بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
6 Adab Pergi Beraya Rumah Orang | Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menghubungkan tali silaturahim. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik, jika tidak hendaklah dia diam.
(Hadis riwayat Ahmad)
Adab Pergi Beraya Rumah Orang...
Antara adab berkunjung bukan saja pada hari raya, malah pada bila-bila masa adalah:1. Meminta izin dan memberi salam.
Jika salam pertama tidak dijawab, ulangi tiga kali. Jika masih tiada jawapan, beredar dengan hati lapang tanpa menyimpan prasangka buruk terhadap tuan rumah.Dalam hadis sahih, Abu Musa berkata, dia mendengar Rasulullah bersabda maksudnya: Apabila kamu meminta izin sebanyak tiga kali, tetapi tidak mendapat keizinan, hendaklah kamu beredar.
2. Tidak berdiri menghadap pintu
Tidak berdiri menghadap pintu, sebaliknya berdiri menghadap ke arah lain. Jadikan pintu berada di sebelah kanan atau kiri. Hal ini untuk mengelak pengunjung terpandang aurat tuan rumah atau terpandang sesuatu yang tidak elok apabila pintu dibuka. (Rujuk hadis riwayat Abu Daud daripada Abdullah bin Basyar)3. Jangan menyusah dan menyulitkan tuan rumah.
Muslim meriwayatkan daripada Abi Syuraih bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: Tidak halal bagi seseorang Muslim tinggal di rumah saudaranya hingga menyebabkan dia berdosa.
Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana dia boleh menyebabkan sahabatnya berdosa? Baginda menjawab: Dia tinggal di rumah saudaranya sedangkan saudaranya itu tidak ada sesuatu pun untuk dihidangkan kepadanya.
Jadi, jika hendak bertandang, jangan tinggal lebih tiga hari atau ketika saudara berada dalam kesempitan.
4. Bermanis muka serta jauhi perkataan haram dan sia-sia.
Daripada Abu Zarr katanya, Rasulullah berkata kepadaku: Jangan engkau perkecilkan perkara yang baik itu walaupun sedikit, termasuk bertemu saudaramu dengan wajah ceria. (Hadis riwayat Muslim)
5. Segera beredar apabila tujuan kedatangan sudah terlaksana.
Dalam ayat berikut, Allah mengajar sahabat adab berkunjung ke rumah Nabi Muhammad yang wajar dicontohi. Firman-Nya bermaksud: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian selepas kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi hingga dia berasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedangkan Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. (Surah al-Ahzab, ayat 53)
6. Jaga batas pergaulan khususnya dengan isteri tuan rumah (bagi tetamu lelaki).
Firman Allah bermaksud: Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka daripada sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.(Surah al-Ahzab, ayat 53)
Kredit: Bahagian Dakwah JAKIM
Raya untuk eratkan silaturahim bukan menambah dosa.. Moga kita sama-sama jaga...
segera beredar hehe.. ade je yang jenis duduk 2/3 jam kalau bukan ahli kluarga. fam members xpe exceptional la kan..
BalasPadambab berdiri menghadap pintu tu je tak faham
BalasPadam