Recents in Beach

Fiqh Wanita: Keluar Angin Ketika Solat

Salam petang... saja nak kongsi pasal hukum hakam wanita.. Penting untuk pengetahuan bersama. Bab hukum tak boleh main2 kan.. Hukum pasal, keluar angin dari kemaluan ketika solat. hmm.. jom baca kupasan yang aku amik dan share dari Facebook Fiqh Wanita untuk pengetahuan bersama. 


******************************************************
Apakah hukum ibadah bagi seseorang yg mengalami masalah keluar angin daripada kemaluan terutama ketika sedang solat?

Jawapan:
Telah disepakati oleh ulamak bahawa batal wudhuk jika yang keluar dari kemaluan itu (sama ada depan atau belakang) adalah benda-benda yang biasa keluar iaitu tahi, air kencing, air wadi, air mazi dan kentut. Adapun jika yang keluar ialah yang luar biasa (yakni jarang berlaku) seperti batu, darah atau sebagainya, para ulamak berbeza pandangan;

Pertama; menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Syafi’ie, AbuHanifah dan Ahmad); batal wudhuk.

Kedua; menurut mazhab Maliki; tidak batal wudhuk.

Dinisbah kepada kemaluan hadapan, keluar angin darinya merupakan suatu yang luar biasa (jarang berlaku). Maka mengikut pandangan jumhur, ia tetap membatalkan wudhuk.

Bagi Imam Malik pula; tidaklah membatalkan wudhuk kerana bagi beliau; perkara-perkara yang jarang keluar melalui kemaluan tidak membatalkan wudhuk.Merujuk masalah puan, jika pandangan jumhur ulamak yang dijadikan panduan, maka wajiblah puan berhenti dari solat dan mengambil wudhuk semula dan kemudian mengulangi semula solat. Itu sekiranya masalah tersebut berlaku sekali-sekala kepada puan. Adapun jika ia menjadi masalah berterusan kepada puan -yakni keluar angin itu tanpa menentu termasuk adakalanya waktu solat-, maka puan menghadapi keuzuran yang sama seperti wanita istihadhah (yakni wanita yang keluar darah penyakit dari kemaluannya tanpa henti) dan orang yang menghadapi masalah sulasul-baul (kencing tak putus). Apa yang perlu puan lakukan ialah;

1) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu

2) Apabila masuk waktu solat, ambil wudhuk sebagaimana biasa. Jika tengah mengambil wudhuk angin keluar dari kemaluan, jangan hiraukan dan teruskan wudhuk hingga selesai.

3) Setelah selesai wudhuk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.

4) Jika semasa solat itu puan merasakan angin keluar dari kemaluan, tidak perlu berhenti solat. Solat terus spt biasa.

5) Setiap kali hendak solat fardhu, hendaklah puan memperbaharui wudhuk puan. Tidak harus memakai wudhuk yang sama kecuali untuk mengerjakan ibadah-ibadah sunat sahaja (iaitu solat-solat sunat, bacaan al-Quran dan sebagainya).

Untuk ibadah wajib, hendaklah diulangi semula wudhuk.

Firman Allah (bermaksud); ”Bertakwalah kepada Allah sehabis yang kamu mampu” (al-Quran). Maka, apabila puan telah melakukan ibadah mengikut yang termampu oleh puan, tidak perlulah puan merasa syak atau was-was lagi. Begitu juga, tidak perlu puan mengqadha semula solat yang dilakukan kerana puan telah berusaha melakukan apa yang terdaya dilakukan. Dalam kaedah fiqh ada disebutkan; “Orang dalam kepayahan harus baginya mengambil kemudahan”.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Dr.Wahbah az-Zuhaili, jil. 1.
2. at-Tahzib Fi al-Fiqh as-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, jil. 1.
3. al-Mughni, Imam IbnuQudamah, 1/138.

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL Ahli Penal Syariah HPA

Sumber: kredit

Catat Ulasan

1 Ulasan

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^