GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Eh, Mana Ada Mengumpat!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Mengumpat | Semua orang tahu maksud mengumpat... Tapi kadang bukan tak perasan itulah adalah mengumpat... Tapi sebab dah terbiasa buat setiap hari, itu yang tak rasakan ianya satu dosa.

Maksud Mengumpat

Pengertian mengumpat adalah menceritakan keburukan seseorang walaupun ianya benar. manakala, maksud memfitnah pula adalah menceritakan keburukan seseorang padahal ianya tidak benar atau bohong.

Rasulullah SAW menjelaskan mengumpat ini dalam sabda baginda yg bermaksud, “mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya” (Hadis Riwayat Muslim)

Dosa Mengumpat

Dosa mengumpat membinasakan amal kebaikan ibarat api membakar kayu kering
Dari Jabir dan Abi Said, Rasulullah SAW bersabda:
“Awaslah daripada mengumpat, kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina. sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat. maka diterima Allah swt akan taubatnya. Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat, tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”

Balasan bagi orang yang suka mengumpat

Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Anas, Rasulullah SAW bersabda:
“Pada malam aku diIsra’kan aku telah melalui suatu kaum yg mencakar-cakar muka mereka dgn kuku-kukunya sendiri, maka aku berkata: “Hai Jibril siapa mereka ini? jawab Jibril: Mereka ini adalah orang-orang yang suka mengumpat dan mereka juga suka menjaga tepi kain orang”. (Abu Daud dari Anas)

Jenis Mengumpat

Di dalam zaman serba canggih ini, mengumpat boleh di kategorikan dalam dua bentuk.

Mengumpat dengan ucapan

Mengumpat dengan ucapan berlaku dalam perbualan seharian. Ia disebarkan dari mulut ke mulut, dari telinga ke telinga.

Mengumpat dengan perkataan

Wujudnya media sosial seperti Facebook dan Twitter serta sistem komunikasi seperti WhatsApp bukan sahaja dapat memudahkan jaringan antara individual, tetapi dalam masa sama ia boleh menjadi medium mengumpat yang lebih pantas berbanding mengumpat dengan ucapan.

sumber: google images

7 Cara Elak Dosa Mengumpat

1. Kawal Pergaulan

Jarang sekali orang mengumpat jika sedang duduk bersendirian. Mengumpat biasanya dilakukan dalam satu kumpulan (tidak kira sama ada kumpulan realiti atau maya). Bagi mengelakkan diri daripada mengumpat, pilih kawan-kawan yang tidak mengumpat. Jauhkan diri daripada kumpulan yang kerap mengumpat. Jika, tengah bercakap tu, ada yang buka tajuk mengumpat, cepat-cepat tukar topik atau tinggalkan aje kumpulan tu dengan segera.

2. Bersangka baik

Dalam kebanyakan masa, mengumpat berlaku disebabkan prasangka yang kurang baik terhadap orang lain. Setting minda kita untuk sentiasa bersangka baik terhadap orang lain. Bersangka baik dapat menghapuskan perasaan ingin mengumpat dan memfitnah.

3. Tambah ilmu akhirat

Banyak amaran dalam Islam berkaitan buruknya mengumpat. Bagi yang mengetahui perkara ini pastinya akan berasa takut untuk mengumpat. Ketahui dosa dan balasan bagi orang yang suka mengumpat, pastinya kita akan rasa takut untuk mengumpat. Seperti yang MF lakukan ini... MF keluarkan entry ini untuk teguran diri sendiri... dan juga peringatan bersama.

4. Muhasabah diri

Jika pernah terdetik dalam hati kita untuk menceritakan sesuatu tentang orang lain, perhatikan dulu keadaan diri kita. Adakah benar kita jauh lebih baik dari orang lain? Adakah kita tidak pernah melakukan sebarang kesalahan? Apakah perasaan kita apabila orang lain bercerita sesuatu yang buruk tentang diri kita? Soalan-soalan begini akan memberikan impak yang besar sebelum seseorang itu berani untuk mengumpat. Jika kita terasa orang mengumpat kita, maknanya kita pun banyak mengumpat orang lain.

5. Banyakkan memuji

Ramai orang suka mengumpat daripada memuji orang lain. Basahkan lidah dengan memuji orang lain dengan ikhlas dapat membersihkan hati yang berkeladak dan menimbulkan aura positif dalam diri. Cuba cari kebaikan orang lain... Jangan nampak keburukan aje.

6. Berfikir sebelum cakap

Kadangkala, ucapan lebih pantas keluar daripada fikiran. Lebih tepat lagi, cakap tanpa berfikir. Sebaik-baiknya, tapis setiap ucapan yang akan keluar dari mulut kita dahulu sebelum dilafazkan. Bak kata peribahasa Melayu, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kalau terlajak mengumpat, dosa hukumnya. Fikirkan dahulu sebelum bercakap seperti adakah ada orang yang akan tersinggung dengan ucapan kita? Baik dan buruknya setiap ucapan?

7. Kurangkan bercakap

Maksud kurangkan bercakap adalah hanya bercakap berkaitan perkara-perkara yang memberi manfaat bukannya bual-bual kosong. Kebanyakan mengumpat bermula dengan perbualan kosong dan akhirnya akan bercerita tentang orang lain dan mengumpat.

Peringatan Rasulullah SAW kepada Orang Beriman

Sabda Rasulullah: “Wahai orang beriman dengan lidahnya, tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban (menjaga tepi kain) mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Dahsyat dosa mengumpat... Boleh jadikan kita muflis di akhirat. Setiap hari kena cuba dan elak dari perbuatan mengumpat. Jauhkan diri dari aura orang yang suka berceritakan hal orang lain. MF pun sedang cuba nak elakkan dari dosa ini... Susah nak kawal sebenarnya... Sebab kita bergaul dengan orang setiap hari. Dalam rakan sekerja, rakan alam maya pasti ada yang suka bercerita hal orang lain... Kalau alam maya, mudah aje.. klik unfollow atau unfriend selesai.. Tapi kalau rakan di alam nyata ni... Nak tak nak kena lah jadi 'bisu' atau 'pekak' demi menjaga dari terjebak dari dosa ini. Jika kita menyampuk sekali... makin dahsyat mengumpat ni... Allahu...

Moga sama-sama kita usaha untuk tidak mengumpat orang lain setiap hari... Nak kena buat teknik ketujuh tu... jadi silent aje.. Kurangkan bercakap, banyakkan berzikir.. Moga ianya berkesan untuk elak muflis di akhirat. 

1تعليقات

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ