GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Kerana 3 Amalan, Pemuda Biasa Ini Dijamin Syurga Oleh Rasulullah s.a.w

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Semalam, berkesempatan menuntut ilmu dalam rancangan Cinta Ilmu... Alhamdulillah... 
Sempat juga dengar satu lagi kisah teladan yang disampaikan oleh Ustaz Badli Shah, kisah teladan yang pernah ditulis dalam kitab Riyadhus Salihin. Kisah tentang seorang pemuda biasa yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w..

Di salah satu sudut Masjid Nabawi terdapat satu ruang yang kini digunakan sebagai ruang khidmat. Dahulu di tempat itulah Rasulullah saw. sentiasa berkumpul bermusyawarah bersama para sahabatnya. Di sana baginda memberi peringatan dan nasihat.

Suatu ketika, saat Rasulullah saw. memberikan nasihat, tiba-tiba baginda berucap, “Sebentar lagi akan datang seorang pemuda ahli syurga.” Para sahabat pun saling berpandangan, di sana ada Abu Bakar As-Siddiq, Usman bin Affan, Umar bin Khattab, dan beberapa sahabat lainnya.

Tak lama kemudian, datanglah seorang pemuda yang sederhana. Pakaian pemuda itu sederhana, penampilannya sederhana, wajahnya masih basah dengan air wudhu. Tangan kirinya menenteng sandalnya yang sederhana pula.

Pada kesempatan yang lain, ketika Rasulullah saw. berkumpul dengan para sahabatnya, Baginda pun berucap, “Sebentar lagi kalian akan melihat seorang pemuda ahli syurga.” Dan pemuda sederhana itu datang lagi, dengan keadaan yang masih tetap sama, sederhana. Para sahabat yang berkumpul pun berasa hairan. Siapakah pemuda sederhana itu? Bahkan hingga tiga kali Rasulullah s.a.w mengatakan hal yang serupa. Bahawa pemuda sederhana itu adalah seorang ahli syurga.

Seorang sahabat, Abdullah bin Amru bin Ash berasa hairan. Amalan apa yang dimilikinya sampaikan Rasulullah s.a.w menyebutnya pemuda ahli syurga? Maka Abdullah pun berusaha mencari kebenaran. Ia meminta izin kepada ayahnya untuk menginap beberapa malam di kediaman si pemuda tersebut dengan tujuan nak menyiasat, apakah amalan yang dilakukan oleh pemuda tersebut hingga dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. Si pemuda pun mengizinkan.

Sejak itu, Abdullah mengamati setiap amalan pemuda tersebut. Malam pertama, ketika Abdullah bangun untuk tahajud, pemuda tersebut masih terlelap hingga datang waktu Subuh. Selepas Subuh, ia membaca al-Qur’an. Diamatinya bacaan pemuda tersebut yang masih merangkak-rangkak, dan tidak begitu fasih dan lancar. Ketika masuk waktu Subuh Abdullah bergegas menunaikan solat Subuh, dan dia pun bangun untuk Solat Subuh seperti biasa.

Keesokannya, Abdullah kembali mengamati amalan pemuda tersebut. Malam tanpa tahajjud, ketika membaca al-Qur’an  merangkak-rangkak, dan tidak begitu fasih dan lancar, serta di pagi harinya bangun untuk solat Subuh. Begitu pun di hari ketiga, amalan pemuda itu masih tetap sama. Bahkan di hari itu Abdullah berpuasa sunnah, sedangkan pemuda itu tidak.

Abdullah pun semakin hairan dengan ucapan Rasulullah s.a.w. Tidak ada yang istimewa dari amalan pemuda itu, tetapi beliau menyebutnya sebagai pemuda ahli syurga. Akhirnya, Abdullah pun terus berterus terang kepada pemuda itu, tujuannya dan bertanya terus kepada pemuda tersebut. 

“Wahai Saudaraku, sesungguhnya Rasulullah saw. menyebut-nyebut Engkau sebagai pemuda ahli surga. Tetapi setelah aku amati, tidak ada amalan istimewa yang Engkau amalkan. Engkau tidak tahajjud, bacaanmu pun tidak begitu fasih, pagi hari pun kau hanya solat Subuh seperti biasa, bahkan puasa sunnah pun tidak. Lalu amal apa yang Engkau miliki sehingga Rasul menyebutmu sebagai ahli syurga?”

“Saudaraku, aku memang belum mampu tahajjud. Bacaanku pun tidak fasih. Aku hanya mampu jaga solat lima waktu sahaja. Dan aku pun belum mampu untuk melakukan puasa sunat. Tetapi ketahuilah, sudah beberapa minggu ini aku berusaha untuk menjaga tiga amalan yang baru mampu aku amalkan.”

“Amalan apakah itu?” “Pertama,aku selalu berusaha jujur,tidak berdusta kepada siapa pun, dan aku juga tidak pernah merasa iri dengki kepada seseorang atas kebaikan yang telah dikurniakan oleh Allah Swt. kepada seseorang.”

Abdullah berkata, “Demi Allah...Engkau benar-benar ahli syurga. Amalan yang engkau sebut itulah amalan yang paling sulit aku amalkan.”


Pengajaran:

Kasih sayang Allah meliputi segala makhluk-Nya, baik ketika hidup di dunia maupun di akhirat. Allah memberi syurga tidak terbatas orang-orang tertentu yang mempunyai kedudukan istimewa sahaja. Orang-orang biasa yang melakukan amalan biasa-biasa saja pun menikmati surga sebagaimana yang dijanjikan-Nya. Allah tidak rakus pujian, tidak juga sesembahan. Persembahan seorang hamba manfaatnya semata-mata untuk hamba tersebut.

Kekuasaan dan kebesaran-Nya tidak bertambah sedikitpun jika disembah oleh seorang hamba. Sebaliknya, kebesaran dan kekuasaan-Nya tidak berkurang sedikitpun jika sekiranya seluruh ummat manusia menentang dan menyekutukan-Nya.Orang-orang biasa yang amalan ibadahnya standard saja boleh menjadi penghuni syurga, sebagaimana kisah di atas, asalkan ibadahnya disempurnakan dengan akhlak yang baik.

Di akhirat kelak, amalan yang timbangannya amat berat adalah akhlak, sebagaimana sabda Rasulullah:"Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan (pada hari kiamat) dari akhlak yang baik."

Akhlak inilah yang pada hari akhirat banyak membantu manusia memperoleh syurga. Sebaliknya kerana akhlak pula banyak orang yang ketika di dunia sangat aktif beribadah justeru tergelincir ke neraka. Mereka inilah yang disebut-sebut dalam hadits Rasulullah saw sebagai orang yang muflis.

Rasululah saw menegaskan, "Tahukah kamu yang disebut orang yang muflis?" Para sahabat menjawab, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui." Nabi saw lalu berkata, "Sesungguhnya orang yang muflis dari ummatku ialah yang datang pada hari kiamat dengan membawa amalan puasa, solat dan zakat, tetapi dia pernah mencaci maki orang ini dan menuduh orang itu berbuat zina. Dia pernah memakan harta orang itu lalu dia menanti orang ini menuntut dan mengambil pahalanya (sebagai tebusan) dan orang itu mengambil pula pahalanya. Bila pahala-pahalanya habis sebelum selesai tuntutan dang ganti tebusan atas dosa-dosanya, maka dosa orang-orang yang menuntut itu diletakkan di atas bahunya lalu dia dihempaskan ke api neraka".

Masih banyak kita dapati orang-orang yang apabila diperhitungkan amalan ibadahnya sungguh sangat mengagumkan, akan tetapi sayang sekali mereka masih kurang peduli terhadap masalah akhlak dan hati. Hubungan dan interaksi sosialnya sangat buruk. Di sana ia masih memendam rasa iri, hasut dan dengki. Kadang-kadang tak boleh melepaskan diri dari ghibah, fitnah, bahkan namimah.

Menuduh sesama muslim dengan tuduhan yang amat keji, misalnya sebagai ahli bidah, ahli maksiat, bahkan musyrik dan kafir. Padahal penilai yang sebenar-benar dan seadil-adilnya hanyalah Allah SWT.

Bukankah mereka juga membaca hadis Rasulullah saw: "Berhati-hatilah terhadap prasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu adalah seburuk-buruk ucapan yang paling bodoh." (HR.Bukhari)

Sungguh, masih beruntung orang yang diceritakan dalam kisah di atas. Meskipun ibadahnya biasa-biasa tapi kerana akhlaknya baik, tidak pernah mempunyai niat untuk menipu orang lain dan tidak juga iri dan dengki kepada sesamanya atas pemberian Allah yang diberikan kepadanya, maka ia digolongkan, bahkan dijamin Rasulullah saw sebagai penghuni syurga.

Suatu kedudukan yang sangat istimewa. Golongan inilah yang kelak di akhirat justru paling dekat tempat duduknya dengan Rasulullah s.a.w di surga. Rasulullah saw menegaskan, "Orang yang paling dekat denganku kedudukannya pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya."

Berkaitan dengan masalah ini, sebagaimana diriwayatkan oleh Ath-Thabari, bahawa Ummu Salamah, isteri Rasulullah saw pernah bertanya kepada Nabi saw perihal isteri yang mempunyai beberapa orang suami. Ummu Salamah bertanya, "Ya Rasulullah, seorang perempuan dari kami ada yang nikah dua, tiga, dan empat kali (kerana suaminya mati) lalu dia wafat dan masuk syurga bersama suami-suaminya juga. Siapakah yang akan menjadi suaminya kelak di syurga?" Nabi saw menjawab, "Dia disuruh memilih dan yang dipilih adalah yang paling baik akhlaknya dan berkata, Ya Rabbku, orang ini ketika di dunia paling baik akhlaknya kepadaku, maka kahwinkanlah aku dengannya".

Masih dalam riwayat yang sama, Rasulullah kembali menegaskan: "Wahai ummu Salamah, akhlak yang baik membawa kebaikan untuk kehidupan di dunia dan akhirat". 

Dua akhlak yang dapat mengangkat seseorang sampai pada kedudukan tertinggi sebagai penghuni syurga walaupun pada dasarnya orang tersebut tergolong biasa-biasa saja, terutama dalam ibadahnya. Pertama, hindari rasa ingin memusuhi sesama.

Jangan ada sedikitpun keinginan untuk memfitnah, mencaci, menyakiti, membicarakan aibnya, ataupun memusuhinya. Jauhkan pada diri kita untuk berburuk sangka, mencari-cari kekurangan dan aib sesama. Sebaliknya berbuat baiklah kepada semua orang, kerana kebaikan itu akan menjadi modal kebaikan dalam hidup dunia dan akhirat.

Hindari hasad dan dengki. Perbuatan ini sangat berbahaya dan membahayakan orang lain. Rasulullah saw menegaskan, "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu bakar."


P/S: MF kongsikan kat blog ni, ilmu yang MF dapat, untuk sama-sama kita beroleh manfaat...sebab MF tahu, tak semua berkesempatan nak tonton tv menambah ilmu kan... Semoga bermanfaat..

5Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ