GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Cadangan Resepi Untuk Pesakit Kanser

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Cadangan Resepi Untuk Pesakit Kanser | Sakit, adalah ujian Allah yang tak kita pinta, tapi bila diuji hanya Allah yang tahu. tambah pula kalau diuji dengan penyakit yang susah nak sembuh seperti penyakit kanser. Pernah tengok rancangan Majalah 3, seorang doktor disahkan mengidap kanser payudara sedangkan dia mengamalkan gaya hidup aktif dan pemakanan seimbang... Itulah dikatakan ujian Allah. Bila sakit satu nikmat yang Allah tarik dari kita.. iaitu nikmat selera makan... Bahkan bila sakit, kena pantang itu ini... Macam MF ada penyakit asma, kena pantang segala jenis makanan pencetus masalah asma... Jika tidak... tanggunglah sakit sendiri...

Bagi pesakit kanser mereka akan jalani rawatan dan perubatan hospital... iaitu iaitu radioterapi dan kemoterapi, dan rawatan ini boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan yang boleh mempengaruhi pengambilan makanan.

  • Kurang selera makan
  • Berasa loya
  • Muntah (kadang-kadang).
  • Penurunan sel darah putih, sel darah merah dan platlet juga boleh berlaku dan menyebabkan pesakit akan berasa letih.


Khusus bagi rawatan radioterapi, kesan sampingan adalah bergantung kepada bahagian anggota yang diberikan rawatan radioterapi. Sebagai contoh :


  • Jika radioterapi diberikan pada bahagian mulut atau muka ( facial ), maka rawatan radioterapi tersebut akan menyebabkan radang pada mukosa mulut yang juga dipanggil mucositis di mana pesakit akan berasa sakit dalam mulut.
    • Sakit tekak juga boleh berlaku dan menyebabkan kesakitan semasa menelan makanan.
    • Selain itu, pesakit juga mengalami perubahan deria rasa dan bau.
  • Jika radioterapi diberikan pada bahagian pelvis, contohnya dalam kanser usus besar, kanser servik atau endometrium, maka pesakit akan mengalami cirit-birit sebagai kesan sampingan daripada radioterapi tersebut.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa semua kesan sampingan yang disebabkan oleh rawatan kemoterapi dan radioterapi adalah suatu keadaan yang sementara sahaja yang berlaku ketika rawatan dan kemungkinan berterusan sehingga 3 bulan selepas rawatan. Ia akan pulih selepas tempoh tersebut.

Kepentingan Pemakanan

Kesan daripada rawatan kanser seperti yang dinyatakan di atas akan mempengaruhi proses :

  • penghadaman
  • penyerapan nutrien
  • kebolehdapatan nutrien yang penting daripada makanan yang diambil oleh pesakit kanser.

Kekurangan nutrien yang penting akan meningkatkan risiko kepada kekurangan zat makanan atau dikenali sebagai malnutrisi.

Cancer Treatment Centers of America melaporkan hampir 65% hingga 70% pesakit kanser mengalami malnutrisi. Kanser berkaitan malnutrisi akan menyebabkan pesakit berasa letih, lemah dan tidak dapat mencapai matlamat rawatan kanser yang diberikan.

Justeru, pengambilan pemakanan yang optimum semasa dan selepas rawatan  kanser adalah sangat penting untuk :

  • meningkatkan respon dan penerimaan pesakit terhadap rawatan yang diberikan
  • meningkatkan sistem pertahanan tubuh dan mengurangkan risiko jangkitan kuman
  • meminimumkan kesan sampingan daripada rawatan anti kanser
  • memberi kekuatan dan tenaga kepada tubuh badan
  • membantu proses pemulihan dan penyembuhan
  • mengekalkan berat badan.


Keperluan Tenaga

Keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah berbeza bagi setiap individu. Ia bergantung kepada :

  • berat badan
  • ketinggian
  • jenis rawatan
  • kesan sampingan rawatan anti kanser yang dialami.
  • Secara dasarnya, keperluan tenaga bagi pesakit kanser adalah tinggi, di mana ia bertujuan untuk :
  • mencegah kehilangan berat badan
  • meningkatkan kesan rawatan kanser.

Jadi pesakit perlu ambil makanan yang tinggi kalori untuk memastikan keperluan tenaga badan mencukupi. Berikut contoh makanan yang tinggi kalori yang disyorkan.



Keperluan Protein

Protein adalah salah satu nutrien yang tidak boleh diabaikan bagi pesakit kanser. Protein memainkan peranan dalam membentuk dan mengekalkan :

  • otot
  • tisu
  • sel darah merah
  • hormon
  • memberi kekuatan dalam meningkatkan sistem pertahanan tubuh untuk melawan jangkitan kuman.


Tips Untuk Meningkatkan Pengambilan Kalori dan Protein

1)  Melalui penambahan kalori kepada makanan yang diambil 


  • Tambahkan minyak, mentega atau marjerin ke dalam masakan yang bersesuaian seperti nasi, pasta, kentang, sayur-sayuran dan sup.
  • Sapu mentega, coklat, jem atau madu pada roti atau biskut.
  • Tambahkan aiskrim kepada lempeng, wafel atau buah-buahan.
  • Tambahkan yogurt atau sos salad ke dalam salad buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Tambahkan susu tepung ke dalam masakan seperti sup, lempeng, telur hancur, kentang lenyek dan puding.
  • Tambahkan isi ayam atau telur ke dalam sup, salad dan omelet.
  • Taburkan kacang ke dalam pencuci mulut seperti buah-buahan, aiskrim dan puding.
  • Minum susu suplemen khas  mempunyai kalori dan protein yang tinggi.


2)  Melalui cara dan tabiat pengambilan makanan :


  • Makan pada setiap kali waktu makan utama iaitu sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.
  • Makan snek yang sihat seperti jagung rebus, sandwich dan aneka bubur untuk 2 atau 3 kali dalam sehari.
  • Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi kerap sekiranya tidak dapat menerima makanan yang banyak dalam satu masa. Makan banyak sekaligus mungkin akan menimbulkan rasa loya bagi sesetengah pesakit.
  • Pastikan perut tidak kosong kerana ia akan menimbulkan rasa loya.
  • Elak makanan yang berlemak, pedas serta sangat manis semasa mengalami rasa loya.
  • Makan makanan yang digemari pada bila–bila masa setiap hari. Contohnya ambil makanan sarapan pagi pada waktu malam jika ia lebih diterima dan memberi keselesaan.
  • Ambil kebanyakan minuman atau cecair di antara waktu makan.
  • Minum sedikit demi sedikit jus yang sejuk atau mana-mana minuman yang tidak mengganggu perut.
  • Cuba makanan yang sejuk kerana ia kurang bau serta mudah hadam.
  • Elakkan minum berselang-seli semasa makan kerana ia akan membuatkan anda berasa cepat kenyang.
  • Melakukan sedikit aktiviti fizikal yang ringan mengikut kemampuan untuk meningkatkan selera makan.
  • Cuba memakai pakaian yang longgar sekiranya sedang mengalami rasa loya.


2 Cadangan Resepi Untuk Pesakit Kanser

Puding Karamel (2 hidangan)

Bahan-bahan A :
75 g   gula pasir
50 ml   air

Bahan-bahan B :
65 g   susu tepung penuh krim
2 biji   telur
3 ml   perasa vanilla
50 g   gula pasir  
250 ml   air  

Cara-cara penyediaan :
Untuk bahan A, masak gula pasir hingga menjadi gula hangus. Tambahkan air sedikit demi sedikit dan ketepikan.
Untuk bahan B, kacau semua bahan sehingga sebati.
Tuang ke dalam bekas kemudian kukus selama 15 hingga 20 minit.
Setelah masak, tuangkan gula hangus ke dalam bekas tadi.
Sejukkan di dalam peti sejuk.

Kandungan nutrien (1 hidangan) :
482 kalori, 15 g protein


Bubur Kacang Hijau (2 hidangan)

Bahan-bahan :
100 g   kacang hijau
120 g   santan serbuk
50 g   gula melaka
3 g   garam
2 helai   daun pandan
300 ml   air

Cara-cara penyediaan :
Rebus kacang hijau sehingga empuk.
Masukkan air, santan, garam, gula melaka dan daun pandan. Renihkan sehingga mendidih.
Sedia untuk dihidang.

Kandungan nutrien (1 hidangan) :
668 kalori, 15 g protein

Sumber: Portal MyHEALTH

Bila sakit, kena masak makanan yang berkhasiat... Tapi biasanya makanan berkhasiat rupanya tak menarik dan tak sedap mana kan... Tengok aje makanan kat hospital.. mana ada selera sangatkan.. kurang manis, kurang masin, kurang lemak.. Sebab tu kita kata makanan hospital tak sedap... Tapi sebenarnya, makanan begitulah banyak khasiat.  Pepatah orang tua, yang manis itu racun, yang pahit itu ubat... dan memang betul pun.. Makanan yang pahit kebanyakannya banyak khasiat seperti peria, pucuk betik dan ulaman... Tapi kalau yang manis seperti pisang, tebu, nanas tak semua orang boleh makan... hanya orang yang takde panyakit boleh makan...

Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua... Makanan ini hanya cadangan tapi boleh diubahsuai... asalkan berkhasiat dan tidak memudharatkan orang yang memakannnya...terutama pesakit kanser. 

0Ulasan