GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Hukum Solat Tutup Mata dan Makmum Masbuk!

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)

Hukum Solat Tutup Mata dan Makmum Masbuk! | Ada orang solat dengan mata yang tertutup untuk dapatkan khusyuk solat. Tapi jadi persoalan.... Boleh ke solat dengan mata yang tertutup tanpa melihat tempat sujud?

Dan Makmum Masbuk... Apa tu? 

Ini kisahnya solat Tutup Mata dan Makmum Masbuk yang boleh kita ambil pengajaran bersama... 

Orang kampung ramai berkerumun di rumah Wak Kemang. Wak Kemang terlantar sakit. Heboh sekampung pasal Wak Kemang ditemui menggigil-gigil tidak keruan di bawah pokok ketapang. Mujur juga ada Lebai Sahak. Dialah yang menjumpai Wak Kemang dan membawanya pulang.

Tok Penghulu Dali, Lebai Sahak, Siak Tompang, Noja Ayub, Ustaz Yunus bersama-sama penduduk kampung pergi melawat Wak Kemang pagi itu. Kata Wahid Satay, sakit Wak Kemang sudah semakin tenat. Sudah hampir putus nyawa.

Wak Kemang terbaring di tengah-tengah ruang tamu beralaskan tilam lusuh. Tilam yang entah berpuluh tahun usianya. Salah hemat sebaya dengan umur anak gadis Wak Kemang yang baru tamat pengajian di universiti.

Wak Kemang menggeletar di sebalik gebar yang membaluti tubuh. Dahi Wak Kemang tertempel selembar kain buruk. Peluh di muka Wak Kemang masih memercik walaupun sudah berkali-kali Limah Lenggang mengelapnya. Saat getir ini, Limah Lenggang isteri Wak Kemang inilah yang paling setia bertunggu tangga merawat Wak Kemang.

Panas badan Wak Kemang masih belum kebah-kebah dari semalam. Tidurnya juga meracau-racau. Tiada siapa yang tahu apa yang diracaukan. Cuma kedengaran suara berdengus-dengus seperti lembu kena sembelih di hari raya korban lalu. Ya, Wak Kemang jugalah orangnya yang sama-sama melapah daging korban itu. Menyeringai Wak Kemang kegembiraan sambil tersentil rokok daun nipah di bibir. Gigi kuning pula menghiasi senyum simpul. Bukan dia hisap rokok daun itu pun. Bahaya katanya. Rokok nipah itu sekadar melepaskan ketagihan merokok. Memang Wak Kemang kaki merokok. Itu dulu. Sekarang ini dia benar-benar mahu berhenti.

"Macam mana Wak Kemang hari ini?" tanya Tok Penghulu yang menghadap Wak Kemang. Sekali sekala diusapnya umbun-umbun Wak Kemang.

"Macam inilah Tok. Masih tak berubah," jawab Limah Lenggang.

"Apa cerita sebenarnya ni?" tanya Tok Penghulu sambil menggelengkan kepala, tanda simpati.

"Entahlah Tok. Semalam sempat juga saya bertanyakan abang Kemang. Dia cakap, dia nak solat Zuhur di wakaf tepi kubur sana tu. Masa tu baru lepas matahari rambang. Tak ada orang pun di sekeliling," Limah Lenggang berjeda sambil mengelap peluh yang mula meleleh di pipi Wak Kemang.

Memang pondok berhampiran kubur itu selalu ada orang mengerjakan solat di situ. Wakaf tersebut dilengkapi dengan peralatan solat dan kolah air. Terutama solat jenazah orang memang solatkan di situ.

Solat Tutup Mata untuk tambahkan khusyuk

"Kata abang Kemang lagi, suasana masa tu hening sangat. Dia tidak pernah rasa saat seperti itu. Hati abang Kemang berasa begitu tenang. Dia angkat takbir untuk solat. Kemudian memejamkan mata untuk menambahkan khusyuk. Elok sahaja hendak rukuk, ada orang menepuk bahunya. Dia sedikit terperanjat. Hati abang Kemang tertanya-tanya, siapakah itu. Abang Kemang terus rukuk.

Entah bagaimana, abang Kemang terpandangkan dari celah kelengkang. Dia tak nampak sesiapa pun. Tiada susuk tubuh manusia yang kelihatan. Abang Kemang tersentap dan ketakutan. Itu yang dia lari lintang pukang. Habis segala apa di hadapan, dilanggarnya. Batu nisan pun dia terjah. Semak samun di belukar sana pun dia rempuh," Limah Lenggang menyambung ceritanya. 

Tercengang Soton, taukey Warung Pak Makrup. Mulutnya bundar dan mata sedikit terbelalak. "Patutlah Leman Lempeng semalam tercungap-cungap. Habis semua kerusi dan meja saya dilanggarnya. Macam lembu naik minyak, tak keruan." sampuk Soton.

Tok Penghulu Dali, Lebai Sahak, Siak Ayub semuanya mengalihkan pandangan. Masing-masing menyorot tajam ke wajah Soton. "Apa kaitannya pulak?" tanya Lebai Sahak musykil.

"Semalam tengah hari, Leman Lempeng termengah-mengah. Tercungap-cungap macam orang tak cukup nafas lagaknya. Saya tanya kenapa dia jadi macam tu. Dia kata, dia nampak Wak Kemang tengah bersiap-siap hendak solat Zuhur. Jadi, dia singgah ke wakaf itu untuk berjemaah sama. Dia pun tepuk bahu Wak Kemang. Sedang dia baru sahaja hendak membaca al-Fatihah, tiba-tiba Wak Kemang terus lari lintang pukang. Wak Kemang terjun dari wakaf macam orang kerasukan. Apa lagi Leman Lempeng pun terperanjat sama. Tanpa menunggu lama, Leman Lempeng ikut bertempiaran lari. Bercempera ke sana sini berteriakan hantu! Hantu! Hantu! Sampailah ke kedai saya, barulah dia bertenang dan bercerita sambil menggigil-gigil."

"Oh, patutlah Leman Lempeng terlantar di wad hospital besar. Kata Tijah Lebar, doktor cakap suaminya itu kena demam terkejut." Siak Tompang pula mencelah.

Cara untuk jadi makmum masbuk

"Sebenarnya, cara Leman Lempeng itu ada salahnya. Cara Wak Kemang pun ada silapnya," sambil menguis-guis jari dengan memandang lantai, Ustaz Yunus mula membuka mulut.

"Macam mana pula tu Ustaz?" tanya Noja Ayub sambil merenung tajam ke muka Ustaz Yunus. Kata Ustaz Yunus.

"Begini, sepatutnya Wak Kemang tidak menutup mata ketika solat. Ini ialah hikmah mengapa tidak digalakkan solat dengan tutup mata. Memang ada ulama mengatakan harus menutup mata untuk menambah khusyuk, begitu juga ada ulama mengatakan makruh. Sungguhpun begitu, kenalah perhatikan keadaan persekitaran, sama ada sesuai atau sebaliknya. Takut-takut jadi macam nilah."

Mereka yang berdalilkan makruh menutup mata bersandarkan hadis Rasulullah s.a.w:

"Dari Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. mengarahkannya agar membunuh dua binatang hitam walaupun semasa solat, iaitu ular dan kala jengking" (HR At Tirmidzi, 2/235; Al-Hakim, 1/386 dan Ibn Hibban 6/115; Ibn Khuzaimah, Al Baihaqi; At Tirmidzi: Hasan Sohih)" hujah Ustaz Yunus.

"Cara-cara hendak masuk makmum pula. Dalam hal ini saya kira sepatutnya Leman Lempeng perlu memberikan isyarat kehadirannya di wakaf itu terlebih dahulu, seperti berdehem perlahan. Biar Wak Kemang merasai kehadiran manusia. Kemudian Leman Lempeng tidak perlu menepuk bahu Wak Kemang. Leman Lempeng perlu berada disebelah sisi kanan Wak Kemang. Leman Lempeng angkat takbir ihram dengan suara sekadar didengari imam. Selepas mengangkat takbir, Leman Lempeng sebagai makmum terus sahaja mengikuti perbuatan imam. Dalam hal ini Wak Kemang rukuk, maka terus sahaja Leman Lempeng ikut sama. Situasi makmum sebegini dipanggil makmum masbuk. Ada dua jenis makmum, iaitu makmum masbuk dan makmum muwafik." Ustaz Yunus memberhentikan bicaranya sambil melihat berkeliling. Satu-satu wajah ditancapnya. Sunyi, tiada satu suara pun yang berdetap. Masing-masing terlopong memandang Ustaz Yunus dengan penuh minat.

"Macam mana pula makmum muwafik itu, Ustaz?" Wak Kemang memecah kesunyian.

"Ha... Kalau mahu tahu lagi, datanglah ke kuliah saya malam nanti," ajak Ustaz Yunus.

Orang kampung saling berpandangan. Kesemua berubah muka, seraya berkumandangnya sebutan, 'Alhamdulillah'. Mereka gembira mendengarkan suara Wak Kemang. Ini petanda sakit Wak Kemang sudah kebah. 
Sumber: Diari Islam 2015

Sumber: Google images

Moral: Beramal perlukan ilmu... Jangan beramal hanya sekadar ikut-ikutan. Jadi, banyakkan berilmu dan amalkan... Agar ilmu yang dipelajari tak hilang. Jangan berhenti untuk terus tuntut ilmu agama... Kerana ilmu agama ini, makin kita pelajari kita akan terasa semakin jahil... Kerana ilmu agama tak pernah habis ibarat buih-buih di lautan.. 

1Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ