17 Julai 2017

Hukum Jual Beli Secara Bidaan/Lelongan di Internet

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Hukum Jual Beli Secara Bidaan/Lelongan di Internet | Bidaan atau lelongan di internet kembali popular sejak dua menjak ni... Antara website yang menawarkan jual beli secara bidaan popular ialah e-Bay, dan terkini Chilindo... MF pernah cuba masuk untuk lihat cara transaksi jual beli dilakukan... Tapi, apakah hukum jual beli secara bidaan atau lelongan ini dalam Islam? Ikuti penjelasan lengkap yang telah dikupas secara umum oleh Dr. Zaharuddin...

Maksud Jual Beli Secara Bidaan / Lelong
Jual beli secara lelong dikenali dalam Islam dengan nama "al-Muzayadah", iaitu satu kalimah yang memberi erti dari sudut bahasanya "saling naik menaik" dalam konteks jual beli lelong ini ‘kesemua pihak (bakal-bakal pembeli) cuba menawarkan harga yang lebih mahal kepada penjual, sesiapa yang menawarkan harga tertinggi, mereka akan dikira sebagai pemenang.

Cara Jual Beli Secara Bidaan Dilakukan
Apabila tukang lelong atau wakilnya menghentikan lelongan, beerti penjual telah redha dengan satu harga tertinggi dan ini menyebabkan kontrak jual beli yang mengandungi ‘ijab dan qabul termeterai secara automatik di antara kedua belah pihak.  Jual beli ini adalah halal disisi Islam dengan syarat-syaratnya.

Antara asas kepada keharusan lelongan ini adalah hadis :-

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَاعَ حِلْسًا ) بساط للأرض أو كساء لظهر الدابة ) وَقَدَحًا وَقَالَ مَنْ يَشْتَرِي هَذَا الْحِلْسَ وَالْقَدَحَ فَقَالَ رَجُلٌ أَخَذْتُهُمَا بِدِرْهَمٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ مَنْ يَزِيدُ عَلَى دِرْهَمٍ فَأَعْطَاهُ رَجُلٌ دِرْهَمَيْنِ فَبَاعَهُمَا مِنْه

Erti : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menjual hilsan (hamparan seperti permaidani atau selimut di belakang binatang kenderaan) , lalu bersabda : Adakah sesiapa ingin membeli hamparan ini , lalu berkata seorang lelaki : Aku setuju untuk mengambilnya dengan harga satu dirham, lalu baginda Nabi s.a.w bersabda lagi : ada sesiapa ingin membayar lebih dari satu dirham, lalu seorang lelaki setuju dan membayar dua dirham, lalu Nabi s.a.w menjualnya kepada lelaki itu. ( Riwayat At-Tirmidzi, no 1139, At-Tirmidzi : Hadis Hasan) [1]

Hukum jualan ini juga telah terdapat ijma berkenaan keharusannya, sebagaimana di sebutkan oleh para ulama mazhab Hanbali, Manakala mazhab Syafie mensyaratkan ia mestilah tidak berniat memberi mudarat kepada sesiapa dan benar-benar ingin membeli, jika tidak dikira sebagai an-Najash yang haram.

Majlis Fiqh Antarabangsa yang bernaung di bawah Al-Munazzamah Al-Muktamar Al-Islami telah pun mengeluarkan resolusi keharusan jual beli lelong dengan syarat-syaratnya, antara yang disebut dalam resolusinya adalah :-

•a-   Setiap proses selanjutnya (setelah menang) seperti catatan secara bertulis, syarat-syarat pembayaran, pentadbiran dan undang-undang mestilah tidak bercanggah dengan hukum Syariah.

•b-   Penganjur atau penjual dibenarkan meminta jaminan daripada mereka yang turut serta dalam majlis lelongan bagi memastikan semua mereka adalah pembeli berpotensi yang sebenar dan komit dengan pembelian sekiranya menang.

•c-  Dibenarkan penganjur lelongan mengambil caj masuk atau penyertaan dengan SYARAT Ia tidak melebihi nilai sebenarnya. (bermakna ia mestilah nilai minima dan pihak penganjur tidak akan mengambil keutungan darinya tetapi sekadar urusan pentadbiran sahaja).

•d-  Diharamkan pihak penjual atau penganjur melakukan bidaan-bidaan palsu agar harga lelongan naik. Ia dinamakan An-Najash yang diharamakan secara jelas oleh Nabi s.a.w. Antara bentuk lain bagi An-Najash adalah orang yang tidak membeli mempromosikan barang yang dijual dengan pujian berkenaan kualitinya berdasarkan kepakarannya, ia dilakukan bagi mendorong peserta majlis lelong menaikkan lagi harga. Sedangkan apa yang dikatakan adalah dirancang dengan pihak penjual.

•e-   Penjual dan rakan mereka menipu harga pasaran, kononnya jualan sedang berada di tahap yang sangat murah.

•f-   Penjual mempromosikan kualiti tinggi barangan yang boleh dibaca, dengar dan lihat bagi menaikkan harga sedangkan hakikatnya tidak sedemikian.

Ulasan lengkap boleh rujuk: klik sini
Bidaan online
Sumber: Google Images


Kesimpulan:

Hukum lelongan jenis bidaan ini harus selagi mana tiada unsur judi atau bayaran untuk membuat bidaan. Seperti e-Bay, laman web Chilindo... Pembeli bebas membuat bidaan mana-mana barang yang dia minat tanpa bayaran... Pembeli hanya perlu bayar harga barangan yang dia telah menang dalam bidaan tersebut mengikut nilai bidaan yang telah dimenangi... 

Jadi, bagus juga ada jualan jenis ni... Kita dapat beli barangan dengan harga yang kita mampu bayar... MF saja try semalam... tak sangka boleh menang pula dua jenis barang.. harga dua jenis tu tak sampai RM50 pun termasuk kos pos... Kalau nak beli kat website lain susah nak dapat harga tu... Tapi tu lah... Cara pembayarannya hanya guna kredit atau debit kad... tiada pembankan online... Kalau guna online atau ATM hanya bank OCBC sahaja... Jadi, kedua barang tu masih dalam troli... Nak bayar kena ada kad debit pula... sebenarnya seronok bida je.. sebab nak try, tak sangka menang pula.. hadoiii... hehe... 

09 Julai 2017

Telefon Jatuh Dalam Tandas, Macam Mana Nak Buat?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Telefon Jatuh Dalam Tandas, Macam Mana Nak Buat? | Pernah berlaku??? Bagi yang ada anak kecil, biasa kan perkara ni kan... Memang menangis tak berlagu... Tapi zaman sekarang, telefon dicipta dengan kalis air... Maknanya, masih boleh digunakan tapi status telefon tersebut... dah bercampur najis... Macam mana nak basuh jika dah kena najis??? 

Bila berkait dengan hukum, sebaiknya kita rujuk kepada yang pakar... Jadi, ikuti penjelasan dari Mufti Wilayah, berkaitan cara cuci handphone yang terkena najis.


sumber: google images

Soalan:

Salam Dr. Bagaimanakah cara bersihkan handphone yang terkena najis sedangkan peralatan sebegitu tak boleh kena air. Apakah memadai sekadar dengan renjisan air dan mengelapnya?


Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pendapat Ulama Tentang Menyucikan Besi yang Berkilat


Isu menyucikan telefon bimbit yang terjatuh ke dalam najis yang cair adalah isu baharu yang memerlukan perhatian. Kami melihat kes yang paling dekat yang terdapat dalam kitab-kitab fiqh adalah penyucian bahan-bahan berkilat seperti pedang dan cermin dengan menyapunya. Kami nyatakan pendapat para ulama tentang hal itu.

Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebut: “Jika najis terkena pada sesuatu yang berkilat seperti pedang, pisau dan cermin dan seumpamanya, tidak boleh disucikan dengan sapuan dan tiada yang boleh menyucikannya melainkan dengan basuhan jua seperti bahan-bahan lain. Inilah juga adalah pendapat Ahmad dan Daud manakala Malik dan Abu Hanifah berkata ia disucikan dengan sapuan.”

Rujuk al-Majmu` (2/599)

Imam al-Zailaie Rahimahullah daripada ulama Hanafiyyah menghuraikan: “Hukum pedang yang diperbuat daripada besi yang berkilat sama hukumnya seperti cermin dan pisau. Jika menjadi mutanajjis, ia disucikan dengan sapuan. Ini seperti mana kisah yang sahih bahawa para sahabat Rasulullah SAW, mereka membunuh orang kafir (harbi dalam peperangan) dengan pedang-pedang mereka, kemudian menyapunya dan bersolat dengannya. Ini kerana membasuh (dengan air) akan pedang dan cermin (besi) dan bahan yang seumpamanya akan merosakkannya (seperti karat dan lain-lain). Maka dalam kes ini ada darurat.”

Rujuk Tabyin al-Haqa’iq (1/72)

Hukum Telefon Yang Terkena Najis


Justeru, pendapat kedua menuntut agar dibasuh bahagian yang terkena najis dan tidak merosakkan telefon dan disapu dengan kain atau seumpamanya yang boleh menghilangkan ain najis tetapi tidak boleh dibasuh kerana akan merosakkan atau ditakuti akan merosakkannya, dengan kain sehingga kering dan boleh dibawa solat.

Manakala bagi pendapat pertama, telefon berkenaan masih boleh digunakan tetapi tidak boleh dibawa solat. Maka diletakkan telefon tersebut di tempat lain, atau berdekatan dengan tempat solat tanpa terkena pada badan ketika solat.

Kesimpulan

Kami cenderung kepada pendapat yang pertama bertepatan dengan mazhab al-Syafie. Pun begitu, ada beberapa pilihan dan kaedah yang masih boleh dipertimbangkan.

Pertama, jika telefon jatuh ke tempat najis, contohnya ke lubang jamban, kemudian segera dicuci dengan air pada bahagian luar. Ini kerana telefon bimbit berbeza kadar ketelapan dan kalir airnya. Ada telefon yang senang dimasuki air dan ada yang sukar bahkan kalis air. Jika ada baki air yang keluar daripada soket atau telefon itu yang tidak memiliki sifat najis seperti bau, warna dan rasa, maka dianggap suci. Jika baki tersebut bersifat dengan najis, maka dihukum najis. Ini kerana yang diyakini terkena najis itu adalah bahagian luar sedangkan bahagian dalamnya bergantung pada binaan telefon tersebut.

Kaedah ini berdasarkan hukum harus tetapi makruh menggunakan perkakas orang yang bukan Islam yang diketahui tidak menjaga soal taharah atau kebiasaan mereka bermuamalah dengan najis seperti orang Majusi yang membasuh perkakas mereka dengan air kencing lembu. Ini kerana hukum asal bahawa bekas itu suci mendahului hukum kebiasaan yang berbentuk anggapan semata-mata.

Rujuk al-Iqna’ (hal. 49) oleh Imam al-Khatib al-Syirbini Rahimahullah.

Samalah juga hukum mendukung bayi ketika solat. Sah solat jika tidak zahir ciri-ciri najis pada pakaian bayi itu ketika didukung. Ini kerana sekalipun hukum kebiasaan bayi itu adalah tidak mampu menjaga diri daripada najis lantaran belum mumayyiz, tetapi hukumnya kembali kepada hukum asal berdasarkan apa yang zahir di sisi orang yang solat.

Berkata Imam al-Syafie Rahimahullah: “Maka setiap pakaian yang tidak diketahui siapa yang menenunnya adakah Muslim, musyrik, penyembah berhala, majusi, ahli kitab, atau pakaian berkenaan dipakai oleh salah seorang daripada mereka, atau bayi, maka hukumnya adalah suci sehingga diketahui kenajisannya. Begitu juga pakaian bayi itu, kerana Rasulullah SAW pernah solat sambil mendukung Umamah binti Abi al-As sedangkan dia adalah bayi perempuan yang memakai pakaian bayi (yang kebiasaannya bernajis seperti lampin)”

Rujuk al-Umm (1/72)

Imam al-Syirazi Rahimahullah menyebut: “Maka jika seseorang yang bersolat itu menanggung benda hidup yang suci ketika solat maka sah solatnya kerana Nabi SAW pernah mendukung Umamah bin Abi al-As ketika solat. Ini kerana najis yang berada dalam benda hidup itu sama hukumnya dengan najis yang berada dalam badan orang yang solat itu.”

Imam al-Nawawi mensyarahkan: “Jika seseorang itu menanggung benda hidup yang suci tiada najis pada zahirnya ketika solat maka sah solatnya tanpa khilaf.”
Rujuk al-Majmu` (3/150)

Begitu juga kaedah yang Rasulullah SAW anjurkan setelah beristinja’ disunatkan memercikkan air ke seluar atau pakaian supaya jika datang perasaan was-was atau perkara yang tidak pasti, boleh diihtimal (diambilkira) bahawa air pada pakaian tersebut adalah air percikan tadi dan bukan kencing. Daripada al-Hakam bin Sufyan (atau Sufyan bin al-Hakam):

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَالَ ثُمَّ نَضَحَ فَرْجَهُ

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW kencing lalu merenjiskan air pada kemaluannya.”
Riwayat Ahmad (23470), Abu Daud (167), Hakim (609), al-Nasaie (135) dan lain-lain.

Imam al-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengambil secebuk air kemudian direnjiskan pada kemaluan dan bahagian dalam seluar atau kain selepas istinja’ bagi mengelakkan was-was seperti yang disebut oleh al-Ruyani dan selainnya. Datang hadis yang sahih pada ciri-ciri sunat fitrah yakni perbuatan merenjis ini.”
Rujuk al-Majmu` (2/112)

Bahkan dalam hadis lain, Rasulullah SAW meminta wanita yang berhaid untuk meletakkan pewangi berdekatan dengan alat sulit wanita untuk menghilangkan bau najis darah. Daripada Aisyah R.Anha, sabda baginda:

خُذِي فِرْصَةً مِنْ مَسْكٍ، فَتَطَهَّرِي بِهَا

Maksudnya: “Ambil sedikit kasturi dan bersucilah dengannya.”
Riwayat al-Bukhari (314) dan Muslim (332)

Keduanya, jika diyakini air mutanajjis sudah masuk ke dalam telefon bimbit, boleh juga dikeringkan terlebih dahulu (dijemur, menggunakan pengering rambut, dll) sehingga hilang warna, bau dan rasa, setelah dimatikan telefon. Kemudian, dengan berhati-hati, disembur air mutlak pada tempat-tempat yang ditimpa najis untuk menyucikannya. Sebaiknya berbincang dengan juruteknik yang membaik pulih untuk membantu.

Semoga Allah memberikan kita ilmu yang mendalam dalam agama.

Wallahua’lam.

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my

Jadi, jika telefon kena najis basuh sekadar yang boleh hingga hilang bau, warna dan rasa... Hukum ini bukan terpakai pada telefon sahaja, tapi juga komponen eletrik yang tak boleh terkena air... Contohnya, keyboard laptop dan sebagainya... Jadi, boleh aplikasikan teknik diatas. 

03 Julai 2017

Kentut Faraj, Batal Wuduk Tak?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Kentut Faraj, Batal Wuduk Tak? | Jadi wanita ni banyak hukum feqah yang rumit dan perlukan penjelasan hukum yang jelas... Sememangnya, jadi wanita ni kena banyak menuntut ilmu bab hukum sebab setiap inci tubuh badan wanita tu ada hukum hakamnya. 


Bab ibadah, hukum mengenai batal wuduk atau tidak jika angin keluar dari kemaluan wanita (faraj). Wanita ni, bila lepas bersalin segala otot longgar kan... Bahkan anak dara juga boleh mengalami kelonggaran otot faraj jika terlalu lasak atau pernah alami kemalangan yang menyebabkan hentakan pada punggung dan pinggang. 

Jadi persoalan, batal atau tidak angin yang keluar dari qubul wanita atau istilah mudahnya kentut faraj. Persoalan ini telah dijawab oleh Mufti Wilayah dalam satu artikel yang jelas dan panjang. 

hukum kentut faraj

ANGIN YANG KELUAR DARIPADA QUBUL WANITA, ADAKAH MEMBATALKAN WUDUK?


SOALAN:

Assalamualaikum. Apakah hukum perempuan yang kerap kali terkeluarnya angin di bahagian hadapan ( kemaluan) semasa solat, adakah solat batal atau masih sah,, mohon pencerhan yg lebih terperinci.

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Isu adakah batal wuduk dengan keluarnya angin daripada faraj atau kemaluan hadapan wanita ini memiliki khilaf dalam kalangan ulama. Sebahagian menganggapnya sebagai membatalkan wuduk dan sebahagian lain menganggap tidak batal.

Pendapat yang mengatakan batal:

Ulama daripada golongan ini berpendapat bahawa angin yang keluar daripada faraj wanita itu adalah sama hukumnya dengan angin yang keluar melalui dubur. Mereka berhujah dengan hadis Rasulullah SAW:

لَا وُضُوءَ إِلَّا مِنْ صَوْتٍ أَوْ رِيحٍ

Maksudnya: Tidak perlu mengambil wuduk melainkan kerana ada bunyi (kentut) atau terdapat bau.

Hadis riwayat al-Tirmidzi (74) dalam Sunan-nya  daripada Abu Hurairah. Kata al-Tirmidzi: hadis ini hasan sahih.

Juga hadis hadis riwayat Abbad bin Tamim bahawa seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah SAW tentang dirinya yang diganggu khayalan bahawa ada sesuatu (yakni, hadas seperti kentut) di dalam solatnya. Maka jawab baginda:

لاَ يَنْفَتِلْ - أَوْ لاَ يَنْصَرِفْ - حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

Maksudnya: Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau. [Hadis riwayat Imam Bukhari (137)]

Berkata Imam al-Nawawi daripada ulama Syafie: “Benda yang keluar daripada qubul (kemaluan hadapan) lelaki atau perempuan, atau dubur (kemaluan belakang) kedua mereka, membatalkan wuduk. Sama ada dalam bentuk tinja, kencing, angina, ulat, muntah, darah, batu-batu dan lain-lain. Tiada beza antara keluarnya dengan jarang-jarang berlaku, atau biasa berlaku secara adat. Tiada beza juga antara yang angina yang keluar daripada qubul perempuan atau lelaki, atau dubur kedua mereka. Perkara ini dinaskan oleh al-Syafie Rahimahullah dala kitab al-Umm, dan disepakati itu oleh ashab (Syafieyyah).“
Rujuk al-Majmu’ (2/3) oleh al-Nawawi; dan Tuhfat al-Muhtaj  oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami (1/127).

Berkata Imam Ibn Qudamah daripada ulama mazhab Hanbali: “Dinaqalkan daripada Soleh daripada ayahnya isu tentang wanita yang keluar angin daripada farajnya: Apa yang keluar daripada dua jalan maka padanya (yakni, kerananya) hendakla diambil wuduk. Berkata al-Qadhi: keluarnya angin daripada zakar dan qubul perempuan membatalkan wuduk.”
Rujuk al-Mughni (1/125) oleh Ibn Qudamah; al-Insaf oleh Imam al-Mardawi (1/195)

Jelaslah bahawa dalam mazhab Syafie dan Hanbali keluarnya angin dari qubul adalah membatalkan wuduk. Sekalipun begitu jika seseorang itu dibalakan dengan penyakit sentiasa keluar angin, kencing, dan tinja, maka di sini terdapat rukhsah keringanan untuk solat walaupun keluar sesuatu daripada dua jalan kerana dianggap seperti darah istihadah:

1) Hendaklah sedaya upaya menjaga taharahnya seperti memakai atau meletakkan sesuatu yang boleh menghalang hadasnya.

2) Hendaklah bersegera mengambil wuduk apabila sudah masuk waktu solat fardu setelah menjaga taharahnya.

3) Hendaklah bersegera melakukan solat tanpa bertangguh.

4) Jika bertangguh lama sekira-kira melebihi kadar masa seseorang untuk menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu jamaah, menentukan kiblat, berjalan ke masjid meletakkan penghadang solat (sutrah), Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/123)

Pendapat yang mengatakan tidak batal wuduk:

Mereka berpendapat bahawa angin yang keluar daripada faraj wanita atau qubul lelaki itu tidak berasal daripada najis, sebaliknya berlaku kerana pergerakan otot, justeru ia bukan ‘kentut’, angin najis dalam erti kata sebenar.

Berkata Imam Ibn Abidin daripada Hanafiyyah: “Tidak batal wuduk dengan keluarnya angin daripada qubul dan zakar, kerana sesungguhnya hal itu hanyalah ikhtilaj (pergerakan otot) yakni bukan angin kentut secara hakikatnya, kalau angin ketut sekalipun, ternyata ia tidak muncul daripada najis, justeru tidak batal wuduk.”
Rujuk al-Bada’i al-Sana’i (1/25) oleh Imam al-Kasani

Berkata Syeikh al-Dardir daripada mazhab Maliki: “Jika keluar sesuatu yang biasa keluar di tempat-tempat yang tidak biasa ia keluar, seperti keluarnya dari mulut, keluarnya kencing daripada dubur, keluarnya angin daripada qubul, meskipun qubul perempuan, atau daripada suatu lubang tebukan (di badan), maka hal itu tidak membatalkan wuduk.”
Rujuk al-Syarh al-Kabir ma’a Hasyiah al-Dusuki (1/118)

Justeru, angin yang keluar daripada qubul tidak membatalkan wuduk di sisi mazhab Hanafi dan Maliki.

Sumber: Telegram Channel

Jadi, nak ikut pendapat mana? Kita berpendapat kepada Mazhab Syafie, boleh ikut pendapat Mazhab Syafie... Ikut ustaz MF dulu, kalau kita berwuduk cara mazhab Syafie maka batal wuduk juga ikut mazhab tersebut... begitulah seterusnya... Tak boleh suka-suka hati juga campur aduk bab fiqh ni... itu yang MF tahu menurut apa yang MF belajar dulu... Nak mudah, ikut je satu hukum kan... Jangan suka-suka campur adukkan sebab nak senang... Tak sah ibadah nanti... 

28 Jun 2017

Bolehkah Gabungkan Puasa Qadha Dengan Puasa Enam Syawal???

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Bolehkah Gabungkan Puasa Qadha Dengan Puasa Enam Syawal? | Dah masuk raya keempat, mungkin dah kurang dah tetamu datang, ramai juga yang mula berkira-kira nak puasa. Bila bab puasa di bulan Syawal ni, timbul persoalan yang sering ditanya oleh kaum wanita terutamanya... Antara puasa qada dan puasa enam, kalau gabung sekali camne...  Jadi, isu diperjelaskan dengan huraian yang cukup jelas. 

Persoalan berkaitan niat puasa ganti Ramadan yang tertinggal adakah mendapat pahala puasa sunat Syawal.

Persoalan ini terdapat khilaf (perbezaan pandangan) di kalangan ulama.

Pendapat pertama: Sebahagian ulama berpendapat, tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan niat puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan, maka puasa itu tidak sah, sama ada bagi yang fardhu ataupun yang sunat. Pendapat ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun”. (HR Muslim)

Bagi memenuhi maksud hadis ini, dalam usaha memperolehi pahala yang dijanjikan iaitu pahala berpuasa setahun, maka hendaklah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadan (yang merupakan puasa wajib) kemudian ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal (yang merupakan puasa sunat). [Syeikh Muhammad Sholih Al-Munajid – www.islamqa.com]

Pendapat kedua: Di kalangan ulama Syafie ada yang berpendapat bahawa ganjaran puasa enam Syawal tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun dia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya. Namun, pahala yang diperolehi itu adalah kurang berbanding seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Fatawa al-Azhar 9/261]

Setelah diteliti, dapat disimpulkan bahawa pendapat kedua iaitu pandangan ulama yang membolehkan ‘puasa dua dalam satu’ ini tidak disandarkan kepada mana-mana nas Al-Quran ataupun Al-Sunnah yang sahih. Mereka juga mengatakan bahawa amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha pada bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus mengerjakan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid)

Timbul persoalan, yang manakah yang lebih afdal untuk dilakukan bagi memperoleh pahala kedua-duanya; mendahulukan puasa sunat enam hari dalam Syawal atau mengqadhakan puasa Ramadan? 

Dalam persoalan ini terdapat dua pendapat.

Pendapat pertama: Boleh mendahulukan puasa sunat Syawal, berdasarkan hadis Aishah RA yang menyatakan bahawa:

( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إلَّا فِي شَعْبَانَ. قال يحيى:الشغل من النبي أو بالنبي )
Maksudnya: “Aku berpuasa di bulan Ramadan dan aku tidak mengqadha kecuali dalam bulan Syaaban”. Kerana sibuk melayani Rasulullah SAW.” (HR Bukhari:1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah SAW” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Said.)

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah bahawa sudah tentu isteri Rasulullah SAW iaitu Aishah RA tidak meninggalkan puasa sunat enam Syawal. Tindakannya yang mengqadhakan puasa Ramadan pada bulan Syaaban menunjukkan bahawa adalah dibolehkan untuk berpuasa sunat Syawal meskipun seseorang itu belum mengqadhakan puasa Ramadan.

Pendapat kedua: Tidak boleh mendahulukannya, berdasarkan hadis yang menyatakan kelebihan puasa sunat Syawal tadi. Rasulullah SAW mensyaratkan puasa Ramadan terlebih dahulu sebelum mengiringinya dengan puasa enam Syawal bagi mendapatkan ganjaran pahala yang dijanjikan.

“Jika seseorang tertinggal beberapa hari dalam Ramadan, dia harus berpuasa terlebih dahulu, lalu baru boleh melanjutkannya dengan enam hari puasa Syawal, kerana dia tidak boleh melanjutkan puasa Ramadan dengan enam hari puasa Syawal, kecuali dia telah menyempurnakan Ramadannya terlebih dahulu.” [Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa’imah lil Buhuuth wal Ifta’, 10/392]

Sekiranya diteliti dan dihalusi, maka pendapat kedua adalah lebih rajih (kuat) kerana ia bertepatan dengan dalil puasa sunat Syawal itu sendiri. Selain itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan daripada memberi sedekah yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan kerana keuzuran untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam, tetapi dia berkeyakinan bahawa akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama tadi boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aishah RA.

Manakala berkaitan hari-hari yang tertentu pula, dinyatakan bahawa:
“Hari-hari ini (berpuasa dalam bulan Syawal) tidak harus dilakukan langsung setelah Ramadan. Boleh melakukannya satu hari atau lebih setelah hari raya, dan mereka boleh melakukannya secara berurutan atau terpisah selama bulan Syawal, mana-mana yang lebih mudah bagi seseorang. … dan ini (hukumnya) tidaklah wajib, melainkan sunnah.”
[Fataawa Al-Lajnah Ad-Daa’imah lil Buhuuth wal Ifta’, 10/391]

Imam An-Nawawi RH berkata:
“Sahabat-sahabat kami berkata: Adalah dianjurkan untuk berpuasa 6 hari Syawal. Dari hadis ini mereka berkata: Sunnah mustahabah melakukannya secara berurutan pada awal-awal Syawal, tapi jika seseorang memisahkannya atau menunda pelaksanaannya hingga akhir Syawal, ini juga dibolehkan, kerana ia masih berada pada makna umum dari hadis tersebut. Kami tidak berbeza pendapat mengenai masalah ini dan inilah juga pendapat Ahmad dan Abu Daud.” [Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab]

Adalah dianjurkan untuk menyegerakan dan berlumba-lumba dalam melakukan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah Taala:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.” [Surah Ali Imran:133]

Wallahu a’lam.
Sumber: Islamituindah




Penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan:

Hukum Puasa Qada’ Ramadhan Beserta Dengan Puasa Sunat Syawal


Dalam hal ini, para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:.

PERTAMA: SAH

Hukumnya sah dan terjadi kepada kedua-duanya, iaitu qada’ dan sunat.

Inilah pendapat:
Imam Ibn Hajar al-Haitami
Syeikh Muhammad Ramli. Lihat al-Nihayah (1/162)
dan juga Fatawa al-Ramli (2/339)
Imam al-Barizi.
Lihat al-Ashfah wa al-Nazhair (1/161)
Syeikhul Islam Syeikh Zakaria al-Ansari dalam Haasyiah al-Syarqawi ala al-Tahrir (1/427)
Inilah juga pendapat kebanyakan ulama mutakhirin

KEDUA: TIDAK SAH

Tidak sah tetapi terhasil yang fardhu sahaja iaitu puasa qada’ Ramadhan tidak kepada puasa sunat Syawal.

Inilah pendapat:
Imam al-Asnawi
Syeikh Ibn al-Solah
Abu Makhramah
Lihat Bughiah al-Mustarsyidin (3/95-96)
Hujah mereka tidak boleh tasyrik atau sekutukan dua jenis ibadah dalam satu ibadah.

Tarjih

Setelah meneliti dua hujah, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membolehkannya. Ini kerana ia merupakan jenis ibadah yang sama tetapi dengan dua niat. Ini juga pendapat sebahagian ulama berdasarkan pengamatan kepada beberapa nas. Walaupun begitu, yang terbaiknya adalah memisahkan antara qada’ puasa Ramadhan dengan puasa enam Syawal untuk keluar daripada khilaf.

Imam Ibn Hajar menggunakan bahasa dengan katanya terhasil asal pahala tetapi bukan dalam bentuk sempurnanya jika ia berniat untuk kedua-duanya (niat qada Ramadhan dan sunat Syawal). Lihat al-Tuhfah (3/390).

Semoga dengan penjelasan ini, akan memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan isu puasa qada’ Ramadhan dan puasa enam Syawal.


Kesimpulan ringkas yang MF boleh simpulkan ialah:
  • Tidak digalakkan gabung puasa syawal dan puasa qadha, namun jika nak gabungkan tak salah kerana ada ulama (minoriti) mengharuskannya tetapi pahalanya separuh-separuh la.
  • Lebih afdhal dahulukan puasa qadha kerana hukum puasa qadha adalah wajib. 
  • Dibolehkan puasa syawal dahulu dan kemudiankan puasa qadha jika puasa qadha tu banyak sehingga tak sempat nak puasa syawal. Namun, kita tak tahu bila kita meninggal... Jika kita meninggal dalam keadaan berhutang kepada Allah... wajib selesaikan hutang dulu kan.. 
Apa pun, moga ketaatan kita membayar hutang puasa, mendapat pahala sunat Syawal juga.. bab pahala tak boleh nak kata apa, sebab ianya hak milik Allah... 

Moga dipermudahkan urusan kita membayar hutang puasa.. insha Allah... 

20 Jun 2017

Hukum Agih Zakat Sendiri Tanpa Melalui Pusat Zakat!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Hukum Agih Zakat Sendiri Tanpa Melalui Pusat Zakat!


Ada beberapa orang tanyakan isu ni kepada MF.. Boleh ke bayar zakat terus kepada asnaf tanpa melalui pusat zakat. Apa hukumnya? 



Penjelasan dari Majlis Fatwa Kebangsaan:

Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Mengagihkan Zakat Secara Persendirian Dan Qada Zakat. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah atau Ulil Amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut.

Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib.


Kesimpulannya:

Sah zakat, cuma salah dari segi undang-undang... Memang ada yang bayar terus kepada asnaf... Tak beri kepada pusat zakat... Kami pernah juga buat perkara yang sama masa tahun berlakunya isu penyelewengan pusat zakat ... Rasa hilang kepercayaan masa tu... Tapi lepas tu, kami tawakal sahaja... Kami bayar kepada pusat zakat tapi andai berlaku penyelewengan dengan duit yang dibayar oleh pemberi zakat tu dosa mereka dengan Allah...