GuidePedia

5
Sumber: google images
Saya ada terbaca mengenai Malaikat Rahmat yang tidak masuk ke dalam rumah yang ada menyimpan gambar binatang contohnya ikan berenang. Seandainya gambar itu sekadar hiasan sahaja dan kita tidak memandangnya apakah pula hukumnya? Begitu juga tentang gambar pemandangan seperti sawah padi yang mempunyai objek pesawah di tepi gambar tersebut. Apakah hukumnya menyimpan gambar sebegini? Semoga mendapat penjelasan dari Ustaz.

MIRZA JAMILAH Kuala Lumpur

JAWAPAN

Sidang pembaca yang dihormati sekalian. Hari ini telah menjadi lumrah sebilangan umat Islam menghiasi rumah dengan lukisan dan gambar. Lukisan dengan gambar itu pula berbagai-bagai sama ada lukisan tentang tumbuhan, ada yang gambar haiwan dan manusia.

Islam mempunyai tata cara dan hukum tersendiri mengenai lukisan dan gambaran ini. Islam sebenarnya melarang gambar makhluk yang mempunyai roh. Seperti manusia dan juga binatang. Sama ada lukisan itu pada kereta, pakaian atau apa sahaja. Jika lukisan itu mati, kayu dan sebagainya tidak pula dilarang oleh syarak.

Satu hadis dari Aisyah r.a bahawa dia memandang tirai yang terdapat padanya gambar-gambar. Lalu Rasulullah s.a.w masuk dan melepaskannya. Aisyah berkata, lalu aku memotongnya menjadi dua bantal dan baginda bersandar pada keduanya- (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain Rasulullah s.a.w bersabda, sesiapa yang melukis gambar maka Allah akan mengazabkannya dengan gambar tersebut pada hari kiamat sampai dia meniupkan (roh) padanya padahal dia tidak dapat meniupkan roh itu. -Hadis riwayat Imam Bukhari.

IbnuAabbas berkata Rasulullah s.a.w pernah bersabda:- “ Setiap pelukis di dalam neraka kepada setiap gambar yang dilukisnya diberikan nyawa. Gambar tersebut menyeksanya di dalam neraka. Maka jika kamu hendak melukis lukislah gambar pokok dan apa yang tidak memiliki roh.”

Jadi dalam beberapa hadis yang telah disebutkan di atas nyata bahawa larangan terhadap gambar dan lukisan adalah yang mempunyai roh dan jiwa tetapi kepada pokok, tanaman dan benda-benda yang tidak mempunyai roh adalah diharuskan.

Hukum melukis dan gambar yang dibuat daripada proses fotografi adalah berbeza. Melukis adalah dengan kemahiran pelukis itu sendiri sedangkan gambar foto daripada kamera adalah imej sebenar yang dipindahkan dalam bentuk filem.

Menggambarkan yang dilarang oleh syarak adalah lukisan daripada pelukis sedang jurukamera memindahkan imej sebenar melalui kameranya bukan khayalan atau imaginasi pelukis. Jadi ia membawa perbezaan hukum.

Lukisan haiwan dan makhluk bernyawa adalah dilarang dalam Islam sedangkan gambar yang diambil oleh kamera tidak dilarang tetapi harus.

Jika kita hendak meletakkan lukisan di rumah atau di pejabat atau di mana sahaja, sebagai orang Islam hendaklah kita meletakkan gambar atau lukisan yang tidak mengandungi makhluk-makhluk bernyawa.

Dalam hal ini sudah tentulah misalnya jika ada orang berkata, “rumah ini malaikat tak masuk,” secara logiknya tentulah tak masuk sebab perkara-perkara itu adalah haram dan dilarang oleh Allah.

Jibril pernah berkata kepada nabi bahawa dia akan dapat berjumpa dengan nabi di dalam rumah kecuali rumah yang ada patung, gambar-gambar dan anjing. Lalu nabi memotong patung itu dan memotong lukisan gambar-gambar tadi dan mengeluarkan anjing.

Satu hadis daripada imam Muslim, Rasulullah bersabda, “malaikat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing dan gambar.”

Jelas bahawa rumah yang ada gambar bernyawa dan anjing tidak akan dimasuki oleh malaikat. Oleh itu kiranya kita mempunyai gambar atau lukisan maka sebaiknya kita simpan saja atau gantikan dengan lukisan yang tidak ada makhluk bernyawa supaya kita sentiasa diredai Allah. Walaupun kita sayang sangat padanya tetapi sepatutnya kita kena lebih menyayangi Allah dan Rasul-Nya.

-USTAZ AZHAR TOARNO- 

Sumber: www.karangkraf.com
Thanks for reading: Hukum Simpan Gambar Binatang

Catat Ulasan

  1. Wah... bagus sekali.... thank you for sharing....

    BalasPadam
  2. ooo... nasib lah mama tak minat dengan lukisan..... hihi

    Boleh jenguk mama di sini.. Mamaniza.com

    BalasPadam
  3. Saya prefer gambar air terjun dari gambar binatang. Even teddy bear pun saya xmahu simpan tau kak.
    Terima kasih share ilmu ni kak

    BalasPadam
  4. Subhanallah.. pencerahan yg sgt baik.. t kasih diatas perkongsian.

    BalasPadam
  5. Perkongsian yg bagus tp masih ramai yg amik mudah..

    BalasPadam

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^

 
Top