Kisah Dari Kandang Pesalah: Nenek 70 Tahun Mencuri Kerana Cucu Kebuluran!

Maria Firdz
4
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Sumber: Google Images

"Yang Arif, saya mengaku salah. Memang saya yang mengambil barang itu tanpa izin di Kedai Haji Othman." Akui Nenek Temah berusia 70 tahun dengan sedikit gugup. Pendakwa raya pula bangkit,  "Siti Asmah ini perlu dikenakan hukuman berat,  Yang Arif. Ini mustahak sebagai pengajaran kepada dirinya dan masyarakat.  Lebih-lebih lagi dia sudah berusia tua. Seorang nenek perlu menunjukkan contoh dan tauladan yang baik kepada anak cucu, bukannya menggalakkan perlakuan jenayah.  Saya mohon nenek ini dikenakan hukuman dua tahun penjara maksimum. "

Kamar mahkamah itu hening seketika.

"Baiklah. Sebelum saya menjatuhkan hukuman,  ada apa-apa kenyataan yang kamu hendak buat?" tegas majistret muda berusia sekitar 30-an itu kepada Nenek Temah.

Di dalam kandang Orang Kena Tuduh (OKT), Nenek Temah tertunduk. Kakinya sedikit goyah, namun digagahkan juga. Nenek Temah menarik nafas dalam-dalam dan kembali mengangkat muka lalu berkata, "Sebenarnya tuan hakim, niat saya bukan mencuri susu, tepung dan sekampit beras itu. Saya sekadar mahu meminjam. Setelah saya mendapat pekerjaan dan berduit, saya akan bayar kembali kepada Haji Othman."

"Mengambil tanpa izin dan sembunyi-sembunyi itu namanya mencuri! Bukannya MEMINJAM!!!" teriak Haji Othman yang menggerutu dari bangku orang awam di dalam mahkamah itu.

"DIAM! Diam! Diam!" tegas majistret sambil mengetuk tukul 'pemutus bicara'.

Nenek tua tersentak dan berpaling ke arah Haji Othman kemudian kembali mengadap Yang Arif. Nenek Temah yang tidak diwakili peguambela mula bersuara, "Benarlah apa yang dikatakan Haji Othman itu, tetapi saya lakukan ini bukan suka-suka. Saya terpaksa Yang Arif."

Nenek Temah kembali tertunduk. Dengan tenang dia mula mengatur bicara, "Sebenarnya saya tinggal bersama seorang anak perempuan dan dua orang cucu. Anak perempuan saya bekerja di supermarket dan sekarang ini terlantar di rumah setelah kemalangan setahun lalu. Kedua-dua belah kakinya kudung dan tidak mampu bekerja lagi. Suaminya sudah empat tahun meninggal dunia disebabkan barah lidah. Cucu saya itu seorang berusia lima tahun dan seorang lagi berusia tiga tahun.

Saya pula bekas pekerja kilang. Duit simpanan saya sudah lama habis untuk rawatan anak saya dan membeli susu cucu-cucu saya. Sudah hampir sepuluh hari dapur kami tidak berasap. Saya akan memasak apa-apa sahaja yang dijumpai dari tong sampah.  Ada kalanya sisa makanan yang saya kutip dari kedai makan, saya suapkan ke dalam mulut anak dan cucu-cucu saya. Sehinggalah pada hari kejadian. Kami sudah tiga hari berlapar tanpa da apa-apa makanan lagi.

Cucu-cucu saya mula menangis tiap-tiap malam kerana kelaparan. Susu sudah habis, dan kerap juga anak dan cucu-cucu saya sakit perut disebabkan makan sisa yang sudah hampir basi. Kami semakin lemah tuan hakim. Kami tidak berdaya. Tubuh kami semakin longlai.

Saya tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi. Saya buntu. Sudah lama saya minta tolong dengan jiran-jiram, tetapi kali ini mereka tidak mampu memberi apa-apa lago. Mereka juga hidup susah. Hidup pun tidak ubah seperti saya.  Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang; mana hendak tanggung makan anak bini sendiri lagi.

Jadi, saya nekad untuk meminjam di Kedai Haji Othman. Setelah mendapat kerja atau berduit nanti, saya akan bayar semula harga setin susu, sekampit tepung dan beras ini. Saya terus mengambilnya. Saya cepat-cepat balik ke rumah hendak masak buat mengalas perut anak dan cucu sebelum saya mendapatkan pekerjaan lain,"

Nenek itu terdiam seketika,  kemudian menyambung dengan muka yang risau tidak keruan, "Entah -entah sampai sekarang mereka kelaparan. Tiada siapa yang menghantarkan makanan kepada mereka lagi. Ahh... macam mana ini?! Siapa pula mahu menengok-nengokkan mereka?"

Nenek Temah, melihat sekeliling.  Tanda resah bukan kepalang sambil mengenangkan nasib anak dan cucunya yang ditinggalkan sejak dua hari lepas setelah Haji Othman, penduduk kampung dan polis memberkasnya di muka pintu Kedai Haji Othman itu. Di bangku OKT, Nenek Temah memandang tepat ke anak mata hakim menantikan keputusan. Nenek Temah duduk begitu tenang tanpa ada tanda sayu atau tompokan air mata. Ce,mas terhadap nasib keluarga yang ditinggalkan itu adakalanya masih kelihatan.

"Setelah mempertimbangkan segala hujah dan pengakuan, dengan ini, saya membuat keputusan." majistret mula hendak menjatuhkan hukuman. Polis yang mengawal Nenek Temah di dalam kandang OKT menyuruh Nenek Temah berdiri.

"Undang-undang tetap perlu ditegakkan dan ini telah diamanahkan kepada saya. Mahkamah mendapati kamu telah bersalah mencuri di Kedai Haji Othman dengan nilai barangan dicuri sebanyak RM15.00. Setelah menimbang segala peruntukan undang-undang, dengan ini saya menjatuhkan hukuman kepada kamu; denda sebanyak RM1, 000.00. Sekiranya gagal berbuat demikian, kamu akan dipenjara selama 18 bulan. Dengan peristiwa ini, saya berharap kamu insaf. Masyarakat perlu diberikan pengajaran agar tidak mengambil jalan mudah untuk hidup dengan mencuri." majistret menghempakan tukul "pemutusnya" bertalu-talu sebagai tanda hukuman muktamad telah dijatuhkan.

Nenek Temah yang tua itu tergamam dan tercengang. Bukan soal dia dipenjara dikesahkannya tetapi tembolok dan perut anak cucu yang masih tidak berupaya mencari makanan sendiri itu yang sedang rancak bermain di otaknya. Hendak membayar denda RM1, 000.00 sudah tentu dia tidak mampu. Kalau diseluk koceknya sekarang pun atau diselongkar di bawah bantal lusuh di rumahnya, duit besi bernilai sepuluh sen tidak mungkin ditemui. Tiada pilihan lain, kecuali dipenjara,  itu dia pasrah,  tetapi bagaimana dengan tanggungannya? Hidup dan mati anak cucunya di gubuk buruk usang hampir menyembah bumi itu?! Lemah lutut Nenek Temah memikirkan itu semua. Lalu dia terduduk di atas kerusi OKT.

Polis yang bertugas mula menghampiri Nenek Temah dan tangan nenek tua itu digari untuk sekian kalinya. Sesudah hakim menjatuhkan hukuman seperti yang diperuntukkan undang-undang yang tidak bermata dan beremosi itu, majistret pun segera berdiri. Bangkit dari kerusi empuknya dengan lagak segak bergaya. Dia melihat sekeliling kemudian melangkah menuju ke bilik khas. Lagi beberapa langkah meninggalkan bilik persidangan itu, dia berpaling sekali lagi dan turun mendapatkan dan turun mendapatkan pendaftar mahkamah di bahagian tingkat bawah meja hakim. Dia menghampiri pendaftar mahkamah yang masih tergamam melihatkan majistret amat dihormati lagi arif menghampirinya. Majistret segera melepaskan jubah yang melemaskan. Adakala jubah yang sama itu juga menjerut lehernya.

"Denda Nenek Temah ini biar saya bayarkan. Kesemua kosnya itu, saya tanggung," kata majistret.

Kesemua hadirin yang tadinya riuh seperti langau sekarang terpegun. Tadinya macam-macam mereka mengata, sekarang sudah terdiam. Mereka tekun memerhatikan gelagat hakim muda itu.

Kesunyian terpecah juga apabila orang ramai mula menghampiri meja pendaftar mahkamah lalu salah seorang daripada mereka berkata, "Ini bahagian saya. Saya bersedekah kerana Allah SWT untuk nenek ini dan keluarganya."

Sesetengah yang lain mula berkata, "Ini derma saya!"

"Ini duit zakat saya!"

"Ya Allah!  Apakah dosa yang aku lakukan sehingga buta tentang hal ini. Ya Allah, ampunkanlah dosa hamba-Mu ini! Mak Temah dan tuan-tuan sekalian menjadi saksi saya. Saya dengan ini menghalalkan barang yang diambil oleh Mak Temah." tekad Haji Othman pula kedengaran. Haji Othman segera menyeluk sakunya dan mengeluarkan segala isi di dalam beg duit itu untuk disedekahkan kepada keluarga Nenek Temah.

Lalu datang seorang hamba Allah bergegas membawa kotak ke meja pendaftar mahkamah. Kotak itu digunakan untuk menghimpun kesemua wang sedekah dan sumbangan derma tersebut.

Nenek Temah terpegun. Gusarnya menjadi-jadi pula setelah melihat situasi itu.

"Aku tidak pinta sebanyak ini. Aku sekadar memohon agar diberikan pekerjaan untuk menyara keluarga ku. Ya Allah! (sambil memandang ke syiling) Alhamdulillah..." lantas Nenek Temah rebah ke bumi dalam kelaparan dan kesempitan hidup yang sarat dialaminya. Di saat itu juga nafasnya menjadi deras.

Dia tercungap-cungap. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dalam keributan itu Nenek Temah meninggal dunia dalam kandang OKT.

Sedang keributan itu menghimpit, tiba-tiba terdengar suara berteriak, "Tadi saya pergi menjemput anak dan cucu Nenek Temah untuk sama mendengar kes ini. Sampai sahaja ke rumahnya,  saya lihat rumahnya sudah roboh. Saya dibantu tiga orang pemuda kampung mencari mereka. Kami dapati anak perempuan dan dua cucu Nenek Temah telah meninggal dunia, dihempap runtuhan itu."

Hakim yang turut berada di situ merasa lututnya begitu lemah dan gagal berdiri lagi. Dia terduduk di atas lantai lalu bersujud,

"Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang.  Masakan tidak; Engkau tidak membenarkan keluarga ini menyentuh barang sedikit pun hasil haram mengalir masuk menjadi darah daging mereka. Malah Engkau melindungi mereka dengan kematian. Bagaimana pula nasibku di kemudian hari? Ya Allah, Ampunkanlah dosa-dosaku! Ampunkanlah dosa-dosaku! Sungguh Engkau telah menemplak kami ya Allah. Tiadalah aku melainkan dalam kehakiman benar-Mu! Selamatkan lah kami, ya Allah!  Selamatkan lah kami, ya Allah." Esakan majistret muda semakin jelas kedengaran.

Kisah ini sangat terkesan di hati... anak-anak kita terlalu mewah dengan makanan,  sedang kan anak orang lain ikat perut sebab tak makan. Renungkanlah...



Nota:
Kisah ini, ada juga di web dan  blog versi indonesia, tetapi versi Bahasa Melayu ini, MF dapat dari Diari Islamiah yang MF beli. MF kongsikan di sini sebagai renungan dan pengajaran bersama. 

Catat Ulasan

4Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ

  1. sangat sedih dan air mata sememangnya bergenang... :'(

    BalasPadam
  2. Salam MF,

    Perkongsian yang sangat berguna.. Tak ada insan yg senasib Nenek Temah jika semua melaksanakan tugas dgn jujur & amanah..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih tuan kerana membeli Diari Islamiah 2015 terbitan Sterling Crown Sdn Bhd.

      Alhamdulillah, kami mengharapkan nukilan ini memberi sinar dakwah agar kita menjadi insan yang kamil.

      Syukran jaziran

      Padam
Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !