praeklampsia, iaitu satu masalah serius yang memerlukan rawatan segera.


2. Sakit pada bahagian bawah perut

Sakit yang teruk di satu sisi atau kedua-dua sisi perut boleh jadi petanda beberapa perkara. Ligamen anda mungkin tertarik dengan kuat atau ia mungkin tanda:

  • kehamilan ektopik;
  • keguguran;
  • kelahiran pramatang;
  • fibroid menyusut dan berdarah.
  • pemisahan plasenta, iaitu di mana sebahagian daripada plasenta (uri) tercerai daripada dinding rahim (uterus) sebelum masanya (plasenta atau uri ialah organ yang terbentuk dalam uterus semasa hamil, dan ia membekalkan nutrien kepada janin dan mengeluarkan bahan buangannya).


3. Demam

Jika demam dengan suhu melebihi 37.5 darjah C, tetapi tanpa simptom flu atau selesema, hubungi doktor pada hari yang sama.

Jika suhu melebihi 39 darjah C, hubungi doktorndengan segera. Mungkin mengalami jangkitan. Doktor akan memberikan antibiotik dan menasihatkan supaya berehat. Jika suhu melebihi 39 darjah C bagi jangka masa yang lama, ia boleh membahayakan bayi dalam kandungan.

4. Penglihatan kabur dan nampak tompok-tompok bersinar

Hubungi doktor sekiranya, dalam separuh masa kedua kehamilan anda mengalami:

  • penglihatan berganda;
  • penglihatan kabur;
  • penglihatan malap;
  • ternampak tompok-tompok bersinar;
  • ternampak cahaya terang yang berlangsung lebih daripada dua jam.


Simptom-simptom tersebut boleh jadi tanda-tanda praeklampsia.

5. Tapak tangan dan tapak kaki bengkak

Ramai ibu mengandung akan mengalami bengkak semasa kehamilan dan dalam kebanyakan kes, ini tidak perlu dirisaukan. Tetapi, jika simptom ini teruk atau berlaku tiba-tiba dan disertai dengan sakit kepala atau gangguan penglihatan, ia mungkin simptom praeklampsia.

6. Sakit kepala yang teruk dan tidak hilang-hilang

Jika mengalami sakit kepala selama lebih dari dua atau tiga jam, disertai dengan gangguan penglihatan dan bengkak yang berlaku tiba-tiba pada tangan, muka dan mata, mungkin mengalami praeklampsia.

7. Pendarahan faraj

Pendarahan ringan (spotting) tanpa kesakitan mungkin tanda normal proses implantasi iaitu apabila embrio melekat pada uterus pada awal kehamilan, ataupun pendarahan penebusan (breakthrough bleeding).
Namun masih perlu hubungi doktor anda jika mengalami pendarahan semasa kehamilan kerana ini boleh jadi menunjukkan komplikasi yang serius:

  • Pendarahan yang berbeza daripada normal haid anda (lebih banyak atau sedikit dan berwarna gelap) disertai kesakitan teruk pada satu sisi abdomen boleh jadi tanda kehamilan ektopik (kehamilan di luar rahim).
  • Pendarahan yang banyak, terutamanya apabila disertai sakit belakang atau abdomen, boleh dikaitkan dengan keguguran atau berpotensi untuk gugur.
  • Dalam peringkat akhir kehamilan, pendarahan menunjukkan plasenta praevia, pemisahan plasenta atau kelahiran pramatang (kelahiran yang bermula sebelum minggu ke-37).


8. Cecair keluar daripada faraj

Keluarnya cecair daripada faraj sebelum minggu ke-37 bermakna membran anda telah pecah awal. Doktor pasti mahu anda dimasukkan ke hospital supaya boleh mendapatkan rawatan untuk mencegah jangkitan dan membuat persediaan untuk kelahiran pramatang.

Selepas 37 minggu, anda mungkin sudah hendak bersalin. Hubungi doktor  untuk berbincang mengenai pilihan jika anda masih belum rasa sakit hendak bersalin dalam masa 24 jam.

9.Tiba-tiba rasa sangat dahaga

Jika anda tiba-tiba dahaga tetapi kurang membuang air kecil, ini mungkin tanda penyahhidratan atau kencing manis kehamilan (diabetes gestasi). Kedua-duanya meningkatkan risiko komplikasi bagi anda dan bayi anda.

10. Perit semasa membuang air kecil

Sakit atau perit semasa membuang air kecil disertai dengan suhu badan tinggi, menggigil dan sakit belakang mungkin tanda-tanda jangkitan saluran kencing. Jumpalah doktor. Anda akan dirawat dengan antibiotik.

11. Muntah Tak Berhenti

Muntah lebih daripada dua atau tiga kali sehari akan menyahhidratkan dan melemahkan anda, walaupun ia tidak membahayakan bayi. Anda perlu hubungi doktor anda jika anda mengalami muntah yang teruk dan berterusan (hiperemesis gravidarum) kerana mungkin anda perlu dimasukkan ke hospital.

Muntah yang bermula di peringkat akhir kehamilan dan diikuti dengan sakit di bawah tulang rusuk mungkin merupakan tanda praeklampsia. Jika anda muntah diikuti dengan rasa sakit dan demam, ini mungkin menandakan jangkitan. Dalam kedua-dua kes tersebut, hubungi doktor anda.

12. Pening dan hendak pitam

Ini mungkin tanda yang anda tidak cukup makan pada hari itu tetapi ia juga mungkin bermakna anda mengalami tekanan darah rendah. Ramai wanita rasa pening-pening semasa hamil. Jika anda pitam, hubungi doktor anda selepas anda sedar semula untuk memastikan semuanya dalam keadaan baik.

13. Pergerakan bayi semakin perlahan

Tiada pergerakan atau pergerakan bayi anda perlahan lebih daripada 24 jam selepas minggu ke-21 mungkin menandakan bayi anda dalam keadaan tertekan. Jika anda sedar bahawa bayi anda kurang bergerak daripada biasa, hubungi doktor anda. Baca lebih lanjut mengenai pergerakan bayi anda, termasuk bila perlu meminta bantuan.

14. Rasa gatal seluruh badan

Kegatalan yang teruk mungkin menunjukkan masalah berkaitan hati seperti obstetrik kolestasis. Jika anda mengalami obstetrik kolestasis, anda mungkin juga mengalami jaundis, dengan air kencing berwarna gelap dan najis yang pucat.

Kegatalan semasa hamil adalah normal kerana kulit anda meregang untuk menyesuaikan keadaan dengan bayi anda yang sedang membesar. Walau bagaimanapun, lebih baik jika anda membuat pemeriksaan, terutamanya jika kegatalan itu teruk, lebih-lebih lagi pada waktu malam dan melibatkan tapak kaki dan tangan anda.

15. Terjatuh dan perut terhentak

Jatuh atau hentakan tidak selalunya membawa bahaya, tetapi hubungi doktor anda pada hari yang sama dan jelaskan apa yang berlaku. Jika anda tergelincir di tangga dan tulang punggung anda tercedera, anda mungkin tidak perlu risau. Bayi anda selamat kerana dilindungi oleh uterus dan cecair amnion.

Walau bagaimanapun, komplikasi mungkin berlaku dalam sesetengah kes. Jika anda mengalami kontraksi, kebocoran atau sebarang pendarahan, hubungi doktor anda dengan segera atau pergilah ke unit kemalangan dan kecemasan di hospital terdekat.

16. Rasa "tidak begitu sihat"

Jika anda tidak pasti mengenai sesuatu simptom, tidak rasa seperti biasa atau rasa tidak selesa, yakinlah dengan perasaan anda dan hubungi doktor anda. Jika terdapat masalah, anda akan dirawat dengan segera. Jika tiada masalah, anda akan berasa lega.

Sumber: Baby Center 

Tambahan:

17. Sukar Bernafas

Bila masuk fasa ketiga kehamilan, memang akan alami sedikit kesukaran bernafas... Perut yang semakin membesar menyebabkan bahagian difragma kita terhimpit... Tapi andai kata kita alami kesukaran bernafas yang teruk, hingga menggangu aktiviti dan waktu tidur, segera ke hospital segera terutama bagi yang ada asma ketika mengandung.

Biasanya doktor dah biasa dengan 17 simptom ini... Tapi apa pun, rawatan segera diperlukan untuk memastikan sama ada simptom ini biasa atau luar dari kebiasaan akibat perubahan tubuh badan pada ibu mengandung.

Pengalaman MF, Alhamdulillah... tiada yang mencurigakan sepanjang mengandung... Alhamdulillah.. dipermudahkan. Amalan MF juga, tak pernah tinggal surah al-Insyirah sewaktu mengandung bermula dari anak pertama hingga anak ketiga ni... Amalan selepas solat yang menjadi rutin harian MF... Alhamdulillah...

Semoga ibu-ibu yang sedang mengandung... dipermudahkan urusan dan tidak diuji dengan sesuatu yang diluar jangkaan kita.. insha Allah... 

5 Ulasan

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^

Catat Ulasan

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^

Terbaru Lebih lama