GprlGfG6Gpr8TSG8Gfd9GUY7TY==

Hukum Hakam Berkaitan Rambut

1.  Uban 

Makruh mencabut uban ataupun janggut yang beruban dan makruh membakarnya dengan api ataupun sebagainya supaya nampak seperti orang yang sudah tua. (Mughni al-Muhtaj, kitab al-udhiyyah fasal fi al-aqiqah: 4/374)

Larangan mencabut uban ini telah disebutkan dalam hadis daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada ayahnya daripada neneknya berkata yang maksudnya :

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada mencabut uban (kepala atau janggut) dan Baginda bersabda: “Sesungguhnya uban itu cahaya orang muslim.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Hadis yang lain, daripada ‘Amr bin Syu‘aib daripada ayahnya daripada neneknya berkata yang maksudnya :

“Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Jangan kamu cabut uban. Tiada daripada seorang muslim beruban dengan satu uban di dalam Islam,  berkata Musaddad (periwayat) daripada Sufyan: “Melainkan bagi uban itu cahaya di hari qiamat.” Sementara katanya (periwayat) dalam hadis Yahya: “Melainkan Allah menulis baginya dengan sehelai uban itu satu kebajikan dan menggugurkan daripadanya (orang itu)  dengan sehelai uban itu satu kesalahan.” (Hadis riwayat Abu Daud). 

Hukum Hakam Berkaitan Rambut

 2. Menyikat Rambut Dan Meminyakinya


Sunat sekali sekala (ghibban) menyikat rambut dan meminyakinya. Adapun yang dimaksudkan dengan sekali sekala itu ialah, apabila kita meminyaki rambut, maka tunggulah ia sehingga kering baharulah diminyaki sekali lagi. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/359-360) Hadis daripada ‘Abdullah bin Mughaffil katanya yang maksudnya : 

“Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melarang daripada berdandan dengan berlebihan (at-tarajjul) secara berterusan setiap masa.” (Hadis riwayat Abu Daud, at-Tirmidzi dan an-Nasaie)

Hadis di atas menunjukkan bahawa, makruh melakukan tarajjul dengan berterusan setiap waktu kerana ianya adalah salah satu daripada perkara bersenang-lenang. Maksud larangan di atas, ialah jangan terlalu sibuk memberi perhatian yang lebih pada tarajjul tersebut. (Bazlul Majhud, kitab At-Tarajjul: 17/43-44)

3.  Membelah Rambut

Sunat membelah rambut menjadi dua belahan, berserta dengan minyak, air atau sebagainya. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/363) Sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhu katanya yang maksudnya:      

“Kebiasaan ahli kitab menguraikan rambutnya. Kebiasaan orang-orang musyrik menyisir rambutnya menjadi dua belahan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam suka menyamai dengan ahli kitab dalam hal yang tidak diperintahkan. Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menguraikan rambut ubun-ubunnya, kemudian setelah itu menyisirnya menjadi dua belahan.” (Hadis riwayat Muslim)

4. Masuk Islam


Sunat bagi lelaki yang baru memeluk agama Islam mencukur keseluruhan rambutnya. (Bujairimi ‘ala al-Khatib, : 4/437-438)

5.  Ketika Melakukan Ibadah Korban

Apabila masuk 10 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang hendak membuat korban untuk dirinya supaya tidak mengunting atau mencukur rambut, mengerat kuku atau lain-lain sehinggalah dia selesai menjalankan upacara korban itu. Hikmatnya supaya mendapat keampunan serta lepas daripada seksaan api neraka.

6.   Tahallul

Mencukur atau menggunting rambut adalah salah satu daripada rukun haji atau umrah iaitu tahallul. Melakukan tahallul itu sekurang-kurangnya menggunting tiga helai rambut dan yang afdhalnya bagi lelaki adalah mencukur keseluruhan rambut. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
Tafsirnya: “Mencukur kepala kamu dan kalau (tidak pun) mengguntingnya.” (Surah Al-Fath: 27)

Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis Baginda memohon supaya dikurniakan rahmat kepada orang-orang yang menggunting atau mencukur rambut kerana tahallul dalam ibadah haji. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya : 

“Ya Allah kurniakan rahmat kepada orang-orang yang bercukur” Mereka berkata: “Dan orang-orang yang menggunting rambut ya Rasulullah” Baginda bersabda: “Ya Allah kurniakan rahmat kepada orang-orang yang bercukur” Mereka berkata: “Dan orang-orang yang menggunting rambut ya Rasulullah” Baginda bersabda: “Dan orang-orang yang menggunting rambut.”(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Adapun bagi perempuan pula, hendaklah menggunting rambut sahaja tanpa mencukurnya. Menurut pendapat yang ashah, makruh bagi perempuan mencukur rambut. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Haji: 2/454-455) Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
“Tidak dituntut ke atas perempuan mencukur rambut, sesungguhnya yang dituntut ke atas perempuan hanyalah menggunting rambut.” (Hadis riwayat Abu Daud)

7.   Dam Ketika Haji

Haram ke atas orang yang berihram menggugurkan rambutnya walaupun sehelai, sama ada dengan dicukur, gunting, cabut, bakar atau sebagainya, maka wajib ke atasnya membayar dam. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Dan jangan kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul, sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) ditempatnya.” (Surah Al-Baqarah: 196)

Tidaklah menjadi haram ke atas orang yang berihram apabila dia mencukur rambutnya kerana sesuatu sebab seperti adanya kutu kepala yang menyakiti atau disebabkan luka. Maka dalam hal ini ia hanyalah diwajibkan membayar fidyah sahaja. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya) hendaklah ia membayar fidyah iaitu puasa atau bersedekah atau menyembelih dam.” (Surah Al-Baqarah: 196)

Adapun bulu mata atau bulu kening yang panjang sehingga menutupi mata, jika digugurkan bulu tersebut maka tidaklah haram dan tidak juga diwajibkan fidyah ke atasnya.

Perbezaan di antara kedua hukum di atas (tidak wajib fidyah dan sebaliknya) adalah kerana perkara yang menyakiti orang yang berihram itu adalah bulu itu sendiri, maka tidak diwajibkan fidyah, sementara hukum wajib fidyah itu adalah kerana rambut itu tidak menyakitinya, akan tetapi yang menyakiti itu adalah apa yang ada pada rambut itu. (I‘anah Ath-Thalibin, bab Haji, Fasal Fi Muharramat Al-Ihram: 2/500-501

    Syarat wajib membayar dam disebabkan gugur rambut itu ialah:

  1. Hendaklah ianya mumayyiz.
  2. Gugurnya rambut itu bukan disebabkan rambut itu menyakitinya.
  3. Bukan disebabkan orang lain yang mencabutnya sedangkan dia tidak menyuruhnya atau tidak berdaya untuk melarangnya. Dalam hal ini wajib pula ke atas orang lain yang mengugurkan itu membayar dam untuknya. (Fath Al-‘Allam: 4/451-452)

8.  Menanam Rambut Yang Dipotong

Rambut perempuan yang dipotong, kuku kaki dan bulu-bulu yang haram dilihat adalah wajib disembunyikan daripada pandangan orang lain. Demikianlah juga bulu ari-ari lelaki, wajib disembunyikan daripada pandangan orang lain. Ini kerana setiap sesuatu yang haram dilihat daripada anggota lelaki atau perempuan ketika bersambung (anggota tersebut), adalah haram juga dilihat ketika ianya bercerai. (I‘anah Ath-Thalibin, bab an-nikah: 3/416)

Oleh yang demikian sunat bagi perempuan dan lelaki menanam potongan kuku, rambut dan lain-lain bulu di dalam tanah. (Al-Majmu‘, kitab ath-thaharah bab as-siwak: 1/357)

Menurut kitab Al-Ihya’, jika seseorang itu dalam keadaan junub atau berhadas besar, jangan dia memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub. (I‘anah Ath-Thalibin, bab ash-shalah: 1/131)

9.  Rambut Itu Aurat

Selain daripada leher, lengan dan seluruh anggota badan  (melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga pergelangan), rambut juga termasuk dalam aurat perempuan yang wajib ditutup daripada pandangan orang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya : 
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah An-Nur: 31)
Sesungguhnya pada rambut itu banyak perkara-perkara yang berhubungkait dengan hukum, sama ada perkara yang dilarang atau yang disunatkan. Oleh yang demikian, adalah wajar diketahui perkara-perkara tersebut agar tidak ketinggalan dalam mempertingkatkan amal atau tidak terlanjur pada melakukan kesalahan.

Sumber: Halaqah.net


Nota Ungu: Moga bermanfaat... 

3Ulasan

Terima kasih, lain kali komen lagi ea... ^_^
P/s: KOMEN YANG MENGANDUNGI LINK/URL AKTIF TIDAK AKAN DIAPPROVE. TQ