GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

11 Cara Elak Letih dan Lesu Semasa Berpuasa Ramadhan!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

11 Cara Elak Letih dan Lesu Semasa Berpuasa Ramadhan | Biasanya awal Ramadhan akan rasa sedikit letih dan lesu ketika berpuasa... Melainkan orang yang biasa berpuasa atau mula berpuasa pada bulan Rejab dan Syaaban. 

Jadi, MF nak kongsikan 10 tips berguna untuk elakkan kita letih dan lesu ketika berpuasa di siang hari. Terutamanya puasa Ramadhan. 

1. Jauhi Makanan Segera
Makanan segera semestinya banyak perisa dan perencah. Bila perisa dan perencah ni masuk dalam badan, badan memerlukan lebih tenaga untuk proses... Jadi menyebabkan badan letih dan lesu sebab siang puasa kita tak minum dan tak makan. Elakkan makanan segera dibulan puasa ni... Ambil makanan yang segar dan baru dimasak. 

2. Hindari Makanan Yang Dipanaskan Berulang-Ulang Kali
Memanaskan makanan kerana takut membazir. Tapi perkara ini menjadi sesuatu yang berbahaya apabila memanaskannya berulang-ulang kali. Lemak daripada makanan yang dipanaskan berbahaya tubuh. Bahkan makanan yang sepatutnya memberikan tenaga kepada tubuh akan merampas semuanya dan membuatkan tubuh badan kita menjadi cepat letih.

3. Elakkan Makanan Bergoreng dan Minuman Berkafein
Makanan yang digoreng akan membuatkan kita rasa mengantuk kerana sistem pengadaman terpaksa bekerja lebih gigih daripada kebiasaannya untuk memproses lemak di dalamnya. Makanan bergoreng juga kaya dengan minyak dan lemak trans. Makanan yang digoreng boleh menyumbat saluran arteri dan mencemari sel-sel darah. Di samping itu, makanan bergoreng juga meningkatkan kolesterol jahat.

Biarpun kafein mampu menstimulasikan tubuh agar menjadi lebih bersemangat, namun lama kelamaan tubuh tetap akan terasa lebih penat. MF pun pantang minum kopi sepanjang bulan puasa kecuali kalau teringin sangat-sangat je baru minum dalam kuantiti yang sikit. 

4. Pengambilan Makanan Yang Kaya Zat Besi
Pengambilan makanan sumber zat besi seperti daging lembu, ikan, kacang-kacangan dan sayur-sayuran hijau membuatkan tubuh menjadi lebih bertenaga. Zat besi sumber mineral penting yang membantu membawa oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh. Jika keperluan zat besi tidak dipenuhi, kesannya tubuh terasa lemah, penat dan tidak sihat. Selain itu, biasakan diri dengan bersarapan pagi untuk membantu stamina di pagi hari. Biasanya orang yang tidak bersarapan akan pagi akan berasa lebih mengantuk pada siang hari.

5. Vitamin B12
Vitamin B12 menjaga aktiviti sel darah merah yang mengalirkan oksigen di dalam darah. Kekurangan vitamin B12 menjadikan tubuh cepat letih dan tidak bersemangat. Keadaan ini juga membuatkan perut selalu rasa memulas-mulas. Jika terlalu lama berdiri atau duduk, boleh diserang rasa kebas-kebas di bahagian tangan dan kaki serta daya ingat menurun. Vitamin B12 boleh diperoleh dalam protein haiwan, seperti susu, telur, daging, ikan atau susu soya. Sebab tu juga iklan susu soya selalu ada bila tiba bulan Ramadhan. Apa pun susu soya segar adalah yang terbaik berbanding yang diproses dan dipastur. 

6. Rehat Secukupnya
Selain makanan, istirehat yang secukupnya juga membantu tubuh lebih segar. Tidur adalah salah satu cara untuk mengembalikan tenaga yang terbuang. Jadi, usahakan untuk tidur yang normal iaitu lapan jam sehari. Biasakan tidur dengan pola tidur yang konsisten, jika tidak ia akan menurunkan stamina di pagi hari. Situasi ini akan membuatkan tubuh terasa lemah, penat serta timbul rasa mengantuk. Jika tak cukup tidur malam, boleh ganti waktu siang. Tapi jangan terlebih tidur nanti jadi makruh pula.

7. Senaman Ringan!
Senaman ringan selama 30 minit dapat membantu meningkatkan stamina. Senaman baik untuk meregangkan otot-otot yang tegang. Senaman ringan seperti jogging dan yoga mampu membuatkan tubuh menjadi lebih segar dan bersemangat. Tapi bagi suri rumah, membuat kerja rumah adalah satu senaman juga kan...

8. Minum Air Putih & Teh Hijau
Minum air putih di pagi hari sangat digalakkan. Minum segelas air putih pada pagi hari akan mengganti mineral yang hilang serta menghindari kekurangan cecair di dalam tubuh. Sesekali cubalah ubah menu, ganti air putih dengan teh hijau kerana khasiatnya sama dengan air putih yang mengandungi antioksidan untuk mengembalikan status hidrasi dan memberikan kesan menenangkan pada tubuh. 

Amalkan minum air putih secara berkala sepanjang Ramadhan. Asalkan cukup 8 gelas atau 3 liter satu hari. 



9. Berada di tempat yang sejuk/kurang panas/teduh
Sepanjang bulan puasa, elakkan diri daripada berada di tempat yang panas. Suhu yang panas boleh menyebabkan kandungan air di dalam badan mengewap. Carilah tempat-tempat yang sejuk. Banyakkan aktiviti membaca buku yang ringan dan menenangkan. Kurangkan aktiviti luar termasuk shopping di tempat yang sesak dengan orang ramai .

10. Ikhlaskan Niat Berpuasa
Sentiasa berfikiran rasional atau positif, bersangka baik dengan aktiviti puasa yang dilakukan. Elakkan berfikir perkara-perkara yang negatif. Ceriakan perasaan dengan rasa berpuas hati dan gembira. Pada masa yang sama wujudkan kesedaran dan rasa insaf dan simpati terhadap mereka yang bernasib malang. Katakan kepada diri sendiri:

"Hari ini aku berpuasa, dan dengan ini aku dapat menghayati sebahagian kecil kesusahan dan kelaparan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa peperangan, anak-anak daripada keluarga yang miskin, dan orang-orang tua yang tidak berdaya yang tinggal keseorangan tanpa mampu mencari makanan sendiri. Juga bagaimana rasanya haiwan-haiwan yang hidup di muka bumi ini seperti kucing, anjing dan lain-lain binatang yang sentiasa kelaparan tanpa perhatian. Mereka merasainya setiap hari, dan hari ini aku berpuasa dan merasainya juga."

11. Hilangkan Rasa Lapar dan Dahaga Menerusi Aktiviti Yang Dapat Mencuri Masa Lapang

Isilah masa lapang dengan hobi yang berfaedah dan dapat membuatkan kita lupa terhadap tempoh masa kelaparan dan kehausan sepanjang hari berpuasa. Menumpukan sepenuh perhatian terhadap ibadat-ibadat seperti berzikir yang dapat menenangkan fikiran dan menginsafi diri sebagai seorang manusia yang dicipta oleh Allah. 

Kurangkan aktiviti menonton televisyen dan rancangan yang melalaikan atau menghadap laman sosial. Sebab laman sosial seperti Facebook juga banyak info yang menggugatkan pahala puasa jika tidak dikawal dengan bijak. 

Baca buku ilmiah, buat homeschooling dengan anak-anak. Menonton video-video kanak-kanak bersama keluarga antara aktiviti yang dapat dimanfaatkan sepanjang berpuasa. 

Inilah antara 11 tips atau cara untuk mengurangkan keletihan sepanjang berpuasa. Biasalah kalau berpuasa dan letih tu. Kerana memang itu tujuan Allah mewajibkan kita puasa, supaya kita merasai apa yang orang susah rasa. Tak dapat makan dan minum. 

Selain itu... Antara zikir lazim yang boleh diamalkan jika kita rasa begitu letih dan lesu ialah لاحول ولا قوة الا بالله 

Amalkan selalu zikir ini.. Insha Allah.. Kita akan diberi kekuatan untuk meneruskan ibadah puasa. 


5Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ