Ticker

6/recent/ticker-posts

KISAH HUTANG KUTU : WARIS WAJIB AMBIL TAHU!!!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Jenjalan kat facebook.. terjumpa pula info menarik tulisan saudara Ahmad Faisol Omar mengenai main kutu... Popular main kutu terutama dalam kalangan cikgu. MF tak pernah main.. Last main kutu zaman sekolah... Dah kerja ni, tak berminat pula nak main... Tulisan saudara Ahmad Faisol ni, adalah cerita yang diciptanya untuk menerangkan betapa pentingnya pengetahuan hukum dan pengetahuan kepada waris yang main kutu... Sila baca dengan teliti dan fahami hukumnya. 

Sumber: google images


12 orang guru di Sekolah Menengah Langit Terbuka telah berpakat bermain kutu. Mereka ialah Cikgu Umi, Cikgu Rodiah, Cikgu Salina, Cikgu Munirah, Ustazah Nuraini, Ustazah Aisyah, Ustazah Kamaliah, Cikgu Fatin, Cikgu Jamilah, Cikgu Amalina, Cikgu Faizah dan Cikgu Nazira. Butir- butir mengenai permainan kutu yang telah dipersetujui bersama ialah,

1. Permainan kutu bermula pada bulan Januari dan berakhir pada bulan Disember.
2. Setiap bulan hanya seorang ahli yang akan menerima kutu. Giliran penerimaan ditentukan secara undian.
3. Cabutan undian hanya dilakukan sekali sahaja pada bulan Januari. Pemain kutu yang memegang angka satu akan menerima kutu pada bulan Januari, pemegang angka dua menerimanya pada bulan Februari dan begitulah seterusnya.
4. Setiap ahli kutu hendaklah membayar yuran pada setiap hujung bulan sebanyak RM200.00 Ini bermakna jumlah kutu yang diterima oleh setiap ahli kutu ialah RM2400.00 ( RM200.00 × 12 orang ahli kutu )

Ketua kutu ialah Cikgu Rodiah. Pada hujung bulan Januari, kesemua ahli kutu menyerahkan wang tunai sebanyak RM200.00 setiap seorang kepada Cikgu Rodiah untuk diserahkan kepada penerima pertama. Setelah wang kutu berjumlah RM2400.00 telah terkumpul, kesemua ahli kutu mencabut undian. Keputusan undian berdasarkan angka giliran adalah seperti berikut,
1. Cikgu Munirah
2. Cikgu Faizah
3. Cikgu Jamilah
4. Ustazah Aisyah
5. Cikgu Amalina
6. Cikgu Fatin
7. Ustazah Nuraini
8. Ustazah Kamaliah
9. Cikgu Rodiah
10. Cikgu Salina
11. Cikgu Nazira
12. Cikgu Umi

Selepas undian, Cikgu Rodiah menyerahkan wang kutu sebanyak RM2400.00 kepada Cikgu Munirah sebagai penerima pertama. Permainan kutu berjalan seperti biasa pada bulan- bulan berikutnya berdasarkan syarat- syarat permainan yang telah dipersetujui.

Pada 15 hb Mac, Cikgu Munirah terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke sekolah. Dia mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah. Dengan kematian Cikgu Munirah, bilangan ahli kutu tinggal lagi sebelas orang.

Pada 17 hb April, Cikgu Jamilah dinaikkan pangkat sebagai pengetua. Beliau ditukarkan ke Sekolah Menengah Awan Biru. Dengan pertukaran itu, ahli kutu tinggal lagi sepuluh orang.

Pada 3 hb Oktober, Cikgu Umi meninggal dunia akibat barah payu dara. Dia tidak sempat menerima wang kutu yang disertainya. Dengan kematian Cikgu Umi, ahli kutu tinggal lagi sembilan orang.

ULASAN & PENJELASAN HUKUM

  1. Main kutu diharuskan dalam Islam dengan syarat terma- termanya tidak bertentangan dengan prinsip- prinsip Islam.
  2. Main kutu adalah berdasarkan konsep tolong- menolong. Setiap ahli kutu saling tolong menolong mengumpulkan sejumlah wang untuk dimanfaatkan oleh penerima kutu berdasarkan giliran yang telah diputuskan secara undian.
  3. Ada unsur hutang dalam permainan kutu iaitu berhutang, memberi hutang dan membayar hutang. Penerima kutu yang pertama berhutang sepenuhnya kepada semua penerima selepasnya. Penerima kedua tidak berhutang kepada penerima pertama bahkan penerima pertama berhutang kepadanya, tetapi dia berhutang kepada penerima ketiga dan seterusnya. Penerima ketiga tidak berhutang kepada penerima pertama dan kedua, bahkan dia memberi hutang kepada mereka, tetapi dia berhutang kepada penerima keempat dan seterusnya. Beginilah keadaannya kepada penerima- penerima seterusnya yang tertakluk kepada berhutang dan memberi hutang, kecuali penerima paling akhir di mana dia hanya memberi hutang dan mengutip hutang tetapi tidak berhutang.
  4. Butir- butir hutang mengenai ahli- ahli kutu dalam cerita ini adalah seperti berikut,
    • Cikgu Munirah berhutang RM2200.00 kepada 11 ahli kutu yang lain.
    • Cikgu Faizah memberi hutang RM200.00 kepada Cikgu Munirah dan berhutang RM2000.00 kepada penerima kutu selepasnya.
    • Cikgu Jamilah memberi hutang RM400.00 ( setiap seorang RM200.00 ) kepada Cikgu Munirah dan Cikgu Faizah dan berhutang RM1800.00 kepada penerima- penerima selepasnya.
    • Ustazah Aisyah memberi hutang RM600.00 ( setiap seorang RM200.00 ) kepada Cikgu Munirah, Cikgu Faizah dan Cikgu Jamilah dan berhutang RM1600.00 kepada penerima- penerima selepasnya.
    • Cikgu Amalina memberi hutang RM800.00 ( RM200.00 setiap seorang ) kepada Cikgu Munirah, Cikgu Faizah, Cikgu Jamilah dan Ustazah Aisyah dan berhutang RM1400.00 kepada penerima- penerima selepasnya.
    • Cikgu Fatin memberi hutang RM1000.00 ( RM200.00 setiap seorang ) kepada penerima- penerima sebelumnya dan berhutang RM1200.00 kepada penerima- penerima selepasnya.
    • Ustazah Nuraini memberi hutang RM1200.00 ( setiap seorang RM200.00 ) kepada enam penerima sebelumnya dan berhutang RM1000.00 kepada lima penerima selepasnya.
    • Ustazah Kamaliah memberi hutang RM1400.00 ( setiap seorang RM200.00 ) kepada tujuh penerima sebelumnya dan berhutang RM800.00 kepada empat ahli kutu selepasnya.
    • Cikgu Rodiah memberi hutang RM1600.00 ( RM200.00 setiap seorang ) kepada lapan penerima sebelumnya dan berhutang RM600.00 kepada tiga ahli kutu selepasnya.
    • Cikgu Salina memberi hutang RM1800.00 ( RM200.00 setiap seorang ) kepada sembilan penerima sebelumnya. Dia hanya berhutang RM200.00 kepada Cikgu Nazira dan tidak berhutang kepada penerima terakhir ( Cikgu Umi ) kerana dia meninggal dunia sebelum sempat menjelaskan yuran kutu pada bulan oktober 
    • Cikgu Nazira memberi hutang RM1800.00 ( RM200.00 setiap seorang ) kepada sembilan penerima sebelumnya. Dia tidak sempat berhutang kepada Cikgu Umi.
    • Cikgu Umi memberi hutang RM1800.00 ( setiap seorang RM200.00 ) kepada sembilan penerima kutu. Dia tidak sempat memberi hutang kepada penerima kutu kesepuluh dan kesebelas.
  5. Semasa kematian Cikgu Munirah, dia masih berhutang RM2000.00 kepada sepuluh ahli kutu. Hutang itu wajib dijelaskan oleh warisnya dengan menggunakan harta peninggalannya.
  6. Cikgu Jamilah yang bertukar sekolah mempunyai dua pilihan. Dia boleh meneruskan bermain kutu seperti biasa atau berhenti bermain kutu jika merasakan kesulitan kerana bertukar tempat kerja. Jika dia memilih untuk berhenti bermain kutu, dia wajib menjelaskan hutangnya sebanyak RM1800.00 kepada sembilan ahli kutu selepasnya ( setiap seorang RM200.00 )
  7. Sembilan ahli kutu ( giliran 1 hingga 9 ) yang telah menerima kutu, wajib membayar hutang mereka kepada Cikgu Umi yang telah meninggal dunia. Setiap seorang RM200.00. Hutang tersebut hendaklah diserahkan kepada warisnya yang akan diagihkan mengikut hukum faraid.
Jadi, WARIS wajib ambil tahu, jika ada ahli keluarganya main kutu... Jangan buat main dengan hutang... jadi, kena tahu hukum sebelum main kutu... 

Moga bermanfaat... terima kasih atas perkongsian saudara Ahmad Faisol mengenai jalan cerita dan analogi yang bermanfaat dan senang difahami. 

KLIK SINI untuk baca >>>HUKUM MAIN KUTU<<<

Catat Komen

4 Ulasan

  1. pelik sikit dengan main kutu ni...thanks share :)

    BalasPadam
  2. thanks for sharing adakala fmly tak tahu pun ahli keluarga main kutu....

    BalasPadam
  3. Tempat diana pun orang suka main kutu ni tapi kat tempat diana di panggil tarikan sis...

    BalasPadam
  4. Jika kita trpaksa berhenti bemain kutu sbb berpindah tempat dan belum mendapat nya lg duit kutu blh kah kita meminta blk duit yg kita byr selama ini?

    BalasPadam

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^