GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Membentuk Karakter, Peribadi, Tauladan kepada Anak-anak!

sumber: google images

Sejak tadi tangan kecilnya mencari-cari sesuatu di atas dan bawah katil, di dalam laci, atas rak buku dan di sebalik almari baju. Penat menguis-nguis dengan tangan, Humaira’, anak gadis yang comel dan merah pipinya itu segera mencapai sebatang kayu di belakang pintu.

Ditolak-tolaknya kayu sepanjang pembaris kuning yang selalu digunakan guru di sekolahnya itu ke bahagian belakang almari dan rak buku yang agak gelap kerana tidak sampai cahaya lampu. Selang beberapa ketika, dia berhenti dan melepaskan keluhan kecewa.

“Kenduri anak Mak Ngah Solehah Sabtu ini,ayah mahu lihat tangan si comel ayah ni cantik, ok?” Masih terngiang-ngiang pesanan ayah dalam senyuman manisnya. Mengingat itu, rasa bersalah kian bersarang dan menebal.

Pencarian Diteruskan
Mindanya hanya membayangkan seutas rantai tangan manik berwarna coklat muda yang bergemerlapan indah bila dikenakan ke pergelangan tangan. Ia hadiah daripada ayah pada minggu yang lalu sempena ulang tahun kelahirannya yang kesembilan.

Puas dia mencari, namun ‘kelibat’ barang yang diharapkan itu masih belum menampakkan diri.
“Di mana lagi nak cari ni?” Humaira’ berbisik.  Peluh dingin memercik di dahi walau suhu di bilik dingin dan selesa. Debaran di dada mula dirasai.

Sejurus, terdengar derap yang cukup dikenali sedang melangkah menuju ke bilik. Humaira’ cemas.
“Kalau nanti ayah melihat rantai tangan itu tiada di pergelangan tanganku, bagaimana?”
Debaran di dadanya kian memuncak saat daun pintu dikuak...

Saya pasti situasi seperti di atas, kerap kali dialami oleh anak-anak di rumah. Bila kehilangan atau tanpa sengaja merosakkan sesuatu barang berharga yang diberikan kepada mereka, rasa bersalah dan bimbang menghantui diri.

Kebiasaan yang kerap dan biasa berlaku adalah, anak-anak akan dimarahi dengan suara tinggi serta wajah kesal ditunjukkan pada wajah ibu dan ayah. Mana tidaknya, setelah berpenat lelah bekerja dan membeli hadiah buat permata jiwa mereka dengan harapan ia dijaga dan disimpan sebaiknya, tetapi dalam tempoh yang tidak lama, hadiah yang diberi hilang atau rosak begitu sahaja.

“Kenapa tak simpan elok-elok laptop tu? Ayah beri pada kakak, kenapa adik pula yang pegang? Ingat murah?” Bentak si ayah dengan wajah merah menyala tatkala komputer riba yang baru sebulan usianya itu jatuh daripada genggaman anak bongsunya berusia tiga tahun.

“Ummi kecewa abang long tak jaga dengan baik handphone baru tu. Macam mana boleh hilang? Ummi guna wang simpanan Ummi tau untuk penuhi permintaan abang long!” Keras suara si ibu memecah gegendang telinga si anak teruna. Panas hatinya bila si anak memaklumkan kehilangan telefon bimbit berjenama itu di sebuah pasar raya.

Kemungkinan, begitulah reaksi ibu bapa dalam berdepan situasi ini. Saya menyedari, tidak mudah untuk ibu bapa bersabar dan bertenang. Apatah lagi jika hadiah yang diberi itu, memerlukan sejumlah nilai yang agak besar juga bagi memilikinya. Namun, saya suka mengingatkan diri sendiri dan para ibu bapa yang membaca, sangat sedikit di kalangan kita yang sedar tentang satu kebenaran.

 Memetik Hikmah
“Dah pakai gelang tangan yang ayah hadiahkan tu? Eh! Kenapa si pipi merah ayah ni menangis ni?” Soal si ayah agak kehairanan bila melihat air mata Humaira’ bercucuran menuruni pipi gebunya.  Riak gembira yang terpancar tatkala melihat anak gadisnya sudah lengkap bertudung dan berbaju kurung merah hati berhiaskan bunga-bunga kecil berwarna kuning menambah seri kian hilang berganti pertanyaan dalam hati.

Humaira’ tidak menjawab, sebaliknya tangan kanannya dihulurkan hampir ke wajah si ayah lantas dengan cepat dia menekupkan wajahnya ke bantal. Esakannya semakin ketara walau dia kelihatan berusaha menahan. Melihat pergelangan tangan yang kosong, si ayah tersenyum. Lantas wajah si anak diangkat dan kepalanya diusap lembut.

“Oh...gelang Humaira’ rosak?” Si ayah cuba bertanya. Pertanyaannya bersambut gelengan kepala.
“Hilang? Humaira’ dah cari?” Soal si ayah lagi dengan nada lembut masuk ke corong telinga. Kali ini, anggukan yang bertali diterimanya. Senyuman si ayah melebar melihat ‘jawapan’ jujur Humaira’.
“Humaira’ sayang, kalau gelang itu Allah takdirkan milik Humaira’, pasti nanti Humaira menemukannya semula. Jika bukan, pasti ada hikmah di sebalik kehilangannya. Allah lebih tahu mengapa. Sudah...usah bazir air mata, senyum sikit. Humaira’ lebih cantik kalau tersenyum.” Pujuk si ayah penuh hikmah kebapaan.

Humaira’ agak terkejut dengan kata-kata ayahnya itu, tetapi dia merasakan ketenangan.
Perasaan bimbang dan takut yang menyelubunginya sebentar tadi beransur-ansur pergi. Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyuman manis.

Membentuk Karakter
Inilah contoh yang baik dalam membentuk peribadi mulia dan teguh dalam diri seorang anak kecil. Memahami tekanan yang bertimpa dalam jiwa anak gadisnya oleh kehilangan gelang tangan manik berwarna coklat muda, si ayah bertindak bijak dengan memilih untuk menuturkan kata-kata berinti inspirasi, dan tidak melulu memarahinya.

Si ayah begitu mengerti bahawa kerisauan dan kebimbangan yang dirasai si anak sudah menjadi satu ‘hukuman’ yang berat atas sebuah kehilangan; justeru memarahi akan menambah beban rasa bersalah  yang tidak sewajarnya ditanggung oleh anak seusia Humaira’.

Kemarahan tidak akan membentuk peribadi yang baik dalam dirinya, bahkan karakter yang lemah pula berkemungkinan mengambil tempat; hari demi hari seiring perjalanannya menuju alam dewasa.

Rasa tidak difahami, tidak disayangi dan hanya tahu menyalahkan, itulah yang dipelajari oleh anak-anak setiap kali ibu bapa menangani kehilangan atau kerosakan harta benda di rumah dengan kemarahan dan tuduhan.

Lebih membimbangkan, kebiasaan dimarahi sebegini menjadikan anak-anak tidak kuat mendepani cabaran hidupnya dewasa nanti. Kehilangan atau kerosakan akan dinilai sebagai beban yang amat menyeksakan, bukan dipandang sebagai sesuatu peristiwa yang memiliki kebijaksanaan dari Tuhan untuk mendidiknya menjadi insan yang lebih peka, tabah dan sabar mendepani hari depan.

Bayangkan, jika suatu saat suasana sebaliknya pula berlaku kepada ibu bapa yang telah tua. Andai peribadi marah-marah tanpa usul periksa yang selalu diterapkan ke dalam jiwa anak-anak, maka tidak mustahil, ibu bapa pula mengalami situasi serupa malah lebih melukai jiwa.

“Mak...kenapa ‘terkencing’ atas tilam empuk saya ni. Bilik air dekat, atas katil ni juga mak membuang. Susahlah saya macam ni. Maid cuti.. Bertambahlah kerja saya!” Dengus si anak sambil tangannya menarik dengan kasar cadar buatan luar negara yang dibelinya ketika bercuti di sana.

“Alah orang tua ni...penat-penat kita hidangkan nasi dalam pinggan mahal, dipecahkan pula. Lepas ni, ayah guna pinggan plastik je lah ye. Tangan ayah tu terketar-ketar, asyik terlepas je. Ayah...gaji sebulan ayah dulu pun tak dapat belikan saya pinggan ni tau!” Bagai peluru kata-kata yang dituturkan si anak sambil tangannya mengutip serpihan kaca yang bertaburan di lantai meja makan.  Bukankah ini sesuatu yang malang dan mendukacitakan?

Peribadi Tauladan
Peribadi dibentuk oleh peribadi juga, dan peribadi ibu bapa adalah sangat dekat berbanding orang lain dalam hidup anak-anak yang dilahirkan tanpa dosa dan noda.

Inilah yang perlu kita contohi dalam usaha merealisasikan : Baiti Jannati. Untuk itu, sudahkah kita menginsafi ini dan mahu melakukan perubahan? Tepuk dada sendiri, gunakan mata hati..

Nabi s.a.w sebenarnya telah menunjukkan tauladan, lalu sirah merakamkan bahawa Anas bin Malik ra sebagai sahabat yang meriwayatkan lebih dua  ribu hadis pernah menukilkan:
“Lima belas tahun aku melayani nabi, belum pernah sekali pun baginda membentakku, baik di dalam mahupun di luar rumah.”

Sumber: Majalah I

3Ulasan

  1. Kalau ibu bapa ikut suka rasa perangai mereka dulu2.. anak2 pun boleh terikut sama.. huhu..

    BalasPadam
  2. itulah pentingnya mengajar dan membentuk peribadi anak dgn sebaiknya :)

    BalasPadam
  3. yup...kadang kita takleh nak terusan marah once anak buat salah..tp tak bermaksud kite sokong die...apa2 kite kena dgr dulu apa yg dikata~
    tq atas sharing

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ