GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

HERO DALAM SURAH YASIN

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Rata-rata umat Islam membaca Surah Yasin setiap malam Jumaat. Namun, tidak ramai yang mengambil iktibar daripada kisah utama yang menjadi jantung kepada surah ini.

Disini saya akan kongsikan sedikit kisah Habib an-Najar supaya kita dapat mengambil ibrah.


HABIB AN-NAJAR

1. Habib an-Najar ialah seorang lelaki yang tinggal di negeri Antakiah, terletak di negara Turki. Pekerjaan harian beliau adalah sebagai pembuat patung. Banyak patungnya diperbuat daripada kayu. Beliau hidup pada zaman sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW. Meskipun beliau seorang pembuat patung, sebenarnya beliau tidak menyembah patung-patung itu kerana beliau seorang lelaki yang beriman kepada Allah.

2. Beliau melakukan pekerjaan tersebut untuk menyembunyikan keimanannya kerana masyarakat negeri Antakiah pada masa itu hidup dalam kesesatan.

3. Pada suatu hari, datanglah tiga orang Rasul ke negeri Antakiah. Mereka bernama Yuhana, Bulus dan Sham‘un. Ketiga-tiga orang Rasul tersebut menyeru rakyat Antakiah supaya beriman kepada Allah. Bagi membuktikan kerasulan mereka, ketiga-tiga orang Rasul itu menunjukkan mukjizat mereka. Mereka dikurniakan mukjizat oleh Allah untuk menghidupkan orang mati, menghilangkan penyakit sopak dan mencelikkan orang buta.

4. Namun begitu, penduduk Antakiah enggan mempercayai mereka kerana terpedaya dengan nafsu mereka yang sangat keras. Kemudian, ketiga-tiga orang Rasul itu telah ditangkap. Perkara itu diketahui oleh Habib an-Najar. Beliau keluar dari tempat kediamannya menuju kepada orang ramai. Lalu, beliau berkata, “Wahai penduduk Antakiah. Ikutilah mereka ini. Sesungguhnya mereka ini adalah Rasul utusan Allah.”
Maka, penduduk tempatan telah melaporkan kata-kata Habib an-Najar itu kepada raja.

5. Raja mengarahkan supaya Habib an-Najar ditangkap dan dibawa menghadapnya. Raja menyoalnya, “Adakah kamu ini sudah menjadi pengikut mereka?”

Jawab Habib an-Najar, “Apakah sebab yang menghalang aku untuk mengikut mereka?”

6. Orang Antakiah berterusan mendesak beliau. Mereka berkata, “Mereka inilah yang telah menyesatkan kamu. Kembalilah kepada agama nenek moyang kamu. Jika kamu tidak mahu kembali, kami akan bunuh kamu dengan sehabis-habis azab!”

7. Ugutan tersebut tidak sedikit pun menggugat iman Habib an-Najar. Malahan, beliau menjawab, “Jika aku kembali kepada agama kamu, sebenarnya aku dalam kesesatan yang nyata.”

8. Kemudian, Habib an-Najar berkata kepada tiga orang Rasul itu, “Aku telah percaya kepada Tuhan kamu sekalian. Maka, saksilah pengakuan keimananku ini.” 

9. Apa yang dapat difahami daripada kata-kata beliau itu, sesungguhnya Habib an-Najar telah beriman sebelum kedatangan Rasul-rasul itu lagi. Beliau berpegang kuat dengan pesanan-pesanan Rasul-rasul dan kitab-kitab yang diperturunkan sebelum itu.

10. Sama keadaannya dengan berita kedatangan Rasulullah SAW yang disebut-sebut semenjak zaman Rasul-rasul yang terdahulu. Kerasulan Nabi Muhammad SAW juga turut disentuh dalam kitab Taurat, Injil dan Zabur. Maka, setelah Nabi Muhammad SAW diangkat menjadi Rasul, ramailah para penganut agama Yahudi dan Kristian yang memeluk Islam kerana meyakini Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah yang dimaksudkan dalam kitab-kitab mereka. Inilah yang dimaksudkan, beriman sebelum kedatangan.

11. Akibat daripada keimanan Habib an-Najar, beliau telah dikenakan seksaan yang berat.

Sewaktu mereka menyeksa Habib an-Najar, beliau tidak henti-henti berdoa, “Ya Allah! Berilah hidayat kepada kaumku ini.” 

12. Sifat mulia yang ada pada Habib an-Najar itu merupakan satu bukti bahawa beliau seorang wali Allah. Wali Allah tidak pernah berdendam dengan sesiapa walaupun orang lain memperlakukan perkara yang kejam terhadap mereka.

13. Para ulama tafsir menyatakan bahawa, Habib an-Najar diseksa dengan salah satu daripada tiga cara. Mungkin beliau diseksa dengan cara dibakar atau dilontar dengan batu bertubi-tubi. Ada juga ulama tafsir menyatakan bahawa berkemungkinan beliau digergaji daripada kepala sehingga ke celahan peha sehingga putus dua. Ya Allah!

Tidak sanggup kita membayangkan kezaliman yang menimpanya itu.

14. Itulah tanda-tanda keimanan. Seseorang itu tidak akan dikira beriman sebelum dia diuji oleh Allah SWT. Lihatlah Habib an-Najar. Beliau telah diuji dan keimanannya diterima oleh Allah. Buktinya, Allah SWT telah merakamkan kisah pengorbanan Habib an-Najar ini dalam surah Yasin ayat 22 hingga 24. Bersama-samalah kita menghayati kisah ini ketika membaca surah Yasin.
Wallahu a'lam.

Ditulis oleh,
Khairy Tajudin al Qadahi

SILA SHARE DAN SEBARKAN

Kredit: Facebook Ustaz Iqbal Zain

Semoga bermanfaat... selama ni baca yasin kan... tapi kurang jelas maksudnya... semoga perkongsian ini dapat sedikit input berguna... Faham la kan bila baca surah Yassin tu.. 

Baca al-Quran perlu faham juga maksud barulah sampai maksudnya dalam hati... 

0Ulasan