Ticker

6/recent/ticker-posts

HUKUM MENYAMBUT TAHUN BARU CINA

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Di Malaysia banyak perayaan... tiga yang paling besar ialah Perayaan Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali... disebabkan itu dalam kalendar memang ada cuti khas dan cuti sekolah pun lebih lama bagi ketiga-tiga perayaan ini... 

Namun begitu, sebagai orang Islam, kita amat pentingkan bab akidah... Tak semua perayaan kita boleh sambut sebenar... contohnya Krismas... kerana ia berkait dengan agama Kristian... Tapi bagaimana pula dengan Tahun Baru Cina??? 

Jom kita telusuri ilmu berkaitan hukum menyambut Tahun Baru Cina yang telah dikupas oleh Mufti Wilayah Persekutuan, S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri.



Sejarah Tahun Baru Cina

Sejarah terperinci mengenai sejarah sambutan Tahun Baru Cina tidak dapat ditentukan secara pasti namun apabila melihat kepada versi-versi cerita yang ada, terdapat sebuah kisah yang selalu diceritakan mengenai asal-usul sambutan tahun baru ini.

Ianya bermula dengan ketakutan penduduk sebuah kampung yang selalu diburu oleh seekor makhluk mistik yang akan memakan mereka. Dipendekkan cerita terdapat seorang tua yang mencadangkan agar membuat bising dengan bunyi-bunyian seperti pukulan gendang, membakar mercun serta menggantung kertas berwarna merah dan juga menampalkannya pada tingkap rumah kerana dipercayai makhluk itu amat takutkan warna merah dan juga bunyi bising. Cadangan orang tua itu berhasil dan makhluk tersebut melarikan diri dan meraikan kemenangan penduduk kampung itu, maka ianya telah sinonim dengan meraikan tahun baru pada ketika itu.

Secara hakikatnya, sambutan Tahun Baru Cina adalah demi menyambut tahun baru bagi masyarakat Cina mengikut kalendar mereka. Mengikut kalendar Cina, setiap tahun akan diwakili dengan satu zodiak haiwan yang mana pada tahun ini (2016), jatuh pada tahun monyet. Bagi masyarakat Cina, setiap tahun mempunyai kelebihannya yang tersediri berdasarkan zodiak haiwan kalendar Cina. Sambutan Tahun Bari Cina akan berterusan selama 15 hari dan pada hari yang ke lima belas merupakan perayaan pesta tanglung. 



Bagaimana Masyarakat Cina Menyambut Tahun Baru Mereka

Sambutan tahun baru bagi masyarakat Cina adalah sambutan perayaan yang terbesar bagi mereka. Pada waktu inilah akan berkumpulnya sanak-saudara ahli keluarga untuk menyambutnya bersama-sama. Antara amalan serta adat yang berkaitan bagi menyambut tahun baru dapatlah disenaraikan secara ringkas seperti berikut:
  • Ahli keluarga akan membersihkan rumah dan menurut kepercayaan masyarakat Cina ianya bagi menghilangkan hantu dan juga sial.
  • Makan malam bersama pada malam sambutan tahun baru adalah perkara yang sangat penting.
  • Sampul merah (hong bao di dalam bahasa Mandarin/ang pow di dalam bahasa Hokkien) akan diberikan kepada mereka yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan oleh pasangan yang sudah berkahwin.
  • Warna merah bagi melambangkan nasib dan juga masa hadapan yang baik. Dekorasi rumah juga akan dihiasi dengan hiasan-hiasan yang berwarna merah.
  • Memakan mee yang panjang dengan kepercayaan bahawa semakin panjang mee yang dimakan, semakin panjang umur yang bakal dinikmati. Jika mahu umur yang panjang, jangan dipotong mee tersebut.
  • Memakai pakaian yang berwarna merah dan mengelak dari memakai pakaian berwarna hitam.


Islam & Toleransi Dalam Beragama

Islam tidak pernah menafikan hak agama yang lain bahkan pada zaman Rasulullah SAW sendiri, Baginda hidup bersama masyarakat Yahudi, Nasrani dan juga kaum musyrikin. Secara asasnya Islam menyuruh umatnya berwala' kepada Islam dan barra' dari kekufuran serta merasa bangga dengan pegangan Islam serta menampilkan jati diri muslim sehingga keperibadian dan corak kehidupan dapat dibezakan dari golongan kafir. Firman Allah SWT:



وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ 

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!". (Fussilat: 33)


Melihat kepada hakikat sambutan tahun baru Cina, ianya merupakan satu perayaan adat yang tidak ada kaitannya dengan permasalahan akidah. Ianya semata-mata menyambut tahun baru mengikut kalendar lunar Cina. Ini menjadi kayu pengukur buat seorang muslim dalam bermuamalah dan bergaul bersama orang bukan Islam dengan melihat adakah tindak-tanduknya itu menjurus kepada sikap reda terhadap akidah mereka ataupun hanya perbuatan yang dilakukan atas dasar kemasyarakatan dan hubungan sosial.



Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah membincangkan Hukum Orang Islam Mengucapkan Tahniah Dan Ucapan Selamat Bersempena Perayaan Agama Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  • Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam sekiranya melibatkan akidah atau iktikad seperti mengiktiraf agama bukan Islam atau menganggap semua agama adalah sama, maka ia ditegah oleh Islam.
  • Walaubagaimanapun sekiranya amalan atau perlakuan tersebut hanya atas dasar kemasyarakatan atau hubungan sosial antara Islam dan bukan Islam untuk tujuan perpaduan, maka ia dibenarkan oleh Islam.
  • Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.
Yee Sang (Mengajukan Ucap Selamat Demi Kemakmuran/Prosperity Toss)

Di Malaysia mahupun Singapura, masyarakat Cina amat sinonim dengan Yee Sang iaitu satu upacara makan bersama yang diadakan bagi mengucapkan kemakmuran. Uniknya Yee Sang ini adalah apabila ianya hanya popular bagi masyarakat Cina di Malaysia dan Singapura dan tidak pula di tanah besar China, Hong Kong dan juga Taiwan.

Yee Sang atau disebut juga Yusheng adalah sebuah hidangan yang sinonim dengan perayaan Tahun Baru Cina di Malaysia. Ia dihidangkan dengan mencampurkan tujuh jenis warna yang berlainan seperti hirisan betik, lobak putih, lobak merah, salmon mentah, kekacang, aneka sayur-sayuran dan aneka sos serta ramuan lain.

Dari kaca mata Islam, makanan yang halal lagi baik maka tidak ada halangan baginya untuk dimakan. Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي ٱلۡأَرۡضِ حَلَٰلٗا طَيِّبٗا وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٌ 

Maksudnya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.  (Al-Baqarah: 168)

Melihat kepada amalan ini, ianya lebih kepada adat dan tidak ada sangkut pautnya dengan permasalahan akidah dan harus hukumnya bagi umat Islam yang diajak untuk turut serta dalam upacara Yee Sang ini selama mana makanan yang dihidangkan halal dan tidak ada perkaitannya dengan permasalahan akidah baik dari segi ucapan mahupun iktikad terhadap upacara tersebut. Begitu juga selama mana tidak ada unsur-unsur maksiat dalam upacara tersebut. Wallahu a’lam.

Maksud ‘Gong Xi Fa Cai’

"Gong xi fa cai" (Tulisan Cina Tradisional: 恭喜發財; Tulisan Cina Ringkas: 恭喜发财; pinyin: gōngxǐ fācái; Bahasa Kantonis (Yale): gūnghéi faatchòih; bahasa Hokkien (POJ): Kiong-hí hoat-châi; bahasa Hakka: Kung hei fat choi), yang diterjemah sebagai "Tahniah dan semoga mendapat rezeki". Ungkapan ini yang sering tersalah angggap sebagai bersinonim dengan "Selamat tahun baru" mula digunakan berabad-abad lalu. Dua aksara pertama ungkapan ini mempunyai kepentingan sejarah yang lebih lama (menurut legenda, ucapan tahniah adalah bagi kejayaan menghadapi raksasa Nian dengan selamat, namun secara praktis ini juga boleh melibatkan kejayaan mengharungi keadaan musim sejuk yang teruk). Melihat kepada maksudnya ini, ianya jelas tidak bermasalah dan tidak bercanggah dengan akidah Islam malah ianya satu ucapan yang amat baik dan melambangkan perpaduan yang erat sesama kita.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Dalam sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian agama, bangsa yang majmuk, adat dan budaya yang berlainan seperti Malaysia, sudah tentu ia menjadikan kita lebih terbuka dan bertolak ansur (tasamuh dan toleransi) tanpa menggadaikan prinsip-prinsip utama Islam.

Berikut merupakan beberapa garis panduan yang kami cadangkan kepada semua umat Islam yang ingin terlibat dalam sambutan perayaan bangsa lain untuk sama-sama diteliti dan diaplikasikan:

Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.
Kami dapati sambutan Tahun Baru Cina yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin masyarakat Cina dan juga disertai oleh pemimpin negara atau negeri yang beragama Islam, masih di ruang lingkup yang dibenarkan oleh Islam. Ini kerana, ia bertujuan untuk menjaga dan memelihara hubungan masyarakat dan lebih kepada hidup dalam kontrak sosial yang diraikan tanpa menggadaikan prinsip agama.

Sumber rujukan: http://www.muftiwp.gov.my/


Kesimpulannya, takde masalah nak sambut Tahun Baru Cina sebab ianya tak berkaitan dengan agama mereka... ianya lebih kepada adat mereka menyambut Tahun Baru bagi kalendar Cina... Tahun ni tahun ayam pula kan... setiap tahun tu ada binatang yang mereka percayai ada tuahnya... 

Korang lahir tahun apa??? MF lahir tahun Harimau... lebih kurang la garang macam harimau tapi sesekali manja macam kucing. hahaha.... harimau dan kucing kan tak jauh bezanya kan... hihi... 

SELAMAT TAHUN BARU CINA BUAT KAUM CINA DI MALAYSIA KHUSUSNYA... 
‘Gong Xi Fa Cai’
恭喜發財

Catat Komen

1 Ulasan

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^