Ticker

6/recent/ticker-posts

Hukum dan Persoalan: Solat Jumaat!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
Sumber: Google images


Semalam ajar anak-anak didik pasal solat Jumaat. Rupanya, masih ada dalam kalangan ibu bapa pandang mudah dengan hukum solat Jumaat ni. Sebabnya, ada di antara pelajar yang tak pergi solat Jumaat sebab mak suruh jaga adik la, mak tak bagi pergi lah... Ayah tak bawakan la.. macam-macam alasan. Tak pasti alasan tu benar atau tak, tapi setakat ni, anak-anak ni jujur dan tak reti betul nak menipu sekalipun hal solat. Memang jujur mengaku tak solat... hmmm..  Jadi, wajib ye ambil tahu bab solat Jumaat nih... Terutama bagi ibu bapa yang ada anak lelaki yang semakin meningkat remaja. 

Apa itu solat Jumaat?
Solat Jumaat ialah solat dua rakaat pada waktu Zuhur, hari Jumaat didahului dua khutbah serta dengan syarat-syarat tertentu.

Apakah hukum solat Jumaat?
Sembahyang fardhu Jumaat diwajibkan (fardhu ‘ain) ke atas setiap lelaki Islam yang cukup syarat. Kewajipan mengerjakannya ada disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Qur’an, sebagaimana firmanNya:
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah al-Jumu‘ah: 9)

Apakah hukum meninggalkan solat Jumaat?
Mereka yang ada keuzuran yang diberi kelonggaran (rukhshah) pada meninggalkan sembahyang berjemaah adalah tidak diwajibkan sembahyang fardhu Jumaat seperti sakit yang boleh menambahkan lagi sakit atau melambatkan sembuh, sakit cirit birit kerana takut akan mencemarkan kebersihan masjid atau sibuk kerana menguruskan mayat yang ditakuti jika dilambatkan akan menyebabkan mayat menjadi busuk.

Sesiapa yang meninggalkan sembahyang fardhu Jumaat tanpa ada uzur syar‘i adalah perbuatan dosa dan melanggar perintah Allah, apatah lagi jika meninggalkannya tiga kali berturut-turut, hatinya akan dikatakan oleh Allah sebagai hati orang munafiq.

Abu al-Ja‘di adh-Dhamriy r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Maksudnya:
“Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali tanpa keuzuran maka dia adalah munafiq.”
(Hadits riwayat Ibnu Hibban)

Syarat Wajib Solat Jumaat
  • Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Bermastautin
  • Bermukim
  • Berkemampuan
  • Merdeka


Syarat Sah Solat Jumaat
  • Ditunaikan ditempat khas
  • Ditunaikan dalam waktu Zuhur
  • Melebihi sekurang-kurangnya 40 orang Jemaah termasuk imam.
  • Didahului dua khutbah
  • Ditunaikan secara berjemaah


Apakah keuzuran daripada mendirikan solat jumaat?
Keuzuran bagi meninggalkan solat Jumaat adalah sama seperti keuzuran yang diberikan bagi meninggalkan mana-mana ibadat wajib yang tidak mampu dilakukan. Antaranya adalah pitam, gila, sakit terlantar sehingga tidak mampu bangun dan tiada yang dapat membawanya ke masjid, tugas yang terpaksa dilaksanakan yang mana ia menjaga keselamatan negara, tertahan (samada di penjara atau di tengah jalan) dan keadaan cuaca yang menghalang sama sekali pergi ke masjid.

Adakah yang bertugas sebagai polis, bomba dan tentera dikira uzur dari menunaikan solat jumaat?
Uzur yang boleh diterima oleh Syara' bagi orang lelaki Islam untuk tidak mengerjakan solat Jumaat adalah seperti berikut:

1) Dalam pelayaran dan tidak berjumpa dengan masjid
2) Sakit
3) Lelaki yang baru seminggu berkahwin dengan seorang anak dara
4) Hujan lebat atau keadaan cuaca yang amat buruk sehingga menghalang dari pergi ke masjid
5) Tertidur
6) Pengsan
7) Gila
8) Pekerja yang mana kerjanya amat kritikal untuk keselamatan nyawa dan negara

Bagi yang nombor 8, seseorang itu perlu berusaha untuk mengerjakan solat Jumaat, sekurang-kurangnya sekali setiap 3 Jumaat. Jadi, buatlah penggiliran agar tak capai tiga hari berturut-turut.

Bolehkah seorang muslimah menunaikan solat Zuhur pada hari Jumaat sejurus selepas azan berkumandang atau haruskah dia tunggu selepas selesainya Solat Jumaat dan khutbahnya?

Mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat seperti wanita dan mereka yang uzur tidak perlu menunggu sehingga selesainya solat Jumaat untuk melakukan solat Zuhur. Solat Zuhur boleh dilakukan sejurus selepas azan berkumandang. Bacaan lanjut >>> DI SINI<<<

Yang mana wajib didahulukan, mengerjakan solat Juma'at atau menguruskan jenazah?
Solat Jumaat wajib dikerjakan dalam keadaan berjemaah dalam waktu tertentu. Sedangkan uruskan jenazah boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak perlu terburu-buru, asal tidak dilengahkan. Maka wajib mendahulukan solat Jumaat daripada menguruskan jenazah.

Apakah tujuan azan kedua berkumandang pada solat Jumaat?
Azan kedua yang berkumandang pada solat Jumaat mempunyai tujuan yang sama dengan azan yang pertama. Bezanya adalah untuk menunjukkan kepada jemaah bahawa khutbah akan bermula dan solat akan mula selepasnya.

Jika Masuk Masjid Sedang Imam Tengah Memberi Khutbah Jum’at
Jika seorang muslim masuk masjid sedang imam tengah menyampaikan khutbah Jum’at, maka hendaklah dia tidak duduk sehingga mengerjakan solat tahiyyatul masjid dua rakaat seraya meringankannya. Yang demikian itu didasarkan pada dalil berikut ini.

Dari Jabir bin Abdillah r.a, ia mengatakan : “Sulaik Al-Ghathfani pernah datang pada hari Jum’at ketika Rasulullah s.a.w tengah menyampaikan khutbah, lalu dia duduk, maka beliau berkata kepadanya : ‘Wahai Sulaik, berdiri dan kerjakanlah solat dua raka’at dan bersegera dalam mengerjakannya’. Kemudian beliau bersabda.

“Jika salah seorang diantara kalian datang pada hari Jum’at sedang imam tengah berkhutbah maka hendaklah dia mengerjakan solat dua raka’at dan hendaklah dia bersegera dalam mengerjakan keduanya” [Diriwayatkan oleh Asy-Syaikhani]

Moga jelas dan faham... Sama-sama belajar... Bab ilmu agama nih, kalau tak ulang kaji akan lupa dan lenyap... Jadi, kena mengaji selalu... Jangan pandang remeh... Kalau tak ada ilmu bergurulah... Semoga bermanfaat.

Rujukan: 
Buku Pendidikan Islam Tingkatan Satu
Halaqah.net
Google Search

Catat Komen

1 Ulasan

  1. salams mar,

    info yg sangat bagus utk anak-anak buat rujukan:)

    BalasPadam

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^