GuidePedia

0
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Ntah kenapa rasa nak menulis bab ilmu perubatan ni... Mungkin sebab minat MF dalam bidang ini, dan juga sebagai perkongsian ilmu. Sebenarnya, tercetus idea nak menulis bab ni..sebab terbaca pasal gerakan anti vaksin, home birth dan golongan yang menolak ilmu dan cara perubatan moden. Alasan utama adalah kerana semua perubatan ni adalah agenda Yahudi dan barat. Benar ke macam tu??? Betul ke??? 

Tapi bagi MF, tak fikir begitu... MF yakin semua ilmu di dunia ni milik Allah, dan asalnya dari zaman kegemilangan tamadun Islam... Untuk lebih jelas jom kita kenal tokoh perubatan Islam dan sumbangan mereka terhadap ilmu perubatan:

1. Ibnu Nafis ( 1208 - 1288).
Nama sebenar beliau ialah Ala-al-Din Ibn Nafis. Beliau adalah seorang doktor dan pakar bedah dari Syria, beliau meninggal dunia di Kaherah. Ibnu Nafis yang turut dikenali dengan gelaran Bapa Perubatan. Selain seorang cendikiawan Islam yang mengkaji pembangunan dalam perubatan moden, beliau juga dikenali kerana kajiannya dalam ilmu logik (mantiq), falsafah, bahasa, ilmu bayan, hadis dan usul fiqh.
Sumbangan Beliau
  • Beliau memberi penjelasan mengenai sistem kecil peredaran darah, melalui rongga-rongga jantung dan paru-paru. Dalam kajiannya, beliau mendapati darah beredar antara jantung dengan paru-paru.
  • Beliau adalah seorang doktor dan pakar bedah dari Syria. Beliau telah menghasilkan teknik pembedahan dan perawatan selepas pembedahan

Karya beliau
  • Kitab ‘Al-Shamil fi'l-sina At-tibbiyah’ (Suatu Kajian Men yeluruh Bagi Seni Perubatan) yang merangkumi bidang pembedahan
  • Kitab al-Mukhtar fi al-Aghdhiya, yang mengupas tentang efek diet bagi kesehatan.
  • Kitab al-Shamil fi al-Tibb, menjadi sebuah ensiklopedia yang terdiri dari 300 jilid, tapi terhenti di tengah jalan karena Al-Nafis wafat.

2. Al-Zahrawi/Albulcasis(936-1013M)
Nama sebenar beliau ialah Abul Qasim Khalaf Ibn al-Abbas al-Zahrawi beliau dikenali juga dengan Abulcasis dalam penulisan Barat dan dianggap sebagai Bapa Bedah Moden. Beliau dilahirkan pada tahun 936M di Zahra, Cordova, ibu negeri Sepanyol. Penglibatan beliau dalam bidang perubatan lebih tertumpu kepada bidang pembedahan di Sepanyol pada abad ke-10. Umum mengenalinya sebagai pakar bedah yang terbaik pada Zaman Pertengahan dan tidak mustahillah ketokohannya itu menyebabkan beliau digelar sebagai "Bapa Pembedahan Moden"Selain daripada bidang pembedahan, beliau juga pakar dalam bidang pergigian. Beliau telah memperkenalkan banyak pembaharuan dalam bidang ini
Sumbangan beliau
Al-Zahrawi sememangnya seorang pakar bedah yang dikagumi dan dihormati ramai. Ramai pesakit dan pelajar yang datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan rawatan dan meminta nasihat. Antara sumbangan beliau dalam bidang ini ialah :
  • Sebagai seorang pengkaji alat-alat pembedahan, Al-Zahrawi terkenal dalam menghasilkan alat-alat untuk mengenalpasti bahagian dalaman badan seperti telinga dan saluran kencing.
  • Beliau ialah orang pertama yang mengenal pasti penyakit keturunan yang dikenali sebagai hemofilia.
  • Al-Zahrawi juga menyumbang kepada penyediaan ubat-ubatan dan aplikasi teknik-teknik dalam pembedahan.
  • Beliau juga menjadi orang yang pertama menceritakan dengan terperinci mengenai hemofilia dan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat.
  • Sebagai seorang pengamal perubatan, al-Zahrawi mengkaji penyakit dan pengkelasan penyakit, dan membincangkan mengenai cara-cara mengelakkan penyakit (profilaksis), meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kesakitan.
  • Sebagai seorang ahli bedah beliau telah membincangkan tentang pembedahan dan membicarakan mengenai alat-alat yang beliau guna secara terperinci. Sebagai seorang ahli kimia ubat, beliau telah memberi sumbangan yang banyak terhadap bentuk ubat atau dos, teknik dan alat penyediaan ubat.
  • Al-Zahrawi juga pakar dalam bidang pergigian dan pembedahan mulut. Bahagian yang terakhir dalam buku ini membincangkan mengenai penyakit gigi dan pengubatannya. Ia mengandungi lakaran-lakaran alat yang diciptanya.Beliau juga mengenal pasti langkah-langkah untuk menyediakan gigi tiruan yang dibuat daripada tulang haiwan.

IBN SINA (981-1037M)
Nama sebenarnya Abu Ali Al-Hussain Ibn Abdullah, dilahirkan pada tahun 981M di Afshana berhampiran Bukhara (kini dikenali sebagai Uzbekistan). Beliau yang lebih dikenali sebagai Avicenna di kalangan masyarakat Eropah merupakan pakar perubatan, sains, falsafah, muzik, matematik, puisi dan kaji bintang pada masa tersebut. Ibn Sina dianggap sebagi 'Bapa Perubatan' oleh penulis-penulis Barat kerana beliau telah menyatupadukan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen, pengalaman ahli-ahli perubatan India dan Parsi serta hasil pengalaman beliau sendiri untuk diamalkan.
Sumbangan Beliau
Antara sumbangannya dalam bidang perubatan ialah :
  • Beliau telah menjalankan kajian terhadap tubuh manusia yang dikenali sebagai anatomi. Hasilnya, beliau mendapati jantung mengandungi 3 injap yang akan terbuka dan tertutup dengan sendirinya semasa jantung mengepam darah.
  • Beliau juga memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung untuk mengenalpasti ketidakseimbangan hormon yang berkenaan. Apa yang menarik mengenai ilmu ini ialah beliau dapat memulihkan pesakit yang menghadapi masalah sakit jiwa
  • Beliau turut memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan menemui ilmu yang kita kenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatis di mana ia menunjukkan perkaitan antara psikologi dengan kesihatan. Ibn Sina juga menyedari betapa pentingnya emosi dalam usaha pemulihan pesakit. Minatnya yang mendalam dalam bidang berkaitan kesan akal ke atas jasad menyebabkan banyak daripada hasil karyanya berkisar mengenai gangguan psikologi.
  • Beliau juga ada menceritakan simptom-simptom penyakit kencing manis (diabetes) dan masalah yang akan timbul daripadanya.
  • Ibn Sina juga menjadi saintis yang pertama menerangkan mengenai bahagian-bahagian berbeza pada mata seperti kornea, koroid, iris, retina, lapisan kanta dan lain-lain.


Al-Razi (864-930 M)
Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariya Al-Razi.Beliau dikenali di Barat sebagai Rhazes. Beliau yang berbangsa Parsi Beliau pernah digelar sebagai Jalinus Arab (Galen of the Arab) dan pernah menjadi guru kepada Ali Ibn Rabban al-Thabari,Hunayn Ibnu Ishaq dan Ibn Sina Dalam masa yang sama beliau juga belajar matematik, astronomi, sastera, dan kimia dan belajar ilmu falsafah. Ar-Razi amat menonjol dalam bidang kimia dan perubatan.
Sumbangan
Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam bidang perubatan. Antaranya :
  • Beliau merupakan orang yang pertama yang menemui penyakit campak dan cacar
  • Al-Razi juga adalah orang yang pertama memperkenalkan alkohol (Bahasa Arab: Al-Kuhl) untuk tujuan perubatan.
  • Orang yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius.
  • Beliau juga menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau mengaitkan ini sebagai hasil pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan.
  • Al-Razi adalah orang yang pertama membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa
  • Al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litoriti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil supaya senang dikeluarkan melalui saluran kencing.
  • Selain daripada itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang yang pertama membezakan kedua-dua penyakit ini seterusnya membuat kajian sistematis mengenai penyakit tersebut. 

SUMBANGAN ISLAM DALAM PERUBATAN
Tokoh-tokoh perubatan Islam banyak menyumbangkan ilmu perubatan mereka kepada dunia perubatan. Kejayaan mereka telah mendapat penghargaan yang tinggi di kalangan pengarang dunia Barat. Oftalmologi merupakan sumbangan yang terkemuka dalam perubatan Islam. Istilah-istilah seperti retina dan katarak yang digunakan dalam oftalmologi sekarang adalah berasal dari orang Arab. Orang Arab juga telah membuat sumbangan yang penting terhadap beberapa jenis penyakit mata dan rawatannya. Satu keadaan yang dinamakan Pannus terdapat dalam penyakit Trakoma telah dijelaskan oleh orang Arab. Glaukoma merupakan suatu keadaan peningkatan tekanan dalam bebola mata telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh orang Arab.

Sumbangan tamadun Islam terhadap farmasi, farmakologi fan farmakognosi masih ketara hingga kini. Materia media penulisan orang Islam masih lagi digunakan di Afrika Utara, India, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara lain di Asia. Secara umumnya tokoh-tokoh Islam telah menghasilkan tiga prinsip penting.
  1. Dalam bidang kimia ubat dan alkemi, tokoh-tokoh Islam telah memperkenalkan kepada dunia betapa pentingnya kejituan pemerhatian, kawalan percubaan dan penyimpanan rekod. Berdasarkan kepada prinsip-prinsip ini masyarakat Islam telah merangsang dan menggalakkan pertumbuhan serta perkembangan kimia di Eropah.
  2. Orang Islam buat pertama kalinya telah menubuhkan kedai apotekari dan dispensari yang mempelopori pusat pengajian farmasi.
  3. Umat Islam merupakan masyarakat yang pertama sekali melaksanakan pengawalan etik farmasi melalui undang-undang pemeriksaan. Formulasi farmaseutikal terkawal telah diterbitkan oleh umat Islam dan menggariskan secara rasmi penyediaan dan penyimpanan ubat.
Di samping itu pelbagai bentuk dos ubat telah dikemukakan oleh tamadun Islam. Diantaranya ialah dalam bentuk salap, serbuk, minyak, pes, pil tablet, rebusan, sirap dan lain-lain. Selain cara-cara membuat ubat, umat Islam adalah umat yang pertama sekali melaksanakan kawalan mutu ke atas hasilnya. Seorang pegawai khas akan dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan pengawalan mutu. [Sumber]


KESIMPULAN
MF rasa jelas kan... Ilmu perubatan ni asalnya datang dari Islam... Kerana ilmu sains dan al-Quran tak dapat dipisahkan.. Bahkan ubatan dan perawatan ada juga disebut dalam al-Quran dan Hadis. Namun, ilmu dan karya perubatan dari tokoh-tokoh ini, diterjemahkan ke Bahasa lain selepas zaman kejatuhan tamadun Islam. Tu yang kita rasa macam segala ilmu sains tu datang dari barat... Sedangkan ilmu tu datangnya dari Islam sebenarnya. Sama juga dengan ilmu Astronomi, Matematik... semuanya ada tokoh ilmuwan terkemuka masa zaman tamadun Islam. Jadi, kalau nak kata perubatan, vaksin, ubat dan segala benda tu dari Barat 100% MF rasa tak benar... Walaupun ada dakyah nak melemahkan umat Islam... Tapi nak percaya perkara tu 100% dari internet atau doktor-doktor tertentu tak boleh juga. Cuma bila zaman makin maju, orang Barat lebih kedepan bab ini dan banyak mengkaji ilmu orang dulu serta maju dalam pembinaan teknologi. Dan dah tentu teknologi digunakan untuk memudahkan manusia, bukan menyusahkan.

Ubat tu hanya sejenis ikhtiar kita... Tapi yakin sepenuhnya Allah penyembuhnya... MF pun kalau rawatan biasa, akan guna natural remedy dulu... Jika tiada kesembuhan, ikhtiar cara moden pula... dan dalam masa yang sama guna ayat al_Quran sebagai rukyah dan perubatan Islam. Bab sakit ni kena ikhtiar... tak boleh satu cara, usaha cara lain. 

Moga, minda kita lebih terbuka dalam percaya kepada satu pihak tanpa kajian dan ilmu. Bab nak menegakkan prinsip perubatan moden.. Mungkin itu hak kita, tak perlu kita nak sebar dan pengaruhi orang lain pula. Jika sekali Allah menguji, adakah kita nak bertanggungjawab??? renungkan dan fikirkan. Prinsip kita mungkin berguna dengan cara hidup kita tapi tidak orang lain.
Thanks for reading: Benarkah Segala Perubatan Tu Dari Yahudi dan Barat!

Catat Ulasan

Kata-katamu, inspirasi blog ku...
Syukran Jazilan, atas bicara indah anda...
Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^

 
Top