GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

51 Soalan Remeh Temeh Tentang Puasa Yang Mungkin Anda Tak Tahu

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


1) Adakah wajib imsak bagi orang musafir yang berbuka puasa apabila sampai ke tempat tinggalnya (bermastautin/bermukim).
Jawapan: Mengikut pendapat yang lebih rajih tidak wajib berimsak.
**Imsak ialah menahan diri dari makan dan minum.

2) Adakah sah puasa bagi mereka yang tertidur semasa sahur sehingga waktu maghrib?
Jawapan: Sah puasa.

3) Adakah perempuan yang haid wajib berimsak?
Jawapan: Perempuan yang haid haram berimsak sebagaimana dia haram bersembahyang.

4) Adakah batal puasa seseorang yang terkeluar mani dengan sebab khayalan?
Jawapan: Sekiranya bila dia berkhayal biasa keluar mani maka batal puasanya, kalau biasanya dia berkhayal tidak keluar mani maka tidak batal puasanya.

5) Kanak-kanak yang belum baligh adakah wajib berimsak dan qada puasanya?
Jawapan: Tidak wajib berimsak dan tidak wajib qada.

6) Orang yang tidak berpuasa kerana tidak berniat malam dan orang yang membatalkan puasanya, adakah boleh makan/minum dan lainnya?
Jawapan: Wajib mereka berimsak iaitu menahan diri dari makan minum dan perbuatan yang membatal puasa, walaupun mereka tidak berpuasa.

7) Seseorang yang keluar dari kampungnya setelah fajar kerana musafir, adakah harus bagi mereka berbuka puasa?
Jawapan: Tidak harus berbuka bahkan wajib disempurnakan puasanya.

8 ) Apakah hukum yang dikenakan kerana berzina pada bulan puasa.
Jawapan: Hukumnya batal puasa dan dikenakan kifarat ke atas kedua-duanya sekali (lelaki dan perempuan).

9) Seseorang yang telah menyediakan makanan untuk makan sahur, kemudian dia terjaga selepas fajar, adakah sah puasanya pada hari itu?
Jawapan: Sah puasa dengan penyediaan sahurnya kerana penyediaan sahur itu dianggap sebagai telah berniat.

10) Seorang perempuan putus haid di siang hari adakah wajib dia berimsak.
Jawapan: Sunat berimsak.

11) Adakah sah puasa orang yang bersahur yang berat sangkanya (syak), masuk waktu subuh.
Jawapan: Sah puasanya selagi dia tidak yakin masuk waktu subuh dan sekiranya yakin, tidak sah puasanya dan diwajibkan qada.

12) Adakah wajib qada’ puasa yang ditinggalkan semasa dia gila).
Jawapan: Tidak wajib qada’ puasa tersebut.

13) Adakah sah puasa seseorang yang biasanya apabila melihat bangkai dia muntah, tetapi sengaja dilihatnya?
Jawapan: Tidak sah puasanya tetapi sekiranya tidak sengaja, maka tidak batal puasanya.

14) Adakah sah puasa orang yang berbuka dengan syak masuk waktu maghrib?
Jawapan: Tidak sah puasanya.

15) Apakah hukum menggosok gigi pada bulan puasa?
Jawapan: Hukumnya sunat dia menggosok gigi sebelum gelincir matahari dan makruh selepas gelincir matahari.

16) Adakah batal puasa termuntah dengan sebab menggosok gigi?
Jawapan: Tidak batal kecuali mereka yang biasanya muntah apabila menggosok gigi dan sengaja dia menggosoknya.

17) Apakah hukum meneruskan puasa dua hari berturut-turut atau lebih dengan tidak berbuka?
Jawapan: Haram berpuasa dengan tidak berbuka.

18) Apakah hukum cabut gigi dan berbekam ketika berpuasa?
Jawapan: Hukumnya makruh.

19) Apakah hukumnya seseorang yang tidak dapat berpuasa pada Ramadhan kerana sakit yang berkekalan dan mati selepasnya?
Jawapan: Tiada hukum ke atasnya dan begitu juga warisnya.

20) Seseorang yang meninggal dunia, puasanya sudah diqada, tetapi fidyahnya belum dibayar lagi. Adakah fidyahnya bertambah?
Jawapan: Fidyahnya tidak bertambah.

21) Seseorang yang terdengar azan subuh ketika bersahur, adakah sah puasanya?
Jawapan: Sah puasanya dan hendaklah berhenti makan serta merta dan terus buang makanan yang ada dalam mulutnya.

22) Seseorang yang terkeluar sesuatu dari tekaknya kemudian dia menelannya, adakah batal puasanya?
Jawapan: Batal puasanya.

23) Air liur yang terkumpul dalam mulutnya kemudian ditelan, adakah batal puasanya?
Jawapan: Tidak batal puasanya kerana air liur datang dari mulut tidak datang dari rongganya.

24) Air liur yang bercampur dengan sesuatu yang lain seperti darah atau makanan kemudian ditelan, adakah batal puasa?
Jawapan: Batal puasanya.



25) Apakah hukum orang yang berpuasa yang makan dengan terlupa kemudian teringat kembali yang dia berpuasa?
Jawapan: Sah puasanya kerana itu adalah rezeki daripada allah. Sabda rasulullah bermaksud: “sesiapa yang makan atau minum dengan keadaan terlupa, maka jangan berbuka puasa maka sesungguhnya itu adalah rezeki yang diberi oleh allah kepadanya.”

26) Adakah boleh orang yang berpuasa menggunakan kanta lekap?
Jawapan: Boleh.

27) Orang yang berpuasa yang melakukan dua kali persetubuhan dalam satu hari. Adakah dikenakan dua kifarat?
Jawapan: Dikenakan satu kifarat saja.

28) Apakah hukumnya bagi perempuan yang mengandung atau perempuan yang menyusukan anak membatalkan puasanya?
Jawapan: Harus membatalkan puasa tersebut itu dua sebab:-
Kerana keuzuran dirinya sendiri.
Kerana menjaga kesihatan anak.
Keterangan:
Jika berbuka puasa kerana menjaga kesihatan dirinya wajib qada saja.
Kalau berbuka puasa kerana mahu menjaga kesihatan anak bukan dirinya, wajib qada dan fidyah sekadar satu cupak beras sehari.
Kalau berbuka puasa kerana menjaga diri dan anak wajib qada saja.

29) Adakah wajib qada puasa yang ditinggalkan ketika dia gila?
Jawapan: Tidak wajib qada puasa itu.

30) Apakah hukum orang tua yang tidak boleh berpuasa kerana tua atau orang tidak terdaya berpuasa kerana sakit berpanjangan.
Jawapan: boleh berbuka puasa dan hendaklah memberi fidyah secupak beras (675 gram); bagi setiap hari yang ditinggalkan dan tidak dikena qada’ ke atasnya.

31) Adakah harus qada puasa kepada si mati yang meninggalkan puasanya sebulan dengan diqadakan puasanya oleh 30 orang selama satu hari.
Jawapan: Harus dan sah.

32) Orang yang tidak berdaya puasa bolehkah diqadakan puasa untuknya?
Jawapan: Tidak boleh diqadakan puasa kepada orang yang masih hidup.

33) Bolehkah dibayar fidyah 10 cupak kepada seorang atau mesti diberi secupak seorang untuk 10 orang?
Jawapan: Boleh diberi kepada satu orang atau 10 orang.

34) Adakah sah puasa seorang yang dalam haid dan nifas berniat puasa ramadhan pada malam hari pada kebiasaannya haid dan nifasnya suci sebelum subuh pada hari tersebut.
Jawapan: Sah niatnya sekiranya suci/nifasnya sebelum fajar.

35) Adakah sah puasa bagi orang yang tidak mandi hadas besar.
Jawapan: Sah puasa.

36) Adakah batal puasa bagi orang yang berpuasa memasukkan ubat ke dalam matanya.
Jawapan: Sah puasanya kerana mata itu bukan anggota rongga walaupun terasa di tekak.

37) Adakah batal puasa seseorang yang berpuasa menyuntik dengan ubat yang mengenyangkan.
Jawapan: Batal puasa.

38) Adakah batal puasa apabila termasuk air ke dalam rongga ketika berkumur-kumur di masa wuduk.
Jawapan: Tidak batal puasa kecuali melampaui batas ataupun melebihi tiga kali (kali ke empat).

39) Adakah sah puasa bagi orang yang pitam.
Jawapan: Sah puasa kecuali pitam yang sepanjang hari iaitu terbit fajar hingga terbenam matahari.

40) Adakah pahala membaca al-quran dan bersedekah di bulan ramadhan berganda dari bulan-bulan yang lain?
Jawapan: Pahala membaca ai-quran dan bersedekah dibulan ramadhan adalah berganda.

41) Hukum puasa orang yang terkentut dalam air?
Jawapan: Puasanya sah kerana terkentut dalam air tidak membatalkan puasa.

42) Hukum mencantumkan puasa qadha’ dengan puasa sunat?
Jawapan: Hukumnya harus bahkan setengah ulama’ mengatakan sunat.

43) Adakah fidyah puasa boleh diberi kepada anak yatim?
Jawapan: Tidak boleh diberi kepada anak yatim. Yang berhak menerima fidyah puasa ialah kepada fakir miskin.

44) Jika seseorang berpuasa tetapi masih berpegangan tangan, berpeluk walhal masih belum berkahwin adakah puasanya terbatal? 
Perbuatan berpegangan tangan berpelukan antara lelaki dan wanita yang belum berkahwin adalah berdosa. Perbuatan tersebut boleh membawa kepada maksiat yang lebih besar iaitu zina. Jika mereka keluar mani hasil
daripada perbuatan tersebut (berpegangan tangan dan berpeluk), maka puasa mereka batal dan mereka wajib menggantikan puasa yang batal itu.

45)  Batalkah puasa iaitu, "Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu".
Adakah seperti kita berniat puasa juga cuma bezanya ia adalah untuk membatalkannya? Atau adakah dengan lintasan dalam hati sahaja sudah cukup membuatkan puasa saya terbatal.?
Berniat untuk berbuka/membatalkan puasa tidak menyebabkan puasa seseorang itu terbatal. Puasanya akan terbatal sekiranya dia mengambil makanan ataupun melakukan sesuatu yang membatalkan puasa.

46) Saya bekerja di stesen minyak, pada bulan puasa in kami membuka stesen mini mart stesen minyak kami dan menjual makanan kepada orang islam yang tidak berpuasa. apakah hukum kepada perkara tersebut.
Mengenai hukum membuka mini mart dan menjual makanan kepada orang islam yang tidak berpuasa adalah haram hukumnya. Dihukumkan haram adalah kerana orang Islam diharamkan mengambil/memakan sebarang makanan dan minuman pada siang hari pada bulan ramadhan. Oleh yang demikian, menjual makanan kepada mereka yang diharamkan makan juga turut dihukumkan haram. Wallahu 'alam.

47) Batal kah puasa kita, jika kita memasukkan jari kedalam kemaluan belakang kita dengan niat ingin membersihkan dubur kita setelah membuang air besar?
Sekiranya perkara tersebut dilakukan semata-mata untuk membersihkan najis ia tidaklah membatalkan puasa.

48) Saya tak terbangun makan sahur dan niat puasa selepas waktu imsak adakah sah atau tidak ?
Sah puasa yang dikerjakan walaupun berniat selepas waktu imsak.

49) Apakah hukumnya makan pil perancang untuk melewatkan darah haid turun untuk meneruskan puasa di bulan puasa?
Dilarang kepada wanita memakan pil perancang dengan tujuan berkenaan kerana ia akan memberi kemudharatan kepada kesihatan individu tersebut.

50) Benarkah pap smear tidak membatalkan puasa?
Batal puasa apabila memasukan sesuatu dalam rongga terbuka seperti kemaluan depan dan belakang.

51) Saya selalu selsema, selain menghembus saya juga tarik ke dalam, batalkah puasa saya? 
Hingus yang keluar dari rongga hidung apabila disedut semula ke dalam hidung batal puasanya.

Sumber: internet dan pengalaman penulis

Biasa dapat soalan pelik-pelik bulan puasa ni dari anak murid... Jadi, cikgu kena advance .. kena korek ilmu dulu sebelum jelaskan... Berikut jawapan ringkas yang tak disertakan dalil... Jika ada sebarang kemusykilan boleh nyatakan diruangan komen.. Insha Allah.. MF akan cuba jawab.

0Ulasan