8 Sebab Wanita Boleh Tuntut Cerai

Maria Firdz
1
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

8 Sebab Wanita Boleh Tuntut Cerai | Cerai, adalah perkara halal yang dibenci Allah. Adapun dalam keadaan yang tidak boleh dieelakkan, boleh bagi wanita itu meminta cerai jika berlaku dharar seperti:

1. Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik, dan tempat tinggal yang stabil. Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (8/204).

2. Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat. Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya, dan memaki seperti mengatakan “engkau anak anjing”, “engkau anak laknat”, “engkau anak kafir” dan sebagainya. Rujuk Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir (2/345)

3. Suami suka bermusafir lama seperti 6 bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya. Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: 6 bulan.
Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah (7/305)

4. Suami itu dipenjara dalam suatu tempoh masa yang lama dan isteri itu menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai. Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. Rujuk Mausu’ah al-Kuwaitiyyah (29/67).

5- Suami berpenyakit mandul, tiada daya seksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.

6. Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya. Syeikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai dari suami yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Syeikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.

7. Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkara Syeikh Jibrin: “Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan isteri itu kegagalan menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”

8. Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya.


Boleh merujuk Seksyen 52 Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh  dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 Akta 303:

(1) Seseorang perempuan yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu :-

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;

(f) bahawa suami telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami menganiayainya, iaitu, antara lain:

  • (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya; atau
  • (ii) berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak; atau
  • (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah; atau
  • (iv) melupuskan harta isteri atau melarang isteri itu daripada menggunakan haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu; atau
  • (v) menghalang isteri daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya; atau
  • (vi) jika dia mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;

(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;

(j) bahawa isteri tidak memberi keizinan akan perkahwinan itu atau keizinannya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;

(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi keizinan yang sah, adalah seorang yang kecelaruan mental, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31 tahun 1952] bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, atau Ordinan Lunatik bagi Wilayah Persekutuan Labuan [Sabah Bab 74] dan kecelaruan mentalnya adalah daripada suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin;

(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

Semoga masalah yang dihadapi diselesaikan dengan baik.
Sumber: Mufti WP


Entry ni bukan nak suruh isteri minta cerai...tapi perkongsian ilmu... refresh balik ilmu kursus kahwin dulu...  Berdosa isteri minta cerai kalau suaminya baik dan bertanggungjawab. Tapi ada kes tertentu, isteri terlalu bersabar hingga menyeksa diri sendiri... Sedangkan ada jalan yang lebih baik... Kerana itu dalam Islam ada hukum fasakh dan khuluk untuk membela nasih wanita yang teraniaya.

Setiap dari kita berhak untuk hidup bebas dan bahagia... Jangan seksa diri sendiri sebab sayang dan sebagainya. Tapi wanita ini hatinya mudah lembut... kerana sayanglah dirinya dibiarkan terseksa jiwa dan raga..

Apa pun, sebelum buat keputusan cerai baiklah mohon petunjuk Allah melalui istikharah... itu lebih baik... Jangan kerana terbaca entry ni ataupun pengaruh sesiapa... Insha Allah ketentuan Allah itu terbaik untuk kita... Allah tak kan uji seseorang mengikut apa yang dia mampu, dan Allah juga tak kan ubah nasib seseorang jika kita tak usaha nak ubahnya... 

Catat Ulasan

1Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ

  1. sebagai wanita, lebih2 lagi isteri perlu tahu akan hak masing2... tqvm atas info berguna utk golongan wanita agar mereka ada ilmu dan tidak sewenang2nya tertindas...

    BalasPadam
Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !