GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Hukum Solat Jamak Qasar di Kampung Halaman

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم 
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang)


Hukum Solat Jamak Qasar di Kampung Halaman | Raya dah dekat kan.. pasti ramai dah rancang nak balik kampung. Satu hukum yang perlu kita tahu bila musafir ni ialah solat Jamak dan Qasar. Setahu kita solat jamak qasar harus dilakukan ketika musafir je, tapi boleh ke nak tunaikan solat jamak qasar di kampun halaman. Ini MF dapat penjelasan dari penulisan USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

****************************************

Soalan; ustaz, saya ada 2 soalan:-
1. Sekiranya saya balik ke kampung mentua (kampung suami) yang jaraknye melebihi 2 marhalah boleh atau tidak sy solat jamak dan qasar ketika berada di situ..dan berapa hr yang sy blh jamak? setahu sy ada 2 pendapat yang mengatakan boleh dan ada yang kata tidak boleh.....minta utz untuk kemukakan 2 pendapat ini dan yang manakah yang terbaik utk dilakukan.
2. Adakah suami saya boleh jamak dan qasar ketika pulang ke kampungnya itu?
Terima kasih

Jawapan;

Jika kita berasal di satu tempat, kemudian kita berpindah darinya dan tinggal/mustautin di tempat yang lain, merujuk kepada amalan Nabi s.a.w. harus kita melakukan solat musafir (yakni jamak dan qasar) tatkala kita bermusafir ke tempat asal kita jika jaraknya melebihi dua marhalah dari penempatan baru kita. Sedia dimaklumi bahawa Nabi s.a.w. berasal dari Mekah, kemudian berhijrah ke Madinah. Hadis-hadis Nabi s.a.w. menceritakan bahawa tatkala baginda bermusafir ke Mekah, baginda melakukan solat musafir ketika berada di Mekah - walaupun Mekah itu asalnya adalah tanah kelahirannya-. Seorang sahabat bernama ‘Imran bin Hushain r.a. menceritakan; “Aku pernah berperang dengan Rasulullah s.a.w. dan bersama baginda ketika pembukaan kota Mekah. Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dengan tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat (yakni melakukan solat qasar). (Selepas memberi salam), baginda berkata (kepada makmum di belakangnya dari kalangan penduduk Mekah); “Wahai penduduk Mekah, sempurnakan solat kamu kepada empat rakaat kerana kami adalah golongan musafir”. (HR Abu Daud).

Berdasarkan hadis ini, harus kita melakukan solat musafir apabila kita pulang ke kampung/penempatan kelahiran kita jika kita tidak lagi menetap di situ. 

Mengenai pendapat ulamak, ada sebahagian ulamak berpendapat; tidak harus seseorang melakukan solat musafir jika ia singgah di suatu tempat yang ada di situ ahli keluarga dan hartanya. Ia hanya harus melakukan solat musafir ketika dalam perjalanan ke situ sahaja. Adapun apabila sampai, ia hendaklah melakukan solat penuh. Ini kerana dengan adanya keluarga dan hartanya di situ, maka tempat itu telah telah menyerupai negeri/kawasan penempatannya. Antara yang berpandangan sebegini ialah Imam Ahmad dan az-Zuhri. Berkata Imam az-Zuhri; sesiapa bermusafir dengan melalui ladang/kebun miliknya, tidak harus solat musafir di situ. Pandangan ini di ambil dari Ibnu ‘Abbas di mana menurut beliau; jika kamu tiba di satu kawasan/tempat yang ada ahli keluarga atau harta kamu, hendak lah kamu mengerjakan solat sebagaimana solat orang muqim (orang yang menetap), yakni; solat dengan sempurna, tanpa qasar.

Namun jumhur ulamak (termasuk Imam Syaf’ie, Ibnu al-Munzir, Imam Malik dan sebagainya) berpendapat; harus ia solat musafir selama ia tidak berniat menetap (bermuqim) di situ. Jika ia berniat menetap (bermuqim) di situ, tamatlah keharusan solat musafirnya (yakni ia hanya harus mengerjakan solat musafir di perjalanan sahaja dan apabila sampai hendaklah ia melakukan solat sebagaimana biasa). Jadi menurut pandangan ini hukum bermusafir ke tempat yang ada ahli keluarga kita sama seperti bermusafir ke tempat lain, iaitu harus melakukan solat jamak dan qasar (jika mencukupi syarat-syarat dari segi jarak dan sebagainya) selama kita tidak berniat untuk menetap atau bermastautin di situ.

Pandangan pertama berdalilkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menceritakan bahawa; Saidina ‘Usman apabila berada di Mekah, beliau tidak mengqasarkan solatnya akan tetapi melakukannya dengan sempurna. Lalu perbuatannya disanggah oleh sahabat-sahabat yang lain. Maka ia menjawab; Aku telah berkeluarga di Mekah. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa berkeluarga di satu negeri, hendaklah ia mengerjakan solat sebagaimana orang muqim (yakni tidak boleh jamak dan qasar)” (Riwayat Imam Ahmad). Namun, para ulamak hadis telah sepakat mengatakan bahawa; hadis ini adalah dhaif (lemah), tidak harus dijadikan hujjah. (Lihat; Nailul-Autar; 3/221).

Rujukan;
1. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, 2/184.
2. Nailul-Autar, Imam asy-Syaukani, 3/221.
3. at-Tahzib, Imam al-Baghawi, 2/304.

TEMPOH HARUS SOLAT MUSAFIR

Soalan; saya ada mendengar bahawa bagi musafir,mereka dibenarkan utk Jamak dan Qasar selama 3 hari berturut-turut.Adakah ini benar? Contoh yang saya buat berdasarkan kefahaman ini spt berikut: Saya ke Kedah hari ini. Zohor dan Asar saya Jamak Taqdim.Begitu juga Maghrib dan Isyak.Saya kira hari ini ialah "travelling day / hari musafir". Utk 3 hari seterusnya (Selasa,Rabu,Khamis),saya solat Jamak dan Qasar bagi kesemua solat yg dibnarkan.Pada hari Jumaat,saya balik KL dan lakukan Jamak Qasar bagi Jumaat dan Asar. Minta komen dan penjelasan dari ustaz.

Jawapan;
Solat musafir (yakni jama’ dan qasar) diharuskan selagi seseorang itu berada dalam musafir (perjalanan). Jika ia berhenti di satu tempat, sekiranya ia berniat untuk tinggal di situ 4 hari atau lebih (tidak termasuk hari masuk dan hari keluar), tamat musafirnya dan tidak harus lagi ia solat musafir (jamak dan qasar) hinggalah hari ia keluar dari situ. Itu adalah mengikut pandangan jumhur ulamak (merangkumi mazhab Syafi’ie, Malik dan Ahmad). Adapun mazhab Imam Abu Hanifah; tamat musafirnya jika berniat tinggal 15 hari atau lebih.

Sekiranya ia berhenti di satu tempat untuk suatu urusan dan ia tidak berniat untuk tinggal di situ beberapa hari tertentu, akan tetapi bergantung kepada urusannya, iaitu sebaik sahaja selesai urusannya ia akan keluar dari situ, harus baginya solat musafir di situ selama 18 hari mengikut mazhab Syafi’ie (yakni selepas 18 hari tidak harus lagi ia solar musafir walaupun urusannya belum selesai). Menurut mazhab Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad; harus ia solat musafir selagi urusannya belum selesai sekalipun memakan masa bertahun.

Rujukan;
1. Fiqh al-Ibadat, Syeikh Hasan Ayyub, hlm. 271.

Kesimpulan:
  • Harus solat jamak qasar di kampung halaman selagi tak berniat nak tinggal disitu.
  • Tempoh solat jamak qasar yang diharuskan adalah tidak berniat berhenti di sesuatu tempat tak lebih 4 hari. Jika niat balik kampung, nak tinggal satu minggu, maka tak harus solat jamak qasar.
  • Hukum solat qasar adalah harus sahaja. Keringanan yang dianggap hadiah Allah untuk kita walaupun sekarang ni dah ada pelbagai kemudahan seperti RnR dan sebagainya. Tapi hukum ni tetap boleh dipakai kerana tiada dalil yang mansuhkannya. Jadi, jangan pertikai jika orang nak solat qasar jamak atau tidak... Ianya hanya masalah furu' serta ada perselisihan pendapat antara ulamak mazhab fiqh. Setiap pendapat ada dalilnya... Tiada yang salah...
Rujukan: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

Pengalaman MF, pernah buat solat jamak qasar di kampung.. tapi biasanya MF tak buat sebab tiada halangan nak solat penuh dan ikut waktu solat. Jadi, MF solat penuh je. 

2Ulasan

  1. Bagus info ni.. thanks sharing MF especially waktu2 nak beraya kat kampung ni..

    BalasPadam

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ