GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

KENAPA ROKOK ITU HARAM???

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Rokok, pernah pegang rokok tapi tak pernah hisap. Masa kecil dulu MF pernah hisap rokok daun, tapi tak letak tembakau la.. Ikut arwah Tok MF yang memang suka isap rokok daun sambil makan sirih pinang. Kenangan masa kecil kan. Dalam keluarga MF, bapa MF pernah merokok tapi dah berhenti bila anak-anaknya membesar. Alhamdulillah... Tapi masih ada dalam keluarga MF yang merokok, cuma tak terlalu tegar. Fatwa telah mengatakan rokok itu HARAM, tapi masih ramai juga yang hisap kan... Kenapa rokok itu haram??? Jom baca penulisan artikel dari Dr. Zainal Abidin, mengenai fakta saintifik dan dalil kenapa rokok itu HARAM???

Wabak berkaitan tembakau merupakan antara ancaman kesihatan yang terbesar di dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan ia telah membunuh lebih kurang enam juta manusia setiap tahun (lima juta adalah dari kalangan perokok dan lebih daripada 600,000 adalah dari kalangan yang terdedah kepada asap rokok). Pada setiap 6 saat seorang meninggal dunia kerana kesan tembakau. Pada abad ke-20 ia telah membunuh 100 juta manusia dan jika trend ini berterusan dijangkakan pada abad ke-21 ia akan membunuh 1satu bilion manusia.

Sebenarnya di dalam asap rokok terdapat 4,000 jenis kimia. 250 daripadanya merupakan bahan yang amat memudaratkan, dan 50 daripadanya merupakan bahan penyebab kanser. Fakta-fakta ini dilaporkan di www.who.int/mediacentre/factsheets/fs339/en/index.html, Mei 2012.


Merokok dalam kalangan rakyat Malaysia

4.7 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas adalah perokok yang kebanyakannya didominasi oleh kaum lelaki. Seorang perokok di negara ini membelanjakan secara purata RM180 sebulan untuk membeli rokok. Angka itu berdasarkan laporan Kaji Selidik Tembakau Dunia (GATS) Malaysia 2011, yang pertama kali dilakukan di Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawasan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat terhadap 4,250 responden. Hal ini dilaporkan di www.utusan.com.my bertarikh 13 Jun 2012.

Berita Harian melaporkan, terdapat lebih lima juta perokok tegar di negara ini. Mereka membelanjakan kira-kira RM15 juta sehari untuk membeli bahan itu bagi melepaskan ketagihan. Perangkaan itu didedahkan Pakar Perubatan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof Zulkfli Ahmad, menerusi syarahan umum sempena pelantikannya sebagai Profesor yang menjalankan kajian berhubung Pengawalan Tembakau di Malaysia: Antara Ekonomi, Politik, Agama dan Kesihatan sejak 1986. Hal ini dilaporkan di www.bharian.com.my bertarikh 21 November 2011.

Akhbar Kosmo pula melaporkan, lebih 10,000 rakyat negara ini meninggal dunia akibat tabiat merokok. Sebanyak 30 peratus daripadanya disebabkan oleh 10 jenis kanser iaitu paru-paru, mulut, esofagus, tekak, pankreas, pundi kencing, buah pinggang, pangkal rahim, usus dan perut. 

Sebanyak 50 peratus perokok lain mati disebabkan penyakit jantung manakala baki 20 peratus lagi kematian disahkan berpunca daripada strok. Dalam setahun, lebih 100,000 perokok dimasukkan ke hospital kerajaan akibat sakit jantung, kanser dan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD). 

Realitinya, tabiat tidak sihat ini bukan sahaja mengundang pelbagai penyakit bahkan negara turut mengalami kerugian kira-kira RM20 bilion setahun kerana menanggung kos rawatan dan kehilangan produktiviti. Hal ini dilaporkan di kosmo.com.my bertarikh 25 Mac 2012.

Laporan Buletin Umum Pusat Racun Negara, USM (Penawar Racun), bilangan 52, Mac 2004, menunjukkan bahawa di Malaysia lebih kurang 8 peratus daripada perokok adalah terdiri dari kalangan remaja. Statistik ini juga menunjukkan bahawa lebih kurang 50-60 remaja mula merokok setiap hari. Kajian juga menunjukkan kadar merokok di kalangan Melayu Islam adalah tertinggi iaitu 27.2 peratus berbanding Cina 16.7 peratus dan India 15.6 peratus. 

Kajian Tembakau Remaja Global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan jumlah perokok remaja wanita di negara ini meningkat dari 4.2 peratus pada 2003 kepada 5.3 peratus pada 2009, manakala remaja wanita yang merokok juga menunjukkan peningkatan iaitu dari 11.5 peratus pada 2003 kepada 12.4 peratus pada 2009.

Apakah Kandungan Racun Yang Ada Di Dalam Rokok???

Tembakau pada asalnya digunakan sebagai ubat dan dihisap dengan menggunakan paip. Di peringkat awal, ramai yang mengunyah dan menghidu tembakau dan sebahagian yang lain menghisapnya dengan menggunakan paip. Mereka yang tinggal di Eropah mula menghisap rokok pada pertengahan abad ke-16 apabila golongan pengembara dan para diplomat, umpamanya Jean Nicot dari Perancis (nikotin dinamakan bersempena dengan namanya), mula mempopularkannya. Diawal abad ke-19 belas cerut atau cigars diperkenalkan dan pada lewat tahun 1880, tembakau mula dipopularkan di dalam bentuk rokok yang dibuat dengan menggunakan mesin pengeluar rokok moden di bawah tajaan baron tembakau yang terkenal, James Buchanan ‘Buck’ Duke.

Rokok mengandungi tar. Minyak tar digunakan untuk membuat jalan raya. Kajian yang dibuat oleh Program Pencegahan Dan Pengawalan Tembakau dari Jabatan Kesihatan Utah menunjukkan, menghisap sebatang rokok sahaja sudah memasukkan tar ke dalam paru-paru seseorang. Apabila anda menghisap sekotak rokok setiap hari selama setahun, sebanyak 0.25 gallon tar dimasukkan ke dalam paru-paru anda. Rokok tidak hanya mengandungi tar, ia juga mengandungi 4,000 bahan kimia toksik yang lain, antaranya ialah:



BBC News bertarikh 8 Februari, 2000 melaporkan, pakar-pakar perubatan dari Royal College of Physicians UK (RCP) meminta agar pengawasan dan tindakan yang lebih tegas diambil untuk mengawal ketagihan merokok. Mereka mengatakan, nikotin yang terdapat di dalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah heroin dan kokain. Merokok adalah punca kepada pelbagai penyakit, antaranya ialah:

Barah Paru-Paru
Faktor utama penyebab barah paru-paru ialah merokok. Sejak Dr. F.E. Tylecote melaporkan perkaitan di antara rokok dengan barah paru-paru di dalam majalah Lancet pada tahun 1927, kajian-kajian yang mutakhir menguatkan lagi penemuan ini. Bagi mereka yang merokok lebih daripada 15 batang setiap hari, setiap seorang dari lima orang dari kalangan mereka akan menghidapnya.

Penyakit Jantung
Risiko diserang penyakit jantung koronari adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang merokok. Di samping itu, kajian menunjukkan perokok juga berisiko tinggi untuk menghidap penyakit darah tinggi dan arteriosklerosis.

Radang Saluran Nafas 
Merokok merupakan penyebab utama penyakit radang saluran nafas di Amerika dan ia boleh menyebabkan maut. Kajian menunjukkan penyakit ini jarang mendatangkan komplikasi yang membawa maut ke atas mereka yang tidak merokok. 

Kanser Secara Umum
Kajian di UK menunjukkan 40% daripada kanser pundi kencing dan 15% daripada barah pankreas adalah disebabkan oleh amalan merokok. Ia juga menjadi penyebab kepada kanser mulut, kerongkong atau pharynx, esofagus, serviks dan peti suara atau larynx.

Kesan Ke Atas Bayi Di Dalam Kandungan
Kajian-kajian menunjukkan ibu-ibu yang merokok ketika sedang mengandung menjejaskan kesihatan bayi mereka. Pakar-pakar sains dari UK dan Amerika, CM Fletcher dan Daniel Horn, melaporkan penemuan mereka di dalam majalah WHO yang bernama Smoking and Health pada tahun 1970 yang menunjukkan, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang merokok adalah 150-240 gram lebih ringan berbanding bayi yang dilahirkan oleh ibu yang tidak merokok. 

Pada tahun 2004, Surgeon General Amerika, Richard H. Carmona, mengeluarkan satu kenyataan rasmi yang komprehensif berhubung bahaya merokok. Ia menunjukkan, bagi pertama kalinya, bahawa merokok merosakkan hampir setiap organ di dalam badan manusia. Ia menjadi penyebab kepada penyakit jantung, katarak mata, radang paru-paru (pneumonia), leukemia (acute myeloid), barah perut, barah pankreas, barah serviks, barah buah pinggang, barah mulut, barah kerongkong dan banyak lagi. Secara purata, lelaki yang merokok memendekkan umur mereka sebanyak 13.2 tahun dan wanita yang merokok sebanyak 14.5 tahun. Kerugian di sudut ekonomi, sebagai contoh di Amerika, adalah sebanyak $157 bilion setahun. (Sumber: Health Consequences of Smoking: A Report of the Surgeon General, 2004)

Rokok Adalah Khabaith
Allah berfirman: “Dan dia (Rasul) menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk (khabaith).” (Surah Al-A’raf ayat 157) Ayat ini menunjukkan sesuatu yang keji diharamkan oleh Islam. Imam Syafie mentafsirkan ‘buruk’ atau ‘khabaith’ ini sebagai ‘sesuatu yang diharamkan berdasarkan hujah syariat termasuk sesuatu yang kotor dan keji..’ Rokok dengan 4,000 bahan kimia beracunnya adalah termasuk di dalam kategori kotor dan keji ini.

Rokok Melemahkan Dan Memudaratkan Diri
Di dalam sebuah hadis, Ummu Salamah berkata: “Rasulullah melarang mengambil setiap bahan yang memabukkan dan yang melemahkan badan.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Rokok Memudaratkan Orang Lain
Islam melarang sebarang perbuatan yang boleh memudaratkan orang lain. Nabi Muhammad bersabda: “Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin atau menipunya.” (Riwayat Tarmuzi)

Rokok Membawa Kepada Pembaziran
Pembaziran ditegah oleh agama. Allah berfirman: “Janganlah kamu membazir kerana sesungguhnya mereka yang membazir adalah saudara-saudara syaitan.” (Surah Al-Israk ayat 27)

Merokok Menguntungkan Musuh
Merokok melemahkan badan sekali gus melemahkan umat Islam daripada usaha-usaha dakwah dan jihad di jalan Allah. Di samping itu pembelian rokok membantu untuk menjadikan musuh Islam kaya raya. Mereka boleh menggunakan wang itu untuk menindas umat Islam. Allah berfirman: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah ayat 2)

Rokok Mengandungi Dadah Berbahaya
Segala yang memabukkan termasuk dadah berbahaya diharamkan oleh agama. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah, beliau berkata: “Rasulullah melarang daripada mengambil setiap bahan yang memabukkan dan yang melemahkan badan.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) BBC News bertarikh 8 Februari, 2000 melaporkan, pakar-pakar perubatan dari Royal College of Physicians UK (RCP) mengatakan, nikotin yang terdapat di dalam rokok sebenarnya adalah sejenis dadah berbahaya yang setanding dengan dadah heroin dan kokain. 

Justeru, merokok hukumnya adalah HARAM
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995, memutuskan merokok haram kerana terdapat kemudaratan padanya. Ia berdasarkan beberapa hujah termasuk rokok mengandungi pelbagai jenis racun dan ketagihan tembakau tidak hanya menimbulkan masalah kepada perokok tetapi juga kepada mereka yang lain.

Sumber: Laman Nurani Karangkraf.com


Jelas sangat kenapa rokok tu HARAM. Jika dah tahu, wajiblah berusaha untuk hilangkan ketagihan merokok. Trend terkini, menggantikan rokok dengan vape... dan buat pertama kali semalam MF pegang dan tengok dan bau Vape dengan tangan dan mata sendiri. Budaya Vape ni merebak cepat dalam kalangan remaja sekolah. Vape bukan sahaja dalam bentuk yang besar gedabak macam gelas air tu, tapi ada juga bentuk pen kecil je... ada cecair di dalamnya... Jadi, ibu bapa perlu berhati-hati dan pantau anak supaya tak terlibat dalam gejala ini. Pernah dulu, kajian luar negara mengatakan, sebab orang suka isap rokok, kerana tak puas menyusu ibu. Rasa kelakar, tapi tak tahu sejauh mana kebenarannya. Apa pun semuanya atas diri sendiri. Terlalu mengikut kawan pun ye juga. Alhamdulillah, MF dijodohkan dengan lelaki yang tidak menghisap rokok. Sesuai dengan MF yang ada asma ni. Kalau tak susah juga kan, seorang ada asma, seorang lagi hisap rokok. Jodoh itu, cukup cantik dah Allah tentukan. Buang ego, dan cubalah berubah. Sayang isteri dan anak ye. Merokok membahayakan. Bahkan merokok pun menjadikan seseorang itu rendah akhlak dan pengotor.

4Ulasan

  1. susah nak berhenti merokok nih. huhu. tapi kalau kaum lelaki nih tanamkan niat sungguh2 nak berhenti merokok mesti boleh.

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah...sama dengan Diana sis... hubby diana pun tak merokok juga...

    BalasPadam
  3. bersyukur sgt mr.asben x merokok, maria :)

    BalasPadam
  4. walau sejuta kali kita bercerita tentang keburukan merokok pun, perokok tetap buat tak endah. sebab ape? sebab xda sifat sayangi diri sendiri dan org sekeliling.

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ