Apa Itu Hidayah Intibahah dan Hidayah Istiqamah???

Maria Firdz
2
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Alhamdulillah... semalam berpeluang menambah ilmu di dada... Iaitu sempat juga dengar rancangan al-Kulliyyah bersama dengan Ustaz Zul Ramli. Memula layan tajuk tu, biasa sahaja... bab hidayah... Tapi bila dihayati... rasa menusuk dijiwa... 

Hidayah itu hanya dari Allah. Meyakini bahawa hanya Allah الهدى Yang Memberi Hidayah. Hidayah bukan milik sesiapa, bahkan bukan milik Rasulullah ﷺ. Sebaliknya hidayah itu hanya milik Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Seperti yang sering kita baca, dalam surah al-Fatihah... itulah doa kita sehari-hari dalam memohon hidayah... sedar atau tidak, kita mohon petunjuk dari Allah... 

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
"Tunjukkanlah kami jalan yang lurus"

Kalimah اهدنا menunjuk kepada pengertian ‘doa’ yang mengandung permohonan/ permintaan agar Allah menunjukkan kita jalan yang lurus. Antara nama lain untuk Al Fatihah suratus solah (iaitu doa yang terkandung dalam ayat ini).

Dalam kalimah اهْدِنَا hidayah yang dimaksudkan ada 2 jenis: 
1. Hidayah intibahah انتباهة
2. Hidayah istiqamah

Hidayah intibahah انتباهة iaitu hidayah yang membangkitkan/mengejutkan.
Renungi kata-kata Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a "manusia itu tidur, apabila mereka mati baru mereka terjaga."

Ketika Sayyidina Ali Abi Talib r.a mengalami luka parah akibat tikaman hingga darah membasahi seluruh badannya dan sambil menangis teresak-esak... apabila ditanya oleh para sahabat, beliau berkata "Perjalanan di hari akhirat itu sangat jauh sedangkan bekalan aku amat sedikit."

Sebelum wujudnya jasad dalam diri kita ini, sesungguhnya kita telah berjanji dan bersaksi kepada Allah SWT. Kita telah berjanji akan mengabdi hanya kepada Allah semata. Akan tetapi bila dimasukkan jasad manusia melupai janji tersebut dan hanya memberi prioriti kepada kehendak dan keperluan jasad lebih dari keperluan rohani sedangkan roh tidak mati.

Surah Al-Araf: 172
وَإِذْ أَخَذَ رَبُّكَ مِن بَنِي آدَمَ مِن ظُهُورِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَأَشْهَدَهُمْ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَىٰ شَهِدْنَا أَن تَقُولُوا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّا كُنَّا عَنْ هَٰذَا غَافِلِينَ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Tanpa hidayah intibah manusia akan kafir dan berada dalam keadaan sesat. Allah berfirman bermaksud: "Wahai hamba-hamba-Ku! Setiap kamu adalah sesat melainkan sesiapa yang Aku berikan kepadanya petunjuk, maka mintalah petunjuk daripada-Ku nescaya akan-Ku berikan petunjuk kepadamu.

Betapa setiap kita bersyukurnya dengan anugerah teragung iaitu hidayah intibahah yang membangkitkan manusia dari kealpaan kufur. Hidayah intibah yang menjamin kesejahteraan dunia dan akhirat.

Terkesan dengan kisah benar mengenai hidayah intibahah ni... iaitu kisah seorang warga Amerika yang mendapat cahaya hidayah intibahah ini.... Rasa nak menangis bila dengar ustaz Zul ceritakan semalam... 

Kisah seorang imam di Barat yang menceritakan tentang pengalamannya pada suatu hari ketika dia berada di sebuah masjid. Dia didatangi oleh seorang lelaki yang berbadan besar (sado/sasa). Rambutnya yang panjang itu diikat kebelakang. Pakaiannya yang tidak ubah seperti seorang gengster itu basah dengan peluh di badannya.

Lelaki itu lalu berkata, "tunjukkan aku cara untuk ku memeluk Islam?" Lalu si imam bertanya,"siapakah kamu?" Lalu dijawabnya, "aku Carlos". 
"Tunjukkan aku cara untuk aku menjadi seorang Muslim?" Lalu si imam pun mengislamkan Carlos. Berkali-kali dan betapa susahnya untuk dia mengucapkan kalimah syahadah, akhirnya berjaya diislamkan oleh imam tersebut. 
Lalu bertanya si imam, "apakah yang membuat mu ingin memeluk Islam?" Jawab Carlos, "aku sebenarnya langsung tidak tahu apakah itu Islam. Aku cuba mencari kebenaran di dalam hidup ku yang kosong". 
"Suatu hari aku bermimpi cahaya datang kepada ku dan aku mendengar suara berkata, "Carlos, sekiranya engkau inginkan kebenaran, kamu masuklah Islam. Lalu aku terjaga. Aku anggap ianya hanya mimpi". 
"Keesokannya aku bermimpi yang sama. Pada kali ini, cahayanya lebih terang dan suara itu lebih kuat sehingga aku tersentak lalu terjaga dari tidur". 
Oleh itu, hari ini aku mencari di manakah tempat untuk aku menjadi seorang muslim?" 
Kemudian Carlos berkata lagi, "apakah yang perlu aku lakukan seterusnya?" Imam itu pun berkata, "pergilah bersihkan badan mu terlebih dahulu". Lalu Carlos membuka bajunya untuk membersihkan badannya. Si imam dapat melihat penuh tatu salib pada badan Carlos. 
Sejurus selepas itu, azan berkumandang. Si imam bersiap sedia untuk menunaikan solat.
Lalu bertanya Carlos, "apakah yang kamu sedang lakukan?" Si imam menjawab, "aku hendak solat, kamu duduk sahaja di hujung sana". Carlos pun berkata, "aku ingin solat, tetapi aku tidak tahu solat"  
Imam itu pun menjawab, "kalau begitu, kamu berdiri di belakang ku dan ikut sahaja pergerakan ku". 
Masa rakaat pertama, dia terpinga-pinga tak tahu apa yang dia buat.. hanya mengikut... Tapi masuk rakaat ketiga... dia seolah-olah faham pergerakan dalam solat... Dia mengikut pergerakan imam dengan tertib sekali... Sehinggalah ke sujud terakhir... Carlos sujud lama... sampaikan imam dah beri salam dia masih lagi bersujud. 
Setelah beberapa lama, imam merasakan Carlos telah terlalu lama bersujud. Dengan perlahan, dia berbisik kepada Carlos, "Carlos, solat sudah pun selesai". 
Namun Carlos masih bersujud. Imam berbisik untuk kali kedua, "Carlos, solat sudah pun selesai". 
Namun tiada respon daripada Carlos. Dengan perlahan, imam itu menyentuh Carlos dan tiba-tiba dia jatuh terbaring. 
Tersentak imam itu mendapati yang Carlos tidak lagi bernyawa. Allah telah pun menjemput Carlos sejurus dia memeluk Islam, dikala dia mendirikan solat pertama, di dalam sujudnya yang terakhir... 
Ya Allah...betapa hidayah Mu di mana-mana. Jadikanlah pengakhiran yang baik juga untuk ku (husnul khatimah).

Inilah tanda hidayah intibahah... Bagi kita yang dah sedia muslim ni, wajib cari dan wajib kekal dengan hidayah istiqamah. Nak istiqamah kena ada ilmu, amal, iman, kawan dan persekitaran yang baik.... barulah kita dapat kekalkan hidayah istiqamah... Tapi nak dapatkan hidayah intibahah kena doa, dan doa... Hidayah milik Allah... kaya bagaimana pun kita... kita tak mampu beli hidayah Allah.

Jadi, teruskan berdoa agar hidayah Islam dan nikmat iman bersama kita... Jangan sia-siakan... Berubahlah... Jangan tunggu dan jangan bertangguh dan jangan beralasan lagi... kerana mati kita tak pernah menunggu kita.. datang tepat pada waktu dan ketikanya.  

Catat Ulasan

2Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ

  1. n3 yg menyentuh hati..semoga kita memperolehi hidayah-Nya

    BalasPadam
  2. Bagusnya entry...terbaik lah...yg ptg buat apa sekali pun ingat Allah...automatik sempadan tu kita ingat kan

    BalasPadam
Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !