GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Jom Kenali Hadis Palsu ( Maudhu')

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Penyebaran Hadis Palsu dan yang tidak sahih sudah menjadi satu fenomena dan trend yang biasa sejak beberapa kurun yang lalu hingga kini. Perkembangan buruk ini bertambah meluas dan pantas seiring dengan kecanggihan perkembangan teknologi maklumat dan dunia tiada sempadan hari ini.

Dua tiga tahun lepas ana sudah melahirkan kebimbangan dan memberi peringatan serta sedikit panduan kepada para pengguna laman sosial terutamannya.
 "Memandangkan banyaknya kata-kata nasihat, motivasi dan tazkiran melalui internet yang disebarkan, samada FB, WhatsApp, twitter dan lain-lain.. yang dikaitkan dengan Hadis atau Sunnah Nabi s.a.w, maka ana rasa terpanggil untuk memberi panduan kepada para pembaca;

Sebelum nak share sesuatu berita atau maklumat kepada orang lain baca dulu sampai tamat.

Sekiranya ada disebut hadis, pastikan sumber yang diambil sahih atau bersifat authentic. [contoh yang banyak disebar sehari dua ni hadis tentang Kaabah akan diruntuhkan. Memang ada hadis sedemikian tetapi cerita yang ditulis itu sudah bercampur gaul dengan banyak cerita yang tidak benar].

Iklan-iklan perniagaan yang dikaitkan dengan sunnah, tak perlu disebarkan sebelum disahkan oleh para asatizah yang ada ilmu dalam bidang tersebut.

Nasihat ini diberi atas dasar bimbang takut terjatuh ke lembah dosa besar yang mudah dibuat sebagaimana yang diterangkan dalam beberapa hadis.

Para ulama' telah membuat perbezaan dan huraian serta pengertian tentang setiap satu kedudukan hadis seperti sahih, hasan, dan lemah (dhaif). Apakah kepentingan untuk kita mengetahui ilmu ini? Apa tujuan kita mengetahui kedudukan hadis sama ada sahih, hasan, ataupun palsu (maudhu')?


Kita perlu mendapatkan kepastian dan kesahihan suatu hadis kerana kita hendak menjadikannya sebagai asas dan sumber rujukan dalam agama selepas al-Quran. Pastilah kita mahu melakukan ibadat  terutamanya yang wajib seperti solat, puasa dan lainnya dengan cara yang betul. Maka wajib kita pastikan riwayat tentang solat yang sampai kepada kita adalah riwayat yang sahih, bukan riwayat yang palsu dan direka-reka atau lemah dan diragui.

Sebahagian orang mengambil mudah dan tidak prihatin. Asalkan ia disebut hadis, mereka menerima semuanya termasuk yang lemah dan palsu. Sedangkan hal ini melibatkan urusan Akhirat, yang menentukan amalan diterima atau ditolak, maka hendaklah setiap amalan yang dilakukan itu kita pastikan sahih datang dari Nabi s.a.w supaya diterima dan dikira sebagai amal soleh.

Sabda Nabi s.a.w:
“Sesiapa yang melakukan suatu amalan (ibadah) yang tidak kami perintahkan, maka ia tertolak.” [Riwayat Muslim].

Jika amalan yang kita lakukan tidak betul, bagaimana ia hendak dikira? Jadi untuk pastikan amalan yang dibuat itu betul dan menepati sebagaimana yang dikehendaki hukum Syara', hendaklah kita cermat dengan maklumat yang sampai kepada kita khususnya hadis Nabi saw, hendaklah dipastikan sahih agar amalan yang dilakukan bertepatan dengan kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.w.

Sebuah hadis berbunyi:
“Memadai seseorang itu dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan semua yang dia dengar.” [Riwayat  Muslim].

Pada hari ini masih terdapat banyak sekali buku-buku, penceramah-penceramah, ustaz-ustaz, hatta mereka yang tidak berkelayakan dalam bidang agama, menyampai dan menyebarkan hadis palsu. Antara cerita palsu yang masyhur ialah tentang kisah Umar al-Khattab r.a menanam anak perempuannya hidup-hidup dan kisah Alqamah yang derhaka terhadap ibunya.

Hadis-hadis palsu juga banyak yang datang dari kalangan Syiah untuk memburukkan para sahabat. Antaranya cerita Abdul Rahman bin Auf r.a yang dikatakan masuk syurga dalam keadaan merangkak kerana kekayaannya. Syiah juga membawakan hadis-hadis palsu menceritakan kelebihan Ali r.a di mana riwayat tersebut tidak ada sandarannya.

Dalam bahasa Arabnya hadis palsu dipanggil Hadis Maudhu’ (al-Maudhu’at).

Ia adalah kata jamak bagi perkataan maudhu’. Ia adalah isim maf’ul. Di dalam bahasa Arab:
 (وضع شيئا يضعه وضعاً)  bermakna meletakkan atau menjatuhkannya.
Atau ia diambil daripada (وضعت المرأة ولدها إذا ولدته) iaitu apabila perempuan itu melahirkan anaknya.

Manakala menurut istilah para imam hadis, maudhu’ bererti hadis yang diada-adakan secara dusta ke atas Rasulullah s.a.w atau ke atas para sahabat dan tabi’in selepas Baginda. Tetapi apabila perkataan maudhu’ ini digunakan secara umum maka ia adalah bermakna hadis yang direka-reka ke atas Nabi s.a.w. Manakala maudhu’ ke atas selain Baginda akan dikaitkan seperti orang mengatakan riwayat maudhu’ ke atas Ibnu Abbas atau ke atas Mujahid.

Persesuaian antara pengertian maudhu’ dari sudut bahasa dan istilah adalah jelas. Jika menurut pengertian makna dari segi Bahasa Arab iaitu jatuh atau meletakkan maka ia adalah sesuai kerana hadis maudhu’ adalah tidak boleh diambil kira. Manakala berdasarkan makna kedua iaitu ibu melahirkan anak juga adalah sesuai, kerana di dalam hadis maudhu’ itu ada erti melahirkan dan sebab dalam kewujudannya.

Maudhu’ dari segi fakta dan nasnya ada dua jenis :
Seseorang itu mencipta sendiri satu susunan perkataan kemudian menisbahkannya kepada Nabi s.a.w atau kepada sahabat atau tabi’in.

Orang itu menggunakan satu perkataan sahabat atau tabi’in, hukama’, orang sufi atau apa yang diriwayatkan di dalam israiliyyat (akan diterangkan nanti) kemudian menisbahkannya kepada Rasulullah s.a.w supaya ia mudah laku dan diterima.

Antara contoh kalam sahabat yang dikatakan hadis ialah:
“Cintailah orang yang engkau cintai seberapa ringan yang boleh kerana boleh jadi pada suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau benci dan bencilah orang yang engkau benci seberapa ringan yang boleh kerana boleh jadi pada suatu hari kelak dia akan menjadi orang yang engkau cintai.” Sebenarnya kata-kata ini adalah daripada ucapan Saidina Ali ra.

Contoh hadis maudhu’ berasal daripada kata-kata tabi’in ialah:
“Engkau di dunia ini seolah-olah tidak ada dan di akhirat seolah-olah sentiasa wujud”. Ia diambil daripada kata-kata Umar Bin Abdul Aziz r.a.

Contoh hadis maudhu’ yang diambil dari kalam hukama’ ialah:
“Perut ialah rumah penyakit dan perut yang kosong ialah kepala segala ubat.” Sebenarnya ia diambil daripada kata-kata al-Haris bin Kalidah, seorang doktor Arab.

Contoh hadis maudhu’ yang diambil dari kata-kata orang sufi ialah:
“Aku adalah khazanah yang tersembunyi lalu Aku ingin dikenali. Maka Aku menciptakan makhluk lalu Aku memperkenalkan mereka kepada Aku lalu mereka mengenali penulis.”

Contoh hadis maudhu’ yang diambil dari israiliyyat ialah:
“Aku tidak dapat disaingi oleh langit dan bumi-Ku akan tetapi Aku disaingi oleh keluasan hati orang Mukmin”

Ulama' berkata: “Ia adalah dari israiliyyat dan ia tidak mempunyai sumber yang diketahui berasal daripada Nabi s.a.w.”

Contoh israiliyya lagi ialah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra:
“Sesungguhnya umur dunia ialah tujuh ribu tahun.”
Sesungguhnya banyak israiliyyat-israiliyyat yang telah dinisbahkan kepada Nabi s.a.w, para sahabat dan tabi’in dalam cerita permulaan penciptaan, tempat kembali, berita umat-umat terdahulu, tentang alam semesta dan kisah-kisah nabi. Setengah daripada hadis-hadis ini boleh mendatangkan bahaya terhadap agama.

Hukum Melakukan Pendustaan Terhadap Rasulullah s.a.w

Jumhur ulama' sama ada Khalaf atau Salaf telah sepakat mengtakan bahawa melakukan pendustaan terhadap Rasulullah s.a.w adalah termasuk dalam dosa besar. Maka mereka bersepakat haram hukumnya meriwayatkan hadis maudhu' yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w kecuali disertakan diiringi dengan penjelasan mengenai pendustaan dan pembohongannya.

Sesiapa yang mengatakan ia hadis sedangkan dia tahu ia adalah suatu pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w, maka dia telah terlibat dengan pembohongan terhadap Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah memberi amaran keras terhadap golongan ini berdasar hadis ini:

Rasulullah s.a.w bersabda :
“Sesungguhnya melakukan pendustaan terhadap aku tidak sama seperti melakukan pendustaan ke atas orang lain. Maka sesiapa yang melakukan pendustaan ke atas ku dengan sengaja maka bersedialah tempat tinggalnya di dalam api neraka.” [Riwayat  al-Bukhari dan Muslim].

Maka sesiapa yang hendak menyebarkan sebarang berita yang disandarkan kepada Nabi mestilah memastikan kesahihannya terlebih dahulu. Kecuali jika disebarkan untuk menjelaskan kepalsuannya. Kita mestilah hati-hati dalam penyebaran hadis, kerana alangkah besarnya dosa dan beratnya siksaan sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Baginda s.a.w itu!  Wallahu a’lam.

Artikel ini adalah penulisan dari Dr. Abdul Basit Abdul Rahman.

Sumber: Nurani Karangkraf

5Ulasan

  1. kadang-kadang kita share tanpa selidik dulu.. huu
    semoga jadi pengajaran dan peringatan untuk semuaa :)

    BalasPadam
  2. ramai yang nak jadi the first share!, moga kita terpelihara

    BalasPadam
  3. tp camne nak pastikan hadis2 tu sahih huhu

    BalasPadam
  4. skrg tlalu byk hadis palsu

    Jemput singgah blog Nurfuzie.com
    Jom memriahkan GA cik en yang bernilai lebih dari rm1KGive Away Nurfuzie Dot Com #1 Bernilai RM1000
    Dan pencarian Pencarian Bloglist Nurfuzie Dot Com #2

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ