GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Siapa Yang Patut Memasak di Rumah? Suami atau Isteri?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Siapa Yang Patut Memasak di Rumah? Suami atau Isteri?  | Satu persoalan berkaitan ilmu rumahtangga...  Bab memasak... Majoriti yang memasak dirumah adalah para isteri... Jarang sekali suami turun dapur dan memasak... Bahkan ada suami hanya tahu makan... Bahkan basuh pinggan pun isteri yang buat semuanya...  

Pernah jadi isu, diceraikan sebab tak memasak... Masakan tak sedap dan sebagainya...  Patutkah??? Jadi ini persoaln dan jawapan berdasarkan dalil yang dinyatakan mengikut ulamak mazhab..

Siapa Yang Patut Memasak di Rumah??? Suami atau Isteri???

ISU:

Saya mempunyai beberapa kemusykilan berkenaan tanggungjawab suami dan isteri setelah pernikahan. 
         
1) Menurut apa yang saya faham, tanggungjawab menyediakan nafkah seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal adalah tanggungjawab suami.  Kebanyakan suami yang mengikut adat di timur menyediakan bahan mentah yang tidak sedia dimakan kemudian menyuruh atau mengharapkan isteri memasak. Lebih menyukarkan isteri apabila suami hanya memberi wang dan membiarkan isteri membeli dan memasak makanan. Semua urusan tersebut memerlukan tenaga dan masa yang banyak. Pada pendapat saya, bahan mentah yang belum dimasak masih belum boleh dianggap makanan. Bukankah itu sama seperti suami tidak menjalankan tanggungjawab menyediakan nafkah makanan?


2) Saya berpandangan bahawa suami sepatutnya membeli makanan yang siap dimasak atau membeli bahan mentah yang kemudiannya dimasak oleh suami untuk keluarga. Tambahan pula sekiranya isteri berasa terbeban dengan tugas memasak tersebut. Adakah memasak merupakan tanggungjawab mutlak seorang isteri di mana sekiranya isteri menolak untuk memasak dikira derhaka dan berhak ditalakkan?


3) Hal ini adalah kerana, saya memandang tanggungjawab isteri adalah untuk taat kepada suami. Adakah perlu isteri taat apabila suami menyuruh isteri memasak ( sekiranya benar memasak bukan tanggungjawab isteri sebaliknya tanggungjawab suami)? Saya pernah membaca bahawa memasak, mengemas rumah adalah pilihan yang dilakukan isteri atas budi bicaranya dan bukan tanggungjawab mutlak. Mohon pencerahan.


4) Sekiranya benar bahawa menyediakan makanan siap dimakan adalah tanggungjawab suami dan memasak bukan tanggungjawab mutlak isteri, apakah hukum suami memaksa isteri memasak dan marah apabila isteri tidak memasak? (mohon abaikan soalan ini sekiranya kenyataan pertama dalam soalan ini adalah salah bermakna isteri wajib memasak untuk suami)


5) Apakah hukum sekiranya isteri tidak melakukan kerja rumah (memasak, mengemas rumah, dan sebagainya) kerana letih bekerja? Kebanyakan isteri tidak dapat melakukan kerja rumah di samping melayan kehendak biologi suami dan mendidik anak dalam satu tempoh yang sama dan panjang. Wanita juga sebagai muslim wajib menuntut ilmu yang memerlukan tenaga dan masa. Ditambah pula sekiranya suami tidak mampu menyampaikan ilmu kepada isteri, wanita berhak keluar mencari ilmu. Mungkin ada wanita yang mampu melakukan semua itu dalam masa yang sama tetapi jumlah mereka sangat sedikit. Hal ini demikian kerana setiap individu mempunyai tahap kekuatan fizikal, mental, emosi dan rohani yang berbeza. Saya sangat jelas bahawa keluar mencari nafkah bukanlah tanggungjawab isteri. Namun, dalam keadaan ekonomi yang sempit, di mana sekiranya isteri tidak menambah pendapatan suami, maka anak-anak akan hidup kesempitan sehingga tidak mendapat hak mereka seperti pendidikan dan kesihatan, isteri terpaksa membantu suami. Selain itu, sesetengah pekerjaan yang sememangnya memerlukan tenaga pekerja wanita sebagai contoh doktor sakit puan menyebabkan wanita berasa bertanggungjawab terhadap umat. Sekiranya mereka berhenti bekerja, kebanyakan isteri bersalin akan dirawat oleh doktor lelaki. Hal ini jelas menjadi isu dalam negara kita. Di samping itu, kebanyakan wanita tetap bekerja atas sebab tidak mahu mengecewakan ibu bapa yang telah menghabiskan banyak tenaga, masa dan wang demi membiayai pengajian mereka untuk menjadikan siapa mereka hari ini. Wanita tersebut boleh jadi seorang doktor, jurutera, akauntan dan sebagainya. Memang benar bahawa keutamaan tanggungjawab isteri adalah kepada suami dan anak-anak, tetapi hal berkaitan kekeliruan yang saya ketengahkan menyebabkan wanita berfikir berkali-kali sebelum bersetuju untuk berkahwin. Hasilnya, ramai 'anak dara tua' yang takut dengan perkahwinan. Sedangkan pernikahan sangat dianjurkan supaya dapat meramaikan umat Rasulullah agar mereka mampu menegakkan syiar Islam di muka bumi ini. Malah umat sangat memerlukan golongan professional dan bijak pandai dalam bidang akademik dan agama untuk mendidik generasi Muslim kini.


Setakat itu sahaja soalan saya buat masa ini. Mohon pencerahan buat diri saya yang sememangnya masih kurang ilmu. Maaf sekiranya pihak tuan berpendapat bahawa saya bertanyakan soalan ini kerana malas atau takut dengan tanggungjawab seorang isteri. Namun sebenarnya saya hanya mahukan kepastian atas kemusykilan saya.


Saya yakin bahawa Islam adalah agama syumul dan universal. Islam tidak menyusahkan namun kita tidak boleh ambil mudah dengan hukum hakam Islam. Saya melihat ibu dan saudara mara wanita yang berasa penat dan terseksa melayan kehendak suami yang mahu dilayan setelah penat bekerja. Hal ini atas alasan atau kenyataan bahawa mereka penat mencari rezeki. Sedangkan mereka seolah-olah lupa bahawa isteri mereka juga penat bekerja menambah pendapatan selain perlu melayan keperluan biologi suami dan mendidik anak-anak yang sememangnya memerlukan kekuatan mental, fizikal, emosi dan rohani.


Mereka mengatakan bahawa isteri perlu mengikut jejak isteri-isteri Rasulullah melayan suami. Saya sangat bersetuju dalam hal ini. Namun, saya berpendapat bahawa suami telah terlepas pandang bahawa pernah Rasulullah pulang dan tiada makanan di rumah. Baginda tidak marahkan isteri sebaliknya mengatakan kepada isteri bahawa Baginda berpuasa pada hari tersebut. Kisah ini menunjukkan bahawa memarahi isteri kerana tidak menyediakan makanan tidak pernah dilakukan Rasulullah.


Suami hari ini juga membandingkan isteri mereka dengan isteri Rasulullah tetapi seolah-olah lupa membandingkan diri mereka dengan Baginda. Rasulullah dilayan mesra oleh isteri setelah penat berdakwah dan berperang menegakkan Islam sedangkan jumlah suami hari ini yang melakukan apa yang Baginda telah lakukan amat sedikit. Ya, suami keluar bekerja, wanita juga bekerja. Justeru, suami juga seharusnya meringankan beban isteri sebagaimana isteri meringankan beban suami melengkapkan keperluan hidup.


Maaf sekali lagi sekiranya soalan saya turut disertakan dengan penjelasan yang mungkin kurang bernas bagi pihak tuan. Saya cuma hairan mengapa tiada seorang pun yang menyatakan hal ini sedangkan inilah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Apabila isteri terlalu letih melakukan sesuatu yang bukan tanggungjawab dan di luar batas kemampuan mereka, pelbagai masalah umat timbul. Kerana wanita juga adalah Muslim yang mempunyai tanggungjawab menjadi khalifah atas muka bumi dan tidak kurang penting dalam berkhidmat menegakkan syiar Islam.


Isteri tidak mampu memenuhi keperluan biologi suami akibat terlalu letih menguruskan rumah tangga mengakibatkan zina dan perceraian. Seterusnya anak-anak terpaksa menanggung tekanan emosi malah ada yang didera oleh ibu atau bapa yang tertekan dengan masalah rumah tangga mereka.Rosaklah pembangunan anak tersebut dan lahir pula anak yang tidak sah taraf.


Isteri yang kepenatan juga tidak mampu memberi perhatian kepada anak-anak. Hasilnya, anak-anak yang sepatutnya menjadi tonggak umat berpeleseran di kedai mamak, disko selain merempit di jalan raya. Rosaknya anak-anak muda kita menjurus kepada kerosakan umat Islam yang lebih besar. Jauh sekali untuk membicarakan soal menyelamatkan Aqsa, membela Rohingya dan sebagainya.


Terlalu banyak masalah umat kita yang bukan sahaja perlu difikirkan malah perlu diselesaikan. Saya percaya bahawa setiap penyelesaian perlu bermula dengan penambahbaikan diri sendiri diikuti institusi kekeluargaan, masyarakat seterusnya negara atau kerajaan.


Segala usaha pihak tuan saya dahului dengan sekalung penghargaan. Sekian, terima kasih

Suami Tiada Hak Paksa Isteri Memasak! 


PENJELASAN:



1) Tanggungjawab suami memberikan nafkah kepada isteri iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Makanan yang dimaksudkan ialah makanan yang boleh terus dimakan oleh isteri. Bukan menjadi tanggungjawab isteri untuk memasak. Namun, sekiranya suami meminta isteri memasak dan ia tidak bercanggah dengan mana-mana hukum Islam, maka isteri perlu mentaati permintaan suami.


2) Isteri yang enggan memasak tidak dianggap derhaka (nusyuz) dan tidak boleh menjadi sebab untuk diceraikan oleh suami.


3) Walaupun memasak atau mengemas rumah bukan tanggungjawab isteri, namun sekiranya suami meminta isteri melakukannya dan ia tidak bercanggah dengan mana-mana hukum Islam, maka isteri perlu mentaati permintaan suami.


4) Suami tidak boleh memaksa isteri memasak dan tidak boleh memarahinya sekiranya isteri tidak mahu memasak.


5) Isteri yang tidak mampu melakukan kerja rumah (memasak, mengemas rumah, dan sebagainya) kerana letih bekerja, perlu berbincang secara harmoni dengan suami. Menjadi tanggungjawab suami, untuk menyediakan pembantu rumah bagi melakukan kerja rumah, sekiranya isteri memintanya.



Penjelasan:


Isteri biasanya dibebankan dengan kerja-kerja rumah seperti mengemas rumah, memasak, membasuh baju, dan sebagainya. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita. Sehingga apabila ada isteri yang tidak mahu melakukan kerja-kerja tersebut dianggap sebagai ‘nusyuz’ oleh suami. Namun persoalan yang timbul, adakah isteri diwajibkan oleh Syarak untuk melakukan kerja-kerja tersebut? Bolehkah suami menuntut di mahkamah untuk menghukum isteri yang tidak mahu melakukannya?


Menurut ulamak bermazhab Syafii, isteri tidak wajibmelakukan perkara-perkara tersebut. Imam Abu Ishak asy-Syirazi; seorang ulamak bermazhab Syafii menjelaskan dalam bukunya ‘al-Muhazzab’, “Isteri tidak wajib melakukan perkara berikut untuk suaminya, seperti membuat roti, mengisar tepung, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya. Ini disebabkan perkara yang diwajibkan dalam akad nikah ialah isteri melayan suaminya, dan tidak diwajibkan melakukan perkara yang lain.”


Syeikh al-Muti’i; seorang ulamak kontemporari bermazhab Syafii, menjelaskan dalam buku ‘Takmilah al-majmu’ syarah al-muhazzab’, “Isteri tidak wajib berkhidmat untuk suami atau rumah, kerana perkara yang diwajibkan dalam akad nikah ialah isteri melayan suami. Namun begitu, kerja-kerja rumah yang dilakukan oleh isteri ada sandaran daripada Syarak, sebagaimana hadis yang dilaporkan oleh Jabir dan direkodkan oleh Imam Ahmad, al-Bukhari dan Muslim. Jabir melaporkan, ‘Rasulullah bertanya kepada saya, ‘Adakah saudara sudah berkahwin?’ Saya menjawab, ‘Ya.’ Baginda bertanya lagi, ‘Saudara berkahwin dengan gadis atau janda?’ Saya menjawab, ‘Dengan janda.’ Baginda berkata lagi, ‘Kenapa saudara tidak berkahwin dengan gadis agar saudara boleh berseronok dengannya dan dia boleh berseronok dengan saudara?’ Saya menerangkan, ‘Wahai Utusan Allah. Ayah saya terbunuh dalam Perang Uhud. Dia meninggalkan sembilan orang anak perempuan. Saya tidak suka jika isteri saya gadis muda seusia adik beradik saya itu. Tetapi saya perlukan seorang isteri yang dapat menguruskan kehidupan mereka.’ Baginda berkata, ‘Saudara melakukan perkara yang betul.’ Hadis ini menjelaskan, jika seseorang itu berkahwin agar isterinya itu dapat membantu menguruskan hal ehwal bapa si suami, adik beradik atau ahli keluarga suami yang lain, maka ia tidak menjadi kesalahan, walaupun ia tidak diwajibkan atas isteri tersebut. Ia dibenarkan jika adat setempat biasa dengan perbuatan tersebut. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad tidak menghalang perbuatan Jabir itu.”


Oleh itu, menurut ulamak bermazhab Syafii, urusan rumahtangga selain melayan suami, tidak diwajibkan atas seseorang isteri.  Ia hanyalah satu galakan untuk dilakukan oleh seseorang isteri. Ini bermakna, suami tidak boleh memaksa isteri untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti memasak, membasuh, mengemas dan sebagainya. Isteri pula tidak boleh dianggap nusyuz jika tidak mentaati arahan suami untuk melakukan kerja-kerja tersebut. Begitu juga, pihak mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menuntut isteri melakukan perkara tersebut, jika kes itu diadukan oleh suami kepada Hakim.


Bahkan Islam membenarkan isteri menuntut kepada suami agar menyediakan pembantu rumah untuk melakukan kerja-kerja rumah. Hal ini merujuk kepada kebiasaan isteri semasa belum berkahwin. Jika isteri berasal daripada keluarga berada yang biasa mempunyai pembantu rumah dan si isteri tidak biasa melakukan kerja-kerja rumah, maka suami bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah untuk isterinya. Para ulamak menyatakan, menyediakan pembantu rumah adalah termasuk dalam nafkah yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri.


Walaupun Islam tidak mewajibkan isteri melakukan kerja-kerja rumah dan berhak menuntut seorang pembantu rumah daripada suami, namun Islam amat menggalakkan agar isteri dengan rela dan ikhlas melakukan kerja-kerja tersebut. Pada suatu hari, Saidatina Fatimah berjumpa dengan ayahnya iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Fatimah mengadu kepada ayahnya kerana terlalu penat melakukan kerja-kerja rumah. Beliau menunjukkan tangannya yang pecah-pecah kerana mengisar tepung. Beliau meminta daripada ayahnya agar diberikan kepadanya seorang wanita yang ditawan ketika perang untuk dijadikan pembantu rumah. Nabi Muhammad berkata kepada anaknya, “Mahukah kamu, ayah tunjukkan satu amalan yang lebih baik daripada mendapat seorang pembantu rumah? Ketika kamu hendak tidur, maka bacalah tasbih (subhanallah) tiga puluh tiga kali. Bacalah tahmid kepada Allah (Alhamdulillah) tiga puluh tiga kali. Bacalah takbir kepada Allah (Allahuakbar) tiga puluh tiga kali.” Hadis sahih direkodkan oleh Imam al-Bukhari.


Hadis ini secara jelasnya menunjukkan, alangkah baiknya jika para isteri dengan rela hati melakukan kerja-kerja rumah untuk suami mereka. Walaupun penat melakukan kerja-kerja tersebut, namun pahala yang disediakan oleh Allah untuk para isteri amat besar. Dalam hadis tersebut Nabi Muhammad s.a.w. memberikan tips kepada isteri yang seharian penat melakukan kerja-kerja rumah untuk berzikir sebelum tidur. Dengan mengamalkan zikir-zikir tersebut dengan penuh khusyuk kepada Allah, akan menghilangkan segala kepenatan.


Imam at-Tobari menjelaskan maksud kisah Fatimah itu dalam buku tafsirnya, “Hadis tersebut menerangkan, seseorang isteri yang mampu melakukan kerja-kerja rumah seperti membuat roti, menguli tepung atau sebagainya, maka tidak wajib untuk suami menyediakan pembantu rumah.”


Asma’ binti Abu Bakar; kakak ipar Nabi Muhammad melaporkan, “Zubair berkahwin dengan saya dalam keadaan beliau tidak mempunyai apa-apa harta atas muka bumi ini. Juga tidak memiliki walau seorang pembantu. Yang beliau miliki hanyalah beberapa ekor kuda. Kerja saya ialah memberI makan kuda-kudanya, mengambil air di perigi, dan membersihkan najis-najis kuda. Saya tidak pandai memasak roti. Jiran-jiran saya daripada kalangan wanita Ansar yang membantu saya membuat roti. Mereka adalah wanita yang baik-baik. Saya juga biasa mengangkut bakul berisi biji buah-buahan di atas kepala saya untuk makanan kuda.Biji buah-buahan itu saya ambil daripada kebun yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Zubair. Pada suatu hari, saya terserempak dengan Rasulullah s.a.w. Ketika itu saya sedang menjunjung bakul yang berisi biji buah-buahan. Bersama-sama Rasulullah pada ketika itu ada beberapa orang lelaki Ansar. Rasulullah s.a.w. menyapa saya, ‘Alahai kasihannya.’ Lalu baginda mengajak saya menaiki binatang tunggangan bersama baginda. Saya berasa malu untuk berjalan bersama-sama dengan lelaki. Saya teringat kepada Zubair dan sifat cemburunya. Beliau memang seorang yang sangat kuat cemburunya. Rasulullah tahu bahawa saya merasa malu untuk turut sama dengan baginda. Baginda pun meneruskan perjalanan. Setiba di rumah, saya menceritakan kepada suami saya; Zubair, ‘Tadi saya bertemu dengan Rasulullah. Di atas kepala saya, saya sedang menjunjung bakul yang berisi biji buah-buahan. Bersama-sama dengan baginda ada beberapa orang lelaki Ansar. Baginda mempelawa saya untuk menunggang bersama-sama dengannya. Saya merasa malu dan saya pun teringat sifat cemburu abang itu.’ Zubair menjawab, ‘Demi Allah. Sebenarnya abang lebih kasihankan dinda menjunjung bakul berisi biji buah-buahan itu berbanding cemburu abang jika dinda menumpang tunggangan Nabi Muhammad itu.’ Asma’ menjelaskan lagi, ‘Begitulah rutin hidup saya, sehinggalah ayah saya; Abu Bakar, menghadiahkan kepada saya seorang pembantu untuk menguruskan kuda-kuda milik suami saya itu. Pemberian ayah saya itu ibarat telah memerdekakan saya daripada kerja-kerja tersebut.’” Laporan sahih direkodkan oleh Imam Bukhari.

Wallahua'lam (Sumber: e-Fatwa)

Jadi suami, sesekali masaklah untuk keluarga pula... Tak pun tak reti masak, belanja makan dan beri cuti memasak pada isteri.. Atau tolong isteri buat kerja rumah yang lain... Jangan letak sepenuhnya tanggungjawab dan kerja rumah pada isteri.. Ada isteri memang tak merungut, tak mengadu... Tapi tanda kasihkan isteri ialah meringankan beban isteri tu sendiri... Isteri gembira keluarga bahagia...

19Ulasan

  1. Perkongsian yg cantik dan selalu dipandang remeh
    Tapi sejujurnya kalau kakak ni nak harap abang masak memang tak adelah hihi...
    Namun bila kakak letih biasa kami makan luar aje atau bungkus
    Kakak tak pernah ada rasa terbeban bab masak/kemas semua ni sebab abang membantu banyak.

    BalasPadam
  2. Nice sharing. Masa cepat berlalu, zaman cepat berubah. Begitu juga dengan manusia. Majoriti ramai suami dan isteri bekerja bersama-sama untuk menambahkan pendapatan keluarga. Jadi sedikit sebanyak beberapa perkara perlu diadjust dan dijustifikasikan termasuk hal makan dan masak memasak. Yang penting keharmonian berkeluarga tidak terganggu.

    BalasPadam
  3. Hmm... hari2 aku masak untuk osteri... dia pulak yang marah2 kalau aku x masak... parah2.... nak ckp mcm mane lg.. sayang isteri....

    BalasPadam
  4. Hari2 aku masak untuk isteri.. penat nauzubillah... tp sbb sayang, aku buat je la... tp isteri mmg x pandai masak.. nak buat cmne... aku dr kecik suka duk dapur tolong mak.. so xde la rase susah sgt... yg penting bahagia...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah... Moga kekal bahagia.. disamping itu ajar isteri memasak ye sesekali ye.. moga Bertambah rukun dalam rumahtangga..

      Padam
  5. Tulisan yang kurang kemas dan berat sebelah. Hukum-hukum yang diambil secara asas dan tiada perbahasan serta sumber ditulis. Nota kepada penulis, jangan menulis mengikut kehendak sendiri. Kalau si suami bekerja dan juga mengurus rumah tangga, masak, mengemas dan juga membasuh baju. Sedangkan si isteri hanya melayan kehendak suami, baik saja lelaki tu tak perlu berkahwin. Nikmat berkahwin adalah bersama bukan hanya kepada lelaki. Harus mempunyai kesepakatan apabila berdua-dua bekerja. Dua-dua harus melakukan kerja rumah dan dua-dua kena saling bantu membantu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas komen tuan.. nampak tuan baca entry ni dengan emosi... Sebab dihujung entry ini ada saya nyatakan sumber penulisan asal... Maknanya.. kenyataan ini bukan dikemukakan oleh saya ... Saya ambil dari sumber seperti yang saya nyatakan dalam entry diatas...

      Ye tuan.. dalam entry nyatakan hukum asal.. tapi jangan terlalu memaksa isteri sesekali bagilah isteri cuti dgn belanja makan dan sebagainya... Kalau tak reti masak.. seminggu sekali tolong isteri masak... Tolong hidangkan dan basuhkan pinggan pun isteri dah happy...

      Kebanyakan isteri yang suri rumah sepenuh masa la akan hadapi situasi ini... Atas alasan suami kerja.. isteri kat rumah kan.. sedangkan kepenatan buat kerja dirumah tu melebihi segalanya...

      Padam
    2. Perlu berikan dalil ayat al quran Dan hadisnya. Perlu terang jelas Dan nyata.kenapa x dituliskan APA yg dikatakan tanggungjawab isteri .sebab ada isteri yang ambil kesempatan. Sedangkan dalam rasullullah pon membantu didapur. Jadi dimana ayat yang menyatakan memasak mengemas bukan kerja isteri. Saya sebagai suami semua kerja2 tu saya buat.memasak membasuh mengemas just name it semua selesai. Bila ditanya tangyungjawab seorang isteri x boleh nak jawab disuruh amal ibadah pon malas, kerjanya hanya tahu tidur . kalau memasak pon macam terpaksa. Jadi saya Tanya lagi sekali mana tanggungjawab isteri Dan APA dia. Kalau dikatakan melayan suami adakah itu sahaja tanggungjawab isteri. Sedangkan suami memonopoli semua aktiviti. Bekerja beri tempat tinggal, memasak mengemas membasuh, sidai kain uruskan anak sekolah, urus anak sakit dan sebagainya. Jadi dimana tanggungjawab sebagai seorang sister melainkan hujah2 tadi menjadikan seorang isteri makin PEMALAS

      Padam
    3. "BAIK TAK PAYAH KAWIN"? Tujuan utama perkawinan adalah sebagai Ibadah, untuk Menjaga Kehormatan. Jadi adakah lebih baik menahan nafsu sampai mati, atau lebih baik berZina daripada berkahwin??
      Kahwin untuk menjaga kehormatan dan berkasih-sayang, bukan untuk mencari maid/tukang masak/baby sitter. Takde salahnya isteri tolong masak, kemas rumah, dan lain2, apatah lagi jika isteri sukarela, tapi jika marah pada isteri bila ada terkurang atau terlepas pandang soal masak atau kerja rumah, memang salah.. Sebab isteri tak berdosa pun kalau tak buat. Tapi isteri buat atas dasar kasih sayang.

      Padam
  6. Kalau isteri bekerja & malas masak mungkinlah boleh dimaafkan sbb mencari nafkah tu tugas suami, bila isteri bekerja bantu suami, suami perlulah bantu isteri dgn kerja2 rumah.. tapi kalau dahlah tak kerja, malas masak, malas kemas rumah, malas sex dgn suami, malas solat, kerja tgk facebook, youtube & membebel je tu mcmmana pulak..?

    BalasPadam
  7. ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0331&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

    BalasPadam
  8. Assalamualaikum, saya ada persoalan yang kiranya sudi dijawab oleh Y.Bhg Admin.

    Saya dari seawalnya lagi dalam perkahwinan amat menghargai isteri saya dan berusahan menjalankan tanggungjawab sebagai suami.

    Situasi saya ialah;

    i. jika saya mempunyai pendapatan hanya cukup untuk memberikan nafkah makanan Gred C contohnya.. sedangkan sebelum berkahwin mungkin isteri terbiasa dengan makanan Gred B atau A bersama keluarganya. Adakah saya berdosa kerana hanya itu kemampuan saya dari segi ekonomi?

    ii. Isteri bekerjaya. Oleh kerana tercetusnya sedikit isu tentang pendapatan atau nafkah. Maka saya akui hak masing2 yang tersebut di atas. Bagaimana pula dengan peranan untuk memberi susu ibu kepada anak? adakah wajib ibu memberi susu kepada anak2? atau suami juga yang perlu mencari ibu susuan atau susu formula menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya untuk beli??

    iii. Bagaimana pula dengan kos pengangkutan yang bertambah kerana gara-gara menghantar dan menjemput isteri di tempat kerjanya? Adakah boleh dan wajar suami mohon untuk ditanggung bersama kos tersebut?

    iv. Artikel yang saya banyak temui, memang tidak dapat disangkal mengangkat martabat kaum isteri. Tapi apakah pembelaan kepada suami yang seolah-olah menjadi hamba dalam rumah tangga. Isteri pula yang menuntut haknya dan bersenang lenang dilayan bagai Raja hanya perlu berhias dan melayani SEKS suami? Walaupun hakikatnya para suami ini bukanlah mementingkan seks semata-mata, atau seks hari2 jauh sekali. Aduhai. Sedangkan hakikatnya juga, sang iseri pula yang begitu teruja dan teringinkan dilayani nafsu seksnya oleh suami. Sampai suami pula yang tak larat. Bagaimana dijelaskan perkara ini??

    v. Berbalik kepada kemampuan ekonomi tadi, isteri sebelum berkahwin tinggal dirumah yang selesa dan berpenghawa dingin. sekarang dah kahwin tidak dirumah yang takde aircond saya belum mampu? Bagaimana?

    vi. Nampaknya golongan-golongan isteri ini sebaiknya dianjurkan mencari suami yang kaya mungkin? atau kaya raya lebih baik?


    Mohon pencerahan.
    Terima kasih.

    BalasPadam
  9. Terbaik perkongsian Puan. Lengkap dengan perbincangan ulama mengenai pandangan yang dibincangkan. Boleh buat panduan sebelum kahwin, jadi tak la ada ketidaksefahaman selepas kahwin. Terima kasih atas perkongsian yang sangat bermanfaat.

    BalasPadam
  10. Alhamdulillah.. Sy nn isteri keje sama shif.. Balik keje buat keje same2.. Kemas umah.. Basuh baju.. Sidai.. Bahagikan keje umah.. Kalau masak.. Masak sama2.. Rehat same2..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Makan pakai isteri tetap tiada istilah bersama dik.
      Suami yang kena bagi siap secara mutlaq.
      Itu nafkah.
      Bukan 'uruf atau adat.
      Rehat sama-sama setelah suami tunaikan hak nafkah anak isteri tanpa melibatkan anak isteri.
      Barulah kita hidup mati aman.
      Allah tak kacau kita bila kita tak kacau haq sesama kita. T ya...

      Padam
  11. Point 1 dan 3 menjawab bertentangan dengan semua soalan pokok dan isu seolah kena masak juga atas sebab kena taat.
    Taat suami bukan bab tugas suami tapi tugas isteri iaitu taat buat ibadah dan ilmu.
    Bukan bab masak.
    Contoh.
    Suami suruh solat sebab isteri enggan solat.
    Itu wajib taat.

    Bila tiada hukum mensabitkan perceraian akibat sesuatu maka sesuatu itu bukan wajib pada isteri.
    Tidak wajib cerai kerana isteri tidak memasak kerana sememangnya tidak wajib memasak.

    Jika point 1 dan 3 masih berkisar tentang memasak kerana taat, tiada gunanya point 1 hingga 5 itu.
    Balik2 kena memasak jugak sebab kena taat.
    Suruh buat kopi tidak termasuk taat kerana bukan bab syariat.
    Itu cuma adat.
    Bagi yang kata baik tak payah kahwin sebab lelaki buat semua, ya.
    Baik tak payah kahwin sebab lelaki itu akan menyeksa keluarganya.
    Baik tak payah kahwin kalau lelaki kena masak kata orang.
    Berkahwin bukan kerana nak cari tukang masak.
    Elok kahwin dengan tukang masak jika nak isteri jadi umpama tukang masak.
    Bernikah satu ibadah.
    Bukan perhambaan.
    Kahwin dengan chef pun tak wajib isteri masak.
    Kahwin dengan jutawan pun wajib beri isteri nafkah dan nafkah itu termasuk beri makan.
    Sebelum berkahwin lelaki makan usaha sendiri.
    Lepas kahwin bukan pindahkan usaha kepada anak isteri.
    Tapi berusaha memberi makan anak isteri.
    Bab didik isteri bermaksud suami ajar semua ilmu fardhu ain seperti tajwid nahu sorof dan usuluddin.
    Bukan didik isteri tahan berpoligami.
    Bila ada poligami mesti ada perkataan isteri terdidik,faham syariat,tidak tamak,taat dan solehah.
    Mendidik isteri ialah beri ilmu.
    Beri haq hingga dia ada 4 PhD.
    Beri haq dia setaraf ilmu suami atau setinggi mana dia mampu dibidang dia demi umat.
    Bukan jadikan dia baby sitter dan maid masa suami buat phd.
    Didik anak isteri adab batin dengan Allah hingga halus imannya bukan untuk redha poligami.
    Poligami belum wajib jika kemampuan seksual isteri terjadi akibat sakit yang tidak berpunca dari suami.
    Tetapi harus.
    Harus bermakna tidak wajib cari isteri baru.
    Yang wajib ialah rawat isteri.
    Yang wajib ialah menjaga isteri dari jadi sakit zahir batin.
    Jika isteri terjaga zahir batin payah nak jatuh sakit.
    Sakit ni selalunya akibat diabaikan dan terabai terkapai kapai.

    BalasPadam
  12. Point 1 dan 3 menjawab bertentangan dengan semua soalan pokok dan isu seolah kena masak juga atas sebab kena taat.
    Taat suami bukan bab tugas suami tapi tugas isteri iaitu taat buat ibadah dan ilmu.
    Bukan bab masak.
    Contoh.
    Suami suruh solat sebab isteri enggan solat.
    Itu wajib taat.

    Bila tiada hukum mensabitkan perceraian akibat sesuatu maka sesuatu itu bukan wajib pada isteri.
    Tidak wajib cerai kerana isteri tidak memasak kerana sememangnya tidak wajib memasak.

    Jika point 1 dan 3 masih berkisar tentang memasak kerana taat, tiada gunanya point 1 hingga 5 itu.
    Balik2 kena memasak jugak sebab kena taat.
    Suruh buat kopi tidak termasuk taat kerana bukan bab syariat.
    Itu cuma adat.
    Bagi yang kata baik tak payah kahwin sebab lelaki buat semua, ya.
    Baik tak payah kahwin sebab lelaki itu akan menyeksa keluarganya.
    Baik tak payah kahwin kalau lelaki kena masak kata orang.
    Berkahwin bukan kerana nak cari tukang masak.
    Elok kahwin dengan tukang masak jika nak isteri jadi umpama tukang masak.
    Bernikah satu ibadah.
    Bukan perhambaan.
    Kahwin dengan chef pun tak wajib isteri masak.
    Kahwin dengan jutawan pun wajib beri isteri nafkah dan nafkah itu termasuk beri makan.
    Sebelum berkahwin lelaki makan usaha sendiri.
    Lepas kahwin bukan pindahkan usaha kepada anak isteri.
    Tapi berusaha memberi makan anak isteri.
    Bab didik isteri bermaksud suami ajar semua ilmu fardhu ain seperti tajwid nahu sorof dan usuluddin.
    Bukan didik isteri tahan berpoligami.
    Bila ada poligami mesti ada perkataan isteri terdidik,faham syariat,tidak tamak,taat dan solehah.
    Mendidik isteri ialah beri ilmu.
    Beri haq hingga dia ada 4 PhD.
    Beri haq dia setaraf ilmu suami atau setinggi mana dia mampu dibidang dia demi umat.
    Bukan jadikan dia baby sitter dan maid masa suami buat phd.
    Didik anak isteri adab batin dengan Allah hingga halus imannya bukan untuk redha poligami.
    Poligami belum wajib jika kemampuan seksual isteri terjadi akibat sakit yang tidak berpunca dari suami.
    Tetapi harus.
    Harus bermakna tidak wajib cari isteri baru.
    Yang wajib ialah rawat isteri.
    Yang wajib ialah menjaga isteri dari jadi sakit zahir batin.
    Jika isteri terjaga zahir batin payah nak jatuh sakit.
    Sakit ni selalunya akibat diabaikan dan terabai terkapai kapai.

    BalasPadam
  13. Jarang isteri di poligami bila terjaga sebab perasaan isteri itu wajib dijaga.
    Suami monogami lebih focus pada family.
    Bukan dirinya sendiri.
    Dia tak terfikir pun poligami demi takutkan Allah kerana beratnya tugas ayah dan suami.
    Suami ini sibuk muhasabah prestasi diri dan anak isteri, keturunan mereka dan umat Muhammad, bukan setakat umat Islam.
    Selagi keharusan poligami adalah bab seksual menurut syariat dan bukan sebab lain termasuk memasak atau cuci kereta dan longkang maka semua kerja tersebut tidak terpakai untuk monogami juga!
    Maka memasak tidak wajib kerana memasak bukan sebab harus poligami.
    Suami wajib didik anak dunia akhirat.
    Ilmu dunia pun wajib termasuk menyusun halatuju,siapkan target setiap anak dari lahir hingga lepas mereka mati, siapkan bekalan selepas ibubapa mati, wasiat yang ditunaikan waktu hid up dan selepas mati, bermain, verbal, berbincang,tengok kerja sekolah anak dan pergi tengok buku terbaru bersama atau sendirian di kedai.
    Wajib beli dengan duit suami bukan duit isteri dan duit anak seperti duit hadiah masa orang ziarah baby kita, duit OKU dan duit raya.
    Isteri dan suami wajib tunaikan tugas kerana Allah kerana nikah itu ibadah.
    Bukan ambil kesempatan dan perhambaan kepada selain tuhan.
    Diri individu dan pihak lain dibawah tanggungan adalah amanah.
    Jika isteri terabai, haq Allah kerana berkhidmat pada suami itu maknanya suami dah berlagak Tuhan.
    Dah syirik.
    Kualiti ibadah isteri mesti seidak-tidaknya setaraf suami dengan kemampuan dan keselesaan maksima dan bukan sedikitpun atas paksaan.
    Jika nak solat fardhu pun kena heret diri berdiri itu zalim namanya.
    Jika isteri terpaksa dan memaksa diri dalam menunaikan haq dan amanah diri+Tuhan+pihak lain maknanya samada isteri telah menzalimi diri sendiri dengan duniawi seperti kerjaya, hobi, minat atau tabiat sendiri dalam mengurus dirinya atau telah dizalimi suami, anak, mertua, ipar duai, cucu dan bos atau jiran, dan pihak lain.
    Selagi semuanya seimbang dan terurus selagi itulah semua individu tak kira ia budak darjah 1 atau university, bujang atau bernikah, dah jadi datuk nenek, professor atau cuci longkang telah menunaikan haq Allah dan pihak lain termasuk kucing liar dan ikan guppy jiran yang bercuti seminggu sebagai hamba Allah melainkan dia tidak mukallaf lagi.
    Tidak mukallaf tidak ada kewajipan lagi walaupun mereka dan sudah baligh.
    Takrif taklif hanya untuk yang mukallaf sahaja.
    Amanah itu nikmat.
    Allahhu akbar.

    BalasPadam
  14. Kupasan yang lengkap dan mantap.
    Saya juga bekerja dan bila dan balik rumah kadang2 tidak larat/malas nak memasak. Saya beli lauk atau keluar makan malam satu keluarga. Alhamdulillah suami pun memahami dan tidak pernah komplen.

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ