GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Kajian: Cara Pemanduan Wanita dan Lelaki di Malaysia

Salam petang... sebelum ni aku de post entry pasal beza sikap pemanduan lelaki dan wanita.. Haaa.. skrg baca plak artikel yg aku dapat dari berita harian...yg ditulis oleh Jami’ah Shukri yang bertajuk Pemandu wanita Sama 'hebat' dengan lelaki...
***********************************************************************
TIDAK sampai satu kilometer menaiki kereta bekas pelumba Program Pencarian Pemandu Wanita Pasukan Redbull, Norlina Johor, 28, penulis dapat merasai gadis manis bertubuh kecil ini memang ‘kaki lumba’. 

Apa tidaknya, sebaik kaki memijak pedal, terus menekan minyak dan meluncur laju. Terdetik di minda, jiwa anak muda memang begitu dan persepsi tipikal masyarakat ramai mungkin sama, perempuan dewasa ini suka memandu laju dan sebilangannya begitu agresif di jalan raya mengalahkan lelaki. 

Ada pula segelintir yang terlalu lembap di jalan raya hingga menimbulkan kemarahan pemandu lain malah pemandu wanita dikatakan paling kerap melakukan kesalahan jalan raya.

Benarkah? Kata Norlina, ragam pemandu wanita dan lelaki sebenarnya sama saja dalam semua aspek dan masing-masing ada karektor tertentu, yang membezakan antara mereka ialah sikap dan disiplin ketika memandu. 

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatiannya, ramai pemandu di Malaysia tidak ada kemahiran, teknik yang betul memandu kenderaan termasuk gagal mengawal situasi terutama jika berhadapan saat kecemasan ketika memandu laju.

“Tahu memandu dan ada lesen memandu tak cukup. Sepatutnya pemandu Malaysia diwajibkan mempelajari kursus pemanduan lanjutan supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan ketika kecemasan, tahu teknik bawa kereta ketika hujan, jalan licin dan selekoh.

“Ramai pemandu tidak kira lelaki atau perempuan yang suka memandu laju, sebenarnya suka-suka atau ingin menunjukkan skil tanpa memikirkan padah bakal ditanggung kalau terbabit dalam kemalangan,” katanya yang mengambil kursus pemanduan lanjutan ketika menuntut di Melbourne dan diperkukuhkan lagi apabila berada dalam pasukan Redbull.

Beliau menambah, biasanya, ramai pemandu tiba-tiba membrek secara mengejut dalam keadaan memandu laju ketika ingin mengelak subjek seperti orang sedang melintas jalan di hadapannya. 

Ini teknik yang salah kerana dalam keadaan itu, brek akan terkunci dan menjadikan kereta terus meluncur ke hadapan sekali gus melanggar subjek di hadapan sehingga menyebabkan kemalangan.

“Begitu juga ramai yang tidak mahir membawa kereta dalam keadaan hujan lebat, jalan licin, tidak rata, berbukit, curam atau selekoh.

“Dengan mengambil kursus lanjutan ia dapat membantu orang ramai memandu secara berhemah sekali gus dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya yang mula berjinak-jinak dengan sukan go-kart sejak usia tujuh tahun sebelum menyertai pasukan pelumba wanita di litar lumba secara serius. 

Justeru, bagi pemandu yang gian ingin pandu laju, jalan raya bukan lokasinya, kata Norlina. Uji kehebatan di litar lumba sedia ada kerana ia lebih selamat dan membolehkan seseorang belajar kaedah terbaik pemanduan selain meningkatkan kemahiran mereka pada situasi tertentu termasuk ketika memandu laju. 

Kemalangan jalan boleh berlaku bila-bila masa dan pada masa sama, orang ramai perlu sentiasa berilmu dari segi teknik pemanduan kerana sentiasa saja ada perkara baru dalam bidang terbabit.

Norlina, yang juga adik kembar kepada pelakon Diana Johor, berkata jika beliau teringin memandu laju, Litar Lumba F1 Sepang dan Pasir Gudang menjadi pilihannya.

“Tingkah laku pemandu Malaysia memang agak buruk berbanding negara maju lain. Melbourne contohnya, pemandu mereka lebih berdisiplin dan mematuhi peraturan lalu lintas dan amat jarang memandu laju. Mungkin juga disebabkan undang-undang yang ketat menjadikan mereka lebih terdidik dan akhirnya meresap dalam jiwa tidak boleh memandu laju untuk mengelak disaman atau sedar ia boleh mengundang kemalangan jalan raya. 

“Rata-rata pemandu di sana memandu 80 kilometer sejam. Memang ada juga yang suka mahu memandu laju terutama pada waktu malam. Tetapi bagi yang pandu laju, tidak semena-mena datang saja polis untuk menyaman mereka,” katanya. 

Isyarat kurang sopan tingkatkan kemarahan pemandu wanita

KAJIAN sikap pemandu di negara ini mendapati wanita mempunyai tahap kemarahan lebih tinggi ketika memandu terutama apabila berhadapan dengan isyarat kurang sopan seperti mengugut, mencabar dan lucah.

Berbeza lelaki pula, tahap kemarahan mereka memuncak ketika berhadapan dengan situasi pemandu lain yang tidak mematuhi undang-undang.

Kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (MIROS), mendapati tahap kemarahan itu tidak semestinya mendorong seseorang bertindak balas secara agresif dalam pemanduan mereka, sebaliknya banyak faktor lain yang menyumbang ke arah itu.

Malah, pemandu wanita disifatkan lebih berhati-hati ketika memandu berbanding lelaki dan natijahnya hanya kira-kira 10 peratus kaum Hawa maut dalam kemalangan jalan raya manakala 90 peratus adalah kaum Adam, sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, peratus itu tidak boleh dijadikan ukuran lelaki lebih agresif berbanding perempuan kerana kerana bilangan pemandu lelaki adalah lebih ramai berbanding wanita.

Ketua Pengarah MIROS, Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata kajian sikap pemandu dijalankan di Perlis, Perak, Kedah dan Pulau Pinang, mendapati sikap agresif ketika memandu jelas menunjukkan responden lelaki mencatatkan tahap lebih tinggi berbanding perempuan. 

“Tindakan agresif ini ditunjukkan secara fizikal dengan menggunakan kenderaan seperti memandu laju dan membunyikan hon. Tetapi tiada perbezaan antara jantina apabila tindak balas agresif secara lisan,” katanya.

Dari segi kecederaan pemandu wanita mengikut jenis kenderaan, yang dicatatkan pada 2008, menunjukkan kira-kira 68.6 peratus terbabit dalam kemalangan menunggang motosikal, iaitu lebih tinggi berbanding kereta.

Jika dilihat perbandingan kematian akibat kemalangan jalan raya antara pemandu lelaki dan wanita, secara keseluruhan ada perbezaan antara taburan kematian mengikut masa antara pemandu lelaki dan wanita. 

Peratusan pemandu wanita maut yang paling tinggi adalah sebanyak 14.5 peratus iaitu antara jam 6 pagi hingga 8 pagi manakala lelaki, sembilan peratus; antara jam 12 tengah hari dan 2 petang (14.2 peratus) manakala antara jam 4 petang dan 6 petang, 13.2 peratus. 

Antara jam 2 pagi dan 4 pagi, mencatatkan peratusan kematian pemandu wanita yang paling sedikit iaitu hanya 2.8 peratus atau 28 orang manakala bagi pemandu lelaki, kematian tertinggi berlaku antara jam 8 pagi-10 malam dan terendah antara jam 4 pagi hingga 6 pagi dengan 3.6 peratus.

Pakar Pengangkutan Awam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abd Rahim Md Nor, menjelaskan banyak salah faham mengenai perbezaan kelakuan antara pemandu perempuan dan lelaki. 

Ramai berpendapat pemandu perempuan tidak mematuhi peraturan jalan raya dan disebabkan itu lebih ramai terbabit dengan kemalangan. Kajian di seluruh dunia mendapati ini adalah pendapat yang tidak benar. 

Katanya, faktor kewanitaan seperti sifat mereka sebagai pelindung, hanya menumpukan kepada perkara yang dekat, memberi perhatian kepada perkara kecil, suka meminta pertolongan dan vokal menyebabkan kemungkinan mendorong tingkah laku tidak berhemah dan kemalangan jalan raya. 

Faktor sosialisasi, iaitu lebih berpendidikan dan berjawatan tinggi, mungkin bukan sekadar persepsi melulu, sebaliknya ia ada kaitan dengan sikap pemanduan wanita yang ingin turut seperti lelaki memandu agresif dan berani. 

“Ini mengakibatkan wanita ada masanya berubah menjadi seperti lelaki ketika memandu dan kemungkinan boleh terbabit dengan kemalangan jalan raya,” katanya.

Selain itu, pemandu perempuan biasanya mendapat kemalangan kerana ciri kewanitaan mereka, contohnya, hanya beri perhatian kepada perkara yang dekat saja, sebaliknya pemandu lelaki biasanya terbabit dengan kemalangan kerana faktor memandu laju.

INFO
Perbezaan pemandu lelaki dan wanita

Pemandu lelaki tiga kali ganda lebih cenderung menekan hon bila kenderaan di hadapannya dipandu terlalu lambat, berbanding perempuan.

Pemandu lelaki dua kali ganda melanggar peraturan jalan raya, berbanding pemandu perempuan. Malah, 83 peratus pemandu lelaki cenderung menunjukkan perangai memandu laju manakala perempuan hanya 17 peratus.

Pemandu lelaki lebih banyak yang bergerak walaupun lampu trafik masih merah atau kuning, memandu rapat dengan kenderaan lain di hadapan, berlumba haram, memandu di bawah pengaruh dadah dan tidak memakai tali pinggang keledar.

Perbezaan ketara, lelaki lebih cenderung memandu tujuan mencari sensasi iaitu menunjuk kepada rakan sebaya dan orang ramai mengenai kemahirannya memandu di jalan raya. Mereka rasa puas jika rakan sebaya nampak aksi memandu, memuji sekali gus rasa puas hati bila orang ramai terpegun dengan cara memandunya lain daripada orang lain.

Tingkah laku wanita ketika membawa kenderaan

Bilangan perempuan yang berpelajaran dan berkerjaya tinggi semakin meningkat sehingga mengakibatkan ada kemungkinan mereka menjadi agresif ketika memandu seperti lelaki. Contohnya, mungkin mereka ingin cepat sampai ke tempat kerja atau ke mesyuarat pada masa yang dijadualkan. 

Perempuan lebih cenderung menukar lorong secara tiba-tiba dan membahayakan orang lain.

Membuat pusingan U secara tiba-tiba, tanpa memikirkan akibatnya kepada orang lain. 

Memberhentikan kereta secara tiba-tiba dan meletak kereta sesuka hati hingga menghalang laluan.

Lebih bersifat sensitif dan penyibuk, selain berminat serta suka mendapatkan maklumat atau `cerita’ berbanding lelaki. Akibatnya, bila melalui kawasan yang baru terjadi kemalangan, mereka ingin hendak tahu apa yang terjadi, menyebabkan trafik menjadi perlahan dan mengganggu pemandu lain.

Bersifat pelindung kerana mereka ialah ibu. Oleh itu, mungkin mereka pentingkan diri sendiri bila berada di jalan raya, misalnya tidak beri laluan kepada kereta lain.

Lebih bersikap berhati-hati. Oleh itu, boleh jadi mereka bergerak lambat pada jalan lapang dan tidak banyak kereta, menyebabkan gangguan kepada pemandu lain.

Perempuan kurang keinginan mencuba dan meningkatkan kemahiran memandu mereka selepas mendapat lesen memandu. 

Lebih mudah bertanya kalau tersesat atau tidak dapat mencari alamat yang ditujui. Mereka mungkin memberhentikan kereta secara tiba-tiba bila terjumpa dengan sesiapa saja dengan tujuan untuk bertanya. Perbuatan ini mungkin boleh menyebabkan kemalangan.

Lebih suka menyuruh lelaki memandu, bila mereka berdua dalam kereta. Akibatnya, oleh sebab yang memandu itu lelaki, makan risiko kemalangan adalah lebih tinggi, lebih-lebih lagi kalau lelaki itu masih muda dan agresif.

Bila kereta rosak, pemandu perempuan lebih cenderung menunggu saja pertolongan sampai, tetapi pemandu lelaki akan cuba berbuat sesuatu yang mereka mampu. Ini menyusahkan dirinya, boleh menjadikan emosinya terganggu dan dengan itu mungkin menyebabkan dia kurang tumpuan ketika memandu.

Pemandu perempuan kurang berpengetahuan dari segi penyelenggaraan kereta, oleh itu kalau rosak, mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Ini menyusahkan dia di jalan raya dan boleh mengganggu emosinya.

Bila berlaku kemalangan, perempuan lebih cenderung berhujah berbanding lelaki. Akibatnya ini boleh menyebabkan pergaduhan yang besar jika mereka sesama perempuan dan boleh mengubah emosi ketika memandu.

****************************************************
Kebanyakan apa yg saya lihat, mmg ada byk yg betul.. tapi hakikatnya kajian ni x menunjukkan semua wanita atau semua lelaki bersikap sedemikian, hnya sebahagian sahaja... Jika anda atau sesiapa shj yg mempunyai sikap2 negatif dalam cara pemanduan di atas, sama2 lah kita tegur dan nasihat mnasihati...

Wallahu'alam...
Kredit: Berita Harian

1Ulasan

  1. sama je dua2 tu.. apa yg penting nk masuk simpang bg signal..
    patot amik tindakan mereka yg masuk simpang tak bg signal ni bru sedar sikit penting masuk simpang bg signal..

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ