13 Adab Bermusafir Mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W

Maria Firdz
2

Hari mungkin ramai dah rancang nak balik ke kampung...  Alhamdulillah.. MF dah selamat tiba di kampung semalam... Sementara tu...suka MF nak kongsikan sikit ilmu berkaitan perjalanan balik ke kampung... Dalam Islam diajar adab dan akhlak Islamiah..  Antaranya adab-adab bermusafir yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW...  Antaranya:

Pertama : Tujuan musafir adalah dengan niat yang baik dan bukan tujuan melakukan maksiat dan mulakan dengan membaca Basmalah.

Apabila kita keluar dari rumah, sunat kita membaca basmalah. "Dengan nama Allah aku beriman dan bertawakal dan tiada yang berkuasa melainkan Allah".

Apabila mula menaiki kenderaan untuk bermusafir, berdoalah dengan doa musafir dan doa naik kenderaan.

الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر ، الله أَكْبَر سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنْ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى ، اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ ، اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَر وَالْخَلِيفَةُ فِي الأَهْلِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالأَهْلِ

Maksudnya : "Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah kami memohon kepadaMu kebaikan dan ketakwaan pada perjalanan kami dan dengan amalan yang Engkau redai, Ya Allah ringankanlah perjalanan kami dan pendekkanlah jaraknya, Ya Allah Engkaulah Teman dalam perjalanan, dan Ketua bagi ahli keluarga, Ya Allah aku memohon perlindunganMu dari kesulitan perjalanan, pandangan yang samar, dan dari kejahatan yang boleh menimpa kepada harta dan ahli keluarga sekembalinya kami."

Doa Naik Kenderaan : 
Surah Az-Zukruf (43) ayat 13-14 Maksudnya : "Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!"

Kedua : Menunaikan solat sunat 2 rakaat di rumah sebelum bermusafir.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : ”Perkara yang terbaik yang ditinggalkan oleh seorang lelaki kepada ahli keluarganya apabila dia bermusafir ialah menunaikan solat dua rakaat”.

Ketiga : Dianjurkan memulai perjalanan pada Khamis.

Nabi SAW bersabda maksudnya : : “Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.” 
(Hadis Riwayat Bukhari)

Di antara sunnah Rasulullah SAW ialah baginda suka bermusafir pada hari Khamis dan tidak suka bermusafir pada hari Jumaat. Seseorang sepatutnya tidak bermusafir pada hari Jumaat, menyebabkan dia gagal menunaikan solat Jumaat.

Keempat : Dianjurkan memulakan perjalanan pada waktu malam.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Kelima : Dianjurkan bermusafir bersama-sama.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Keenam : Berdoa dalam musafir.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam musafir (perjalanan) dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Ketujuh : Meraikan permulaan perjalanan dan berdoa

Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya. Nabi SAW bersabda : "Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi SAW berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”

Nabi SAW apabila menghantar seseorang bermusafir, tidak melepaskan tangannya daripada orang terbabit sebelum orang berkenaan melepaskan dahulu tangannya.

Kemudian, baginda berdoa yang bermaksud : “Saya titipkan kepada Allah agamamu, amanatmu dan kesudahan amalmu.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Kelapan : Dianjurkan juga segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Perjalanan adalah sebahagian daripada azab. Dia tidak dapat makan enak dan minum sepuas-puasnya serta tidur dengan nyenyak. Apabila seorang daripada kamu sudah menyelesaikan hajatnya, segeralah kembali kepada keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesembilan : Membawa bersamanya beg kecil berisi keperluan asas untuk diri sendiri.

Di antara perkara sunat dalam bermusafir ialah seseorang perlu membawa bersamanya beg kecil berisi keperluan asas untuk dirinya. Setiap kali bermusafir, Nabi SAW membawa beg kecil berisi siwak. Baginda sentiasa membawa siwak ketika bermusafir. Baginda juga membawa sikat, cermin, celak dan kayu wangi. Kayu wangi ini dianamakan Al-Midra, dengannya baginda meleraikan rambut.

Kesepuluh : Mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga.

Dengan memohon penjagaan daripada Allah SWT. Inilah sunnah yang dibaca oleh Nabi SAW kepada beberapa sahabat, “Aku pohon agar kau dijagai Allah S.W.T. yang takkan hilang jagaan daripadaNya”.

Kesebelas : Sunat bagi meminta didoakan oleh orang musafir.

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. meminta salah seorang sahabatnya iaitu Umar Al-Khattab agar mendoakannya ketika dia berangkat untuk bermusafir apabila dia datang meminta izin daripada Rasulullah SAW. Lalu Nabi SAW. bersabda, “Saudaraku, janganlah kau lupa untuk mendoakan kami." Rasulullah SAW. sendiri meminta sahabatnya mendoakan untuknnya.

Kedua belas : Berdoa ketika memasuki pekan atau kampung .

Nabi S.A.W. mengajarkan kita, apabila memasuki sesuatu pekan atau kampung kita disunatkan berdoa kepada Allah S.W.T. Setiap kali baginda memasuki sesuatu negara atau kampung, baginda akan berdoa agar Allah permudahkan perjalanannya. Jika seseorang itu mengamalkan sunnah ini, Allah akan lindunginya setiap kali dia melalui sesuatu kawasan.

Bertakbir bila melalui tempat tinggi dan bertasbih ketika menuruni tempat tinggi. Macam naik kapal terbang pun macam tu jugak.

Dari Jabir r.a. dia berkata: “Apabila kami naik kami bertakbir, dan apabila turun kami bertasbih” (Hadis diriwayatkan oleh Bukhari)

Ketiga belas : Balik daripada musafir membawa hadiah.

Nabi S.A.W. juga berpesan agar kita membawa balik hadiah. Pastikan ada hadiah ketika balik daripada bermusafir. Biarpun hadiah tersebut hanya kecil tetapi amat bernilai bagi ahli keluarga, kanak-kanak, sanak saudara dan rakan karib. Hadiah mengeratkan hati manusia. Terutama apabila pulang dengan membawa hadiah. Ramai yang pulang dengan membawa hadiah. Tetapi siapa antara kita yang merasai ia adalah sunnah dan ikutan daripada Rasulullah S.A.W.

Semoga bermanfaat, dan semoga perjalanan kita diberkati dan sentiasa dalam perlindungan Allah...  Insha Allah... 

Sumber: Bacaan dari buku dan dari Internet


Catat Ulasan

2Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ

Catat Ulasan

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Now
Accept !