GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Hukum membayar fidyah sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang sudah meninggal dunia.

Sumber: google images

ISU:
Apakah hukum membayar fidyah sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang sudah meninggal dunia?

PENJELASAN: 
Isu membayar fidyah sembahyang yang pernah ditinggalkan oleh individu yang meninggal dunia merupakan isu yang diperselisihkan oleh para ulama terdahulu. Terdapat tiga pendapat berkaitan isu ini: 

1) Individu yang meninggal dunia dan dia pernah meninggalkan sembahyang, maka ahli waris tidak perlu melakukan solat qadha' untuk si mati dan juga tidak perlu membayar apa-apa fidyah. Ini adalah pendapat majoriti ulama iaitu ulama bermazhab Maliki, pendapat yang muktamad menurut mazhab Syafi'i dan juga pendapat ulama bermazhab Hanbali. Hujah mereka, sembahyang adalah ibadah yang dilakukan dengan anggota badan semata-mata dan tiada hadis sahih yang mengatakan perlu membayar fidyah sembahyang yang ditinggalkan, berbeza dengan puasa. Sembahyang yang ditinggalkan juga tidak perlu diqadha' oleh ahli waris kerana terdapat hadis sahih yang dilaporkan oleh Abdullah bin 'Abbas, Nabi Muhammad saw bersabda, "Janganlah seseorang itu melakukan sembahyang untuk orang lain dan janganlah seseorang itu berpuasa untuk orang lain." (al-Malibari, Fath al-mu'in, hlm. 272; al-Dimyati, Hasyiah I'anah al-Tolibin, jil. 1, hlm. 33; al-Buhuti, Kashshaf al-qina', jil. 2, hlm. 336; Ibn Qasim, Hasyiah al-raudh al-murabba', jil. 3, hlm. 440). 

2) Menurut sebahagian ulama bermazhab Syafi'i, jika si mati ada meninggalkan sembahyang fardhu semasa hidupnya, maka ahli warisnya perlu menqadha'kan sembahyang itu, serta boleh diambil daripada harta peninggalan si mati untuk membayar kafarah kerana meninggalkan sembahyang tetapi ia bukan fidyah. Dilaporkan bahawa Imam al-Subki pernah menqadha'kan sembahyang untuk ahli keluarganya yang sudah meninggal dunia (al-Malibari, Fath al-mu'in, hlm. 272; al-Dimyati, Hasyiah I'anah al-Tolibin, jil. 1, hlm. 33). Hujah pendapat ini, diqiyaskan qadha' sembahyang si mati dengan qadha' puasa si mati. Manakala menurut sebahagian ulama bermazhab Hanbali, jika si mati pernah bernazar untuk melakukan sembahyang tetapi dia tidak sempat melaksanakan sembahyang nazar itu, maka wajib ahli warisnya untuk melakukan sembahyang tersebut (al-Buhuti, Kashshaf al-qina', jil. 2, hlm. 336) 

3) Menurut ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama bermazhab Syafi'i, jika si mati ada meninggalkan sembahyang semasa hidupnya, maka wajib membayar fidyah bagi setiap waktu sembahyang yang ditinggalkan dengan kadar 15 tahil beras. Tetapi tidak perlu mengqadha'kan sembahyang tersebut. Menurut Imam Abu Hanifah, fidyah tersebut hanya wajib dibayar jika si mati mewasiatkan agar dibayarkan fidyah itu selepas kematiannya. Namun menurut sebahagian ulama bermazhab Hanafi, wajib membayar fidyah itu walaupun tidak diwasiatkan oleh si mati. Hujah pendapat ini, berdasarkan hadis yang dilaporkan oleh Abdullah bin 'Abbas, Nabi Muhammad saw bersabda, "Janganlah seseorang itu melakukan sembahyang untuk orang lain dan janganlah seseorang itu berpuasa untuk orang lain. Tetapi bagi setiap hari yang ditinggalkan itu diberi makanan sebanyak satu mud bijirin." Hadis direkodkan oleh Imam al-Nasa'i. Hadis ini secara jelas menyatakan bahawa orang yang meninggalkan sembahyang dan puasa hendaklah dibayar fidyah sebanyak satu mud bijirin (al-Sarakhsi, al-Mabsut, jil. 3, hlm. 90; al-Malibari, Fath al-mu'in, hlm. 272; al-Dimyati, Hasyiah I'anah al-Tolibin, jil. 1, hlm. 33). Namun menurut majoriti ulama yang berpendapat bahawa tiada fidyah sembahyang, hadis ini dha'if serta ia lebih tepat merujuk kepada fidyah puasa sahaja. 

Oleh itu, pendapat yang paling tepat ialah jika si mati pernah meninggalkan sembahyang, maka ahli warisnya tidak perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengqadha'kan sembahyang tersebut. Beberapa fatwa menjelaskan hukum ini: 

1) Menurut keputusan Fatwa Negeri Pulau Pinang: "Tiada diqadhakan dan juga tidak dikeluarkan fidyah bagi sembahyang si mati. Manakala hukum fidyah puasa, sekiranya orang yang mati sedang menanggung puasa fardhu dan berkesempatan untuk menqadhakanya tetapi ia tidak berbuat demikian maka dikenakan fidyah bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan sebanyak 15 tahil beras. Jika puasa itu tidak diqadhakan lewat bertahun maka fidyah akan berganda mengikut bilangan tahun."

2) Menurut keputusan Fatwa Negeri Perlis: "Di dalam sembahyang tidak ada fidyah kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 'Tinggal sembahyang dengan sengaja itu tidak ada jalan untuk menebusnya melainkan bertaubat Nasuha'." 

3) Menurut Fatwa Negeri Melaka: "Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka bil 3/2007 yang bersidang pada 2 Zulhijjah 1428H bersamaan 12 Disember 2007 sebulat suara bersetuju memutuskan bahawa: Tiada qadha' dan tiada fidyah bagi sembahyang yang ditinggalkan oleh orang yang telah meninggal dunia berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik bin Anas dalam kitab al-Muwatta' daripada Ibn Umar radhiyallahu anhuma: لاَ يَصُوْمُ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ وَلاَ يُصَلِّىْ أَحَدٌ عَنْ أَحَدٍ .

Wallahu a'lam.
Sumber: Majlis Fatwa Kebangsaan

7Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ