بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)
Bila berhujah dengan peniaga zaman ini, pasti akan sebut "9/10 Rezeki adalah dari berniaga"... Yang berniaga atau yang tak pernah berniaga pasti pernah dengar ayat tu kan... Tapi, sejauh mana hadis tu??? Sebelum nak amalkan sesuatu hadis, kena pastikan status sesuatu hadis tu... sahih ke, dhaif ataupun maudu'(palsu)... Kalau sahih, memang itu hujah yang kuat kita amalkan, tapi kalau dhaif, boleh amal tapi tak boleh dijadikan hujah... jika maudu' wajib tinggalkan dan tak boleh langsung digunakan untuk beramal dan berhujah...
Jadi, MF nak kongsi sikit pasal status hadis ni... Mungkin ada yang tahu, tapi mungkin juga tak tahu...
1. Hadis tersebut datang dengan lafaz:
حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ ثنا دَاوُدُ بْنُ أَبِي هِنْدَ عَنْ نُعَيْمِ بْنِ عَبْدِ الرحمن قال بَلَغَنِي أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تِسْعَةُ أَعْشَارِ الرِّزْقِ فِي التِّجَارَةِ. وقال نُعَيْمٌ: كسب الْعُشْرِ الْبَاقِي فِي السَّائِمَةِ يَعْنِي الْغَنَمَ
Maksudnya: Kata Nuaim bin Abd Rahman: telah sampai kepadaku bahawa Nabi saw bersabda: 9/10 daripada rezeki (datangnya) dari perniagaan. Kata Nuaim: 1/10 yang berbaki (dari rezeki) datang dari pengembalaan yakni gembala kambing.
Lafaz ini diriwayatkan oleh Musaddad dalam musnadnya (Lihat: Ibn Hajar, al-Matalib al-'aliah, jld. 7, hal. 352)
Abu Ubaid juga menyebut hadis ini dalam kitabnya Gharib al-hadith (jld. 1, hal. 299)
Komentar terhadap hadis:
- Al-Busiri menyatakan bahawa sanad hadis ini lemah disebabkan Nuaim itu tidak dikenali. (Rujuk: Ithaf al-Khiarah, jld. 3, hal. 77)
- Abu Hatim al-Razi menyatakan bahawa beliau meriwayatkan hadis dari Nabi secara mursal (terputus sanad), ini bermakna beliau adalah tabi'in dan bukannya sahabat. Ini bermakna sanadnya terputus. (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta'dil, jld. 8, hal. 461)
- Dakwaan Ibn Mandah bahawa beliau adalah sahabat tidak benar kerana al-Bukhari (rujuk: al-Tarikh al-Kabir, jld. 8, hal. 97) Ibn Hibban (rujuk: al-Thiqat, jld. 5, hal. 477) dan Abi Hatim al-Razi (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Ta'dil, jld. 8, hal. 461) menyatakan beliau adalah tabi'in. Pandangan inilah yang disokong oleh Ibn Hajar. (rujuk: al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, jld. 6, Hal. 510)
Kesimpulan: Hadis ini daif kerana mursal (sanadnya terputus)
Hadis ini juga diriwayatkan dari jalur Yahya bin Jabir al-Taii riwayat Said bin Mansur dalam sunannya seperti yang disebut oleh al-Suyuti dalam kitabnya al-Jami' dan ia juga daif disebabkan mursal (sanadnya terputus). (Rujuk: al-Suyuti, al-Jami' al-Saghir, jld. 14, hal. 55)
2. Terdapat juga hadis lain dengan makna yang lebih kurang sama dengan hadis di atas:
- يا معشر قريش لا يغلبنكم الموالي على التجارة فإن الرزق عشرون بابا تسعة عشر منها للتاجر وباب واحد منها للصانع وما أملق تاجر صدوق إلا فاجر حلاف مهين
Maksudnya: Wahai sekalian Quraisy, jangan biarkan bangsa asing menguasai perniagaan, sesungguhnya rezeki itu mempunyai 20 pintu, 19 daripadanya adalah daripada perniagaan dan satu pintu (rezeki) lagi daripada pembuat (manufacturer). Sekali-kali peniaga yang bercakap benar tidak akan menjadi miskin kecuali jika dia jahat (penipu) selalu bersumpah dan hina.
Hadis ini riwayat Ibn al-Najjar (rujuk: kanz al-Ummal, jld. 4, hal. 60) dan al-Dailami (rujuk: al-Firdaus, jld. 5, hal. 287) daripada Ibn Abbas.
Komentar terhadap hadis:
al-Dailami meriwayatkan hadis ini secara ta'liq (tanpa menyebut sanadnya) manakala sanad Ibn Najjar pula terdapat perawi yang bernama Mindal bin Ali dan Imam Ahmad, Yahya ibn Ma'in dan Abu Zur'ah mengatakan bahawa dia lemah (daif). (Rujuk: al-Uqaili, al-Dhu'afa', jld. 4, hal. 266, al-zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 4, hal. 180)
Terdapat Ibn Juraij dalam sanad ini dan dia merupakan mudallis yang meriwayatkan secara al- 'an'anah (العنعنة) menyebut 'an sahaja tanpa menyatakan dia mendengar hadis ini secara jelas. Maka hadis ini daif.
Hadis ini diriwayat juga dari jalur yang lain:
عمر بن حفص ، نا ابن جريج ، عن عطاء عن ابن عباس قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يا معشر قريش لا يغلبنكم الموالي على التجارة ، فإن البركة في التجارة فصاحبها لا يفتقر (1) ، إلا تاجر حلاف مهين
Riwayat Ibn al-A'rabi dalam mu'jamnya (jld. 3, hal. 232)
Hadis ini juga daif (lemah) disebabkan umar bin Hafs. al-Baihaqi mendaifkannya. (rujuk: al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hal. 566)
Terdapat Ibn Juraij dalam sanad ini dan dia merupakan mudallis yang meriwayatkan secara al- 'an'anah (العنعنة) menyebut 'an sahaja tanpa menyatakan dia mendengar hadis ini secara jelas. Maka hadis ini daif.
Hadis ini juga tidak menyebut tentang bilangan pintu rezeki seperti hadis sebelum ini. Ini bermakna hadis ini tidak boleh menguatkan hadis di atas.
Hadis ini diriwayatkan juga dari Ibn Mas'ud:
( الرزق عشرون بابا فتسعة عشر بابا للتاجر وباب للصانع بيده )
Maksudnya: Rezeki itu ada 20 pintu, 19 daripadanya untuk peniaga, dan satu untuk pembuat (manufacturer) dengan tangannya.
Hadis ini riwayat Ibn Abi al-Dunia dalam kitab Islah al-Mal (hal. 73)
Tetapi hadis ini daif jiddan (terlalu lemah) kerana dalam sanadnya terdapat Juwaibir bin Said dan dia dihukum matruk. (Rujuk: al-zahabi, al-kasyif, jld. 1, hal. 298)
Kesimpulan:
Tidak ada satu riwayat pun sahih atau hasan dalam bab ini. Manakala hadis-hadis ini juga tidak boleh dinaiktaraf menjadi hasan lighairih kerana sebahagiannya daif jiddan dan sebahagian lainnya pula tidak mempunyai lafaz bilangan pintu rezeki yang dinyatakan. Maka semua riwayat dalam bab ini daif. Wallahua'lam.
Ini ulasan dari Dr. Rozaimi Ramlee
Berikut pula adalah petikan dari penulis al-ahkam.net iaitu Ali Tantawi:
KOMENTAR AL-IRAQI TERHADAP HADITH '9/10'
Apa kata al-Iraqi? Beliau telah menyatakan bahawa hadith ini telah diriwayatkan oleh: Ibrahim al-Harbi dalam bukunya Gharib al-Hadith melalui jalan Nu'aim Bin Abd. Rahman dan kesemua periwayatnya thiqat (dipercayai). Seterusnya beliau menyatakan kata-kata dari tiga imam hadith iaitu: Abu Hatim, Ibnu Hibban dan Ibn Mandah menyatakan bahawa Nu'aim Bin Abd. Rahman bukanlah seorang sahabat tetapi seorang tabi'i (sempat bertemu sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah s.a.w.), maka kata al-Iraqi: Hadith ini mursal.
Maksud al-Iraqi dengan kata-katanya: 'mursal' ialah hadith ini dinyatakan oleh Nu'aim Bin Abd. Rahman sebagai 'Nabi s.a.w. bersabda' sedangkan beliau tidak pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. bahkan beliau merupakan seorang tabi'i. Hadith dalam kategori sebegini diistilahkan sebagai mursal dan ia adalah antara kategori hadith yang belum dipastikan sahih atau dhaif. Untuk lebih lanjut, sila rujuk mana-mana buku ilmu hadith dan cari perbincangan tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'.
KESIMPULAN DARIPADA KATA-KATA AL-IRAQI
Apa yang dapat kita fahami daripada ulasan al-Iraqi - bagi sahabat-sahabat yang memahami bahasa Arab, boleh baca ulasan beliau dalam jilid dan muka surat yang telah disebut di atas - ialah:
- Hadith ini sumber asalnya ialah buku Gharib al-Hadith hasil susunan Ibrahim al-Harbi.
- Di dalam hadith ini, didapati Nu'aim Bin Abd. Rahman telah menyebut bahawa ia berasal daripada Rasulullah s.a.w.
- Namun dalam periwayatan hadith, hanya seorang sahabat (sempat bertemu Rasulullah s.a.w.) yang boleh menyatakan demikian.
- Setelah dikaji oleh al-Iraqi, didapati Nu'aim bukan seorang sahabat, tetapi seorang tabi'i.
- Ini menjadikan hadith tersebut terputus. Dalam hal ini, ia diistilahkan sebagai 'mursal'. Seluruh ulama hadith sepakat bahawa hadith 'mursal' bukanlah salah satu kategori 'hadith sahih' . Ia perlukan kepada banyak syarat dan keadaan untuk menaikkan kedudukannya ke tahap 'sahih'. Bukalah mana-mana buku Mustolah al-Hadith, pasti akan ada perbincangan panjang tentang kategori hadith yang diistilahkan sebagai 'mursal'. Kebanyakan pengkaji juga menyebutkan bahawa 'mursal' pada penggunaan ulama awal ialah lebih luas dan ia membawa maksud kedhaifan.
SUMBER LAIN
Namun begitu, hadith ini juga ditemui dalam sumber yang lain. Mari kita lihat bersama. Hadith ini ditemui antaranya di dalam :
a) Buku Sunan Sa'id Bin Mansur - Ia dinyatakan oleh Markaz Fatwa dari laman web islamweb.net (fatwa no.61297), namun saya tidak dapat menemui ia dalam buku tersebut untuk mengesahkan kedudukannya dan nombor serta kedudukannya yang lebih terperinci. Namun Markaz Fatwa menyatakan ia berasal dari riwayat Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Tooi.
b) Buku Islah al-Mal, Ibnu Abi al-Dunya (wfat 281H) (cetakan Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyyah, tahun 1993) - ia meriwayatkan hadith ini yang bersumberkan Nu'aim Bin Abd. Rahman (hadith no.213) . Maka ia sama juga seperti yang disebutkan di atas tadi. Ia hanya pengulangan rantaian periwayatan yang sama.
c) Buku al-Jami' al-Shaghir, al-Suyuti (wafat 911H)- dalam buku ini, hadith tersebut disebutkan (bukan diriwayatkan) dan seterusnya kita dapati al-Suyuti membuat ulasan yang amat ringkas iaitu - daripada Nu'aim Bin Abd. Rahman dan Yahya Bin Jabir al-Too'i secara 'mursal'. Kita dapati al-Suyuti menambah seorang lagi tabi'i yang meriwayatkan hadith tersebut. Tetapi beliau masih menyatakan ianya 'mursal' dan ia kembali kepada perbincangan panjang tentang kedudukan hadith 'mursal' dalam ilmu kajian hadith atau mustolah al-hadith.
d) Buku Gharib al-Hadith karya Abu Ubaid al-Qaasim Bin Sallaam (wafat 224H) (cetakan Darul Kutub al-Ilmiyyah, tahun2003) - di dalam jilid pertama, muka surat 80, didapati Abu Ubaid telah menyebut hadith ini dan didapati jalannya juga melalui jalan periwayatan Nu'aim Bin Abd. Rahman.
KESIMPULAN PENTING
1- Hadith ini walaupun popular, ia tidak disebutkan atau diriwayatkan di dalam buku-buku hadith utama seperti: Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, buku-buku Sunan, Musnad-musnad dan lain-lain lagi. Ini merupakan di antara (salah satu) petunjuk tentang kedhaifan sesebuah hadith.
2- Di dalam semua buku utama hadith seperti di atas, terdapat bab-bab dan hadith-hadith tentang perniagaan. Sekiranya ia sahih dan penting - berdasarkan maksudnya - pasti ia akan berada di dalam buku-buku utama tersebut dan dijadikan dalil utama dalam menggalakkan perniagaan.
3- Tidak kita temui kenyataan dari mana-mana ahli hadith utama yang menyatakan kesahihan hadith ini. Apa yang ada hanyalah sebahagian ulama menyebutnya di dalam buku mereka dengan rantaian periwayat yang mana ia (rantaian periwayat itu) difahami - oleh pengkaji hadith - bahawa ia merupakan petunjuk kepada kedhaifannya. Ahli hadith moden juga didapati menilainya sebagai dhaif.
4- Untuk menyatakan bahawa perniagaan adalah baik dan Islam menggalakkannya, sudah memadai dengan ayat-ayat Al-Quran - contohnya ayat 275 surah Al-Baqarah - dan hadith-hadith yang penuh dengan panduan dalam perniagaan. Lagipun, hakikat bahawa Nabi s.a.w. pernah berniaga semasa mudanya dan para sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini juga sudah cukup menggalakkan kita untuk melakukannya. Kita tidak perlukan lagi hadith yang dhaif atau tidak pasti sebagai dalil. Begitu juga kita boleh mengetengahkan fakta-fakta sahih tentang para Nabi selain Rasulullah s.a.w. yang juga berniaga dan bekerja sendiri. Islam kata sebaik-baik pekerjaan adalah kerja hasil tgn sendiri seperti riwayat Bukhari:
( ما أكل أحد طعاما قط خيرا من أن يأكل من عمل يده وإن نبي الله داود عليه السلام كان يأكل من عمل يده )Maka dapat difahami secara umum semua pekerjaan hasil tangan sendiri (seperti tukang besi, ukiran, khat, bercucuk tanam) adalah baik di sisi Islam. Tak semestinya berniaga sahaja...
5- Hendaklah kita berhati-hati dengan populariti sesuatu hadith atau kata-kata, kerana ia mungkin tidak sahih atau tidak tepat.
6- Bagi mereka yang tetap ingin menyebut hadith ini sekadar menggunakan maknanya, adalah dinasihatkan mengikuti saranan imam-imam hadith seperti al-Nawawi, Ibn Hajar dan lain-lain yang mana mereka menyarankan agar membezakan antara 'cara menyebut' sesuatu hadith yang sahih atau dhaif. Seeloknya hendaklah digunakan ayat-ayat seperti - "terdapat sebuah riwayat menyatakan bahawa...", "sebagaimana di dalam sebuah hadith dhaif...", agar masyarakat tidak terkeliru.
Jadi, jelaskan... hadis ni ni bukan hadis sahih... boleh kita nak amal tapi tak boleh dijadikan hujah... Jadi, boleh guna ayat al-Quran dan dalil yang lebih sahih... Tak salah nak berniaga, tapi nak berhujah dengan dalil yang daif untuk mengajak orang join perniagaan kita patut dielakkan.
erm... panjang lebar penjelasannya.... terima kasih sis.... selama mmg duk pk 9/10 tu rezeki dr berniaga tu hadis sahih...
BalasPadamBagi AM..
BalasPadamBerniaga adalah sunnah Nabi Muhammad..
TAPI..
Tidak semua orang boleh berniaga..
Tepuk dada..tanya sama hati boleh ke berniaga??
Ikhlas Dari
Along Misuari