Sedikit sangat
orang yang memiliki sifat ego, yang dia menyedari bahawa dirinya memiliki sifat
keji tersebut. Natijah tidak menyedari adanya ego itulah maka tercetus berbagai
perselisihan dan sengketa di dalam masyarakat.
Ini berpunca kerana
masing-masing diri dengan sifat ego tersebut bertembung dengan orang lain yang
juga memiliki sifat yang sama. Dalam Keadaan mereka sama-sama pula tidak
menyedari memiliki sifat ego. Di antara ciri-ciri ego itu adalah seperti
berikut :-
1. Menolak Tuhan.
Inilah peringkat paling tinggi keegoan manusia. Tidak mahu mengakui akan
kewujudan Tuhan ini yang menjadikan mereka berada di dalam kekufuran.
2. Menolak
kebenaran. Biarpun terdapat golongan yang mengakui kewujudan Tuhan namun mereka
yang salah faham akan keliru tentang Tuhan turut meletakkan diri mereka di
dalam kekufuran. Turut berada di dalam kategori ini ialah mereka yang menolak
kerasulan Nabi Muhammad SAW. Mereka yang seumpama ini boleh jatuh kepada murtad
atau kufur. Andainya berpunca dari kejahilan, namun tidak terlepas juga sebagai
mereka yang ego tinggi yang dihukumkan sebagai fasik.
3. Golongan ini
pula sangat meremehkan dosa pahala dan tidak suka memperkatakannya. Apa sahaja
yang dibuat tidak mahu dikaitkan dengan persoalan dosa pahala atau halal haram.
Keegoan mereka ini seolah-olah mahu bebas. Tidak mahu adanya sebarang
keterikatan dengan hukum Allah SWT. Begitu juga dalam kontek kekuasaan Allah
SWT, mereka tidak mahu mengaitkan sesuatu peristiwa atau perkara itu dengan
bukti kekuasaan allah SWT yang Maha Kuasa. Sesuatu kejadian samada kejayaan,
kegagalan mahupun musibah pada mereka lebih nampak kepada sebab atau faktor
kejadian tersebut. Dalam soal usaha ikhtiar, mungkin juga boleh diterima
sebagai faktor sebab yang terhasilnya sesuatu yang hakikatnya dengan izin Allah
SWT. Apa yang anehnya sebagai memperlihatkan ego adalah bencana alam seperti
gempa bumi, banjir, kemarau, jerebu, tanah runtuh yang sifatnya tidak ada
campur tangan manusia, pun tidak mahu disandarkan kepada kekuasaan Allah SWT.
Lantas dengan cepat mereka mengatakan itu semua adalah lumrah alam atau perkara
biasa.
4. Tidak mahu
menerima dari orang atau pihak lain. Seolah-olah merasa rendah atau tercabar
atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih
lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau
orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah.
5. Ego juga dapat
dilihat bilamana seringkali menzalimi orang lain apabila seseorang itu memiliki
kuasa. Dia akan gunakan kuasa itu bukan sebagai amanah atau tanggungjawab
tetapi sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang
lain. Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di
bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling
sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia
menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya.
6. Sering sahaja
bercekak pinggang sebagai gambaran membesar diri. Sifat egonya itu terzahir
dalam perbuatan bercekak pinggang biarpun tanpa disedarinya.
7. Payah hendak
bertegur sapa kecuali kalau orang lain mendahuluinya. Dia merasakan tidak layak
untuk menghormati orang lain seolah-olah orang lain yang patut menghormati
dirinya.
8. Isi perbualan
atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata
yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang.
9. Selalu berwajah
serius dan masam. Ditambah pula dengan sikap yang kurang mesra.
10. Sangat memilih
kawan terutamanya di kalangan orang yang setaraf sahaja. Kadang-kadang lebih
suka berada di tengah-tengah orang yang lebih rendah bukan kerana merendah diri
tetapi mengharapkan agar dirinya kelihatan lebih menonjol. Dan begitulah
sebaliknya cuba mengelak berkawan dengan orang yang lebih atas kerana tidak
mahu kelihatan dirinya rendah.
11. Sangat mudah
tercabar oleh kebaikan orang lain. Apatah lagi apabila dicabar maka sangat
tidak dapat menguasai emosi. Mudahnya tercabar itu samada akan memberi
tindak-balas atau terus merajuk dan membawa hati.
12. Mudah menjadi
marah terutamanya kalau orang lain yang membuat silap, lebih-lebih lagi kalau
kesilapan itu tertimpa ke atas dirinya.
13. Kalau dia
terbukti bersalah sangat sukar untuk meminta maaf. Dan apabila orang lain yang
bersalah pula sangat sukar memaafkan.
14. Tidak boleh
ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit
hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya.
15. Sangat suka
dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya. Kalau
dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati
kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.
16. Sangat suka
berbahas. Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan
hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan walaupun salah.
Kesan sifat ego ini
sangat merbahaya dan dahsyat. Lihat sahajalah Firaun, Namrud dan Hamman, kerana
egolah mereka sanggup menderhakai Tuhan. Bahkan sanggup mati di dalam
kekufuran. Biarpun berbagai bencana Tuhan datangkan sebagai amaran dan ancaman,
semuanya tidak menjadi pengajaran, iktibar dan ingatan. Apalah ertinya
mempertahankan "kenikmatan" ego itu sedangkan menanggung seksa dan
laknat Allah SWT.
p/s: Ya Allah... Jauhilah aku dari penyakit hati dan ego ini... ameen..
alhamdulillah.. terima kasih untuk perkongsian ini..
BalasPadam